Friday, May 03, 2013

Ciri-ciri Pemimpin yang adil


بسم الله الرحمن الرحيم

Daripada Abu Hurairah RA berkata, telah bersabda Rasulullah s.a.w. : "7 golongan yang akan dinaungi oleh ALLAH SWT pada hari tiada naungan melainkan di bawah naungan~NYA, Iman yang adil, pemuda yang hidupnya di dalam ibadah...” (Riwayat Imam Bukhari)

Huraian Hadis :

Hadis Riwayat Bukhari ini telah menerangkan bahawa seorang Pemimpin yang adil dalam turutan pertama dari tujuh kelompok manusia utama yang akan mendapat naungan ALLAH SWT di akhirat nanti membuktikan bahawa peranan sebagai pemimpin yang bersikap adil sangat dititikberatkan. Ini adalah punca utama untuk mewujudkan suasana yang harmoni di dalam sesuatu tampok kepimpinan.

Pemimpin mestilah memiliki akhlak dan ciri-ciri seperti berikut:

1. Dia mestilah seorang yang menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan dan menjadikan Ulama sebagai tempat meminta pandangan, dan juga mengharapkan keredhaan ALLAH dengan ikhlas kerana ALLAH semata-mata. Mempunyai hati yang bersih, jauh daripada penyakit jiwa yang merosakkan amal dan usahanya.

2. Memiliki akal yang kuat, berhikmah, cendekiawan, bijaksana, berpengalaman, berpandangan tajam, ilmu yang luas, mampu mengetahui pelbagai perkara dari segenap sudut, cepat memahaminya dan cepat menggunakannya sebaik mungkin.

3. Berakhlak dengan sifat al-hilm (lembut). Berdasarkan kepada dalil Al-Quran; Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan orang-orang yang menehan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. ALLAH menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Al-Imran ayat 134)

4. Berani, bermaruah, keberanian yang harus dimiliki ialah ketetapan dan ketahanan hati, taat kepada ALLAH, tidak ada wahn (cintakan dunia dan takut mati), berani berterus terang dalam menyatakan yang haq, pandai menyimpan rahsia, sanggup mengakui kesilapan, insaf terhadap diri dan mampu mengawal kemarahan

Firman ALLAH SWT yang maksudnya : “Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahawa ALLAH mengampunimu? Dan ALLAH adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah An-Nur ayat 22)

5. Bersikap as-siddiq (benar) dalam perkataan dan perbuatan. Tawadhu, tidak membanggakan diri kepada manusia. Hatinya tunduk dan patuh pada al-haq (ALLAH).

6. Memaafkan dan ihsan terhadap perbuatan keji orang lain terhadap kita. Para pemimpin biasanya terdedah kepada pelbagai kecaman dengan beraneka ragam manusia. Selalunya gangguan dan serangan ditujukan kepada orang yang dipimpin melalui diri pemimpin. Jadi, wajiblah pemimpin menghiasi dirinya dengan sifat pemaaf, menahan kemarahan dan ihsan asalkan tidak membawa kepada kerendahan, kehinaan ataupun kerosakan yang menimpa maslahat syariat.

7. Menepati janji dan memenuhi sumpah setia. Akhlak ini melahirkan thiqqah (percaya) dalam suasana amal, ketenteraman, tolong-menolong dan membawa hasil.

8. Sabar, kerana pemimpin pastinya akan berhadapan dengan kesukaran, dipenuhi dengan perkara yang berlawanan dengan kehendak hawa nafsu, penuh dengan onak, racun, rintangan, bencana dan ujian.

9. Bersifat dengan al-iffah (suci hati jiwa dan amal) dan al-karam (pemurah dan tidak bakhil). Dengan sifat ini pemimpin tidak berminat dengan harta benda yang melemahkan kemahuan dan tidak sesuai dengan usaha serta jihad besar dalam menentang musuh-musuh ALLAH. Pemimpin mestilah menjadi qudwah (contoh) melalui sifat pemurah dan mengutamakan kepentingan orang lain daripada kepentingan sendiri.

10. Adil dan insaf (terutama terhadap diri sendiri). Sifat ini amat penting kepada pemimpin dan mad’u dalam amal jamaie kerana setiap individu akan merasa tenteram terhadap haknya dan menginsafinya. Ini telah disebutkan Hadis di atas tentang adil.

11. Bersifat wara’ dan zuhud. Ini dapat menjauhi syubhat, meninggalkan perkara yang mengandungi dosa kerana takut terjebak ke dalamnya. Dia sentiasa bermuhasabah dalam segala hal dan setiap waktu.

12. Tidak mengungkit dan memperkatakan kebaikan diri sendiri. Jangan mengharapkan pujian dan sanjungan manusia dan tidak memuji diri sendiri atas segala usaha yang dilaksanakan dalam berdakwah.

13. Memelihara perkara yang dimuliakan oleh ALLAH (Hurumatillah). Setiap masa dalam jamaah mesti menjadi pengawal dan penjaga yang sentiasa sedar, berwaspada dan dipercayai dalam memelihara segala kemuliaan ALLAH pada segenap ajaran Islam supaya tidak timbul pencabulan hak atau perbuatan melampaui batas.

14. Kesejahteraan hati, tidak menghiraukan umpatan dan mengadu domba di antara manusia. Perkara ini jika dilayan akan memberi ruang yang luas untuk dimasuki syaitan, memarakkan kebencian dan permusuhan hingga akhirnya melahirkan perpecahan dalam jamaah.

15. Keazaman yang kuat dan tawakkal yang tinggi kepada ALLAH. Pemimpin terdedah kepada pelbagai biah (suasana), peristiwa dan bebanan yang mempunyai keputusan yang penting dan besar. Pemimpin dituntut menghadapi semuanya dengan azam, kekuatan, hikmah, tanpa kelemahan, keraguan dan menyerah kalah. Sentiasa berbaik sangka dengan ALLAH kerana DIAlah yang Maha Berkuasa di atas setiap perkara.

RASULULLAH S.A.W BERSABDA : "SIAPA SAJA YANG MEMIMPIN TETAPI MENUTUP PINTUNYA DARIPADA RAKYAT, DAN DIA MATI DALAM KEADAAN MENIPU RAKYATNYA, MAKA ALLAH HARAMKAN DIRINYA DARIPADA MEMASUKI SYURGA. (RIWAYAT BUKHARI & MUSLIM)

Wallahu a'lam...

Dikutip dari Masjid Al-Itisam

11 comments:

  1. Aisyah melaporkan Rasulullah SAW berkata:

    Sekiranya Allah mahukan kebaikan kepada seseorang pemerintah itu, Allah akan jadikan baginya menteri atau pembantu yang benar. Jika pemerintah itu terlupa, menterinya akan mengingatkannya. Jika dia ingat, menteri tersebut akan membantunya. Sekiranya Allah mahukan kepada pemerintah itu selainnya iaitu keburukan, Allah akan jadikan baginya menteri atau pembantu yang jahat. Jika dia terlupa, menteri itu tidak akan mengingatkannya. Jika dia ingat, menteri itu tidak membantunya.

    (Hadis sahih li ghairihi, direkodkan Abu Daud & Ibn Hibban)

    Ustaz, semoga kita terus gilap diri dengan ciri-ciri kepimpinan Islam yang sebenar agar dalam mengamanah diri dengan tanggungjawab bisa sama sekali tidak dicuaikan. Salam ukhuwwah!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Pemimpin pilihan di antara kamu semua ialah orang-orang yang kamu cintai (suka), mereka juga mencintai kamu. Kamu semua mendoakan mereka untuk kebaikan begitu juga mereka mendoakan untuk kebaikan kamu. Adapun pemimpin-pemimpin yang jahat di kalangan kamu ialah orang-orang yang kamu benci mereka, dan mereka pun benci kepada kamu. Kamu melaknat mereka dan mereka juga melaknat kamu. Auf bin Malik bertanya kepada Rasulullah, Apakah kita tidak boleh menentang mereka? Sabda baginda,Jangan menentang mereka selama mereka masih mendirikan sembahyang di kalangan kamu.

      Delete
  2. Assalamualaikum ustaz, dah lama tak dengar berita, harap ustaz sihat dan ceria

    ciri2 yg sememangnya harus ada pada pemimpin kita,

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumusalam..

      Alhamdulillah sihat cuma sibuk sikit..:)

      Sungguh pemimpin akan ditanya akan kepimpinannya kelak di akhirat..

      Delete
  3. Assalamu'alaikum Abd Razak

    Semoga sentiasa beroleh kesejahteraan dan dalam redha Allah SWT.

    Begitulah seharusnya dimiliki oleh pemimpin kerana kelak akan dipertanggungjawabkan. Bila baik dapatlah mardhaatillah, hidup di dunia senang di akhirat pun begitu juga.

    Kita pun ada tanggungjawab untuk memilih pemimpin yang adil.



    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumusalam Kak Werdah..

      Moga kakak juga sentiasa beroleh kesejahteraan dan dalam redha Allah SWT.

      Kepemimpinan itu amat penting sekali pada pandangan Islam kerana itulah Islam mewajibkan supaya institusi kepemimpinan itu ditegakkan baik dalam skop yang besar.

      Terima kasih kak!

      Delete
  4. salam sahabat...

    tetiba rasa nak mai "umah" sahabat mlm niii,
    "ilmu" utk esok, jazakallah... ^__^

    **moge sihat,lama menyepi yee**

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam sahabat...

      Alhamdulillah sihat..

      Moga sahabat pun sihat..

      Delete
  5. Assalamualaikum....

    Moga En sihat dalam pemeliharaanNya.

    Meletakkan sesuatu ditempatnya... (Hem~~~)

    Moga Allah kasih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumusalam...

      Amin amin ya Rabbial 'alamin..

      Benar, jika tersalah pilih buruk padanya..

      Moga Allah kasih dirimu jua..

      Delete
  6. Salam sahabat

    lama tak kesini ... semoga sahabat sihat dan sentiasa dalam rahmat Nya

    ReplyDelete

السلم عليكم ورحمة الله...:)

Lihatlah sudut-sudut hati kecilmu dengan pandangan yang cermat. Jika engkau mendapati sesuatu yang terpuji, maka pujilah Allah dan teruslah berlalu. Akan tetapi, jika engkau melihat sesuatu yang menjengkelkan, maka ikutilah dengan penilaian dan pemeriksaan yang baik terhadapnya.