Friday, September 27, 2013

Hikmah Haji...


بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Imam Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebut tentang faedah
bagi seseorang yang menunaikan haji
dalam Kitab al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu.

Antaranya:

  • Menghapuskan dosa kecil. Sebahagian ulama Hanafi berkata, termasuk dosa besar.
  • Membersihkan jiwa daripada maksiat.
  • Jiwa menjadi bersih, ikhlas dalam tajdid kehidupannya.
  • Menambahkan lagi ma’nawiyat ihsan.
  • Meneguh dan menguatkan cita-cita serta keazaman.
  • Mengukuhkan lagi husnu al-zan dengan Allah SWT.
  • Menambah dan meningkatkan iman serta keyakinan.
  • Memperbaharui tajdid perjanjian ketaatan dan kepatuhan kepada Allah SWT.
  • Bertaubat dengan penuh keikhlasan dan harapan kepada keampunan-Nya.
  • Mendidik jiwa serta melembutkan perasaan kemanusiaan.
  • Menambahkan lagi sifat dan tingkatan ihsan dalam ibadat.
  • Mengimbau kembali nostalgia keagungan Islam.
  • Membaca sejarah salaf al-soleh yang penuh gemilang dengan amalan soleh dan jihad.
  • Mengajar erti sebuah kesabaran dan pengorbanan.
  • Memahami keperluan iltizam dan istiqamah yang mesti disebatikan dalam jiwa.
  • Menzahirkan kesyukuran di atas pelbagai kurniaan nikmat-Nya:
    Antaranya, nikmat harta, kesihatan, ilmu, ukhuwah, iman, taqwa, tauhid, akal dan *ain-lain.
  • Menanam dalam lubuk hati ruh ubudiah yang sempurna.


Ya Allah! Ya Tuhan kami..
Berilah kami keselamatan dan kesihatan dan juga pada orang-orang yang melaksanakan
ibadah haji, orang-orang yang berziarah dan para musafir dari kalangan umat Nabi Muhammad
melalui darat, laut dan udara. Jauhilah kami dari kejahatan orang-orang yang zalim
khususnya buat semua jemaah haji.


Kami mohon kepada~Mu Ya Allah!
Semoga menjadikan perjalanan mereka, perjalanan yang penuh dengan segala kebaikan tanpa
ada satu pun keburukan yang terdahulu dan yang akan datang....aamiin



Wallahu a'lam


Friday, September 20, 2013

Titik peluh sendiri



بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Dari Zubair bin Awwam r.a, dari Nabi s.a.w sabdanya;


"Apabila kamu menyiapkan seutas tali, lalu pergi mencari kayu api,
kemudian dibawanya seikat kayu di punggungnya lalu dijualnya dan
Allah memberi kecukupan bagi keinginannya, itulah yang lebih baik
baginya daripada ia meminta-minta kepada orang ramai diberi
ataupun tidak." (Al-Bukhari)


HURAIAN

Orang yang berjaya ialah orang yang mampu menempuh berbagai rintangan dan
cabaran dalam hidup. Walau daripada mana ceruk asal seseorang itu,
sekiranya dia rajin berusaha maka kejayaan akan menjadi miliknya.


Bukankah rezeki Allah S.W.T ada di mana-mana. Cuma yang bakal menentukan
hanyalah ‘mahu’ atau ‘tidak’ kerana kemalasan akan menjunamkan seseorang
itu ke lembah kehinaan.


Begitu juga dengan sikap malu hendaknya biarlah bertempat. Kata orang malu
bertanya sesat jalan, malu makan perut lapar dan malu dalam mencari rezeki
alamat hidup akan melarat.


Sesungguhnya Islam memandang mulia pada manusia yang bekerja membanting
tulang empat kerat untuk mencari sesuap nasi atau rezeki yang halal
berbanding dengan mereka yang hidup meminta-minta daripada orang lain.


Wallahu a'lam...


~~~~~


Pujangga berkata;
Perbanyakkan membaca istighfar, kerana dengan istighfar akan ada rezeki,
akan ada jalan keluar, akan ada keluarga, akan ada ilmu yang berguna,
akan ada kemudahan dan akan ada penghapusan dosa.


Friday, September 13, 2013

Memberi maaf itu mulia..


بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Haji Abdul Malik Bin Haji Abdul Karim Amarullah
(Buya Hamka) berkata:

Mari naikkan setingkat lagi.

Sudahkah kita berani memberi maaf musuh kita?
Sudahkah kita berani menghapuskan dari hati kita perasaan dendam,
kerana kesalahan teman kepada diri kita?

Membalas baik dengan jahat adalah perangai yang serendah-rendahnya.

Membalas jahat dengan jahat, bukanlah perikemanusiaan.

Membalas baik dengan baik adalah hal yang biasa.

Tetapi membalas yang jahat dengan yang baik adalah
cita-cita kemanusiaan yang setinggi-tingginya.
Kita harus sanggup hidup memberi cita-cita itu tumbuh.

Memang sakit rasanya jiwa kita sendiri tatkala membalas kejahatan dengan kebaikan.
Dalam batin kita amat hebat perjuangan nafsu jahat dengan budi yang mulia.
Nafsu membayangkan penderitaan kita kerana kesalahannya, kerugian kita kerana aniayanya.

Kais bin 'Ashim, seorang pujangga Arab berkata:

Cubalah buhulkan kembali tali yang telah putus.
Cubalah beri orang yang tidak sudi memberimu.
Cubalah memberi maaf orang yang menganiaya kamu.

Di sana baru engkau rasai apa ertinya kemanusiaan!

~~~~~

Benar, kehidupan akan hanya bererti jika insan sendiri yang berupaya mencurahkan
makna ke dalam cangkir usianya. Yang rendah, menjengkit; yang tinggi, menunduk.
Tapi, kita tidak bakal tahu juga apa maksudnya makna selagi kita masih terlupa
menyanjungi amanah khalifah di bumi.

Friday, September 06, 2013

Hari Haji Akbar itu bila?


بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Ketahuilah kiranya, ya saudaraku!


Dapat kita ketahui daripada hadith yang dikeluarkan
oleh Abu 'Isa At-Tirmidzi akan haji akbar itu manakah
harinya, adakah ia hari 'Arafah atau hari Nahar, yakni;
adakah ia pada sembilan hari bulan Zulhijjah atau
pada sepuluh hari bulan Zulhijjah yang berhimpun
sekalian orang di Mina karena menyembelih dan
menyempurnakan sekalian kerja haji.


Maka hadithnya itu adalah begini, katanya :

عَنْ عَلِيٍّ قَالَ ؛ سَأَلْتُ رَسُو لَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
عَنْ يَوْمِ الأَكْبَرِ؟ فَقَال؛ يَوْمُ النَّحْرِ


Diriwayatkan daripada Baginda 'Ali Karamallahu wajhah, katanya:
Telah aku tanya akan Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam
daripada hari haji akbar, adakah ia hari Nahar atau hari 'Arafah?
Maka sabdanya : "Ialah hari Nahar."


Yakni; hari menyembelih korban di Mina, iaitu hari sepuluh Zulhijjah.


Wallahu a'lam..

~~~~~

Berkata seorang Pujangga,
Barang siapa memiliki adab yang banyak dan baik, perasaan yang sihat,
dan akhlak yang mulia. Maka dia akan membuat dirinya dan orang lain
berbahagia. Akan mendapat hati yang tenang dan keadaan jiwa yang sejuk.