Friday, August 30, 2013

Minta akan ia tiga kali..


بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Ketahuilah kiranya, ya saudaraku!

Di dalam Kitab Masyhur Bahru Al-Madzi karangan Muhammad Idris al-Marbawi dinyatakan,
Sekalian manusia ia suka ia akan syurga dan benci ia akan neraka, suka seseorang
itu akan syurga, lalu terus ia meminta, dan juga berlaku benci seseorang itu akan neraka,
lalu terus ia berlindung daripada~Nya, maka jikalau seseorang itu meminta akan syurga
pada Tuhan serta suka kepadanya dan dikerjakan sebab-sebab yang boleh jadi masuknya,
maka pintanya itu sebenar-benar pinta dan suka.


Dan jikalau seseorang itu meminta dengan mulutnya serta suka di hati tetapi dikerjakan
segala sebab yang tidak menjadikan boleh masuknya, maka pinta mulutnya dan sukanya
itu tidak sebenarnya.


Demikianlah juga seorang yang benci ia akan neraka, lalu dipintanya serta dijauhkannya
segala sebab yang memasukkan dia ke dalam neraka, maka ialah sebenar-benar benci dan jika tidak,
maka bohong juga namanya.


Demikian tersebut di dalam hadith seperti hadith yang dikeluarkan oleh Abu 'Isa at-Tirmidzi dengan katanya:

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم : مَنْ سَأَلَ اللَّهَ الْجَنَّةَ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ قَالَتِ الْجَنَّةُ
اللَّهُمَّ أَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ. وَمَنِ اسْتَجَارَ مِنَ النَّارِ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ قَالَتِ النَّارُ: اللَّهُمَّ أَجِرْهُ مِنَ النَّارِ

Diriwayatkan daripada seorang sahabat bagi Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam namanya
Anas bin Malik Radhiyallahu 'anhu katanya, telah bersabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam :

Barangsiapa minta ia akan syurga pada Allah Ta'ala tiga kali, nescaya berkata syurga itu : Ya Tuhanku,
masukkan dia ke dalam syurga. Dan siapa minta berlindung dirinya daripada neraka tiga kali,
nescaya berkata neraka : Hai Tuhanku, lindung kiranya akan dia daripada neraka.

[ Hadith ini juga diriwayatkan oleh an-Nasa’i dan al-Hakim ]


Maka jikalau seseorang itu minta syurga dengan sebenarnya yakni menuntutnya
dengan do'a dan fi'il, maka syurga pun sukakan masuknya kepadanya dan minta
ia pada Tuhan masukkan orang yang demikian itu ke dalamnya.


Begitulah juga halnya neraka, jikalau seseorang itu minta berlindung daripadanya dengan
do'anya dan fi'ilnya (perbuatannya), maka ia pun berdoa kepada Tuhan minta lindung akan
orang yang demikian itu daripadanya.


Wallahu a'lam..

~~~~~

Khususnya kepada saudara yang mengalami sakit pinggang dan sakit seumpamanya, amalkan pada waktu
malam dengan membaca Surah Qaff ayat 16 hingga 45 TIGA kali, dan membaca Surah Mukminun ayat 60
hingga 80 pada siang hari juga TIGA kali. Pembacaan ini hendaklah diamalkan setiap hari selama 3
ke 4 minggu. Selepas membaca tiga kali, mohonlah kepada Allah SWT untuk penyembuhan. Selepas membaca
dua surah pertama tadi, hendaklah diulang amalan-amalan tersebut dengan surah-surah yang berikutnya,
Surah Shod ayat 34 hingga 61, Surah Al-Ahqaaf ayat 21 hingga 28, dan Surah Adz-Dzariyaat ayat 31 hingga 60.

Keterangan selanjutnya sila rujuk Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah.


Friday, August 23, 2013

Muliakan orang yang berbuat baik..


بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Wahai saudaraku yang mulia!

Ketahuilah olehmu, bahawa syukur itu, yakni menerima kasih akan apa
budi orang padamu. Maka menerima kasih itu boleh dengan hati,
dan boleh dengan lidah, dan boleh dengan anggota.


Maka jadilah ia 3 macam :

1. Syukur dengan hati iaitu terupa pada hati akan nikmat yang diberikan orang.

2. Syukur dengan lidah, iaitu dikenang budi orang itu dan disebut baik.

3. Syukur dengan anggota, maka iaitu dibalas budi orang itu.


MAKA SYUKUR AKAN ORANG YANG BERBUDI PADAMU ITU DISURUH OLEH SYARA' KITA


Bermula dalil yang menunjukkan atas suruh itu ialah sebagai Hadith yang dikeluarkan
oleh Abu 'Isa At-Tirmidzi, dengan katanya:

Diriwayatkan daripada seorang sahabat bagi Nabi Nabi ShallAllahu 'alaihi wasallam,
namanya Abi Hurairah Radhiyallahu 'anhu, katanya : Telah bersabda Nabi ShallAllahu 'alaihi wasallam,
"Siapa tiada syukurkan orang nescaya tiada syukur ia akan Allah akan sebagai syukur yang sempurna."
[ Hadith Hasan lagi Shahih ]


Yakni, tiada sempurna syukur engkau kepada Allah melainkan apabila engkau
sertakan syukur manusia yang berbuat baik ihsan padamu.


Membalas budi orang itu disuruh syara' kita sebagaimana yang disabdakan
Nabi ShallAllahu 'alaihi wasallam, "Barangsiapa berbudi kepadamu, maka
hendaklah balas budinya itu. Maka jika lemah sekalian kamu daripada membalasnya,
maka do'akan oleh kamu baginya hingga kamu ketahui sungguhnya telah syukur
kamu akan budinya. Sebab pun disuruh syukur itu kerana Allah itu suka ia akan
orang yang syukur yakni, orang yang mengenang budi.

(At-Targhib wa At-Tarhib)


Sungguhnya syukur itu boleh kita buat sekurang-kurangnya, iaitu seperti kita
kata dengan bahasa Melayu : "Banyak-banyak terima kasih" dan yang eloknya
ialah barang yang datang daripada syara' iaitu dikata :

جَزَاكَ اللهُ خَيْرًا

Maknanya, Kiranya dibalas Allah akan dikau sebaik-baik balas.

Atau dikata :

بَارَكَ اللهُ فِيْكَ

Maknanya, Kiranya diberkatkan Allah pada engkau.

Sabda Nabi s.a.w., "Siapa memperbuat demikian, maka sungguhnya telah syukur ia akan dia."

Wallahu a'lam


Friday, August 16, 2013

Syawal yang mulia..


بسم الله الرحمن الرحيم


Ketahuilah kiranya, ya Saudaraku!

Apabila telah selesai daripada puasa Ramadhan, maka sayugianya
pula hubungkan dengan puasa enam hari daripada Syawal,
karena besar sangat pahala mengerjakannya.


Maka kelebihan puasa enam hari Syawal itu telah dikeluarkan
oleh Abu 'Isa At-Tirmidzi akan hadithnya, dengan katanya:


عَنْ أَبِي أَيُّوبَ قَالَ ، قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ فَذَلِكَ صِيَامُ الدَّهْرِ



Maksudnya :

Diriwayatkan daripada seorang sahabat Nabi ShallAllahu 'alaihi wasallam,
namanya Abi Ayyub, katanya: Telah bersabda Nabi ShallAllahu 'alaihi wasallam,
"Barangsiapa puasa Ramadhan, kemudian diikutkannya akan dia dengan enam
hari daripada Syawal, maka itulah pahalanya sebagai pahala puasa sepanjang tahun."


Kata Abu 'Isa At-Tirmidzi, "Pada bab ini ada riwayat daripada Jabir,
Abi Hurairah dan Tsauban."


Dan katanya lagi : Bermula hadith Abi Ayyub itu ialah hadith hasan lagi shahih.
Dan telah dikeluarkan dia oleh Muslim, An-Nasa'i, Ibnu Majah dan Ath-Thabari.


Ya Saudaraku!

Bermula makna kata hadith puasa enam Syawal itulah puasa sepanjang tahun.
Yakni, orang yang mendirikan puasa sebulan Ramadhan dengan sempurna, kemudian
diikutnya akan dia dengan enam Syawal seolah-olahnya ia puasa setahun cukup.


Kata Imam Nawawi di dalam Syarah Muslim: Telah berkata 'Ulama': Dan sebab
dikatakan puasa enam hari itu seperti puasa sepanjang tahun, karena satu
kebaktian itu sepuluh ganda balasannya. Maka puasa sebulan Ramadhan itu
balas dengan sepuluh bulan dan enam hari Syawal itu balas dengan dua bulan.


Wallahu a'lam


"Ceriakanlah wajah Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam dengan
kebaikan amal-amal baik kalian."

[ Al-Habib Ali bin Muhammad Al-Habsyi ]


Wednesday, August 07, 2013

Aidil Fitri Mulia



بسم الله الرحمن الرحيم


Aidil Fitri
Menjadi lambang kemenangan setiap hamba yang beriman
atas didikan Yang Hakiki,
untuk bebas dari belenggu nafsu dan syahwat
Selama sepurnama ditarbiah
Aidilfitri datang bakal memahkotakan ibadah kita.


Esok belum pasti
Yang Kekal bisa memberi peluang lagi
Mendidik
Mungkin ini langkahku terakhir
Doaku moga ibadahku Kau terima
Semoga kembaliku nanti kepada~Mu
dalam keadaan sebenar-benarnya
BERSIH


Bukanlah hariraya itu bagi orang orang yang memakai persalinan baru,
tetapi hariraya itu adalah bagi orang yang keta’atannya bertambah.
Dan bukanlah hariraya itu bagi orang yang berhias dengan persalinan dan tunggangannya,
tetapi hariraya itu adalah bagi orang yang telah diampun baginya dosa-dosanya (oleh Allah Ta’ala).
Dan bukanlah hariraya itu bagi orang yang yang baik-baik dan bersedap-sedap
dengan segala keinginan dan kelazatan, akan tetapi hariraya itu adalah bagi
orang yang diterima taubatnya dan digantikan kejahatan dengan kebaikan.


Selamat Hari Raya Aidil Fitri
buat SEMUA
Maaf atas segala silap dan salah


تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكَ

Semoga Allah menerima daripada kita dan menerimanya daripada awak


Jaga diri dan teruskan amalan dan didikan Ramadhan


Friday, August 02, 2013

Empat perkara


بسم الله الرحمن الرحيم


Rasulullah (صلى الله عليه وآله وسلم) berpesan :


"Perbanyakkanlah kamu di bulan Ramadhan
akan empat (4) perkara; dua (2) perkara darinya,
kamu bisa meraih keredhaan ALLAH سبحانه وتعالى
dan dua (2) perkara lagi darinya,
kamu tidak dapat terlepas salah satu dari keduanya.


Adapun dua (2) perkara yang kamu bisa meraih keredhaan Allah سبحانه وتعالى ialah :

1. Syahadah لا إله إلا الله
2. Kamu beristighfar kepada Allah سبحانه وتعالى


Adapun dua (2) perkara yang kamu tidak boleh terlepas salah satu dari keduanya ialah :

1. Kamu meminta Syurga
2. Kamu berlindung kepada Allah سبحانه وتعالى dari api neraka."


[ Diriwayatkan Ibnu Khuzaimah dan al-Baihaqi رحمة الله تعالى عليهم أجمعين ]


Renungan Bulan Ramadhan

oleh

al-Habib `Ali Zaenal `Abidin bin Abu Bakar al-Hamid حفظه الله تعالى

~~~~~

Teruskan usaha semua dalam pencarian satu malam yang
Allah anugerahkan buat umat Nabi Muhammad (صلى الله عليه وآله وسلم)

Malam kemuliaan itu, lebih baik daripada seribu bulan;
padanya malaikat-malaikat dan Roh turun, dengan izin
Pemelihara mereka, dengan segala perintah. Malam itu
(penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.

[QS AL-QADR (97) : 3-5]