Friday, June 26, 2015

Perisai...


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين


"Puasa itu adalah perisai yang dengannya seorang hamba terlindung dari panahan api neraka,
dan puasa itu untukKu dan Akulah yang akan membalasnya."
(Hadis Qudsi riwayat Ahmad dan Baihaqi dari Jabir bin Abdillah r.a.)

Hal itu kerana puasa mengekang syahwat dan hawa nafsu, sedangkan neraka itu diliputi oleh hal-hal
yang menarik syahwat dan hawa nafsu. Ketika syahwat dan hawa nafsu itu dikekang oleh puasa,
maka itu telah membentengi atau melindungi orang yang berpuasa dari neraka.

Puasa ibarat perisai, dinding dan benteng, kerana dapat melindungi pelakunya dari panahan api neraka.
Betapa hebatnya perintah Allah ini jika dilakukan dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka Allah anugerahkan
orang yang berpuasa satu hari saja di jalan Allah akan dijauhkan dari api neraka sejauh perjalanan 70 tahun.

Diriwayatkan dari Abu Sa'id al-Khudri r.a. dia berkata: Aku mendengar Rasulullah saw bersabda:
"Barang siapa berpuasa satu hari di jalan Allah akan dijauhkan Allah dirinya dari neraka sejauh
perjalanan tujuh puluh tahun." (HR Muslim)

Puasa merupakan perisai, mengekang syahwat dan hawa nafsu, penebus dosa-dosa, dan pemberi syafaat
kepada pelakunya pada Hari Kiamat kelak. Bagi orang yang berpuasa terdapat pintu khusus di Syurga,
iaitu pintu ar-Rayân, siapa yang memasukinya tidak haus selamanya.

Pasti setiap orang Islam yang berpuasa merasa selamat kerana dengan berpuasa ia adalah perisai
bagi panahan api neraka. Apakah benar ini semua? Apakah perisai itu boleh menangkis panahan
api neraka sedangkan solat diabaikan? Puasa dilaksanakan bersungguh-sungguh, menjauhi segala
perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa apatah lagi dengan perkara-perkara yang
boleh membatalkan puasa. Dijaganya puasa itu amat teliti agar ianya tiada cacat celanya.

Tapi bagaimana dengan solat terabai itu, perintah Allah yang Rasulullah sendiri dijemput oleh
Allah SWT untuk menerimanya di Sidratul Muntaha, lalu Dia sampaikan kepada kita dengan peringatannya,
"Solat itu tiang agama, barangsiapa mendirikan solat sesungguhnya mereka telah mendirikan agama dan
barangsiapa meninggalkan solat sesungguhnya mereka telah meruntuhkan agama." (HR Baihaqi)

Lalu bagaimana kita boleh selamat dari panahan api neraka dengan hanya berpuasa sedangkan solat
jarang kita laksanakan sepenuhnya. Ingatlah sabda Nabi Muhammad SAW: "Barang siapa meninggalkan
sembahyang dengan sengaja, maka kafirlah ia dengan nyata.” Satu lagi sabda baginda:
“Perbezaan antara orang mukmin dan kafir adalah meninggalkan solatnya.”

Ingatlah saudara saudariku sekalian, solat adalah merupakan salah satu dari rukun Islam dan
ianya merupakan ibu ibadat dan perkara pertama yang akan dituntut apabila kita mati dan berada
di Padang Masyar. Maka tunaikan solat itu sebaik mungkin serta dengan kita melaksanakan ibadah
puasa dengan penuh keimanan dan ketaqwaan.

Moga Allah berikan kita kejayaan di dunia serta kejayaan di akhirat.

Wallahu a'lam

Friday, June 19, 2015

Ramadhan Kareem


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين


Rasulullah s.a.w. bersabda:


“Puasa dan (rajin membaca) al-Qur’an, kelak pada hari Kiamat
dapat memberikan syafaat (pertolongan) kepada hamba.


Puasa kelak akan berkata: “Ya Allah, ia telah menahan dirinya dari
makanan dan hawa nafsunya, maka jadikanlah saya sebagai penolongnya.”


Al-Qur’an juga kelak akan berkata: “Ya Allah, ia telah rela
meluangkan waktunya untuk tidak tidur pada malam hari
(kerana membaca al-Qur’an), maka jadikanlah saya sebagai
penolongnya (pemberi syafa’at).”


Lalu puasa dan al-Qur’an pun, berkat izin~Nya,
menjadi penolong bagi hamba tersebut.”


(HR. Ahmad dan Hakim)


SELAMAT BERPUASA MOGA TERHASIL TAQWA..


Friday, June 12, 2015

Wasiat..


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين


Jika hendak hidup beriman
Serta mulia di sisi Tuhan
Marilah kita hendak ingatkan
Wasiat Nabi di akhir zaman


Wajiblah kita menjaga diri
Cabaran hidup banyak sekali
Janganlah kita lupakan diri
Hidup ini menuju mati


Bila melihat mungkar yang nyata
Maka janganlah hanya mengata
Tapi bangkitlah menabur jasa
Membimbing umat jadi pelita


Umat Islam perlu didakwah
Nasihat baik serta berhikmah
Dengan semangat serta ukhuwah
Hubungan kita tambah meriah


[ Abu Ali Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki ]


Friday, June 05, 2015

Pertemuan...


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين


Tanpa pertemuan maka tidak wujud perpisahan,
Perpisahan juga akan membuka pleuang untuk pertemuan yang lain.

Pertemuan selalunya mewujudkan perkenalan,
tetapi perpisahan tidaklah membenarkan terputusnya persahabatan.

Setiap pertemuan akan menorehkan kenangan dalam hidup
Tetapi setiap perpisahan tidaklah semestinya menghapus kenangan itu.

Kadang-kadang pertemuan yang sebentar lebih memberi
kesan yang lebih daripada pertemuan yang tidak berhujung.

Namun perpisahan dalam waktu yang singkat akan
menorehkan rasa rindu yang berpanjanagan.

Rasulullah s.a.w. bersabda :

"Manakah orang yang berkasih sayang dengan sebab kemuliaan-Ku? Kerana hari ini Aku akan naungi
mereka dengan naungan-Ku pada hari yang tiada naungan lagi selain naungan-Ku".
(Riwayat Muslim)

Ya Allah, kurniakanlah kami sahabat yang mengasihi kami kerana~Mu,
kurniakan juga untuk kami kekuatan untuk mengasihi mereka dalam
mencari redha~Mu dan bantulah kami untuk bersama mentaati~Mu.

Aamiin ya Rabbal 'alamin...