Friday, June 29, 2012

Mulianya berselawat



بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam.
Selawat dan salam buat junjungan Nabi Muhammad s.a.w.

Teman, Nabi Muhammad s.a.w. pernah berpesan kepada kita semua,

"Perbanyakkanlah membaca selawat padaku pada malam dan hari Jumaat,
maka siapa yang membaca selawat untukku satu kali,
Allah akan berselawat kepadanya 10 kali
(Allah akan memberinya rahmat 10 kali)."
(Riwayat Al-Baihaqi)

Guru saya pernah bercerita, ada seorang pemuda dan ayahnya berhasrat untuk menunaikan ibadah haji.

Lalu mereka berdua bersiap-siap dan memulakan perjalanan.

Diceritakan dalam perjalanan ayahnya meninggal dunia.

Sedih di hatinya melihat wajah ayahnya bertukar menjadi hitam lantaran banyak dosa.

Maka, sebelum disempurnakan pengkebumian, pemuda itu terlelap kerana keletihan.

Lalu ia bermimpi, datang satu cahaya dari jauh menghampirinya.

Kemudian bila berdekatan ia adalah seorang manusia sangat indah rupa dan pakaian.

Dia menghampiri jenayah ayahnya dan membuka kain yang menyelimutinya.

Lalu, diusapnya wajah ayah pemuda itu dengan tangannya.

Maka menjadi bercahaya dan putih wajah ayahnya.

Selesai, dia pun ingin berlalu tapi pemuda itu menahannya dan bertanya.

Siapakah gerangan kamu dan apakah kelebihan yang ada pada ayahku sehingga engkau sanggup datang memberi pertolongan kepadanya.

Aku adalah Rasulullah dan ayah kamu semasa hidupnya sentiasa berselawat kepadaku maka aku datang memberi syafaat kepadanya.

Ketika Rasulullah s.a.w. pergi berlalu, pemuda itu terjaga dari tidurnya.

Kemudian pemuda itu teringat akan mimpinya.

Lalu dia segera membuka kain yang menyaluti muka ayahnya dan didapati wajah ayah sudah putih berseri-seri.

Selesai ayahnya dikebumikan, maka berangkatlah pemuda itu ke Makkah.

Sesampai di tanah Haram, pemuda itu terus melakukan ibadah tawaf khudum.

Teringat akan ayahandanya yang kehidupannya banyak berselawat kepada nabi.

Lalu, 7 pusingan tawaf itu dipenuhi hanya dengan bacaan selawat sahaja.

Hairan melihat keadaan itu, seorang wali yang ketika itu ada di sebelah pemuda itu bertanya,

"Wahai pemuda, kenapa kamu sangat melazimi selawat dalam bertawaf."

Lalu pemuda itu bercerita hal ayahnya.

Wali itu membenarkan ketinggian dan kelebihan berselawat kepada Rasulullah s.a.w.

Lihatlah teman, betapa Allah SWT memuliakan Rasulullah s.a.w. sehingga apabila kita berselawat kepada Baginda, Allah pancarkan rahmat kasih sayang~Nya kepada kita serta syafaat di akhirat kelak.

Oleh itu perbanyakkanlah selawat ke atas Nabi s.a.w.

Mudah-mudahan ada manfaatnya..

Al-Fatihah buat yang sudah pergi meninggalkan kita.
Moga Allah ampunkan dosa-dosa mereka,
serta ditempatkan roh mereka dalam kalangan
orang-orang yang berbahagia di sisi~Nya...aamiin

Friday, June 22, 2012

Namamu disebut-sebut...



بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah segala puji bagi Allah S.W.T. Tuhan yang menciptakan seluruh alam ini. Selawat dan salam buat Baginda yang kita cintai Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya serta orang-orang yang mengikutinya sehinggalah alam ini dimusnahkan oleh Allah S.W.T.

Teman, ketika Rasulullah s.a.w. dijemput ke Sidratul Muntaha sebagai tetamu agung kepada Allah S.W.T. betapa gembira dan bahagia rasa di hatinya kerana dapat bertemu dengan kekasihnya dan takkan ada lagi makhluk yang dapat singgah di tempat tertinggi itu. Dan, di situlah Rasulullah s.a.w. menerima anugerah paling agung dan istimewa iaitu perintah solat.

Terkesan di hati bahawa kita umat yang sangat beruntung lantaran anugerah yang Rasulullah s.a.w. terima itu. Nabi pulang ke bumi dengan penuh rasa syukur dan gembira kerana itulah satu-satunya ibadat yang bakal menyelamat umatnya dari azab neraka meskipun dirasainya akan bertembung dengan dugaan dan tentangan yang amat besar dari masyarakat jahiliah masa itu.

Bila difikirkan memang takkan ada lagi manusia yang akan mendapat anugerah sedemikian dan takkan berlakunya lagi mikraj kepada manusia. Solat tiang agama. Memandu manusia ke jalan redha Allah S.W.T. dan merupakan ibadah yang pertama akan ditanya dalam sesi soal jawab di Padang Mashyar kelak. Namun, di sebalik anugerah itu semuanya terserah kepada kita semua bagaimana kita memeliharanya dengan sebaik-baiknya.

Ketika Nabi diangkat ke langit untuk menerima solat ianya berlaku di sebelah malam yang sunyi sewaktu manusia sedang tidur. Maka dengan sendirinya solat yang dilakukan di waktu sebegitu pasti mendapat tempat yang tertinggi di sisi Allah S.W.T. Ketika manusia sedang nyenyak tidur, ada manusia yang sanggup bangkit meninggalkan tempat tidur mereka demi menjaga dan memelihara anugerah yang Nabi tinggalkan selain solat-solat lain yang difardhukan.

Allah S.W.T. Maha Mengetahui apa yang hambanya kerjakan, namun Dia bertanya juga kepada Jibril a.s. apakah hambanya sedang buat ketika malam begini. Malaikat Jibril pun menjawab bahawa sebahagiannya sedang tidur, sebahagiannya sedang berbuat maksiat dan amat sedikit yang sedang solat dan bermunajat kepada~Mu.

Lalu Allah S.W.T. berkata kepada Jibril a.s. bahawa Dia mencintai orang yang bersolat itu dan khabarkan kecintaan~Nya itu kepada seluruh penduduk langit dan menyenaraikan namanya dalam senarai orang-orang yang mendapat tempat tertinggi di sisi~Nya. Maka seluruh penduduk langit sentiasa menyebut-nyebut nama orang yang sentiasa menjaga solat malam.

Duhai teman, tidakkah kalian mahu nama kalian sentiasa menjadi sebutan penduduk langit dan mereka sentiasa mendoakan kebaikan untuk kalian.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, "Allah S.W.T. sayang kepada lelaki yang bangun malam kemudian mengerjakan solat dan akan membangunkan isterinya dan kalau isterinya enggan, dipercikkan air di wajahnya. Dan Allah sayangkan perempuan yang bangun malam kemudian mengerjakan solat dan membangunkan suaminya dan jika suaminya enggan, dipercikkan air ke wajahnya.” [Hadis Riwayat Abu Daud]

Allahu Rabbi...jika dengan menghidupkan malam dengan solat sunat sahaja sudah sebegitu tinggi nilainya di sisi~Nya apatah lagi jika kita sentiasa menjaga solat fardhu 5 kali sehari. Tidak hairanlah jika solat itu diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w., Allah sendiri yang menyampaikannya kepada Baginda Nabi di tempat yang tertinggi kerana nilainya sangat tinggi.

Allah S.W.T. berfirman, "Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah ’sembahyang tahajud’ padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat Yang Terpuji. [Surah al-Isra' : 79]

Sesungguhnya solat malam mempunyai pelbagai kelebihan. Nabi SAW bersabda, “Pada tiap malam Tuhan kami Tabaraka wa Ta’ala turun (ke langit dunia) ketika tinggal sepertiga malam yang akhir. Ia berfirman : “Barang siapa yang menyeru~Ku, akan Aku perkenankan seruannya. Barang siapa yang meminta kepada~Ku, Aku perkenankan permintaanya. Dan barang siapa meminta ampunan kepada~Ku, Aku ampuni dia.” [Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

Ayuh temanku yang dikasihi, bangunlah ketika manusia sedang tidur kerana Allah S.W.T. menunggu akan kehadiran kalian. Pintalah keampunan dari~Nya nescaya kalian beroleh kemenangan. Serulah kepada~Nya pengharapan, nescaya kalian beroleh pertolongan dan bimbingan.

Sekian, moga ada manfaatnya.


Jangan himpunkan dosa kalian setiap hari tanpa ketahuan.
Andai ajal menjemput tanpa taubat dan gambar tidak menutup
aurat tetap dalam pandangan bukan mahram hingga akhir zaman.
Ketahuilah ia mengundang bencana yang sangat besar di akhirat.


Friday, June 15, 2012

Azab bagi wanita...



بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam. Selawat dan salam buat Nabi junjungan Muhammad s.a.w. ahli keluarga dan sahabatnya serta orang-orang yang mengikutinya sehingga hari kiamat.

Sahabatku yang mulia, bulan Rejab kian hampir ke penghujungnya. Maka semakin terasa dekatnya diri kita untuk bertemu dengan bulan mulia lagi penuh rahmat iaitu Ramadhan al-Mubarak. Saat di penghujung bulan Rejab ini berlaku suatu peristiwa yang besar dan penuh bermakna bagi seluruh umat Islam khususnya. Peristiwa yang dimaksudkan ini ialah peristiwa Israk Mikraj yang berlaku pada malam 27 Rejab tahun ke-11 daripada kerasulan Nabi Muhammad S.A.W menurut jumhur ulama.

Matlamat penting daripada peristiwa Israk Mikraj ini adalah pengajaran yang besar apabila Rasulullah s.a.w. dijemput oleh Allah S.W.T. menjadi tetamu~Nya pada malam yang sangat bersejarah itu. Para ulama telah mencapai kata sepakat bahawa sesiapa yang meragui atau langsung tidak mempercayai peristiwa Israk Mikraj ini maka hukumnya adalah kafir.

Antara yang terpenting perlu kita ambil ikhtibar dari peristiwa itu ialah renungan khususnya untuk para wanita dan diriku sendiri sekali pun peringatan ini sentiasa kita dengar setiap kali tibanya bulan Rejab.

Sayidina Ali r.a. menceritakan suatu ketika melihat Rasulullah s.a.w. menangis manakala ia datang bersama Fatimah. Lalu keduanya bertanya mengapa Rasulullah s.a.w. menangis. Beliau menjawab,

"Pada malam aku di-isra'kan, aku melihat perempuan-perempuan yang sedang disiksa dengan berbagai siksaan. Itulah sebabnya mengapa aku menangis. Kerana, menyaksikan mereka yang sangat berat dan mengerikan siksanya.

Puteri Rasulullah s.a.w. kemudian menanyakan apa yang dilihat ayahandanya.

"Aku lihat ada perempuan digantung rambutnya, otaknya mendidih.

Aku lihat perempuan digantung lidahnya, tangannya diikat ke belakang dan timah cair dituangkan ke dalam tengkoraknya.

Aku lihat perempuan tergantung kedua kakinya dengan terikat tangannya sampai ke ubun-ubunnya, diulurkan ular dan kala jengking.

Dan aku lihat perempuan yang memakan badannya sendiri, di bawahnya dinyalakan api neraka. Serta aku lihat perempuan yang bermuka hitam, memakan tali perutnya sendiri.

Aku lihat perempuan yang telinganya pekak dan matanya buta, dimasukkan ke dalam peti yang dibuat dari api neraka, otaknya keluar dari lubang hidung, badannya berbau busuk kerana penyakit sopak dan kusta.

Aku lihat perempuan yang badannya seperti himar, beribu-ribu kesengsaraan dihadapinya.

Aku lihat perempuan yang rupanya seperti anjing, sedangkan api masuk melalui mulut dan keluar dari duburnya sementara malaikat memukulnya dengan pentung (kayu pemukul) dari api neraka," kata Nabi s.a.w.

Fatimah Az-Zahra kemudian menanyakan mengapa mereka disiksa seperti itu?

Rasulullah menjawab,
  • "Wahai puteriku, adapun mereka yang tergantung rambutnya hingga otaknya mendidih adalah wanita yang tidak menutup rambutnya sehingga terlihat oleh laki-laki yang bukan mahramnya.
  • Perempuan yang digantung susunya adalah isteri yang 'mengotori' tempat tidurnya.
  • Perempuan yang tergantung kedua kakinya ialah perempuan yang tidak taat kepada suaminya, ia keluar rumah tanpa izin suaminya, dan perempuan yang tidak mahu mandi suci dari haid dan nifas.
  • Perempuan yang memakan badannya sendiri ialah kerana ia berhias untuk lelaki yang bukan mahramnya dan suka mengumpat orang lain.
  • Perempuan yang memotong badannya sendiri dengan gunting api neraka kerana ia memperkenalkan dirinya kepada orang yang kepada orang lain bersolek dan berhias supaya kecantikannya dilihat laki-laki yang bukan mahramnya.
  • Perempuan yang diikat kedua kaki dan tangannya ke atas ubun-ubunnya dihulurkan ular dan kalajengking padanya kerana ia bisa sholat tapi tidak mengamalkannya dan tidak mahu mandi junub.
  • Perempuan yang kepalanya seperti babi dan badannya seperti himar ialah tukang umpat dan pendusta. Perempuan yang menyerupai anjing ialah perempuan yang suka memfitnah dan membenci suami. "

Mendengar itu, Sayidina Ali dan Fatimah Az-Zahra pun turut menangis.

Sahabatku sekalian, sesungguhnya Rasulullah s.a.w. yang kita kasihi telah diperlihatkan keadaan azab seksa yang ditimpakan kepada umatnya yang melanggar larangan Allah S.W.T. ketika beliau di isra' dan mikraj. Kemudian beliau sampaikan kepada puteri-puteri dan sahabat-sahabatnya. Lalu ia berterusan sehingga sampai kepada kita hari ini.

Kita sedar akan azab itu amat pedih maka jauhilah segala larangan Allah S.W.T. dan bimbinglah orang-orang yang dibawah pimpinanmu dengan baik dan ingatkan mereka akan azab yang akan mereka lalui seperti mana yang telah Rasulullah s.a.w. nyatakan. Moga kita semua terselamat dari azab tersebut baik di dunia mahupun di akhirat kelak.

Salam Ukhuwah, selamat menyambut Isra' dan Mikraj...



Friday, June 08, 2012

Pemimpin yang mulia



بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum, sahabatku yang dikashi. Ada seorang Tabiin yang terhormat. Beliau digelarkan dengan gelaran Khulafa' Ar-Rasyidin yang kelima kerana beliau memerintah sama sebagaimana pemerintahan Khulafa' Ar-Rasyidin.

Beliau memegang teraju pemerintahan selepas Sulaiman bin Abdul Malik. Muhammad bin Ali bin Al-Husin rahimahullah berkata tentang beliau: "Kamu telah sedia maklum bahawa setiap kaum mempunyai seorang tokoh yang menonjol dan tokoh yang menonjol dari kalangan Bani Umayyah ialah Umar bin Abdul Aziz, beliau akan dibangkitkan di hari kiamat kelak seolah-olah beliau satu umat yang berasingan."

Beliau dilantik menjadi Khalifah selepas kematian Sulaiman bin Abdul Malik tetapi beliau tidak suka kepada pelantikan tersebut. Lalu beliau memerintahkan supaya memanggil orang ramai untuk mendirikan sembahyang. Selepas itu orang ramai mula berpusu-pusu pergi ke masjid. Apabila mereka semua telah berkumpul, beliau bangun menyampaikan ucapan. Lantas beliau mengucapkan puji-pujian kepada Allah dan berselawat kepada Nabi s.a.w kemudian beliau berkata:
"Wahai sekalian umat manusia! Aku telah diuji untuk memegang tugas ini tanpa meminta pandangan daripada aku terlebih dahulu dan bukan juga permintaan daripada aku serta tidak dibincangkan bersama dengan umat Islam. Sekarang aku membatalkan baiah yang kamu berikan kepada aku dan pilihlah seorang Khalifah yang kamu redha."
Tiba-tiba orang ramai serentak berkata: Kami telah memilih kamu wahai Amirul Mukminin dan kami juga redha kepada kamu. Oleh yang demikian perintahlah kami dengan kebaikan dan keberkatan. Lalu beliau berpesan kepada orang ramai supaya bertakwa, zuhud kepada kekayaan dunia dan mendorong mereka supaya cintakan akhirat kemudian beliau berkata pula kepada mereka:
"Wahai sekalian umat manusia! Sesiapa yang taat kepada Allah, dia wajib ditaati dan sesiapa yang tidak taat kepada Allah, dia tidak wajib ditaati oleh sesiapapun. Wahai sekalian umat manusia! Taatlah kamu kepada aku selagi aku taat kepada Allah di dalam memimpin kamu dan sekiranya aku tidak taat kepada Allah, janganlah sesiapa mentaati aku".
Setelah itu beliau turun dari mimbar.

Selepas sahaja upacara perlantikannya, beliau merasa sangat letih. Oleh itu dia berhasrat untuk tidur sebentar sementara menunggu waktu solat Zuhur. Sebelum sempat beliau membaringkan badan, tiba-tiba anaknya Abdul Malik yang berumur 17 tahun masuk berjumpa dengan beliau dan berkata, "Ada orang mahu berjumpa, ayah."

Lalu Umar menjawab: "Anakku! Aku ingin menghilangkan kepenatan seketika kerana aku terasa terlalu letih. Selepas solat Zohor nanti akan aku terima sesiapa saja yang ingin menemuiku."

Abdul Malik berkata lagi: "Siapakah yang dapat menjamin bahawa ayahanda akan terus hidup sehingga ke waktu Zohor, wahai Amirul Mukminin?!" Mendengar kata-kata tersebut Umar terus bangkit lalu beliau cium dan peluk anaknya kemudian beliau berkata: "Segala puji bagi Allah yang telah melahirkan seorang anak dari tulang salbi aku yang boleh membantu aku di dalam perkara agama aku." Setelah itu beliau pergi ke balai penghadapan untuk menjalankan tugasnya.

Begitulah sahabat, ceritanya menggambarkan kepada kita keadilan diri Khalifah Umar Abdul Aziz terhadap kamu muslimin dari segi perwatakan dan cara hidup kepimpinannya. Ingatlah kepimpinan itu bukan suatu perkara yang mudah. Ini adalah urusan kita semua di dunia ini. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, “Setiap diri kita adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan ditanya tentang segala sesuatu yang berhubungan dengan tanggung jawab dalam kepemimpinannya. Segala sesuatu yang ada dalam diri kita itu amanat. Seorang yang berilmu diberi amanat untuk mengamalkan ilmunya sesuai perintah Allah dan Rasul-Nya.” (An-Nisaa’: 59)

Oleh itu berhati-hatilah dalam kepimpinan kalian semua baik ianya merupakan pemimpin kepada rakyat jelata, pekerja, rumahtangga dan diri sendiri kerana setiap kita akan diminta dipertanggungjawabkan bukan hanya di dunia, tapi juga di akhirat kelak.

Semoga kita dianugerahi pemimpin yang adil, yang membawa kebaikan dunia dan akhirat.

Wallahu a'lam.


Friday, June 01, 2012

Alam itu lalai


بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum sahabatku yang dihormati...:)

Imam Ibn ‘Atho’illah As-Sakandari berkata dalam Hikamnya:

“Bilamana Allah s.w.t. membuat makhluk liar terhadapmu (menyusahkan atau menyakitimu), maka ketahuilah Dia ingin membuka buatmu pintu berjinak-jinak hanya dengan~Nya”.

Siapa yang mendakwa hidup ini sentiasa menggembirakannya setiap detik bererti telah dusta dalam dakwaannya. Tiada siapa yang tidak pernah merasa susah, sedih, kecewa dan derita khususnya dalam menghadapi makhluk di sekelilingnya.

Boleh jadi orang yang paling diharapkan di sisi kita itulah orang yang telah mengkhianati kita selama ini. Boleh jadi orang yang paling dikasihi itulah sebenarnya paling membenci. Boleh jadi orang yang paling dekat jasadnya dengan kita itulah orang yang paling jauh hatinya dari kita. Teman yang selama ini paling dipercaya, mungkin esok menjadi musuh yang paling merbahaya.

Rumah yang baru dibeli dengan jaminan keselamatan dan kekukuhan untuk tempoh yang lama boleh jadi retak atau roboh sejurus kita mendudukinya. Kereta yang baru dibeli dengan harga yang tinggi itu mungkin juga kereta yang dinaiki menuju musibah. Kawasan yang dijamin selamat dari gempa bumi namun mungkin dibinasakan oleh banjir yang besar. Beginilah makhluk.

Makhluk tidak menentu. Apa yang dari mereka tiada yang pasti. Apa yang dicari dari mereka akan pergi. Apa yang diingini dari mereka tidak pernah kekal abadi.

Ketika menyedari kenyataan “tidak menentu”nya makhluk. Kita hayati hakikat ini setiap kali berinteraksi dengan sekeliling, samada dari kalangan manusia atau alam. Sama sahaja. Semuanya digerakkan oleh Tuhan yang menentukan segalanya dengan kebijaksanaan. Namun, kita yang lalai. Kita rela dibelenggu “rutin” harian daripada melihat interaksi Allah s.w.t. di sebalik setiap pergerakan makhluk.

Oleh sebab itulah, Imam Ibn ‘Atho’illah As-Sakandari menyebutkan bahawa, bilamana Allah s.w.t. membuatkan alam dan makhluk ini serba merungsingkanmu, ianya sebenarnya adalah suatu panggilan agar kamu mencari ketenangan hanya pada kebersamaan dengan~Nya. Bilamana Allah s.w.t. memberi musibah, Dia ingin kamu kembali kepada~Nya dengan penuh pasrah dan berserah. Bilamana Allah s.w.t. memberimu ujian, Dia ingin kamu mencari~Nya untuk meminta bantuan. Bilamana Dia memberimu kesempitan, Dia ingin kamu kembali kepada~Nya untuk mencari kelapangan.

Hanya kepada Dia, kamu perlu kembali. Hanya kerana Dia, kamu perlu kembali. Hanya kerana Dia, kamu perlu kembali kepada~Nya. Bukan kerana selain~Nya. Ini kerana, seluruh selain~Nya adalah khayalan yang sentiasa menghimpit. Makin kamu renggangkan antara keduanya untuk mencari kelapangan dalam makhluk, makin kuat kamu akan dihimpit.

Kalau Allah s.w.t. menyayangi seseorang, Dia akan memahamkan hakikat “seruan kepulangan” ini dalam dirinya di sebalik setiap musibah melanda. Alam adalah interaksi Allah s.w.t. dengan para hamba~Nya. Namun, kebanyakan mereka lalai dari memahaminya kerana tidak pernah menghadirkan Allah s.w.t. dalam hati mereka.

Kamu perlu sedar hakikat ini. Allah s.w.t. tidak pernah menyusahkanmu, kerana bukan itu tujuan kamu diciptakan. Allah s.w.t. sengaja menyempitkan makhluk agar kita mencari kelapangan pada kebersamaan dengan~Nya. Hanya dengan~Nya. Fahamilah isyarat ini duhai teman, lalu anda akan dapat melihat kebersamaan Tuhan.

Ramai Kembali Kepada~Nya Dengan Dusta

Memang benar. Setelah kesempitan kian menghimpit, setelah kesusahan makin menyusahkan dan setelah hidup semakin redup, ramai yang mengangkat tangan dan berdoa. Ramai yang memohon kepada Allah s.w.t..

Tetapi, kerana apa mereka kembali kepada Allah s.w.t.? Ramai yang kembali dalam keadaan dusta. Mereka kembali mencari Allah s.w.t. agar Allah memberi semua keinginan mereka terhadap makhluk-makhluk.

Tatkala mereka miskin, maka Allah s.w.t. kayakan mereka. Tatkala kaya, mereka lupakan Allah s.w.t.. Tatkala mereka ditimpa kemiskinan, maka mereka mengangkat tangan dan berdoa kepada Allah s.w.t., untuk mendapat kekayaan semula. Setelah mendapat kekayaan semula, Allah s.w.t. ditinggalkan semula. Biadapnya manusia. Allah s.w.t. memanggilnya untuk kembali kepada~Nya semata-mata kerana~Nya, namun dia kembali kepada Allah s.w.t. kerana inginkan makhluk lalu setelah dapat makhluk yang diingini, Allah s.w.t. terus dilupai. Beginikan sifat hamba, wahai penderhaka?

Allah s.w.t. terus memberi kasih sayang~Nya kepada mereka yang terus lupa. Demi cinta~Nya pada para hamba~Nya, Allah s.w.t. terus memberi peluang kepada hamba-hamba~Nya. Namun, sampai bila wahai manusia? Allah s.w.t. sentiasa memanggilmu agar kembali mencintai~Nya berbanding selain~Nya, dan kembali menuju~Nya berbanding tamakkan dunia yang sementara. Namun, hidup ini seolah-olah tidak mengajar sebarang erti, melainkan segumpal khayalan yang menipu diri.

Wahai hamba, jujurlah dengan~Nya. Segala yang ditentukan kepada kita adalah kerana kita, namun segala yang kita lakukan dalam dunia adalah kerana kita. Di manakah cinta? Atau sedang memperhambakan Tuhan? Sebaik-baik kebaikan dalam jalan cinta adalah menghargai cinta yang telah diberikan. Jujurlah dengan Tuhan, kelak akan temui jawapan bagi segala persoalan.

Janganlah terus lalai mencari makhluk yang sengaja dibuat sering menyusahkan agar kita mencari Allah s.w.t. yang Maha Menyenangkan. Kilauan cinta dunia dan makhluk adalah dari tipu daya nafsu dan hasutan syaitan. Andai anda melihat dengan kaca mata iman, melalui hati yang jernih, anda akan dapati hanya Allah s.w.t. sebaik-baik Pencinta yang mendamaikan.

Renungkanlah…

Dengan kelalaian inikah kita ingin pulang bertemu Ilahi setelah mati? Dengan kebiadaban inikah kita ingin berdiri di hadapanNya sewaktu hari Perhitungan? Alangkah tertipunya andai masih terus tertawa, sedang amalan masih belum terkumpul untuk dibawa. Alangkah malangnya andai masih terus terlena, sedang usia semakin sirna.

Kembalilah kepada~Nya dengan ketaatan, sebelum kembali kepada~Nya tanpa amalan. Kembalilah kepada~Nya dengan kejujuran, sebelum kembali kepada~Nya dengan penuh sesalan.

Wallahu a'lam

Sumber : Al-Faqir Al-Haqir ila Lutf Rabbihi Al-Jalil Ustaz Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Azhari