Friday, August 31, 2012

Intipati Ramadhan


بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah kita dah selamat menjalani ibadah puasa di sepanjang Ramadhan yang baru berlalu. Sama-samalah kita mengharapkan mudah-mudahan Allah menerima amalan puasa kita. Di samping itu juga diharapkan agar latihan ibadat yang kita lakukan sepanjang Ramadhan seperti puasa, solat sunat, sedekah, bacaan Quran dapat diteruskan dalam bulan-bulan lain sehinggalah kita bertemu Ramadhan akan datang.

Setiap amalan ada kesan dan hasilnya. Ibadat puasa Ramadhan ini mampu menjadikan kita orang yang bertakwa. Inilah intipati dari Ramadhan. Kelazatan puasa memuncak ketika berakhirnya Ramadhan. Kita inginkan keberkahan Ramadhan ini berpanjangan hingga setahun, tapi apakan daya ia datang hanya sebulan saja.

Sungguhpun begitu, kita masih berpeluang meneruskan puasa selepas 1 Syawal. Adalah menjadi amalan sunat mengerjakan puasa 6 hari dalam bulan Syawal. Ia boleh dilakukan mulai 2 Syawal hingga 7 Syawal secara berterusan atau mana-mana 6 hari dalam bulan tersebut. Nabi Muhammad saw. bersabda "Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringinya dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka seolah-olah dia telah berpuasa sepanjang masa.“ [Hadis riwayat Imam Muslim]

Sebagaimana yang diketahui semua amalan sunat adalah sebagai penampal mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Sayugialah kita mengambil peluang ini untuk berpuasa 6 di bulan Syawal. Selain mendapat pahala puasa setahun, kita juga dapat memperbaiki kekurangan dalam ibadat puasa bulan Ramadhan.

Bagi kaum perempuan yang tidak dapat berpuasa penuh dalam bulan Ramadhan kerana kedatangan haid, puasa Sunat 6 hari dalam Syawal ini memberi peluang terbaik untuk mengqadha' di samping mendapatkan pahala berpuasa sunat. Kebiasaan mentaakhirkan qadha sehingga hampir Ramadhan akan datang adalah satu amalan yang tidak sepatutnya dilakukan. Amalan wajib jika ditinggalkan mestilah disegerakan sebagai menunjukkan sikap pengabdian diri kita terhadap Allah. Apakah makna dan tujuan kita melambatkan qadha' puasa wajib? Tidak lain menunjukkan seolah-olah kita keberatan untuk menunaikan kewajiban yang telah kita tinggalkan. Bukankah Allah tahu apa yang tersirat di hati kita?

Natijah dari amalan puasa ialah taqwa dan kasih akan Allah. Tanda kasih akan Allah ialah berkhidmat kepada~Nya. Siapa mencintai Allah dia akan berbahagia di alam akhirat, sebaliknya siapa mencintai dunia dan isinya, ketahuilah dunia akan meninggalkan kita. Kelazatan dunia walaupun sebaik mana pun ianya tetapi ia tidak kekal. Ia berakhir sebaik saja kita menemui ajal. Sebaliknya kelazatan akhirat kekal abadi tanpa batasan waktu.

Sebagai akhirnya, sama-samalah kita berdoa supaya kita dapat bertemu Ramadhan tahun depan dan seterusnya.

Ya Allah, berilah kemampuan kepada kami untuk menjalani kehidupan seperti mana kehidupan orang baik. Lindungilah kami dengan rahmat~Mu hingga ke alam akhirat, demi ketuhanan~Mu wahai Tuhan sekalian alam. Ya Allah, jadikan usaha kami sebagai usaha yang sentiasa disyukuri, dosa-dosa kami sebagai dosa yang diampuni, kebaikan kami sebagai kebaikan yang diterima dan keaiban kami sebagai keaiban yang ditutupi, wahai Tuhan Maha Mendengar daripada semua pendengar. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad dan keluarga baginda yang suci.

Aamiin, Ya Rabbal 'Aalamiin.

Friday, August 17, 2012

Pergi dan kembali


بسم الله الرحمن الرحيم

Bulan al-Quran hampir meninggalkan kita. Pergi dan akan kembali pada tahun hadapan.

Tiada siapa yang yakin bisa bertemu kembali dengan bulan yang begitu mudah untuk beramal dan meraih pahala berganda.

Kebanyakkan dari para salaf sangat khuatir takut amalan mereka tidak diterima di sepanjang bulan Ramadhan sehinggakan mereka berdoa selama 6 bulan agar diterima segala amal dan berdoa lagi selama 6 bulan agar dipertemukan dengan Ramadhan.

Dari Fudholah bin ‘Ubaid, beliau mengatakan, "Seandainya aku mengetahui bahawa Allah menerima dariku satu amalan kebaikan sebesar biji benih saja, maka itu lebih kusukai daripada dunia dan seisinya, kerana Allah Ta’ala berfirman,

إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ

"Sesungguhnya Allah hanya menerima (amalan) dari orang-orang yang bertakwa." [QS Al Maidah: 27]

Ibnu Diinar mengatakan, "Tidak diterimanya amalan lebih ku khawatirkan daripada banyak beramal."

‘Umar bin ‘Abdul Aziz berkata tatkala beliau berkhutbah pada hari raya Idul Fitri,

“Wahai sekalian manusia, kalian telah berpuasa selama 30 hari. Kalian pun telah melaksanakan sholat tarawih setiap malamnya. Kalian pun keluar dan memohon pada Allah agar amalan kalian diterima. Namun sebahagian salaf malah bersedih ketika hari raya Idul Fitri.

Dikatakan kepada mereka, “Sesungguhnya hari ini adalah hari penuh kebahagiaan.” Mereka malah mengatakan, “Kalian benar."

Akan tetapi aku adalah seorang hamba. Aku telah diperintahkan oleh Rabbku untuk beramal, namun aku tidak mengetahui apakah amalan tersebut diterima ataukah tidak.” Itulah kekhawatiran para salaf.

Di penghujung bulan Ramadhan ini, hanya ampunan dan pembebasan dari siksa neraka yang kita harapkan dari Allah yang Maha Pengampun. Marilah kita sama-sama memohon semoga Allah menerima amalan kita semua di sepanjang bulan Ramadhan dan menjadikan kita insan yang istiqamah dalam menjalankan ibadah selepas bulan Ramadhan.

Teman tercinta, selamat menyambut Hari Raya Idul Fitri, maaf atas segala silap dan salah. Saya doakan semoga kalian semua selamat pergi dan kembali dalam perjalanan ke kampong bagi merayakan Idul Fitri yang mulia. Moga Allah permudahkan perjalanan kalian semua. Saya doakan juga semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kalian...aamin

Taqobalallahu minna wa minkum..

Sekian, jumpa lagi selepas hari Lebaran, dengan izin~Nya.

Friday, August 10, 2012

Malam seribu bulan...



بسم الله الرحمن الرحيم


Dalam kitab Ayyuhal Walad karangan Al-Imam Hujjatul Islam, Abu Hamid Muhammad bin Muhammad Al Ghazali (Imam Ghazali r.a.) pernah berpesan kepada anak-anaknya,


"Wahai anakku yang tercinta, seandainya ilmu itu semata-mata cukup bagi engkau dan tidak perlu kepada amalan, maka tidak ada faedahnya seruan suci di tengah malam, seperti disebutkan :

هَلْ مِنْ سَاِئلٍ؟ هَلْ مِنْ مُسْتَغْفِرٍ؟ هَلْ مِنْ تَائِبٍ؟

"Adakah di sana orang yang meminta sesuatu? Adakah di sana orang yang meminta ampun? Adakah di sana orang yang bertaubat?"


Anakku, hendaklah engkau mengingati firman-firman Allah SWT dalam Surah al-Isra' ayat 79 yang bermaksud, "Dan hendaklah engkau bangkit solat tahajjud pada sebahagian daripada waktu malam." Dan firman ini mengandungi makna suruhan.


Dan firman~Nya lagi bermaksud, "Dan di waktu sahur mereka sentiada beristighfar (meminta ampun) akan Allah. [Surah az Zariyat : 18] Dan firman ini mengandungi makna syukur.


Dan firman~Nya lagi dengan maksudnya, "(Mereka yang berjaya itu ialah) orang yang selalu beristighfar di waktu sahur." [Surah Ali Imran ; 17] Dalam firman ini mengandungi peringatan.


Bersabda Rasulullah s.a.w., "Ada tiga macam suara yang dicintai oleh Allah, suara ayam jantan yang berkokok, suara orang membaca al-Quran dan suara orang yang beristighfar di waktu sahur."


Dan berkata Sufyan As Sauri r.a. "Sesungguhnya Allah Taala telah mencipta satu angin yang berhempus di waktu sahur untuk membawa zikir dan istighfar kepada Tuhan, Raja Yang Maha Perkasa.


Temanku, bahawa jiwa, ruh, dan pemikiran manusia pada bulan Ramadhan akan menghindari tuntutan-tuntutan jasmani. Dalam keadaan seperti ini, roh manusia berada di puncak kejernihannya, kerana ia tidak disibukkan oleh syahwat dan hawa nafsu. Ketika itu ia dalam keadaan paling siap untuk memahami dan menerima ilmu dari Allah SWT. Kerana itu, bagi Allah, membaca Al-Qur'an dan beristighfar merupakan Ibadah paling utama di malam seribu bulan pada bulan Ramadhan yang mulia ini.


Sekian, selamat beribadah dan memburu lailatul qadr..


Friday, August 03, 2012

Pahala gandaan



بسم الله الرحمن الرحيم


Ketika dalam Kuliah Fiqh seorang bertanya kepada Guru yang sedang menyampaikan ilmu,


"Ya Ustaz, ketika seorang wanita sudah didatangi haid di dalam bulan Ramadhan, apakah ada amalan yang membolehkannya menyamai pahala orang berpuasa di bulan Ramadhan sepanjang dia tak boleh melakukan ibadah puasa dan ibadah fardhu yang lain?"


Guru itu menjawab, "Saudara, kalau kita mahu pahala puasa yang Allah SWT janjikan, maka antara caranya ialah dengan memberi makanan untuk orang lain berbuka puasa. Ini boleh dilakukan dengan menjemput mereka untuk berbuka atau menghantar makanan terhadap mereka. Kalaulah yang diundang tersebut orang sholeh, maka lebih utama lagi kerana nanti kita akan diberi pahala puasa seumpama pahala orang sholeh tersebut."


Dalam hadits ada dinyatakan bahawa daripada Zaid bin Khalid al-Juhhani r.a,. Rasulullah shallallahu alaihi wasallam bersabda,

مَنْ فَطَّرَ صَائِماً كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْءٌ
[ رَوَاهُ التِّرمِذِيُّ ]


Bermaksud, “Barangsiapa yang memberi makanan berbuka bagi orang yang berpuasa, maka baginya pahala yang seperti orang yang berpuasa tersebut tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa tersebut sedikit pun.” [ HR. At Tirmidzi ]


Selain mendapat ganjaran pahala yang banyak, Malaikat akan mendoakan rahmat buat orang yang menjamu orang berbuka puasa. Ini disebutkan oleh Nabi s.a.w. dalam satu doa beliau, “Orang yang berpuasa telah berbuka di sisi kalian, makanan kalian telah di makan oleh orang-orang yang baik. Kalian telah dipohoni rahmat oleh Malaikat.” [Sahih Sunan Abu Dawud]


Ya Muslimah, janganlah kalian merasa sedih kerana tidak boleh berpuasa atas fitrah kejadian kalian. Allah telah menetapkan gandaan pahala kepada semua hambanya yang beriman. Tetaplah diri kalian dalam menghormati bulan Ramadhan dengan meninggalkan makan dan minum di siang hari walaupun kalian tidak boleh berpuasa serta gunakan rezeki yang ada dengan memberi makan kepada orang yang berpuasa di sekeliling kalian biarpun ianya hanya sebiji kurma. Pasti kalian beroleh pahala seperti orang berpuasa seperti yang Nabi s.a.w. sebut dalam haditsnya di atas.


Wahai temanku sekalian, rebutlah peluang keemasan ini untuk meraih keredhaan Allah SWT, mudah-mudahan kalian menjadi orang yang bertakwa.