Sunday, August 18, 2024

Tujuh macam pahala yang dapat dinikmati selepas matinya



بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين

Dari Anas r.a. berkata bahawa ada tujuh macam pahala yang dapat diterima seseorang itu selepas matinya.

1. Sesiapa yang mendirikan masjid maka ia tetap pahalanya selagi masjid itu digunakan oleh orang untuk beramal ibadat di dalamnya.

2. Sesiapa yang mengalirkan air sungai selagi ada orang yang minum daripadanya.

3. Sesiapa yang menulis mushaf ia akan mendapat pahala selagi ada orang yang membacanya.

4. Orang yang menggali perigi selagi ada orang yang menggunakannya.

5. Sesiapa yang menanam tanam-tanaman selagi ada yang memakannya baik dari manusia atau burung.

6. Mereka yang mengajarkan ilmu yang berguna selama ia diamalkan oleh orang yang mempelajarinya.

7. Orang yang meninggalkan anak yang soleh yang mana ianya selalu mendoakan kedua orang tuanya dan beristighfar baginya

8. Yakni anak yang selalu diajari ilmu Al-Qur'an maka orang yang mengajarnya akan mendapat pahala selagi anak itu mengamalkan ajaran-ajarannya tanpa mengurangi pahala anak itu sendiri.


Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah S.A.W. telah bersabda : "Apabila telah mati anak Adam itu, maka terhentilah amalnya melainkan tiga macam :

1. Sedekah yang berjalan terus (Sedekah Amal Jariah)

2. Ilmu yang berguna dan diamalkan.

3. Anak yang soleh yang mendoakan baik baginya.


Thursday, July 25, 2024

Iman dan amal..


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين



Perumpamaan iman dan amal soleh adalah seperti rumah dengan
mawar, melati, dan berbagai bunga wangi di dalamnya.


Rumah itu nyaman selama peredaran udaranya bagus dan
bunga-bunganya segar serta menebar wangi. Jika udara
pengap dan berhawa panas, bunga pun menjadi layu,
kesegarannya hilang, dan harumnya lenyap.


Demikian pula halnya dengan iman yang terdapat dalam hati.
Ia segar dan bersih sesuai dengan kebersihan hati.


Jika gejolak syahwat, hembusan hawa nafsu, panasnya ketamakan,
sikap sombong dan cinta pangkat ada padanya,
lalu semua itu menyelimuti hati,
maka pohon iman menjadi layu dan
kehilangan kesegaran."


[Al-Imam Al-Hakim Al-Tirmidzi r.a.]

Friday, December 15, 2017

Bermuka-muka..


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين


Sifat bermuka dua atau bermuka-muka adalah sifat yang sangat buruk di sisi moral dan agama. Sifat sedemikian
apabila di hadapan kita dia cakap sekian, tetapi di belakang kita dengan orang lain dia cakap lain pula.

Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam mencela sesiapa yang mempunyai sifat yang keji ini. Dari Abu Hurairah
Radhiyallahu `anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu `alaihi wasallam telah bersabda:

إنَّ شرَّ الناسِ ذو الوجهَينِ الذي يأتي هؤلاءِ بوجهٍ وهؤلاءِ بوجهٍ

“Sesungguhnya seburuk-buruk manusia ialah yang bermuka dua, yang mana dia datang pada suatu kaum dengan
muka sekian, dan dengan kelompok yang lain dia bermuka yang lain.” (Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu `anhu bahawa Rasulullah Shallallahu `alaihi wasallam telah bersabda:

إن من شَرّ الناسِ عندَ اللهِ يومَ القيامةِ ذا الوَجْهَينِ

“Sesungguhnya daripada seburuk-buruk manusia di sisi ALLAH pada Hari Kiamat ialah mereka yang bermuka dua.”
(HR at-Tirmidzi, katanya hasan sahih)

Dari Muhammad bin Zaid bahawasanya ada beberapa orang berkata kepada datuknya
`Abdullah bin `Umar Radhiyallahu `anhuma:

إنا نَدخُلُ على سُلاطينِنَا ، فنقولُ لهم خِلاف مانتكَلَّمُ إذا خَرَجْنا من عِندِهم
قال : كنا نَعُدُّ هذا نِفاقً على عهد رسول الله صلى الله عليه وسلم

“Sesungguhnya apabila kami datang ke hadapan para penguasa maka kami mengatakan kepada mereka lain
dengan apa yang kami katakan apabila kami keluar dari hadapan mereka.”

Kemudian `Abdullah bin `Umar berkata: “Pada masa Rasulullah Shallallahu `alaihi wasallam,
kami menganggap yang demikian itu termasuk perbuatan nifaq.” (HR al-Bukhari)

Berdasarkan hadith-hadith di atas, jelaslah kepada kita bahawa sifat bermuka dua atau bermuka-muka
sangat dibenci oleh Allah Ta`ala, sehingga Nabi Muhammad Shallallahu `alaihi wasallam mengatakan
bahawa manusia yang bersifat sedemikian adalah seburuk-buruk manusia.

Manusia yang bermuka dua atau bermuka-muka ini boleh jadi bersifat demikian dengan tujuan untuk:

1. Melagakan manusia,
2. Meraih keuntungan dari dua pihak atau lebih,
3. Perhatian atau sokongan dari dua pihak atau lebih,
4. Supaya dipandang mulia oleh dua pihak yang berbeza atau lebih,
5. Menyembunyikan kebenaran,

Sifat begini mesti dihindari terutama dari ia wujud dalam diri kita sendiri. Menyedari bahawa kemungkinan
terdapat sebahagian ahli masyarakat kita yang bermuka dua, maka sewajarnya kita sentiasa berhati-hati
dengan maklumat dan berita yang kita kongsikan dengan seseorang. Sifat bermuka dua sangat memudharatkan
masyarakat, terutama jika sifat itu wujud dalam kalangan orang yang memimpin masyarakat.

Semoga Allah Ta`ala memelihara kita semua, amin…