Friday, September 28, 2012

Masanya kian menghampiri..


بسم الله الرحمن الرحيم

Hari kian berlalu. Waktu takkan pernah menunggu. Dan kita semakin mendekati kepada kematian.

Kita sebenarnya sudah punya jadual perjalanan kembali kepada~Nya cuma Allah SWT tidak nyatakan tarikh dan waktunya. Namun, Allah telah mengingatkan kita berbekallah sebelum kamu kembali kepada~Nya kerana perjalanannya nanti sangat payah dan susah, penuh dengan duri dan onak.

Allah SWT berfirman,

مَن جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ خَيْرٌ مِّنْهَا ۖ وَمَن جَاءَ بِالسَّيِّئَةِ فَلَا يُجْزَى الَّذِينَ عَمِلُوا السَّيِّئَاتِ إِلَّا مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Sesiapa yang datang membawa amal baik (pada hari akhirat) maka baginya balasan yang lebih baik daripadanya; dan sesiapa yang datang membawa amal jahat, maka mereka yang melakukan kejahatan tidak di balas melainkan dengan apa yang mereka kerjakan. (Surah al-Qasas : 84)

Rasulullah s.a.w. pun sudah berpesan kepada kita bahawa perjalanan kita di dunia ini hanya persinggahan yang singkat. Dan di dunia inilah kita perlu memperbanyakkan amal sholeh. Ia diibaratkan mengusahakan ladang dengan bercucuk tanam. Dan hasilnya nanti akan dituai di akhirat kelak.

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: “Orang yang paling bijaksana di kalangan kamu ialah orang yang bermuhasabah dirinya dan menyediakan bekalan amal sholeh sebelum menghadapi kematian. Orang yang tidak bijaksana ialah orang yang terpedaya dengan pujukan hawa nafsunya dan sentiasa berangan-angan kosong terhadap Allah (mengharapkan ganjaran Allah tanpa berusaha).” [Hadis riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Majah]

Ya temanku sekalian, hari demi hari waktu kita berada di dunia ini kian sedikit. Saat kematian kian menghampri. Justeru, gunakanlah masa yang ada untuk kita menilai akan amalan kita dan berusaha ke arah mempertingkatkan amal sholeh guna dibawa sebagai bekal untuk dipersembahkan kepada Allah SWT. Masa kematian kita tiada siapa yang tahu. Andai kita bersedia secukupnya maka kita akan pulang dengan bergaya. Namun, jika di sebaliknya sesalan tidak lagi berguna dan deritalah yang bakal kita tempuhi. Kita tidak akan dapat mengulangi kehidupan di dunia lagi kerana Allah telah memberi peluang dan masa yang panjang untuk menyediakan bekalan.

Oleh itu duhai teman yang dikasihi, usah persiakan masa yang Allah anugerahkan. Ingatlah kesengsaraan di akhirat kelak tiada siapa yang bisa menolong melainkan atas usaha kalian sekalian semasa di dunia. Baik amalan maka bahagialah akan dikecapi dan buruk segala amalan maka azab Allah amatlah pedih.

Sekian, moga ada manfaatnya...

Friday, September 21, 2012

Unta berkata-kata



بسم الله الرحمن الرحيم


Lelaki Muslim itu terkejut dan bingung. Unta itu adalah miliknya, tetapi dia dituduh mencurinya pula.


Sungguh licik si pemuda Yahudi itu. Dia telah membawa empat orang saksi bersama-samanya dan keempat-empat orang saksi itu membuat tuduhan palsu terhadapnya. Pemuda Muslim itu tidak dapat mempertahankan diri kerana tidak mempunyai saksi. Lalu Rasulullah SAW memutuskan unta itu adalah milik si pemuda Yahudi dan lelaki Muslim dijatuhkan hukuman potong tangan.


Dalam keadaan bingung, pemuda Muslim itu mendongak sambil menadah tangan seraya berdoa, “Tuhanku, Engkau Maha Mengetahui bahawa sesungguhnya aku tidak mencuri unta itu.”


Setelah berdoa, pemuda Muslim itu sekali lagi menemui Rasulullah SAW. Dia tidak dapat memberikan apa-apa keterangan kepada Rasulullah SAW untuk membuktikan bahawa dia tidak bersalah, melainkan dia meminta Rasulullah SAW bertanya sendiri kepada unta itu.


Memang sesuatu yang aneh untuk bertanyakan soalan kepada seekor binatang, tetapi oleh sebab lelaki itu bersungguh-sungguh mahu membuktikan yang dia tidak bersalah, Rasulullah SAW bertanya kepada unta itu,
“Hai unta! Milik siapakah engkau ini?”


“Wahai Rasulullah! Aku adalah milik pemuda Muslim ini dan sesungguhnya para saksi lelaki Yahudi itu adalah pendusta,” jawab unta itu dengan terang dan jelas.


Rasulullah SAW kehairanan apabila mendengar pengakuan unta itu.


“Wahai pemuda Muslim! Beritahu kepadaku, apakah yang telah engkau lakukan sehingga Allah membolehkan unta ini bercakap perkara yang benar.”


“Wahai Rasulullah SAW! Aku tidak tidur pada waktu malam melainkan aku terlebih dahulu membaca selawat ke atasmu sepuluh kali,” jawab pemuda Muslim itu dengan jujur.


“Engkau telah selamat daripada dihukum potong tanganmu di dunia dan selamat juga daripada seksaan di akhirat nanti kerana berkatnya engkau membaca selawat untukku,” sabda Rasulullah SAW.


Dengan keputusan Rasulullah SAW, pemuda itu terlepas daripada hukuman dan bebas daripada dituduh mencuri. Dia sangat bersyukur dan yakin bahawa Allah SWT akan memberikan perlindungan kepadanya selagi dia terus melaksanakan amalan-amalan yang baik.


Kamu tidak akan mampu membalas kebaikan Nabimu Muhammad s.a.w., walaupun kamu berjalan dengan kedua-dua kelopak matamu [ al-Habib Abdullah bin Alwi al-Hadad ]


Friday, September 14, 2012

Amalkan empat dan jauhkan empat


بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum…

Wahai temanku terimalah nasihatku ini, agar ilmumu tidak menjadi musuhmu pada hari akhirat. Beramallah dengan empat perkara dan tinggalkan empat perkara. Perkara yang perlu kamu tinggalkan :

Pertama, janganlah kamu berbahas dengan seseorang mengenai sesuatu perkara seboleh mungkin. Perbahasan sebenarnya lebih mendatangkan banyak keburukan daripada kebaikan.

Perbahasan seperti ini adalah punca kepada semua akhlak yang buruk seperti riak, hasad, bongkak, dengki, bermusuhan, bangga diri dan sebagainya. Tetapi kamu diharuskan untuk berbahas dengan seseorang sekiranya untuk menegakkan kebenaran, sedangkan yang berbahas denganmu itu sendiri jahil orangnya. Walau bagaimanapun niatmu itu mesti mempunyai dua tanda:

Kamu mengakui sesuatu kebenaran tidak kira kebenaran itu berada di sebelah pihakmu atau pihak lain.

Kamu lebih suka mencari kelemahan dirimu daripada mencari kelemahan orang lain.

Ketahuilah bahawa orang jahil itu, tidak sihat hatinya. Manakala para ulama' adalah 'doktor' yang mengubati mereka. Ulama' yang tidak lengkap ilmunya, tidak dapat mengubati penyakit dengan baik. Ulama' yang lengkap ilmunya pula tidak dapat mengubati semua penyakit.

Ia hanya berupaya mengubati mereka yang mahu menerima rawatan dan mahukan kebaikan. Sekiranya penyakit itu sudah terlalu parah atau sudah tidak dapat diubati lagi, maka doktor harus pintar untuk memberitahu pesakit mengenai perkara itu.

Dengan itu tidak perlulah membazirkan masa dan wang untuk cuba mengubatinya lagi. Dan ketahuilah bahawa terdapat empat jenis kejahilan. Satu daripadanya boleh dirawat manakala yang lain tidak dapat diubati.

Jenis-jenis kejahilan yang tidak dapat diubati ialah:

1. Sesiapa yang menyoal dan mengkritik hanya kerana hasad dan rasa marah.

Setiap kali kamu menjawab soalannya dengan baik, dia akan bertambah marah, malah semakin memusuhi dan membencimu. Seorang penyair pernah berkata : "Setiap permusuhan boleh terhapus kecuali permusuhan orang yang memusuhimu kerana hasad dan dengki."

Kamu harus menjauhkan diri daripada orang seperti ini. Biarkan dia dengan penyakitnya. Firman Allah SWT : "Dan berpalinglah (wahai Muhammad) dari mereka yang berpaling dari peringatan Kami dan tidak mengingini kecuali kehidupan dunia." [QS. An-Najm : 29]

Segala perkataan dan perbuatan orang yang berhasad dengki hanya akan menyalakan api yang membakar segala ilmunya. Sabda Rasulullah s.a.w. : "Hasad itu menghapuskan amalan kebaikan seperti api memakan kayu api." (Riwayat Abu Daud)

2. Kejahilan yang disebabkan oleh kebodohan.

Orang yang mempunyai penyakit ini juga tidak dapat diubati. Seperti kata Nabi Isa a.s.: "Aku berupaya menghidupkan orang mati (dengan izin Allah SWT), tapi aku tidak berupaya mengubati orang yang bodoh."

Contohnya, seperti seorang yang baru sedikit sahaja ilmunya. Dia merasakan ilmunya sudah cukup, lalu cuba membangkang gurunya yang sememangnya arif dengan ilmu tersebut.

Oleh kerana dia merasakan masalah yang diutarakannya adalah juga menjadi masalah kepada gurunya, maka dia akan soal soalan yang bodoh sahaja. Oleh itu, seharusnya soalan seperti itu tidak dilayan.

3. Orang yang mahu diajar, tetapi kemampuan akalnya terbatas

Dia sering menyalah tafsir kata-kata ulama' yang kurang difahaminya. Ia sebenarnya suka untuk bertanya mengenai sesuatu perkara. Tetapi disebabkan akalnya tidak dapat memahami dengan baik, maka soalan-soalannya juga tidak perlu dilayan. Seperti kata Rasulullah s.a.w. : "Kami para anbia, kami diperintahkan supaya bercakap kepada manusia mengikut kadar kemampuan akal mereka." (Al-Iraqi)

Manakala kejahilan yang boleh diubati; seorang yang minta ditunjuk ajar, dan ia sendiri seorang yang cerdik dan mudah untuk faham. Ia tidak dikuasai oleh perasaan hasad, keras hati atau sengaja untuk menguji. Oleh itu kamu harus, wajib menjawab segala soalan yang diajukan.

Kedua, elakkan dari menjadi pendakwah dan mengajak kepada kebaikan sekiranya kamu sendiri belum melaksanakannya. Renungi apa yang telah dikatakan kepada Nabi Isa a.s. : "Wahai anak Maryam, nasihatkanlah dirimu dahulu. Sekiranya ia menerima nasihatmu, barulah kamu nasihatkan orang lain. Jika tidak malulah kepada Tuhanmu."

Ketiga, janganlah bergaul dengan para pemimpin dan pembesar yang zalim, malah jangan bertemu dengan mereka. Berjumpa dan bergaul dengan mereka banyak padahnya. Dan sekiranya kamu terpaksa, maka jangan sekali-kali memuji mereka. Kerana Allah SWT amat murka sekiranya orang fasik dan zalim dipuji. Dan sesiapa yang mendoakan panjang umur mereka, maka dia sebenarnya suka agar Allah didurhakai di muka bumi.

Keempat, jangan menerima apa-apa pemberian daripada golongan pembesar, walaupun kamu tahu pemberian itu adalah dari sumber yang halal.

Sikap tamakkan pemberian mereka akan merosakkan agama. Dari situ akan timbul rasa simpati terhadap mereka. Kamu akan mula menjaga kepentingan mereka dan berdiam diri terhadap kezaliman yang mereka lakukan. Dan sekecil-kecil mudarat ialah apabila kamu menerima pemberian mereka, kamu akan merasa sayang terhadap mereka. Seterusnya kamu akan mendoakan agar mereka kekal lama pada kedudukan mereka.

Mengharapkan seseorang yang zalim itu kekal lama pada tempatnya adalah seperti mengharapkan kezaliman terus berpanjangan ke atas hamba-hamba Allah SWT dan agar alam ini musnah sepenuhnya.

Kamu juga harus berwaspada agar tidak disesatkan oleh syaitan melalui kata-kata sebahagian manusia kepadamu; "Lebih baik kau ambil wang yang mereka berikan itu. Kamu boleh membahagikannya kepada fakir miskin. Kalau engkau biarkan mereka membelanjakan wang tersebut, sudah tentu mereka gunakan untuk kemaksiatan."

Sesungguhnya ramai manusia telah disesatkan oleh syaitan dengan cara ini.

Wallahu a'lam

Friday, September 07, 2012

Utamakan yang wajib


بسم الله الرحمن الرحيم

Sejam lagi masuklah waktu berbuka puasa.

Muazzin yang bertugas keluar ke perkarangan masjid untuk berehat dan duduk di sebuah kerusi yang berhampiran dengan tempat letak kereta.

Sambil duduk dia memerhati sekeliling alam ciptaan Allah. Sungguh tenang dirasakan. Sedang asyik dia ternampak sebuah kereta mewah masuk ke perkarangan masjid. Sesampainya kereta itu lalu terbukalah cermin kereta dan pemandunya memanggil muazzin yang ada di situ. Muazzin tadi bergegas menuju kereta itu.

"Ustaz, dekat belakang kereta saya ni ada banyak pisang. Ustaz ambillah untuk jemaah berbuka puasa nanti." Kata Pemuda yang memandu kereta mewah tadi.

Muazzin itu berkata, "Baik saudara." Sambil matanya mengerling ke arah pemuda di dalam kereta itu yang hanya berbaji T-shirt dan berseluar pendek.

"Allahu Akhbar, banyaknya pisang." Kata muazzin dalam hatinya dan kemudiannya terus menutup but belakang kereta itu dan terus mendapati pemuda tadi di hadapan.

"Saudara, saya boleh ambil pisang itu untuk jemaah berbuka puasa tapi dengan satu syarat." Kata Muazzin itu kepada pemuda itu.

"Apa dia syaratnya?" Tanya pemuda itu kehairanan.

"Beginilah ya saudara! Menutup aurat itu wajib dan memberi makan itu sunat. Jika saudara punya wang mencukupi, saya boleh ambil pisang tu tapi jika di sebaliknya ada baiknya saudara bawa pisang itu ke pasar untuk dijual dan hasilnya nanti belilah seluar yang boleh menutup aurat saudara." Kata muazzin itu kepada pemuda itu.

Lalu pemuda itu menaikkan cermin kereta dan terus memandu keretanya keluar dari masjid.

Ya temanku yang dikasihi sekalian, memberi makan itu adalah sunat. Namun, jika ia mendahului perkara yang wajib, maka perkara itu perlu diberi perhatian yang sewajarnya kerana kita perlu mengutamakan wajib dahulu daripada perkara sunat. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 269,

يُؤتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْراً كَثِيراً وَمَا يَذَّكَّرُ إِلاَّ أُوْلُواْ الأَلْبَابِ

Maksudnya, "Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki~Nya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya."

Sekian, moga ada manfaatnya.