Friday, April 27, 2012

Kebaikan Takwa


بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum, alhamdulillah marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran kita kepada Allah SWT kerana atas limpah rahmat kasih sayang~Nya kepada kita semua. Selawat dan salam kita ucapkan kepada junjungan Nabi Muhammad SAW, keluarga dan sahabat-sahabat Baginda serta orang-orang mengikutinya sehinggalah ke akhir zaman.

Ketahuilah wahai saudaraku sekalian! Bekal yang terbaik bagi seorang hamba untuk meraih kebahagiaan baik di dunia mahupun di akhirat kelak adalah bekal ketakwaan kepada Allah. Sebagaimana telah Allah azza wa jalla jelaskan dalam firman-Nya (yang ertinya): “Dan Sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada~Ku Hai orang-orang yang berakal.” (QS Al-Baqarah: 197)

Sungguh takwa itu adalah perhiasan hati kerana ianya merupakan sebaik-baik pakaian serta ianya berkaitan dengan hubungan seseorang dengan Allah SWT. Sesungguhnya, kecantikan hati dengan ketakwaan itulah yang meningkatkan kedudukan seseorang di sisi Allah SWT.

Al-Habib Abdullah bin 'Alawi Al-Hadad r.a. berkata, "Takwa merupakan wasiat utama dari Allah SWT untuk orang-orang yang terdahulu mahupun orang-orang yang terkemudian...Bukankah Allah SWT sering menjelaskan kepada kita melalui kitab suci~Nya iaitu al-Quran yang mulia, bahawa dalam sifat takwa itu, ada kebahagiaan sejati dan kebaikan yang tidak terhitung banyaknya."

Imam Al-Habib Abdullah Al-Hadad juga menyenaraikan beberapa kebaikan sifat takwa dalam 'An-Naso'ih Ad-Diniyyah wal-Washoya Imaniyah' iaitu:

PERTAMA: Sentiasa dalam perlindungan Allah SWT.

Allah SWT berfirman, وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ

Maksudnya, "...bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah, bahawa Allah beserta orang-orang yang bertakwa." [Surah Al-Baqarah: 194]

KEDUA: Dikurniakan ilmu daripada Allah SWT.

Allah SWT berfirman, وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ وَيُعَلِّمُكُمُ اللَّهُ

Maksudnya, "...dan bertakwalah kepada Allah; Allah mengajarmu..." [Surah al-Baqarah: 282]

Ketiga: Mendapat petunjuk daripada Allah SWT dalam membezakan antara kebenaran dan kebatilan ketika timbul kekeliruan.

KEEMPAT: Sebagai penebus (kaffarah) kesalahan dan penyucian dosa-dosa.

Allah SWT berfirman,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تَتَّقُوا اللَّهَ يَجْعَل لَّكُمْ فُرْقَانًا وَيُكَفِّرْ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ۗ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ

Maksudnya, "Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar." [Surah Al-Anfaal: 29]

KELIMA: Keselamatan daripada azab neraka.

Allah SWT berfirman,

وَإِن مِّنكُمْ إِلَّا وَارِدُهَا ۚ كَانَ عَلَىٰ رَبِّكَ حَتْمًا مَّقْضِيًّا * ثُمَّ نُنَجِّي الَّذِينَ اتَّقَوا وَّنَذَرُ الظَّالِمِينَ فِيهَا جِثِيًّا

Maksudnya, Dan tiada seorangpun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya; (yang demikian) adalah satu perkara yang mesti (berlaku) yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu. Kemudian Kami akan selamatkan orang-orang yang bertaqwa, dan kami akan biarkan orang-orang yang zalim (dengan kekufurannya dan maksiatnya) tinggal berlutut di dalam neraka itu. [Surah Maryam: 71-72]

KEENAM: Terhindar daripada bebanan hidup, rezeki sentiasa melimpah ruah tanpa diduga, sentiasa hidup dengan penuh ketenteraman dan mendapat ganjaran yang besar daripada Allah SWT.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, "...dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. [Surah At-Tholaq: 2-3]

KETUJUH: Allah SWT menjanjikan syurga buat orang-orang yang bertaqwa.

Firman Allah SWT, تِلْكَ الْجَنَّةُ الَّتِي نُورِثُ مِنْ عِبَادِنَا مَن كَانَ تَقِيًّا

Maksudnya, Itulah taman Syurga yang Kami akan berikan sebagai warisan pusaka kepada orang-orang. yang bertaqwa dari hamba-hamba Kami. [Surah Maryam: 63]

KELAPAN: Mendapat kemuliaan dunia dan akhirat.

Allah SWT berfirman, إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Maksudnya, "...Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan~Nya (akan keadaan dan amalan kamu).

Bekalan menuju kebahagiaan di akhirat adalah ketakwaan dan amal soleh. Oleh yang demikian, Allah SWT mengingatkan kita agar berbekal dengan ketakwaan kerana takwa adalah sebaik-baik bekalan untuk menuju sebaik-baik tempat iaitulah syurga~Nya. Semoga Allah senantiasa mencurahkan rahmat~Nya bagi kita semua.

Semoga Allah SWT memberi kekuatan kepada kita untuk melaksanakan segala perintah~Nya dan menjauhi semua larangan~Nya, serta menggolongkan kita ke dalam golongan orang-orang yang bertakwa yang akan meraih Al-Jannah yang penuh dengan kenikmatan. Aamiin..

Friday, April 20, 2012

Taat dan patuh


بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan Rasul yang mulia Nabi Muhammad SAW, keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Hai orang-orang yang beriman! Taatlah kepada Allah, dan taatlah kepada Rasul dan orang-orang yang berkuasa di antara kamu. Dan bila kamu berselisih tentang sesuatu di kalangan mu sendiri, hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah dan Rasul. Jika kamu beriman kepada Allah dan hari kemudian, itu lebih baik dan penyelesaian yang paling indah. [QS An Nisaa’ : 59]

Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan peringatan yang baik. Dan bantahlah mereka dengan (bantahan) yang lebih baik. Sungguh, Tuhanmu lah yang lebih mengetahui siapa yang tersesat dari jalannya, Dan ialah yang lebih mengetahui orang yang mendapat bimbingan. [QS An Nahl : 125]

Ingatlah, sesungguhnya (orang munafik itu) memalingkan dada mereka untuk menyembunyikan diri daripadanya (Muhammad). Ingatlah pada waktu mereka menutupi dirinya dengan kain, Allah mengetahui apa yang mereka sembunyikan, dan apa yang mereka nyatakan. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui segala isi hati. [QS Huud : 5]

Tidakkah mereka melakukan perjalanan di muka bumi, sehingga mereka mempunyi hati yang dengan itu mereka dapat memahami, dan mempunyi telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Sesungguh, bukanlah matanya yang buta, tetapi yang buta ialah hatinya, yang ada di dalam (rongga) dada. [QS Al Hajj : 46]

Nabi Muhammad SAW pernah mengingatkan umat-umatnya tentang kelima-lima perkara ini iaitu:

1. Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk.

Sudah menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji-muji orang yang berbuat baik kepada kita sehingga kadang-kadang kita terlupa hakikat bahawa terlampau banyak nikmat yang telah Allah berikan kepada kita. Lantaran itu, kita terlupa memuji dan menyebut-nyebut nama Allah. Makhluk yang berbuat baik sedikit kita puji habis-habisan tapi nikmat yang terlalu banyak Allah berikan kita langsung tak ingat. Sebaik-baiknya elok dibasahi lidah kita dengan memuji Allah setiap ketika, bukan ucapan Alhamdulillah hanya apabila sudah kekenyangan hingga sedawa. Pujian begini hanya di lidah saja tak menyelera hingga ke hati.

2. Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia.

Dunia terlalu sedikit dibandingkan dengan akhirat. 1000 tahun di dunia setimpal dengan ukuran masa sehari di akhirat. Betapa kecilnya nisbah umur di dunia ini berbanding akhirat. Nikmat dunia juga 1/100 daripada nikmat akhirat. Begitu juga seksa dan kepayahan hidup di dunia hanya 1/100 daripada akhirat. Hanya orang yang senteng fikiran sibuk memikirkan Wawasan Dunia hingga terlupa Wawasan Akhirat. Manusia yang paling cerdik ialah mereka yang sibuk merancang Wawasan Akhiratnya. Saham Amanah Dunia tak penting, tapi yang paling penting ialah Saham Amanah Akhirat yang tak pernah rugi dan merudum malahan sentiasa naik berlipat kali ganda. Oleh itu perbanyakkanlah menyebut-nyebut perihal akhirat supaya timbul keghairahan menanam dan melabur saham akhirat.

3. Perbanyakkan menyebut dan mengingat hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan.

Kita sering memikirkan bekalan hidup ketika tua dan bersara tapi jarang memikirkan bekalan hidup semasa mati. Memikirkan mati adalah sunat kerana dengan berbuat demikian kita akan menginsafi diri dan kekurangan amalan yang perlu dibawa ke sana. Perjalanan yang jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan yang amat banyak. Bekalan itu hendaklah dikumpulkan semasa hidup di dunia ini. Dunia ibarat kebun akhirat. Kalau tak usahakan kebun dunia ini masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat? Dalam hubungan ini eloklah sikap Saidina Alli dicontohi. Meskipun sudah terjamin akan syurga, Saidina Ali masih mengeluh dengan hebat sekali tentang kurangnya amalan untuk dibawa ke akhirat yang jauh perjalanannya. Betapa pula dengan diri kita yang kerdil dan bergelumang dengan dosa?

4. Jangan menyebut-nyebut kebaikan diri dan keluarga.

Syaitan memang sentiasa hendak memerangkap diri kita dengan menyuruh atau membisikkan kepada diri kita supaya sentiasa mengingat atau menyebut-nyebut tentang kebaikan yang kita lakukan sama ada kepada diri sendiri, keluarga atau masyarakat amnya. Satu kebaikan yang kita buat, kita sebut-sebut selalu macam rasmi ayam 'bertelur sebiji riuh sekampung'. Kita terlupa bahawa dengan menyebut dan mengingat kebaikan kita itu sudah menimbulkan satu penyakit hati iaitu ujub. Penyakit ujub ini ibarat api dalam sekam boleh merosakkan pahala kebajikan yang kita buat. Lebih dahsyat lagi jika menimbulkan ria' atau bangga diri yang mana Allah telah memberi amaran sesiapa yang memakai sifatNya (ria') tidak akan mencium bau syurga. Ria' adalah satu unsur dari syirik (khafi). Oleh itu eloklah kita berhati-hati supaya menghindarkan diri daripada mengingat kebaikan diri kita kepada orang lain. Kita perlu sedar bahawa perbuatan buat baik yang ada pada diri kita itu sebenarnya datang dari Allah. Allah yang menyuruh kita buat baik. Jadi kita patut bersyukur kepada Allah kerana menjadikan kita orang baik, bukannya mendabik dada mengatakan kita orang baik. Kita terlupa kepada Allah yang mengurniakan kebaikan itu.

5. Jangan sebut-sebut dan nampakkan keaiban atau keburukan diri orang lain

Kegelapan hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu menyebabkan diri kita menyebut-nyebut kesalahan dan kekurangan orang lain. Kita terdorong melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri kita sendiri. Bak kata orang tua-tua 'kuman seberang lautan nampak, tapi gajah di depan mata tak kelihatan'. Islam menuntut kita melihat kekurangan diri supaya dengan cara itu kita dapat memperbaiki kekurangan diri kita. Menuding jari mengatakan orang lain tak betul sebenarnya memberikan isyarat bahawa diri kita sendiri tidak betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang; satu jari arah ke orang itu tapi 4 lagi jari menuding ke arah diri kita. Bermakna bukan orang itu yang buruk, malahan diri kita lebih buruk daripadanya. Oleh sebab itu, biasakan diri kita melihat keburukan diri kita bukannya keburukan orang lain. Jangan menjaga tepi kain orang sedangkan tepi kain kita koyak rabak. Dalam Islam ada digariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan sesama manusia iaitu lihatlah satu kebaikan yang ada pada diri seseorang, meskipun ada banyak kejahatan yang ada pada dirinya. Apabila melihat diri kita pula, lihatkan kejahatan yang ada pada diri kita walaupun kita pernah berbuat baik. Hanya dengan cara ini kita terselamat dari bisikan syaitan yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk menjerumuskan kita ke dalam api neraka.

Semoga 5 perkara yang disebutkan di atas dapat kita hayati dan diterapkan dalam kehidupan kita seharian. Sama-sama kita berdoa semoga kita terselamat dari kemurkaan Allah semasa di dunia hingga ke akhirat. Aamiin...

Sekian...mohon maaf jika terkasar bahasa. Moga ada manfaatnya.

Friday, April 13, 2012

Usia


بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum, alhamdulillah segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam. Selawat dan salam buat Nabi Junjungan Muhammad SAW, ahli keluarganya, sahabat-sahabatnya, para tabiin dan orang-orang mengikutinya hingga hari kiamat.

Usia adalah anugerah yang begitu berharga yang diberikan Allah kepada manusia. Dengan bergantinya tahun maka semakin bertambah umur kita akan tetapi sesungguhnya semakin berkurang waktu hidup kita di dunia. Setiap detik menuju ke sana kita rasakan dalam getaran hati dan jiwa ini, sungguh semakin dekat seakan ajal menghampiri kita. Lalu apakah yang telah kita perbuat selama ini dihadapan Allah. Sudah bersiapkah kita jika sewaktu Allah mengambil kita.

Orang yang cerdik adalah orang yang berjuang keras mempergunakan umurnya dengan berbakti kepada Allah SWT. Tiada jalan lain selain mengisi umur kita dengan berbagai macam kebaikan dan kemuliaan. Dengan demikian kita telah menempuh hidup atau mengisi usia ini dengan tidak sia-sia. Agama Islam menganjurkan agar hidup kita di hari ini lebih baik daripada semalam. Jika tidak demikian maka kita termasuk orang yang rugi.

Usia adalah masa yang menentukan baik-buruknya manusia. Siapa yang menyia-nyiakannya maka sia-sialah hidupnya. Dan kelak dapat menemui hasil yang telah disia-siakan selama hidupnya. Keyakinan dengan membenarkan sebenar-benarnya akan hidup akan datang dan di saat kedatangannya itu tiada berguna kerana sudah berlalu masanya.

Selanjutnya hadapilah keadaan hidup yang tiada batas akhirnya nan abadi dengan ganjaran setimpal dari hasil yang diperolehnya tatkala itu. Oleh kerana itu tidak sesuai kita sebagai seorang Muslim yang beriman menyambut setiap pergantian tahun dengan hura-hura apalagi berpesta.

Seharusnya kita merayakannya dengan muhasabah diri bertaubat kemudian merapikan diri. Adapun rasa kegembiraan sebagai sifat dasar yang umum sebagai manusia maka cukuplah dengan mengungkapkan kegembiraan yang tidak berlebihan. Allah SWT berfirman yang ertinya “Wahai orang-orang yang beriman bertakwalah kepada Allah dan hendaklah tiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok dan bertakwalah kepada Allah sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” [QS al-Hasyr 59 : 18]

Allah telah menciptakan manusia dalam bentuk yang paling baik, memberikan berbagai kelebihan, dan memuliakan mereka di antara semua makhluk~Nya. Sudah menjadi ketetapan Allah bahawa manusia akan mengalami perkembangan dan pertumbuhan dalam perjalanan hidupnya, tahap demi tahap, dari masa bayi ke masa kanak-kanak, lalu menjadi remaja, setelah itu menapaki usia dewasa, kemudian separuh baya, dan akhirnya memasuki usia lanjut dalam keadaan lemah dan tidak bermaya.

Meskipun urutannya demikian, tak seorang pun akan dapat memastikan bahawa hidupnya akan berlanjut terus hingga tua, kerana boleh jadi belum sempat tua, bahkan mungkin masih muda remaja, ajal telah menjemputnya. Ya, usia memang misteri yang tak pernah terungkap dalam kehidupan manusia. Tiada siapa pun dapat meneka dengan tepat atau tahu dengan terperinci berapa tahun ia akan hidup di dunia yang fana ini, pada tahun berapa ia akan mati, di mana akan berakhir hidupnya. Kerana itu, Islam terus mengingatkan penganutnya untuk sebaik mungkin memanfaatkan usia yang sedang dijalani, kerana waktu yang berlalu tak akan kembali.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Belum hilang jejak telapak kaki orang-orang yang menghantarnya ke kubur, seorang hamba akan ditanya mengenai empat hal, iaitu tentang usianya ke mana dihabiskannya, tentang tubuhnya untuk apa digunakannya, tentang ilmunya seberapa banyak yang diamalkannya, serta hartanya dari mana diperolehnya dan untuk apa dibelanjakannya." [HR At-Tirmidzi]

Bagi seseorang soleh, setiap kali Allah disebut Rahman dan Rahim yang dirindukan kampung halaman iaitu kembali ke alam arwah. Jadi kalau alam rahim ertinya alam yang penuh kasih sayang, alam arwah, maksudnya dalam kehidupan yang damai bersama Allah yang Rahman dan Rahim. Ada semacam kerinduan, sehingga orang Sufi mengatakan, "Kematian adalah pintu gerbang untuk lebih dekat kepada yang dicintai."

Jadi kematian tidak perlu ditakuti, tapi bila lebih dekat kepada Allah iaitu melalui kematian. Jadi semakin tua jangan takut dengan kematian tapi harus gembira kerana akan kembali ke kampung halaman.

Marilah kita hidup dengan baik dan menjadi manusia yang berguna. Ya Allah, cukupkanlah umur dan waktu kami di dunia ini untuk hidup sesuai dengan keinginan~Mu agar pada saatnya nanti kami siap “bertemu” dengan~Mu. Redhailah semua usaha yang kami lakukan ini, usaha untuk membuat kami “siap” bertatap wajah dengan~Mu.

Ya Allah, terimalah amal kami hari ini, ampunilah dosa-dosa kami. Ya Allah kiranya engkau panjangkan usia kami esok, semoga ketika kami bangun, Iman dan Islam masih tetap ada pada diri kami. Dan kalau Engkau mengambil diri kami, kerana sememang kami milik~Mu.

Friday, April 06, 2012

Hubungan Maksiat dengan Bencana

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, segala puji hanyalah selayaknya kepada Allah SWT Tuhan yang mencipta alam ini. Selawat dan salam diucapkan untuk Junjungan Nabi Muhammad SAW, ahli keluarganya, sahabat-sahabatnya serta orang-orang mengikuti Baginda sehingga ke hari kiamat.

Wahai saudaraku, sedarlah, perbaikilah amalmu dengan sekuat tenaga. Amatilah setiap zaman dengan cermat. Sebab, ada zaman yang keburukannya banyak dan kebahagiaannya sedikit, kesedihannya tersebar rata, kesusahannya banyak dan keberkahannya sedikit. Oleh kerana itu seorang yang berakal hendaknya sedar dan berhati-hati, berusaha mendekatkan diri kepada Allah dengan segenap kemampuannya agar terhindar dari bencana.

Sesungguhnya yang menjerumuskan manusia ke dalam berbagai bencana ini tiada lain adalah kelalaian, pengabaian, berpalingnya mereka dari Allah Yang Maha Tinggi, dan keinginan kuat untuk dekat kepada Allah tanpa diiringi amal yang memadai. Kerana itulah Allah SWT murka dan tidak memberikan berkah pada bumi. Sehingga alam porak poranda dan keadaan makhluk pun terpuruk.

Demikianlah zaman yang penuh kelalaian, di dalamnya para pelaku maksiat bermaksiat secara terang-terangan, zaman yang serba sulit, zaman yang pengaruhnya sangat merisaukan. Keadaan ini menunjukkan bahawa Allah Ta’âlâ telah berpaling dari makhluk~Nya. Sebab, jika Allah meredhai hamba~Nya, maka Ia akan memandang mereka dengan penuh kasih, alam pun bercahaya, jiwa senang, hati hidup, kebahagiaan tampak, keadaan manusia menjadi baik, berkah melimpah ruah dan kebaikan semakin meningkat.

Dikatakan dalam sebuah syair:

Demi hidupku,
jika hati ini bahagia saat berdekatan denganmu,
ia pasti menderita ketika jauh darimu
kau pergi atau tinggal,
cintaku padamu tetap membara,
tempatmu di hatiku selalu terjaga
betapa sepi dunia tanpa dirimu
dan alangkah indahnya dunia bila bersamamu

Atau:

Kehadiranmu membuatku senang dan bahagia
tanpamu dunia ini bagiku adalah penjara
kujalani hidup ini
dan kehidupan pun terasa nikmat bersamamu
berderai air mataku karenamu
dan kampung ini terasa nyaman berkatmu
Jika tidak berlomba ‘tuk memperoleh cintamu
dan tidak cemburu kepadamu,
lalu dengan siapa lagi aku mesti berlomba?

Kau telah membuatku mencintai Najd dan Hajir,
Padahal keduanya bukan negeriku
Kau dahulu pernah tinggal di situ
Maka keduanya menjadi tempat nyaman bagiku

Para ulama berkata, "Jika Allah Ta’âlâ berpaling dari makhluk, Dia jadikan alam ini gelap gelita, maka lenyaplah kesenangannya, padamlah cahayanya, hancurlah hati manusia, menjadi buruk keadaan mereka, tersebar merata kesedihan, menjadi sedikit kebaikan, lenyaplah amanah, hilanglah rasa cinta, membumbung tinggi harga-harga, orang jahat berkuasa, berkuranglah keuntungan para pedagang, orang berakal menjadi bingung menyaksikan peristiwa-peristiwa yang belum pernah terjadi sebelumnya, dan bumi rosak dan tak ramah kepada penghuninya."

Dalam syair dikatakan:

Jika aku berkunjung ke suatu kota
dan tak kulihat engkau di sana
kota berubah muram wajahnya
dan semua menjadi gelap gelita

Bencana ini terjadi kerana dosa-dosa manusia; kerana mereka melanggar larangan~Nya dan mengabaikan perintah~Nya. Sebab Allah dapat menyegerakan atau menunda siksa. Siksa yang disegerakan adalah seperti yang telah kusebutkan: kerosakan alam dan lain-lain. Adapun siksa yang ditunda adalah siksa yang dijanjikan di akhirat.

Oleh kerana itu, orang yang cerdas seharusnya bangkit dari tidurnya dan mencurahkan semua tenaga untuk beribadah kepada Tuhannya. Sehingga, ketika manusia ditimpa siksa dan bencana, maka Allah dengan rahmat~Nya akan menyelamatkan mereka yang sungguh-sungguh berkhidmat kepada~Nya.

Sebab, bencana yang diturunkan akan menimpa semua manusia: yang taat apalagi yang derhaka. Hanya saja bencana yang menimpa orang yang baik, sedikit dan sangat ringan. Meskipun bencana dan musibah duniawi menyakitkan dan membahayakan, namun demi mencari pahala, maka kaum sholihin bersabar atas pahitnya qadha dan pedihnya bala, mereka berkata:

baik atau pun buruk perlakuanNya
aku pasti ridha kepadaNya
dan hatiku pun rela dengan ketentuanNya

meski tak pernah kuhirup aroma keredhaanMu
meski tak kunjung henti hari-hari amarahMu

Lain halnya dengan orang yang lalai dan suka bermaksiat, mereka akan mendapat bencana dan malapetaka yang dahsyat. Demikian buruknya perbuatan mereka, sehingga bencana itu juga menimpa orang-orang yang baik di antara mereka. Allah SWT berfirman dalam kitab~Nya yang mulia, “Dan peliharalah dirimu daripada siksa yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim di antaramu saja.” [QS Al-Anfal, 8:25]

Juga disebutkan bahawa Allah SWT berfirman dalam salah satu kitab yang Ia turunkan, "Kerana dosa seorang munafik, sebuah kota terbakar. Lantaran dosa seorang munafik, dunia terbakar."

Perbuatan yang paling sering menyebabkan manusia tertimpa berbagai bencana adalah amalan yang muncul dari hati yang penuh kedengkian dan riya, terutama jika amalan itu dikerjakan oleh seorang ahli zuhud atau ahli ilmu.

Sebab, Allah SWT telah berfirman kepada bani Israil, “Kalian menuntut ilmu untuk selain Allah. Kalian belajar bukan untuk diamalkan. Kalian bersihkan minuman kalian dari kotoran, tapi makanan haram sebesar gunung kalian telan. Kalian memakai pakaian dari bulu kambing, tapi menyembunyikan nafsu serigala. Kerana itu demi Keagungan~Ku, Aku bersumpah akan menimpakan kepada kalian fitnah yang dapat menyesatkan pemikiran para ahli fikir dan hikmah.”

Untungnya, setiap terjadi bencana Allah Ta’âlâ selalu menyayangi dan melindungi hamba-hamba~Nya:

Demikianlah menjadi kewajiban Kami untuk menyelamatkan orang-orang yang beriman. [QS Yunus, 10:103]

Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman. [QS Al-Haj, 22:38]

Diriwayatkan bahawa seorang utusan Allah Azza wa Jalla menemui seorang lelaki saleh Bani Israil yang ditimpa berbagai bencana, “Jangan takut, sesungguhnya Allah bersamamu, Allah berfirman untukmu, ‘Sesungguhnya seorang kekasih tidak akan menelantarkan kecintaannya. Orang yang bertawakal kepada~Ku tidak akan hina. Dan orang yang meminta kekuatan dari~Ku, tidak akan lemah.” (Memahami Hawa Nafsu, Idharu Asrari Ulûmil Muqarrabîn, Putera Riyadi)

Sumber : Kitab "Idharu Asrari Ulumil Muqarrabin" - Habib Muhammad bin Abdullah Al Aidarus