Friday, October 25, 2013

Sembunyikan...



بسم الله الرحمن الرحيم


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Segala puji-pujian buat Allah SWT, Tuhan sekalian alam.
Selawat dan salam atas junjungan besar Muhammad s.a.w. dan seisi keluarganya,
sekalian para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah di atas
jalan suci ini dengan penuh ketenangan.


Ketahuilah wahai saudaraku sekalian,
bahawa ikhlas itu tidak bisa terwujud di dalam hati seorang hamba jika ia hanya
mengharapkan pujian semata. Biarpun ibadahnya kelihatan hebat pada pandangan
manusia namun di sisi Allah ianya hanya sia-sia belaka.


Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Kami hadapkan segala amal yang mereka kerjakan,
lalu Kami jadikan amal itu umpama debu yang berterbangan, tiada bernilai.” (Surah al-Furqan : 23)


Oleh kerana itu sembunyikanlah kebaikan-kebaikanmu sebagaimana engkau
menyembunyikan keburukan-keburukanmu, dan janganlah engkau kagum dengan
amalan-amalanmu, sesungguhnya engkau tidak tahu apakah engkau termasuk
orang yang celaka (masuk neraka) atau orang yang bahagia (masuk syurga).


Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Allah berfirman,
“Aku adalah yang paling tidak memerlukan sekutu. Barang siapa yang beramal
sedangkan Aku disekutukan dengan selain~Ku nescaya Aku tinggalkan dia
dengan sekutunya.” (Hadis riwayat Imam Muslim)


Ikhlas itu ada pada amalan hati kita yang tiada sesiapa pun mengetahuinya,
melainkan ia menjadi rahsia antara seorang hamba dan Tuhannya.


Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barangsiapa yang meninggalkan dunia ini dengan
membawa keikhlasan kerana Allah sahaja, ia tidak menyekutukan Allah,
melaksanakan solat, menunaikan zakat, maka ia telah meninggalkan dunia ini
dengan membawa redha Allah." [HR Bukhari dan Muslim]


Di antara tanda keikhlasan adalah jika engkau suka sembunyikan kebaikanmu
dan tidak suka menyembunyikan kesalahanmu.

~Syed Quthub~


Wallahu a'lam


Friday, October 11, 2013

Puasa Arafah



بسم الله الرحمن الرحيم


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Ketahuilah kiranya, ya saudaraku!

Bermula kelebihan puasa pada hari 'Arafah itu sangatlah besarnya,
sebagaimana hadithnya telah dikeluarkan oleh Abu 'Isa At-Tirmidzi,
dengan katanya:

عَنْ أَبِي قَتَادَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ
صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ إِنِّي أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ
أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ

Diriwayatkan daripada seorang sahabat Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam,
dipanggil orang dengan Abi Qatadah, bahawasanya Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam
bersabda ia : Bermula puasa pada hari 'Arafah itu, bahawasanya aku kirakan atas
Allah Ta'ala bahawa mengkafarat ia akan dosa tahun yang dahulunya dan dosa tahun
yang kemudiannya.


Kata Imam Nawawi di dalam Syarah Al-Muhazzab :
Telah berkata Al-Mawardi di dalam Al-Hawa :
Padanya dua ta'wil :

1. Bahawasanya Allah Ta'ala mengampun baginya dua tahun.

2. Bahawasanya Allah Ta'ala memeliharakan dia di dalam dua tahun,
tiada berbuat maksiat ia di dalamnya.


Dan kata As-Sarkhasi : Adapun tahun yang pertama, maka dikafaratkan
barang yang berlaku di dalamnya. Katanya : Dan bersalah-salahan 'ulama'
pada makna mengkafaratkan tahun yang lagi akan datang :

1. Dan kata setengah mereka itu, maknanya; apabila memperbuat satu kesalahan
di dalamnya, nescaya menjadi Allah Ta'ala akan puasa hari 'Arafah yang lalu
itu kafarat baginya sebagaimana dijadikannya kafarat bagi tahun yang lalu.

2. Dan kata setengah mereka itu, bermula maknanya; bahawasanya Allah Ta'ala
memeliharakan dia pada tahun yang akan datang daripada memperbuat dosa yang
berhajat padanya kepada kafarat.


Dan hanya sanya yang demikian itu tertentu bagi Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam,
mengampun Allah baginya akan barang yang telah terdahulu daripada dosanya
dan barang yang kemudiannya, dengan nash al-Quran yang mulia.


Wallahu a'lam..


Friday, October 04, 2013

Pesan Umar al-Khatab



بسم الله الرحمن الرحيم


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Suatu hari Sayyidina Umar Bin Khattab r.a. bertutur kepada sebahagian sahabatnya;

Aku berwasiat kepadamu enam perkara :


1. Jika engkau menemukan cela pada seseorang dan engkau mahu mencacinya,
maka cacilah dirimu. Kerana, celamu lebih banyak darinya.


2. Bila engkau hendak memusuhi seseorang, maka musuhilah dahulu perutmu.
Kerana, tidak ada musuh yang lebih berbahaya terhadapmu selain perut.


3. Bila engkau hendak memuji seseorang, pujilah ALLAH SWT! Kerana, tiada
seorang manusia pun lebih banyak dalam memberi kepadamu dan lebih santun
lembut kepadamu selain DIA.


4. Jika engkau ingin meninggalkan sesuatu, maka tinggalkanlah kesenangan dunia.
Sebab, andaikata engkau meninggalkannya, bererti engkau terpuji.


5. Bila engkau bersiap-siap untuk sesuatu, maka bersiaplah untuk mati. Kerana,
jika engkau tidak bersiap untuk mati, engkau akan menderita,
rugi atau penuh penyesalan.


6. Bila mana engkau ingin menuntut sesuatu, maka tuntutlah Akhirat.
Kerana, engkau tak akan memperolehnya kecuali dengan mencarinya.


Wallahu a'lam


Jalan dan cara menuju keselamatan dan kebahagiaan abadi adalah dengan cara
mendekatkan diri kepada Allah yang Maha Benar. Allah telah mengajar makna
kedekatan itu kepada kita. Dia mengajari kita melalui utusan~Nya yakni para rasul,
sehingga kita berkata, "Kami beriman". Itulah Kebenaran. Kita menerima dan
membenarkannya. Tugas kita kemudian hanyalah mengikuti ajaran dan teladan
Nabi~Nya lahir dan batin..

[Syeikhul Akbar Muhyiddin Imam Ibnu 'Arabi At-Tho`i Qaddasallahu Sirrahu]