Friday, November 13, 2015

Rezeki itu jaminan Allah...


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين


Syekh Ahmad ibnu Muhammad Ibnu Atha’illah As-Sakandari menasihatkan,
“Kesungguhanmu mengejar apa yang sudah dijamin untukmu (oleh Allah)
dan kelalaianmu melaksanakan apa yang dibebankan kepadamu,
itu merupakan tanda butanya bashirah (mata batin).”

Penjelasan :

Nasihat bijak ini memberikan pemahaman kepada kita, bahawa sebaiknya jangan
memaksakan diri untuk mengejar apa yang sesungguhnya telah dijamin oleh Allah Ta’ala
atas seluruh makhluk ciptaan~Nya.

Sebagaimana disebut oleh Allah Ta’ala dalam sebuah firman-Nya,
“Dan berapa banyak binatang melata yang tidak (mampu) membawa (mengurus)
rezekinya sendiri. Allah-lah yang memberikan rezeki kepadanya dan kepadamu,
juga Dia Mahamendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Ankabuut : 60)

Juga firman Allah Ta’ala yang lain,
“Kami (Allah) tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu.
Dan akibat (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertaqwa.” (Surah Thaahaa : 132)

Seorang bijak yang bernama Ibrahim al-Khawwash pernah berkata,
“Janganlah memaksakan diri untuk mencapai apa yang telah dijamin (untuk dicukupi),
dan jangan menyia-nyiakan (mengabaikan) apa yang telah diamanahkan (diwajibkan)
kepadamu untuk memenuhinya.”

Dalam sebuah hadith, Rasulullah s.a.w., bersabda,
“Sesungguhnya Allah sangat mencintai seorang hamba yang apabila melakukan suatu pekerjaan,
maka ia melakukannya dengan sebaik-baiknya.” (HR Abu Ya’la dan al-Asykari)

Wallahu a'lam..

Friday, November 06, 2015

Pesan dan ingat..


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين


Pesan Imam al-Ghazali :-

1) Apabila berjumpa kanak-kanak anggaplah mereka lebih mulia daripada kita
kerana mereka belum dibebani dengan dosa.

Dari Anas bin Malik r.a katanya: “Rasulullah s.a.w. bertemu dengan beberapa orang anak
lalu baginda memberi salam kepada mereka.” (Riwayat Muslim)

2) Apabila berjumpa dengan orang tua, anggaplah mereka lebih mulia daripada
kita kerana mereka lebih lama beribadah dari kita.

Abu Umamah pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud:
"Tiga kelompok manusia yang tidak boleh dihina kecuali orang munafik ialah orang tua Muslim,
orang yang berilmu dan imam yang adil." (Riwayat Muslim)

3) Apabila berjumpa orang Alim, anggaplah dia lebih mulia dari kita kerana banyaknya ilmu di dadanya.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: "Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu)
atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang
yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari
golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.” (Riwayat al-Bazzar)

4) Apabila berjumpa orang jahil anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana mereka
melakukan dosa dalam kejahilan sedang kita melakukan dosa dalam keadaan mengetahui.

Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Malaikat-malaikat sentiasa menurunkan sayapnya
(sebagai memuliakan dan menghormati) penuntut ilmu agama, kerana mereka suka dan bersetuju
dengan apa yang penuntut itu lakukan." (Riwayat Abu ad-Darda' r.a)

5) Apabila berjumpa orang jahat jangan anggap kita mulia sebaliknya berkata mungkin orang itu
akan bertaubat pada masa tuanya sedangkan kita belum tahu bagaimana pengakhiran hidup kita.

..Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya esok.
Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati.
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal..(Surah Luqman:34)

6) Apabila berjumpa orang kafir katakan belum tentu dia akan kafir selama-lamanya.

Dari Anas bin Malik r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya apabila orang-orang
kafir mengerjakan kebajikan di dunia dia diberi upah dengan amalnya itu berupa rezeki di dunia.
Sedangkan orang-orang mukmin, pahala kebajikannya disimpan Allah Taala untuknya di akhirat kelak
serta diberinya rezeki di dunia berhubung dengan taatnya." (Riwayat Muslim)

Wallahu a'lam..