Friday, November 25, 2011

Hijrahlah...


بسم الله الرحمن الرحيم

Janganlah engkau berjalan dari satu alam ke alam lain, sehingga seperti binatang himar yang berputar, mengitari gilingan. Tempat ia berangkat adalah tempat yang ia tuju. Namun berangkatlah dari satu alam menuju pencipta alam, : dan kepada Tuhanmulah tempat tujuan akhir.

Renungkan sabda Rasulullah SAW, "Sesungguhnya diterima amal perbuatan itu bergantung kepada niatnya, dan sesungguhnya bagi setiap orang akan mendapat apa yang diniatnya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul~Nya, dia akan sampai kepada Allah dan Rasul~Nya. Sesiapa yang berhijrah menuju dunia yang akan diperolehinya atau menuju wanita yang hendak dinikahinya, dia akan mendapatkan apa yang diniatkannya." [Hadith Sahih Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasa'i, Ibn Majah dan Ahmad] Fahamilah sabda Nabi itu, bahawa hijrah itu tergantung apa yang dijadikan tujuan hijrahnya. Renungilah persoalan ini, jika kalian punya pemahaman yang benar.

Tidak ada kehidupan yang sia-sia, ibadah yang hampa, melainkan jika kalian berjalan dari alam ke alam lain, sama sekali tidak menuju kepada Pencipta alam semesta. Kenapa diibaratkan pada himar itu? Sebab yang dicari himar tidak lebih dari upahnya, iaitu bisa makan dan minum dari tuannya.

Apakah kita beribadah juga hanya mencari upah dari Allah? Bukan menuju kepada Allah dan menghadap kepadaNya? Fakta menunjukkan kebanyakan orang beribadah kepada Allah, bukan demi dan menuju Allah, tetapi demi kepentingan dirinya, demi kepentingan dunianya, bahkan demi akhirat. Padahal demi diri, demi dunia dan demi akhirat, semuanya itu termasuk alam, iaitu ciptaan Allah Ta’ala. Jika demikian kita akan mengalami kesulitan Liqa’ Allah (bertemu allah), kerana kita tidak menuju kepada~Nya. Mestinya kita menyedari bahawa kita ini berasal dari Allah, dan ke mana lagi kalau bukan menuju kepada Allah?

Hikmah ini sungguh menegur kita. Betapa banyak yang kita lakukan atas nama Allah, atas nama agama, atas nama perjuangan, tetapi tidak tertuju kepada Allah, namun demi kepentingan hawa nafsu kita sendiri. Seluruh ubudiyah kita harus kita hijrahkan kepada Allah dan Rasul~Nya. Kepada Allah~lah orientasi amal ibadah kita, dengan cara mengikuti jejak Rasulullah SAW, demi cinta~Nya dan cinta Kekasih~Nya itu. Segala hal selain Allah dan Rasul~Nya sungguh sia-sia dan hampa.

Selama ini barangkali ada ketakutan dan kekhawatiran jika orientasi kalian adalah Allah dan Rasul~Nya, kemudian kalian kehilangan pekerjaan dan rezeki Allah. Padahal sebaliknya, jika kita kerja, berbuat apa saja, demi Allah dan membela Rasulullah SAW, justeru akan terbuka pintu rezeki~Nya. Namun jangan seperti suatu gerakan yang membela Allah dan RasulNya, tetapi hujungnya adalah sikap-sikap radikal dan jauh dari orientasi jiwa yang menghadap Allah. Tetapi orientasinya menang, bangga, dan kesombongan yang penuh arogan. Justeru ia semakin jauh dari Allah, walau pun berpakaian, seakan-akan seperti Ahlullah, ahli ibadah. Manusia yang bisa berhijrah kepada Allah, adalah manusia yang pergi menuju Cahaya~Nya. Bukan kembali ke alam kegelapan dunia. Manusia inilah yang kelak bisa memandang dunia dengan kacamata Ilahiyah, bukan dengan kacamata dunia yang gelap.

Firman Allah SWT,

وَالَّذِينَ هَاجَرُوا فِي اللَّهِ مِن بَعْدِ مَا ظُلِمُوا لَنُبَوِّئَنَّهُمْ فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ۖ وَلَأَجْرُ الْآخِرَةِ أَكْبَرُ ۚ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ * الَّذِينَ صَبَرُوا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ

Orang-orang yang hijrah dalam keredhaan Allah, sesudah mereka teraniaya, sesungguhnya Kami tempatkan mereka di dunia di negeri yang baik. Sesungguhnya pahala akhirat lebih besar, jika mereka tahu; iaitu orang-orang yang sabar dan kepada Tuhan mereka bertawakkal. [QS An-Nahl : 41-42]

Ya Allah, perkenanlah hamba~Mu menaruh harapan pada luasnya rahmat~Mu agar kami berlayar di samudera keredhaan, terhindar dari syaitan-syaitan yang menyesatkan, menjauh dari pikuk daratan kemaksiatan...amin

Sekian, Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1433.

Friday, November 18, 2011

Cinta kerana Allah...


بسم الله الرحمن الرحيم

Asas persahabatan ialah setia dalam bercinta antara satu dengan yang lain dan tulus-ikhlas dalam berkasih-sayang, selagi ia dihalakan kepada Allah dan kerana Allah, maka pahalanya adalah amat besar.

Sabda Rasulullah s.a.w. dalam sebuah Hadis Qudsi:

"Allah telah berfirman: Pasti mendapat kecintaan~Ku bagi dua orang yang sayang-menyayangi kerana~Ku, dua orang yang duduk bersama-sama kerana~Ku, dua orang kunjung-mengunjungi kerana~Ku, dan dua orang yang tolong menolong kerana~Ku."

Sabdanya lagi dalam sebuah Hadis Qudsi yang lain:

"Berfirman Allah Ta'ala di Hari Kiamat: Mana dia orang-orang yang bercinta-cintaan kerana keagungan~Ku. Hari inilah Aku akan menaungi mereka di bawah naungan~Ku; iaitu hari yang tiada naungan selain naungan~Ku."

Sabdanya lagi: "Sesiapa yang ingin merasakan kemanisan iman, hendaklah ia mencintai seseorang, tiada mencintainya melainkan kerana Allah."

Dalam sebuah sabda Rasulullah s.a.w tersebut: Tujuh orang yang akan dinaungi Allah di bawah naungan~Nya, pada hari tiada naungan selain naungan~Nya. Baginda telah menyebut satu persatu orang-orang itu, sehingga katanya: Dan dua orang saling cinta-mencintai kerana Allah, keduanya berkumpul dan berpisah semata-mata kerana Allah.

Apabila seseorang mencintai orang lain, bersahabat dan membiasakan diri dengannya, kerana dilihatnya orang itu mencintai Allah, dan taat-setia kepada perintah Allah, maka hal sedemikian itulah yang dikatakan bercinta-cintaan kerana Allah Ta'ala.

Ataupun jika ia mencintai orang itu dan bersahabat dengannya, kerana orang itu membantunya di dalam selok-belok agama, dan mengarahkannya untuk bertaat-setia terhadap Tuhannya, maka hal sedemikian itu juga dikira bercinta-cintaan kerana Allah.

Ataupun jika ia mencintai orang itu dan bersahabat dengannya, kerana orang itu bisa membantunya dalam urusan keduniaan, yang mana dengannya ia bisa mengurus urusan akhiratnya, maka itu juga termasuk cinta-mencintai kerana Allah.

Ataupun jika ia mencintai orang itu dan bersahabat dengannya, kerana dirinya merasa senang berkawan dengan orang itu, dan dadanya merasa lapang bila duduk bersama-sama dengannya; atau pun barangkali orang itu dapat menolongnya di dalam urusan keduniaannya, dan di dalam hal-ehwal kehidupannya, yang mana menerusinya ia bisa hidup senang-lenang, maka cinta itu adalah cinta tabi'i, cinta biasa yang tidak ada kena-mengena sedikit pun dengan Allah. Persahabatan itu timbul kerana kecenderungan semata-mata, dan meskipun ia tetap harus hukumnya, tidak sunyi dari kebaikan mudah-mudahan.

Adapun jika ia bersahabat kepada seseorang, kerana orang itu bisa menemannya untuk pergi ke tempat maksiat, atau membantunya untuk menganiaya orang, ataupun memimpin dan menunjuknya ke jalan-jalan fasik dan mungkar, maka persahabatan serupa itu dan kecintaan semacam itu adalah persahabatan yang dicela dan kecintaan yang tidak berguna, kerana ia menarik kita ke jalan syaitan, yang tidak ada kena-mengena sedikit pun dengan Allah. Persahabatan dan kecintaan serupa inilah yang akan bertukar menjadi permusuhan di akhirat, malah kadangkala belum sempat tiba di akhirat, di dunia dahulu sudah menjadi porak poranda.

Firman Allah Ta'ala:

الْأَخِلَّاءُ يَوْمَئِذٍ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ إِلَّا الْمُتَّقِينَ

"Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh)." [QS az-Zukhruf : 67]

Sekian, dipetik daripada
Kitab Nasihat Agama dan Wasiat Iman,
dialihbahasakan dari
Kitab an-Nasha'ih ad-Diniyah wal-Washaaya al-Imaaniyah
karya Imam Habib Abdullah Haddad,
oleh Ustaz Syed Ahmad Semait.

"Kamu dikira jahil jika cemburu pada suami atau isterimu tetapi tak pernah cemburu pada imanmu sendiri. Kamu cemburu pada suami atau isterimu kerana hawa nafsu dan syahwat, sementara kamu tidak cemburu pada kalbumu kerana Tuhan. Kalau kamu dapat menjaga apa yang menjadi hakmu, mengapa kamu tidak menjaga apa yang menjadi hak Allah?"
[ Imam Ibnu 'Athaillah As-Sakandari r.a. ]


Thursday, November 03, 2011

Panggilan~Nya


بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Alhamdulillah puji dan syukur kita panjatkan kepada Allah SWT kerana dengan limpah, kurnia dan izin~Nya dapat kita bersua lagi dalam ruang yang tanpa batas ini. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi Muhammad s.a.w. serta keluarga Baginda, sahabat-sahabat Baginda dan orang-orang yang mengikuti Beliau sehingga ke hari kiamat.

Rukun Islam kelima adalah menunaikan ibadah haji di Tanah Haram sekali dalam seumur hidup bagi yang berkemampuan. Ibadah Haji umpama sebuah sketsa hari pengadilan akhirat. Kita melepaskan seluruh tanda dan identiti lalu menyelimuti tubuh kita dengan sehelai kain putih sehingga raja dan pengemis kelihatan sama saja. Dalam keadaan ini, seseorang itu menjadi seakan "mati", yakni hidup tanpa kepentingan diri. Kita dilarang memotong tanaman yang hidup, membunuh serangga yang menggiggit, menanggalkan keropeng di tubuh bahkan menyisir rambut.

Di antara perkara simbolik yang dilaksanakan sewaktu ibadah haji ini adalah tawaf, berkumpul bersama-sama di Arafah dan mengorbankan seekor biri-biri demi mengenang pengorbanan putera Nabi Ibrahim. Ibn Arabi mengatakan bahawa makna harfiah haji adalah niat yang sedar untuk melaksanakan ibadah haji pada waktunya yang tertentu. Ketika Allah menyapa Nabi Ibrahim,

...bersihkanlah rumah~Ku untuk mereka yang bertawaf, beriktikaf, rukuk atau bersujud. [ QS Al-Baqarah 2:125 ]

Dia menghubungkan rumah itu, di planet ini pada diri~Nya. Dan ketika Dia berkata,

Rumah (ibadah) pertama yang dijanjikan bagi umat manusia adalah rumah di Bakka.. [ QS Al-Imran 3:96 ]

Dia membangunnya sebagai rumah ibadah pertama dan menetapkannya sebagai sebuah simbol singgahsana~Nya di bumi. Dia menyeru umat manusia untuk mengelilinginya (tawaf) sebagaimana para malaikat mengelilinginya. Namun, tawaf di Kaabah yang dilakukan para muslimin dengan bacaan yang tertentu, yang merupakan suatu penegasan yang tulus terhadap apa yang ada dalam hati mereka, yakni yang telah membersihkan hatinya daripada segala godaan-godaan hidup di dunia ini, adalah suatu ibadah yang lebih tinggi nilainya daripada kesetiaan para malaikat yang juga bertawaf.

Sebagaimana solat dimulai dengan pernyataan "Allah adalah lebih besar," demikianlah ibadah Haji dimulai dengan penyataan kehadiran: "Ya Allah aku datang! Aku di sini dalam ketaatan, sedia menerima perintah~Mu! Tidak ada apa pun selain Engkau, seluruh puji adalah milik~Mu, semua milik~Mu, tiada sekutu bagi~Mu." Ketika Nabi Ibrahim diperintahkan untuk membangunkan Kaabah, Allah menyuruhnya mengucapkan kata-kata ini - dan di alam ruh, Allah memperdengarkan kata-kata ini kepada seluruh ruh orang beriman. Dalam zikirnya, jemaah berhaji mengucapkan kalimat-kalimat ini.

Jemaah haji lelaki mengenakan dua lapis kain putih - satu dililitkan di sekitar pinggang, hingga mencapai bahagian bawah lutut, dan satu lapis diselendangkan di bahu untuk menututp tubuh. Jemaah haji wanita pula, juga mengenakan pakaian serba putih, harus tidak menutup wajah. Praktik ini melenyapkan seluruh perbezaan kedudukan dan status sosial serta merupakan sebuah simbol kain kafan.

Pakaian putih ibadah haji tidak dijahit, seolah-olah tidak dicampuri oleh kedua tangan manusia. Ia milik Allah, yang dengannya keaiban manusia dapat ditutup dan yang melindungi setiap sesuatu yang dari larangan Allah dan dari godaan-godaan jasmaniah.

Pada akhir ibadah haji, di Mina setiap hari selama tiga hari, jemaah haji melemparkan tujuh butir batu pada syaitan. Manusia mengenal Tuhannya melalui tiga aspek~Nya: tindakan-tindakan~Nya, sifat-sifat~Nya dan wujud~Nya. Tiga hari mewakili tiga keadaan ini. Tujuh batu mewakili tujuh dosa yang lebih besar: ujub, sombong, munafik, dengki, amarah, keburukan, cinta harta dan cinta tahta. Jadi, pada hari pertama, kita melepaskan dosa-dosa ini dari perbuatan-perbuatan kita; pada hari kedua, dari watak kita; pada hari ketiga, dengan mengagungkan rahsia Zat Allah, kita melepaskannya dari wujud diri kita.

Akhirnya bersih, di tempat yang disebut Mina, yang bererti "Harapan" dan "Tujuan", kita menyelesaikan ibadah haji dan kembali ke "dunia". Dan kemudian kita cuba melakukan apa yang benar, dan mewujudkan apa yang menjadi tujuan kita dicipta.

Wallahu'alam...

Selamat Menyambut Hari Raya Eidul Adha, Maaf atas segala silap dan salah saya..
Semoga Allah SWT mengurniakan umat Islam di serata dunia kepada kefahaman dan penghayatan Islam yang hakiki, membentuk kekuatan Iman, aqidah, kesatuan dan ukhuwwah. Dan Moga Allah SWT mengurniakan kepada mereka yang sedang mengerjakan haji mendapat Haji yang mabrur.