Friday, June 28, 2013

Berpesan pada diri


بسم الله الرحمن الرحيم

فَلَا تُزَكُّوا أَنفُسَكُمْ ۖ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنِ اتَّقَىٰ

Firman ALLAH SWT bermaksud : "Maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa." ( QS An Najm : 32 )

ULASAN AYAT :
  • SEORANG HAMBA tidak patut sombong atau berbangga dengan ilmu, harta dan jabatan yang dimilikinya sebelum ia selamat melintasi titian sirat. Apa gunanya pujian jika ia tetap terjatuh ke dalam neraka pada hari kiamat nanti. KEKASIH ALLAH tidak menyukai kemashyuran. Mereka selalu khuatir andai ibadahnya ditolak meskipun telah melakukannya dengan sempurna. Kesibukkannya dengan ALLAH tidak meninggalkan baki masa baginya untuk mendengar pujian atau celaan orang lain. Kita diajar untuk merendah diri malah tidak pula melihat orang lain dengan pandangan yang hina kerana kekurangan yang ada sehingga kita terus menghukum dan melebelkan mereka buruk.
  • Jangan mudah menghukum manusia sesuka hati, bahkan insafilah diri kerana kita juga bukan sesiapapun dan tiada apa yang hebat tentang diri kita kerana apabila kita mati hanya kain putih yang sama juga membaluti dan diusung orang juga untuk dibawa pergi kekuburan.
  • Sifat sombong dengan apa yang ada pada diri akan membuat kita jauh dari ALLAH, ianya hanya akan mendatangkan kehampaan dan rasa putus asa yang berpanjangan. Ketahuilah bahawa anugerah kecerdasan, kekayaan, kekuatan, kecantikan dan ketampanan serta ilmu pengetahuan semuanya akan berubah menjadi derita dan musibah jika kita tidak memperolehi taufik dan berkat dari ALLAH. Justeru ALLAH mengingatkan kita melalui ayat-ayatNya akan akibat buruk dari sifat sombong dan riak dariNYA. Jagalah ALLAH, maka ALLAH akan menjaga kita lebih lagi. HARTA pula jika diletakkan sebagai alat, ia akan menyelamat. Tetapi jika ia menjadi matlamat, ia akan membawa mudarat kerana kadang-kadang kita lupa, pengakhiran hidup kita adalah AKHIRAT.
  • MISKIN DAN KAYA bukan persoalannya tetapi setiap dari kita perlu berusaha untuk mencari KEKAYAAN HATI yang boleh dimiliki oleh si miskin dan si kaya. Orang yang kaya hati akan sentiasa memiliki ketenangan dan kebahagiaan. Orang miskin berjalan atas landasan kesabaran dan orang kaya pula akan berjalan atas landasan kesyukuran. Itulah sebaik-baik jalan. BERPESANLAH PADA DIRI (Setiap usaha dan ketekunan pasti ALLAH ganjarkan pahala sekalipun kita gagal). Pesan pada diri dan ingatkannya bahawa kita semua hamba ALLAH SWT.
  • Oleh itu ALLAH sahaja yang boleh memberikan kita kejayaan atau kegagalan. Kedua-duanya dianugerahkan oleh ALLAH untuk kebaikan diri kita juga. ALLAH tidak akan menzalimi hamba-hamba~Nya. Apabila diuji, maka sunatullah telah menetapkan agar bersabar. Setiap kali menempuh ujian, maka sabarlah sebijak-bijak tindakan seorang hamba.
  • Tidak perlu berbangga dengan apa yang ada kerana tiada seorang pun di dunia ini yang sepanjang hidupnya sentiasa berjaya ataupun selalu mendapat apa yang diinginkan. Apabila disebut tentang hamba, ALLAH boleh melakukan apa sahaja kepada kita. Cuma apabila kita dibekalkan akal dan hati oleh~Nya maka gunalah sebaiknya agar kita tahu mana baik dan mana buruknya. Apa yang baik perlu diteruskan manakala yang buruk harus segera ditinggalkan.
Wallahu a'lam

Dikutip dari Masjid Al-I’tisam

Friday, June 14, 2013

Deskripsi al-Qurtubi terhadap kejadian hisab


بسم الله الرحمن الرحيم

Imam al-Qurtubi berkata dalam menggambarkan peristiwa hisab: "Apabila seluruh hamba telah dibangkitkan dari kuburnya, maka masing-masing mereka akan pergi menuju padang Mahsyar, dan berdirilah mereka selama yang Allah kehendaki dalam keadaan telanjang dan tidak beralas kaki.

Kemudian datanglah waktu penghisaban di mana Allah akan menghisab seluruh amal perbuatan manusia. Allah akan mendatangkan kitab berisi catatan yang dituliskan oleh para malaikat dan mereka semua akan mendapat kitabnya masing-masing. Di antara mereka ada yang menerima kitabnya dengan tangan kanan; mereka itulah orang-orang yang berbahagia.

Ada pula yang menerimanya dengan tangan kiri atau dari balik punggungnya; merekalah orang-orang yang paling sengsara. Ketika itulah setiap orang akan membaca kitabnya masing-masing.

Wahai saudaraku! Bayangkanlah giliran anda untuk dihisab segala apa yang pernah anda lakukan di dunia dulu dari sekecil-kecilnya hinggalah sebesar-besarnya. Di tangan anda ada sebuah lembaran catatan amal yang tercatat semua perbuatan anda. Tidak ada satu pun fikiran yang anda sembunyikan ditinggalkannya dan ia tidak meninggalkan satu perkara pun yang dirahsiakan.

Anda akan membaca isinya dengan lidah yang kelu, hati yang hancur. Rasa ngeri dan menakutkan menyelimuti anda. Berapa banyak urusan yang dahulunya telah anda lupakan, kini ia mengingatkan anda padanya. Betapa banyak keburukan yang telah anda tutupi, dan kini ia telah menampakkkannya. Berapa banyak amal yang anda fikir dapat menyelamatkan anda, namun ia dikembalikan kepada anda ketika itu dan disia-siakan setelah sebelumnya anda anggap sebagai yang paling besar. Sungguh ruginya dan malang nasib anda. Alangkah kasihan anda disebabkan kelalaian terhadap ketaatan anda kepada Allah SWT.

Adapun orang yang menerima kitabnya dengan tangan kanan, dia tahu bahawa dirinya termasuk ahli syurga. Dia akan berkata: "Kemarilah dan bacalah kitabku ini!" Itu berlaku ketika Allah memberinya kebenaran, maka dia pun membacanya.

Jika dia adalah seorang pemimpin dalam perkara kebaikan dan dia mengajak untuk berbuat baik serta memerintahkan untuk berbuat kebaikan dan banyak orang yang mengikutinya, maka dia akan dipanggil dengan namanya dan nama ayahnya. Dia pun maju ke hadapan. Jika telah dekat, maka dikeluarkan sebuah buku putih untuknya. Di dalamnya ada kejahatannya dan diluarnya ialah kebaikannya.

Ketika itu, yang pertama kali dibuka ialah lembaran kejahatannya. Dia pun membacanya sehingga membuat mukanya menjadi kuning dan berubah warna. Maka, ketika telah sampai kepada bahagian akhir daripada kitab tersebut, dia pun mendapati tulisan yang berbunyi: "Inilah kejelekanmu dan Aku telah mengampuninya untukmu."

Ketika itu, dia akan merasa sangat senang. Kemudian, dia pun membalikkan kitabnya dan membaca kebaikannya. Maka kegembiraannya pun semakin bertambah. Ketika telah sampai pada bahagian akhir daripada kitab itu, dia mendapati tulisan yang berbunyi: "Inilah kebaikan-kebaikanmu dan telah digandakan untukmu." Seketika itu, memutihlah wajahnya. Dia pun diberi mahkota dan diletakkan di atas kepalanya, dan bentuknya akan menjadi 60 hasta sepertimana bentuk Nabi Adam. Lantas dikatakan kepadanya, "Pergilah ke tempat kawan-kawanmu dan berilah khabar gembira kepada mereka. Beritahulah kepada mereka bahawa setiap orang dari mereka akan memperolehi balasan seperti ini.

Maka ketika dia telah berbalik, dia pun berkata: "Nah! Bacalah kamu Kitab amalku! Sesungguhnya aku telah mengetahui dengan yakin, bahawa aku akan menghadapi hitungan amalku (pada hari yang ditentukan)!" (Surah al-Haqqah : 19-20)

Kemudian, Allah SWT berfirman menerangkan keadaannya dalam Surah al-Haqqah ayat 21 bermaksud, "Maka (dengan itu) tinggallah dia dalam kehidupan yang senang lenang lagi memuaskan."

Apabila orang tersebut merupakan pemimpin dalam perkara kejahatan yang menyeru untuk berbuat jahat serta menyuruh orang untuk melakukan kejahatan dan orang yang mengikutinya banyak jumlahnya, maka dia akan dipanggil dengan namanya dan nama ayahnya. Dia pun maju untuk menerima hisabnya. Kemudian, dikeluarkanlah untuknya kitab yang hitam dengan tulisan yang berwarna hitam. Di dalamnya ada kebaikannya dan diluarnya adalah kejahatannya.

Ketika itu, dia mula membaca kebaikannya dan dia pun mengira kalau dirinya akan selamat. Ketika dia telah sampai kepada bahagian akhir daripada kitab tersebut, dia pun menemui tulisan: "Inilah kebaikan-kebaikanmu dan Aku telah mengembalikannya kepadamu." Seketika itu, menghitamlah wajahnya serta dia pun diliputi oleh kesedihan dan merasa berputus asa tidak akan memperoleh kebaikan. Kemudian, dia membalikkan kitabnya, lalu membaca kejahatannya. Maka perkara yang berlaku semakin bertambah kepedihannya.

Tidak ada perubahan di wajahnya selain bertambah menghitam. Ketika dia telah sampai di akhir kitab itu, di situ disebutkan: "Inilah kejahatanmu dan telah digandakan ke atasmu." Maksudnya, seksanya akan digandakan. Dia pun menampakkan neraka sehingga matanya menjadi biru serta menghitamlah mukanya. Dipakaikan kepadanya baju daripada besi yang meleleh.

Kemudian dikatakan kepadanya: "Pergilah ke tempat kawan-kawanmu dan beritahukanlah kepada mereka bahawa setiap orang daripada mereka akan memperolehi balasan seperti ini." Dia pun pergi dan berkata: "...Alangkah baiknya kalau aku tidak diberikan Kitab amalku. Dan aku tidak dapat mengetahui hitungan amalku. Alangkah baiknya kalau kematianku di dunia dahulu, menjadi kematian pemutus (yang menamatkan kesudahanku, tidak dibangkitkan lagi)." (Surah al-Haqqah : 25-27)

Allah SWT berfirman, "(Lalu diperintahkan malaikat penjaga neraka): 'Tangkaplah orang yang berdosa itu serta belenggulah dia. Kemudian bakarlah dia di dalam neraka Jahim'. Selain dari itu, masukkanlah dia dalam (lingkaran) rantai besi yang ukuran panjangnya tujuh puluh hasta, (dengan membelitkannya ke badannya)!" (Surah al-Haqqah: 30-32)

Bayangkan anda termasuk orang-orang yang bahagia dan telah keluar di hadapan seluruh makhluk dengan wajah yang berseri-seri. Anda telah diliputi kesempurnaan, kebaikan dan keindahan. Kitab anda ada di tangan kanan anda. Ada satu malaikat yang memegang ubun-ubun anda seraya berkata di hadapan seluruh makhluk, "Ini adalah Fulan bin Fulan. Di mana dia telah berbahagia dengan kebahagiaan yang setelahnya dia tidak akan sengsara."

Adapun jika anda termasuk orang-orang yang sengsara, maka muka anda akan menghitam dan semua makhluk akan menyingkir. Anda membawa kitab dengan tangan kiri atau dari belakang punggung anda. Anda mengumpat dengan kata-kata kecelakaan dan kebinasaan serta ada satu malaikat yang memegang ubun-ubun anda sambil berkata di hadapan seluruh makhluk, "Ini adalah Fulan bin Fulan, dia telah sengsara dengan kesengaraan yang selamanya dan tidak akan bahagia setelahnya.

Wallahu a'lam...moga ianya menjadi keinsafan buat kita semua.

Dipetik dari Kitab Asyrath al-Sa'ah, al-Alamah al-Sughra wa al-Wustha, wa al-Kubra
Karangan : Mahir Ahmad al-Sufi

Friday, June 07, 2013

Takut (Al-Khauf)


بسم الله الرحمن الرحيم

Al Faqih Abu al-Laith berkata,
bahawa orang mukmin adalah orang yang takut kepada Allah SWT dengan seluruh
anggota badannya dan tanda ketakutan itu dinampakkan pada tujuh perkara.

Lidah.
Ia mencegahnya dari berkata dusta, mengumpat, memfitnah, menipu, dan perkataan yang tidak berguna.
Sebaliknya, ia menyibukkannya dengan zikir kepada Allah SWT, membaca al-Quran dan menghafal ilmu.

Hati.
Ia mengeluarkan dari dalam hatinya rasa permusuhan, kedengkian dan hasad kepada teman. Sebab, hasad
dapat menghapus kebaikan, sebagaimana sabda Nabi s.a.w. "Hasad memakan kebaikan seperti api membakar
kayu bakar." Hasad termasuk penyakit berbahaya di dalam hati. Penyakit-penyakit hati itu tidak boleh
diubati kecuali dengan ilmu dan amal.

Pandangan.
Ia tidak memandang makanan, minuman, pakaian dan sebagainya yang diharamkan. Pandangannya pun tidak
ditujukan kepada keduniaan dengan penuh kecintaan. Sebaliknya, ia mengarahkan pandangannya kepada
sesuatu dengan mengambil pengajaran, tanpa memandang sesuatu yang tidak halal baginya. Mengenai perkara ini,
Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barangsiapa yang memenuhi kedua belah matanya dengan pandangan yang haram,
nescaya pada hari kiamat Allah SWT memenuhi kedua belah matanya dengan api neraka."

Perut.
Ia tidak memasukkan ke dalam perutnya makanan yang haram, sebab perkara tersebut merupakan dosa besar.
Nabi s.a.w. bersabda, "Apabila satu suap makanan yang haram jatuh ke dalam perut anak Adam, setiap
malaikat di langit dan bumi melaknatnya selama suapan itu berada di dalam perutnya. Jika dia mati dalam
keadaan itu, tempat kembalinya adalah neraka jahannam."

Tangan.
Ia tidak menghulurkan tangannya pada sesuatu yang haram. Sebaliknya, ia menggunakannya pada sesuatu yang
mendatangkan ketaatan kepada Allah SWT. Diriwayatkan dari Ka'ab al-Ahbar, dia berkata, "Allah SWT
membangunkan sebuah rumah dari batu permata hijau. Di dalam rumah itu terdapat tujuh puluh rumah yang
masing-masing memiliki tujuh puluh ribu bilik. Tidak ada yang dapat memasukinya kecuali orang yang
meninggalkan setiap yang haram kerana takut kepada Allah SWT."

Kaki.
Ia tidak berjalan untuk melakukan kemaksiatan kepada Allah. Sebaliknya, ia berjalan dalam ketaatan dan
keredhaan~Nya serta dalam bergaul denga para ulama dan orang-orang soleh.

Ketaatan.
Ia menjadikan ketaatannya semata-mata untuk mencari keredhaan Allah SWT serta takut akan riak dan
kemunafikan. Apabila melakukan perkara itu, ia termasuk orang-orang yang disebutkan Allah SWT di dalam
firman~Nya yang bermaksud, "Kehidupan akhirat itu di sisi Tuhanmu adalah bagi orang-orang yang bertakwa."
(QS Az-Zukhruf : 35)

Wallahu a'lam

Rujukan : Kitab Mendidik Hati Mendekati Ilahi - Imam Ghazali