Friday, December 31, 2010

Tenang dan bahagia..


بسم الله الرحمن الرحيم

MANUSIA ingin hidup bahagia. Hidup tenang, tenteram, damai dan sejahtera. Sebahagian orang mengejar kebahagiaan dengan bekerja keras untuk menghimpun harta. Mereka menyangka bahawa pada harta yang melimpah itu terdapat kebahagiaan. Ada yang mengejar kebahagiaan pada tahta, pada kekuasaan. Beragam cara dia lakukan untuk merebut kekuasaan. Orang sakit menyangka, bahagia terletak pada kesihatan. Orang miskin pula menyangka, bahagia terletak pada harta kekayaan. Rakyat jelata menyangka kebahagiaan terletak pada kekuasaan.

Bahagia itu tidak dapat diukur dengan mata kasar, kerana pandangan mata selalunya menipu. Masakan melihat seorang hartawan dengan kereta mewah yang bersusun di hadapan rumahnya kita sudah boleh mengatakan dia bahagia.

Namun, bahagia dapat dirasa di hati, boleh dikesan pada wajah. Sebaliknya jika tiada, hati boleh merasa dan tak mungkin ditipunya. Kadangkali, pada zahirnya kehidupan sesebuah keluarga itu sudah nampak aman damai. Namun, hakikatnya hati para penghuninya masih tak bahagia. Mengapa? Rasa-rasa masih ada lagi yang kurang.

Ketenangan adalah anugerah Allah kepada hamba-hamba~NYA yang beriman dan bertaqwa. Mereka yang mendapat ketenangan seperti mendapat syurga yang disegerakan (Al-Jannatul Ajilah) sebelum mendapat syurga yang kekal abadi di akhirat. Mereka yang telah menikmatinya tidak akan terpengaruh dengan suasana untuk mendapat tenang dan bahagia.

Justeru setiap apa yang dilakukan di atas muka bumi ini, bukan untuk mengejar bahagia. Tapi atas rasa dirinya sebagai hamba yang perlu mentaati perintah dan menjauhi larangan Tuhan, demi mendapatkan keredhaanNYA. Dalam berseorangan pun mereka rasa bahagia, apatah lagi ketika ramai. Sewaktu susah dan kesempitan pun mereka rasa bahagia, apalagi di kala senang dan lapang. Keredhaan Allah cukup besar maknanya bagi mereka.

Menurut Imam al-Ghazali, puncak kebahagiaan pada manusia adalah jika dia berhasil mencapai 'ma'rifatullah', telah mengenal Allah SWT. Selanjutnya, Imam al-Ghazali menyatakan: "Ketahuilah bahagia tiap-tiap sesuatu bila kita rasakan nikmat, kesenangan dan kelazatannya merasa itu ialah menurut perasaan masing-masing. Maka kelazatan (mata) ialah melihat rupa yang indah, kenikmatan telinga mendengar suara yang merdu, demikian pula segala anggota yang lain dan tubuh manusia.

Sebagai orang Muslim, kita tentu mendambakan hidup bahagia seperti itu; hidup dalam keyakinan: mulai dengan mengenal Allah dan redha, menerima keputusan-keputusan~Nya, serta ikhlas menjalankan aturan-aturan~Nya. Kita mendambakan diri kita merasa bahagia dalam menjalankan solat, kita bahagia menunaikan zakat, kita bahagia bersedekah, kita bahagia menolong orang lain, dan kita pun bahagia menjalankan tugas amar ma'ruf nahi munkar.

Mereka yang bahagia dengan Islam adalah mereka yang mengatur seluruh aspek kehidupan secara Islam kerana merasakan dirinya adalah hamba yang perlu patuh pada PENCIPTA~NYA dan Islam itu tidak sekali-kali dijadikan sebagai alat untuk mendapatkan keindahan dan kebahagiaan sementara. Indahnya Islam bagi mereka kerana ia merupakan syariat Allah yang sangat syumul dan praktikal.

Sungguh sakit itu menyusahkan. Boleh jadi tidak tenang dengan sakit apatah lagi makan minum serta tidur selalu terganggu. Malah kerja harian juga terganggu dan di waktu tertentu hendak bersolat pun terganggu juga. Namun, seorang yang berzikrullah, dapat merasakan Tuhan yang memberi sakit dan Dialah yang menyembuhkan. Rasa itulah yang memberi penawar kepada kesusahan sakitnya selama ini. Dia jadi tenang atas kerana yakin Tuhan yang memberi sakit dan Tuhan jugalah yang akan menyembuhkan. Sudah pasti keyakinan itu menjadikan dia faham maksud Tuhan memberi sakit kepadanya.

Dalam keadaan apa pun. Maka senangkanlah hatimu! Jangan pernah bersedih. Kalau engkau kaya, senangkanlah hatimu! Kerana di hadapanmu terbentang kesempatan untuk mengerjakan perkara yang sulit melalui hartamu. Dan jika engkau fakir miskin, senangkan pulalah hatimu! Kerana engkau telah terlepas dari suatu penyakit jiwa, penyakit kesombongan yang sering menimpa orang-orang kaya. Senangkanlah hatimu kerana tak ada orang yang akan hasad dan dengki kepadamu lagi, lantaran kemiskinanmu. Kalau engkau dilupakan orang, kurang masyhur, senangkan pulalah hatimu! Kerana lidah tidak banyak yang mencelamu, mulut tak banyak mencacimu.

Mudah-mudahan Allah mengurniakan kita ilmu yang boleh menghantarkan kita pada sebuah keyakinan dan kebahagiaan abadi, dunia dan akhirat. Amin..

Aku tidak pernah melihat kezuhudan yang lebih sulit daripada kezuhudan terhadap kekuasaan. Kita banyak menemui orang-orang yang zuhud dalam masalah makanan, minuman, harta dan pakaian. Namun ketika diberikan kekuasaan kepadanya maka ia pun akan mempertahankan dan berani bermusuhan demi membelanya.
~Imam Sufyan Ats Tsauri~

Monday, December 13, 2010

Dipotong tangan kerana sedekah


بسم الله الرحمن الرحيم

Dikisahkan bahawa semasa berlakunya kekurangan makanan dalam kalangan Bani Israel, maka lalulah seorang fakir menghampiri rumah seorang kaya dengan berkata, "Sedekahlah kamu kepadaku dengan sepotong roti dengan ikhlas kerana Allah S.W.T."

Setelah fakir miskin itu berkata demikian maka keluarlah anak gadis orang kaya, lalu memberikan roti yang masih panas kepadanya. Sebaik sahaja gadis itu memberikan roti tersebut maka keluarlah bapa gadis tersebut yang bakhil itu terus memotong tangan kanan anak gadisnya sehingga putus. Semenjak dari peristiwa itu maka Allah S.W.T pun mengubah kehidupan orang kaya itu dengan menarik kembali harta kekayaannya sehingga dia menjadi seorang yang fakir miskin dan akhirnya dia meninggal dunia dalam keadaan yang paling hina.

Anak gadis itu menjadi pengemis dan meminta-minta dari satu rumah ke rumah. Maka pada suatu hari anak gadis itu menghampiri rumah seorang kaya sambil meminta sedekah, maka keluarlah seorang ibu dari rumah tersebut. Ibu tersebut sangat kagum dengan kecantikannya dan mempelawa anak gadis itu masuk ke rumahnya. Ibu itu sangat tertarik dengan gadis tersebut dan dia berhajat untuk mengahwinkan anaknya dengan gadis tersebut. Maka setelah perkahwinan itu selesai, maka si ibu itu pun memberikan pakaian dan perhiasan bagi menggantikan pakaiannya.

Pada suatu malam apabila sudah dihidang makanan malam, maka si suami hendak makan bersamanya. Oleh kerana anak gadis itu kudung tangannya dan suaminya juga tidak tahu bahawa dia itu kudung, manakala ibunya juga telah merahsiakan tentang tangan gadis tersebut. Maka apabila suaminya menyuruh dia makan, lalu dia makan dengan tangan kiri. Apabila suaminya melihat keadaan isterinya itu dia pun berkata, "Aku mendapat tahu bahawa orang fakir tidak tahu dalam tatacara harian, oleh itu makanlah dengan tangan kanan dan bukan dengan tangan kiri."

Setelah si suami berkata demikian, maka isterinya itu tetap makan dengan tangan kiri, walaupun suaminya berulang kali memberitahunya. Dengan tiba-tiba terdengar suara dari sebelah pintu, "Keluarkanlah tangan kananmu itu wahai hamba Allah, sesungguhnya kamu telah mendermakan sepotong roti dengan ikhlas kerana~Ku, maka tidak ada halangan bagi~Ku memberikan kembali akan tangan kananmu itu."

Setelah gadis itu mendengar suara tersebut, maka dia pun mengeluarkan tangan kanannya, dan dia mendapati tangan kanannya berada dalam keadaan asalnya, dan dia pun makan bersama suaminya dengan menggunakan tangan kanan. Hendaklah kita sentiasa menghormati tetamu kita, walaupun dia fakir miskin apabila dia telah datang ke rumah kita maka sesungguhnya dia adalah tetamu kita. Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud, "Barangsiapa menghormati tetamu, maka sesungguhnya dia telah menghormatiku, dan barangsiapa menghormatiku, maka sesungguhnya dia telah memuliakan Allah S.W.T. Dan barangsiapa telah menjadi kemarahan tetamu, dia telah menjadi kemarahanku. Dan barangsiapa menjadikan kemarahanku, sesungguhnya dia telah menjadikan murka Allah S.W.T."

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, "Sesungguhnya tetamu itu apabila dia datang ke rumah seseorang mukmin itu, maka dia masuk bersama dengan seribu berkah dan seribu rahmat."

Wallahu'alam..

Janganlah kamu memilih-milih dan sombong terhadap Allah SWT, kerana itu dapat melemahkanmu. Janganlah kamu menyombongkan kemudahan, kekuatan, dan kemudaanmu; agar Dia tidak menghancurkanmu dan menyeksamu, sesungguhnya seksa~Nya amat pedih

~Syeikh Abdul Qadir al-Jailani~

Friday, December 03, 2010

Al-Balkhi dan 2 ekor burung..


بسم الله الرحمن الرحيم

Alkisah, hiduplah pada zaman dahulu seorang yang terkenal dengan kesolehannya, bernama Syaqiq al-Balkhi. Dia memiliki sahabat karib bernama Ibrahim bin Adham yang terkenal dengan kezuhudannya. Orang sering memanggil Ibrahim bin Adham dengan panggilan Abu Ishaq.

Suatu hari, Al-Balkhi hendak berangkat ke suatu negeri untuk berdagang. Sebelum berangkat dia tidak ketinggalan untuk menziarahi kawan karibnya itu. Namun belumlah lama Al-Balkhi meninggalkan kotanya, tiba-tiba dia muncul kembali. Sahabatnya itu menjadi hairan, mengapa dia pulang begitu cepat dari rencana sebelumnya. Padahal negeri yang hendak ditujunya sangat jauh. Ibrahim bin Adham yang pada saat itu berada di dalam masjid langsung bertanya kepada Al-Balkhi, “Wahai al-Balkhi sahabatku, mengapa engkau begitu cepat kembali?”

“Dalam perjalanan”, jawab Al-Balkhi, “Aku melihat suatu keanehan, sehingga aku memutuskan untuk membatalkan perjalanan dagangku.”

“Keanehan apa yang kau maksudkan?” tanya Ibrahim.

Kemudian Al-Balkhi mulai menceritakan pengalamannya, “Ketika aku sedang beristirehat di sebuah bangunan yang telak rosak, mataku tertuju pada seekor burung yang pincang dan buta, aku memperhatikan setiap langkahnya. Aku pun kemudian bertanya-tanya dalam hati, bagaimana burung ini dapat bertahan hidup, padahal dia berada di tempat yang sangat jauh dari kawan-kawannya, dan matanya buta serta tidak kuasa berjalan.”

“Tidak lama kemudian, aku melihat ada seekor burung lain yang dengan susah payah menghampirinya dengan membawa makanan lalu diberikannya untuk burung yang buta dan pincang itu. Aku terus memperhatikan gerak-geri burung itu. Ternyata dia tidak pernah kekurangan makanan, kerana dibantu oleh kawannya yang sihat tadi.”

“Lantas apa hubungannya dengan kepulanganmu yang cepat ini?” tanya Ibrahim bin Adham yang masih belum memahami dengan jelas maksud Al-Balkhi.

Al-Balkhi melanjutkan, “Maka dengan semua yang aku perhatikan itu, aku berkesimpulan bahawa Allah Taala Yang Maha Pemberi rezeki telah mencukupkan rezeki untuk seekor burung yang pincang lagi buta dan jauh dari teman-temannya. Dan tentu Dia Yang Maha Pemberi akan mencukupi rezekiku pula, sekalipun aku tidak bersusah payah untuk berdagang. Oleh kerana itulah aku memutuskan untuk kembali saat itu juga.”

Mendengar penuturan sahabatnya itu, Ibrahim bin Adham berkata, “Wahai Al-Balkhi sahabatku, mengapa engkau memiliki pemikiran serendah itu? Mengapa engkau rela menyamakan derajatmu dengan seekor burung yang pincang lagi buta? Mengapa engkau mengikhlaskan dirimu sendiri untuk hidup atas belas kasihan dan bantuan orang lain? Mengapa engkau tidak berfikir untuk mencuba menjadi seperti burung yang satunya lagi? Dia bekerja keras untuk mencukupi keperluannya dan keperluan saudaranya yang tidak mampu bekerja? Tidakkah engkau tahu bahawa tangan yang di atas (yang memberi dan menyantuni) lebih baik daripada tangan yang di bawah?”

Mendengar hikmah yang mulia ini, Al-Balkhi pun sedar, dia telah salah dalam mengambil pelajaran dari kedua burung itu. Saat itu pula dia bangkit dan mohon diri kepada Ibrahim bin Adham seraya berkata, “Wahai Abu Ishaq, engkaulah guru kami yang baik”, lalu berangkatlah dia untuk melanjutkan usaha dagangnya yang tertunda itu.

Dari kisah ini, mengingatkan kita kepada sebuah hadith yang diriwayatkan dari Miqdam bin Ma’dikarib, bahwasanya Rasulullah s.a.w. bersabda (yang ertinya): “Tidaklah ada cara yang lebih baik bagi seseorang yang memakan makanan daripada memakan dari hasil tangannya sendiri. Dan sesungguhnya Nabi Dawud AS, beliau makan dari hasil jerih payah tangan beliau sendiri”. (HR. Al Bukhari)

Wallahu'alam...

"Orang yang bahagia adalah orang yang Allah anugerahi kalbu yang berfikir, mata yang selalu mengambil pelajaran, telinga yang mendengar dari Allah, dan diri yang bersemangat mengabdi kepada Allah. Di antara hak Allah yang paling layak diperhatikan oleh hamba adalah syukur kepada-Nya, secara lahir mahupun batin. Secara lahir dengan mematuhi~Nya dan secara batin dengan menyaksikan nikmat dari~Nya. Belum bersyukur orang yang tidak melaksanakan perintah dan batas-batas~Nya. Tidak disebut menjaga~Nya orang yang menyia-nyiakan perjanjian dengan~Nya. Kerana itu, kamu harus mensyukuri semua nikmat~Nya atas diri kamu."
[Al-Imam Ibnu 'Athaillah As-Sakandari r.a.]