Friday, December 27, 2013

Jangan bertangguh...


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين


Bersegeralah mengambil keuntungan dari pintu kehidupan selagi belum ditutup untukmu.
Perbanyaklah melakukan amal-amal baik selagi masih ada kesempatan.
Cepatlah memasuki pintu taubat sementara pintu itu terbuka bagimu.
Gunakanlah pintu doa selagi ia terbuka bagimu.


Gunakanlah kesempatan bergaul dengan orang-orang soleh
selagi kesempatan itu terbuka untukmu.
Bangunkanlah apa yang telah kamu rosakkan.
Cucilah apa yang telah kamu lumuri dengan najis.
Perbaikilah apa yang telah kamu robohkan.


Bersihkanlah apa sahaja yang telah kamu kotori.
Kembalikanlah apa yang telah kamu ambil.
Kembalilah kepada Tuhanmu dari kepergian dan larimu.


Kebaikan itu adalah dalam menghadap kepada~Nya,
dan keburukan itu adalah kerana berpaling dari~Nya.
Setiap amal yang kamu harapkan upahnya adalah untukmu,
dan setiap amal yang dilakukan kerana
Dia bererti untuk~Nya. Jika kamu beramal dan meminta ganti
maka balasannya adalah makhluk.


Jika kamu beramal untuk mencari redha Allah SWT, balasannya
adalah kedekatanmu dengan~Nya dan memandang kepada~Nya,
kemudian kamu tidak akan meminta ganti atas semua amalmu.
Apalah ertinya dunia, akhirat, dan segala sesuatu selain Dia,
jika dibandingkan dengan Dia?


Syeikh Abdul Qadir al-Jailani
Petikan Majlis Keempat, al-Fathur Rabbani wal Faidhur Rahmani
~Menjadi Kekasih Allah~


Wallahu a'lam


Friday, December 20, 2013

Bahagia di dunia dan akhirat


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين

Abdullah bin Amru bin Ash r.a. berkata,
"Orang yang memiliki 5 perkara ini tentu bahagia di dunia dan akhirat, iaitu:

1. Ia suka membaca lafaz,

لاَ اِلَهَ اِلَّا اللهُ مُحَمَّدٌ رَسُوْلُ اللهِ


2. Apabila ditimpa musibah, maka ia mengucapkan,

اِنَّا ِللهِ وَاِنَّا اِلَيْهِ رَاجِعُوْنَ وَلَاحَوْلَ وَلَا قُوَّةَ اِلَّا بِاللهِ اْلعَلِيِّ اْلعَظِيْمِ


3. Apabila diberi nikmat karena bersyukur atas nikmat yang ia terima
maka ia membaca,

الْحَمْدُ للهِ رَبِّ الْعَا لَمِيْنَ


4. Apabila memulai sesuatu (ucapan atau perbuatan), ia membaca,

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ


5. Apabila banyak dosa, ia membaca,

اَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ وَاَتُوْبُ اِلَيْهِ


Hal itu sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w.

"Jangan banyak bicara, selain zikir kepada Allah, karena sesungguhnya banyak berbicara
selain zikir adalah penyebab hati yang keras dan sesungguhnya sejauh-jauh manusia dari
(rahmat) Allah adalah orang yang memiliki hati yang keras."
(HR Tirmidzi)


Wallahu a'lam

Al-Faqir ila Rabbi


Friday, December 13, 2013

Sediakan bekal...


بسم الله الرحمن الرحيم


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


… وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَىٰ ۚ وَاتَّقُونِ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ …


“Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah TAQWA,
bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal …”
(Surah Al-Baqarah: 197)


Pelajaran mengenai Sebaik-baiknya bekal adalah taqwa yang dapat kita ambil dari ayat tersebut,


Bila ajal menjemput TIDAK akan membawa sesuatu pun ke dalam kubur, kecuali TAQWA dan AMAL SOLEHNYA.
Barang siapa mengenal Allah, tetapi tidak menjadikannya TAQWA, ia termasuk orang yang celaka.


Seseorang TIDAK akan mencapai kemuliaan dengan harta kekayaannya,
karena kemuliaan hanya bagi orang-orang yang BERTAQWA.
Segala kesulitan yang ditemui dan dirasakan orang yang taat,
tidak akan menjadikan mudharat baginya…!!!


Wahai saudaraku yang mulia, TAATLAH pada Allah,
Tunaikanlah segala suruhan~Nya, dan jauhkan dirimu dari segala tegahan~Nya.
Bangunlah sholat malam (Tahajud), Tadaburkan Al-Qur’an,
Penuhi panggilan Allah untuk berjamaah di rumah~Nya (Masjid),
Tebarkan sedekah dan kebaikan, bimbinglah keluarga agar semakin takut pada Allah,
Rendahkan hati kalian, hadirlah ke majlis ilmu yang membuat kalian semakin takut
pada~Nya dan membuat kalian mudah menangis karena~Nya.


Dari Abu Dzar bin Junadah dan Abu Abdurrahman Muadz bin Jabal radhiyallahu’anhuma,
dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam baginda bersabda, “Bertaqwalah kepada
Allah di manapun engkau berada. Iringilah keburukan dengan kebaikan, nescaya kebaikan
tersebut akan menghapuskannya. Dan bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik.”
(HR Tirmidzi)


Imam Said bin Jubair berkata:

"Jika seseorang tidak mahu mengajak kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran
sehingga keadaan dirinya sempurna, maka tidak akan ada seorang pun yang akan mengajak
kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran.” Imam Malik amat bersetuju dengan
kenyataan Imam Said bin Jubair ini dan sebagai tanda sokongannya, beliau menambah:
"Dan siapakah antara kita yang lengkap dan sempurna?"
(al-Jami' Li Ahkami al-Quran, Imam Qurthubi)


Wallahu a'lam


Al-Faqir ila Rabbi

Friday, December 06, 2013

Saat ini...



بسم الله الرحمن الرحيم


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Tika daun-daun berguguran..
Tersentuh hatiku mengenangkannya..
Setiap yang bermula pasti ada penghujungnya..
Setiap yang bernyawa akan sampai mautnya nanti..


Saat ini daun itu kehijauan..
Belum pasti esok warnanya tetap hijau..
Mungkin bertukar menjadi keperangan..
Lalu gugur..


Aku yang masih mampu menghirup udara hari ini..
Mungkin esok aku sudah tidak diizinkan berbuat demikian..
Sudah cukup masa di dunia..
Harus kembali kepada Pencipta..


Pasti, aku tidak mengetahui segala-galanya..
Kerana perjalanan hidup ini Allah yang tentukan..
Kita tidak punya pilihan..
Melainkan akur terhadap kehendak~Nya..


Bilakah penghujungnya waktu yang diizinkan~Nya..
Aku tidak pasti..
Sudahkah cukup bekalan untuk dibawa..
Aku terfikir sendiri…
Sebuah penghujung yang menandakan sebuah permulaan.


Ketahuilah, kamu hanya akan mendapat kedudukan mulia dan tinggi di sisi
Allah Subhanahu wa Ta'ala, jika mengikuti (ittiba') sunnah Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam.
Sebaliknya, kamu akan diremehkan (kedudukanmu) dan dijauhkan dari Allah
jika tidak mengikuti Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam.


[Imam Ibnu 'Athaillah As-Sakandari rahimahuLlah]


Al-Faqir ila Rabbi


Friday, November 29, 2013

Mengira diri...


بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Ketahuilah kiranya, ya saudaraku!

Sebagus-bagusnya seseorang itu menahan hawa nafsunya, tidak diturutkan apa kehendaknya yang
merosakkan diri dan mengurangkan diri daripada menuntut bekal akhirat, maka apabila diturutkan
hawa nafsu nescaya binasa diri pada akhirnya tiada ber'amal 'ibadat dan tiada bersedia apa
persediaan yang dibawa kemudian daripada mati melainkan persediaan yang tidak baik sahaja.

Maka jadilah orang yang menurut hawa nafsu pada dunia itu orang yang bodoh, sebagaimana
yang telah disaksikan yang demikian itu dengan khabar daripada Nabi Shallallahu 'alaihi
wasallam sebagai hadith yang dikeluarkan oleh Abu 'Isa at-Tirmidzi katanya:

Diriwayatkan daripada seorang sahabat bagi Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam namanya
Syaddad bin Aus Radhiyallahu 'anhu daripada Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam sabdanya:

Bermula orang yang lebih ber'amal dan bijaksana itu iaitulah orang yang mengira akan dirinya
jangan jatuh terikutkan hawa nafsu, dan jangan kena bala besar dan kecil di akhirat dengan
sebabnya, maka berhabis kira ia ke atas dirinya memperbuat sesuatu pekerjaan dan hal-ehwalnya,
apakah ia berfaedah bagi akhiratnya, atau tidak berfaedah akhiratnya. Jika berfaedah dikerjakannya
dan jika tidak, diberhentikannya, maka ber'amal ia dengan sungguhnya bagi barang yang kemudian
daripada mautnya yakni sentiasa ia mengadakan bekal akhirat jua. Itulah sifat orang yang
ber'aqal dan bijaksana pada syara'.

Dan bermula orang yang lemah fikirnya, yakni orang yang tiada ber'aqal pada syara' bahkan ia
orang yang bodoh namanya iaitu orang yang menurut dirinya akan hawa nafsunya. Maka apa yang
dicita oleh hawa nafsunya ia turutkan, tiada dilawannya dan tiada diperbuatnya apa yang tiada
disukai nafsunya. Maka kesukaan hawa nafsu itu apa lebih daripada sukakan bersenang-senang diri
dan bersedap-sedap makan minum dan pakaian dan berkata-kata yang tiada memberi faedah dan berdosa
dan melihat apa yang sedap dilihat, dan didengar apa yang sedap didengar daripada segala perkara
haram dan mencita ia atas Allah Ta'ala menyempurnakan kehendaknya yang berbetulan dengan kemahuan
nafsunya itu.

Kata Abu 'Isa at-Tirmidzi, bermula ini hadith hasan.

Dan diriwayatkan daripada Saiyidina 'Umar bin al-Khaththab Radhiyallahu 'anhu katanya,

Ambil kira halus di dunia ini akan diri sekalian kamu sebelum bahawa diambil atas sekalian kamu
kira-kira yang halus, dan bersedia sekalian kamu bagi pertunjukan yang besar di negeri akhirat
kepada Tuhan. Maka hanyasanya ringan hisab pada hari qiamat itu atas siapa menghalusi hisab akan
dirinya di dalam dunia jikalau tiada ambil hisab dengan halus di dunia ini, nescaya berat hisab
di akhirat kelak.

Wallahu a'lam

Al-Faqir ila Rabbi

Friday, November 22, 2013

Sedarilah...


بسم الله الرحمن الرحيم


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Segala puji-pujian bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam.
Selawat dan salam atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. serta keluarganya,
sekalian para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah di atas
jalan suci ini dengan penuh ketenangan dan istiqamah.


Sedarilah sifat-sifatmu,

nescaya Allah akan membantumu dengan sifat-sifat~Nya.

Akuilah kehinaanmu,

nescaya Allah membantumu dengan kemuliaan~Nya.

Akuilah ketidakberdayaanmu,

nescaya Allah membantumu dengan kekuasaan~Nya.

Akuilah kelemahanmu,

nescaya Allah akan membantumu dengan kekuasaan~Nya.


Syeikh Ibn ‘Atha’illah as-Sakandari,
Kitab Al-Hikam


****


Dear everyone,

Teruskanlah berbuat baik, berkata baik, memberi nasihat yang baik,
walaupun tidak ramai orang mengenalimu, cukuplah Allah mengenalimu
lebih daripada yang lain. Jadilah seperti jantung yang tidak terlihat
tetapi terus berdenyut setiap saat hingga membuat kita terus hidup
menjelang akhir hayat.


Al-Faqir ila Rabbi

Friday, November 15, 2013

Kegelapan dan penerangnya..



بسم الله الرحمن الرحيم


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Segala puji-pujian bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam.
Selawat dan salam atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. serta keluarganya,
sekalian para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah di atas
jalan suci ini dengan penuh ketenangan dan istiqamah.


Sayyidina Abu Bakar r.a. mengatakan,
bahawa kegelapan itu ada LIMA
dan lampunya pun ada LIMA iaitu :


Pertama, Cinta akan dunia adalah suatu kegelapan dan
lampu penerangnya adalah Taqwa.


Kedua, Dosa adalah suatu kegelapan dan
lampu penerangnya adalah Taubat.


Ketiga, Kubur adalah kegelapan dan
lampu penerangnya adalah bacaan Kalimat,
لَااِلَهَ اِلَّااللهُ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ


Keempat, Akhirat adalah kegelapan dan
lampu penerangnya adalah Amal Saleh.


Kelima, Shirat Al-Mustaqim adalah suatu kegelapan dan
lampu penerangnya adalah keyakinan.


Rasulullah s.a.w. bersabda,
"Cinta akan dunia adalah sumber kesalahanmu." (HR Al-Baihaqi)


Imam Al-Ghazali mengomentari hadis tersebut dengan mafhum
mukkhalafahnya sebagai berikut:

"Sebagaimana dikatakan bahawa mencintai dunia itu adalah sumber
segala kesalahan, maka membenci dunia adalah segala kebaikan."


Wallahu a'lam...


Rujuk Kitab Nashaihul Ibad karangan Ibnu Hajar Al-Asqalani


Friday, November 08, 2013

Qalbu...


بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman :
"Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan fu'ad (hati) itu semuanya
akan ditanya tanggung jawabnya." (Surah al-Isra' 17:36)

Karena peranan qalbu terhadap anggota tubuh yang lain dan kedudukannya yang sangat penting bagaikan
seorang raja yang mengatur anak buahnya, di mana seluruh anggotanya tersebut bergerak dan bekerja
sesuai dengan perintah sang raja (qalbu/hati), maka Rasulullah s.a.w. bersabda :

"Ingatlah! Bahawa dalam tubuh itu ada segumpal darah. Bila ia baik, maka baiklah seluruh tubuhnya;
dan bila ia rosak, maka rosak jugalah seluruhnya. Itulah Qalbu!" (HR Bukhari dan Muslim)

Memeriksa (menghisab) dan mengubati penyakit-penyakit hati adalah suatu kewajiban setiap hamba
Allah Ta'ala, karena kita manusia Dia ciptakan hanyalah untuk beribadah lahir dan batin kepada~Nya,
karena itulah fitrah manusia.

Pembahagian Qalbu (Hati) :

1. Hati yang Selamat (Sehat)/Qalbun Saliim, adalah hati yang hanya dengannya manusia
dapat datang dan berjumpa Allah Ta'ala dengan selamat di hari Kiamat.

"Pada hari di mana harta dan anak-anak tidak bermanfaat. Kecuali manusia yang datang
kepada Allah dengan hati yang selamat (sehat)." (Surah Asy-Syu'araa' 26:88-89)

Qalbu yang selamat ini adalah Qalbu yang selamat dari setiap hawa/keinginan/kehendak yang menyalahi
Kehendak/Perintah Allah Ta'ala, selamat dari setiap syubhat dan kesalahfahaman yang bertentangan
dengan Kebaikan (Kebenaran), sehingga sang Hati ini Selamat dari penghambaan kepada selain Allah Ta'ala,
dan Lepas dari perbuatan yang menjadikan hakim selain Rasulullah Saw. Sehingga akhirnya membuahkan
KEIKHLASAN dalam setiap perilaku (yang sesungguhnya pun merupakan rangkaian Ibadah) kita semata-mata
Hanya kepada Allah Ta'ala, penuh dengan segenap Mahabbah, Tunduk, Pasrah dan Tawakal, Taubat, Takut
dan Penuh Harap hanya kepada Allah Ta'ala.

2. Qalbu (Hati) yang mati, adalah hati yang tidak Mengenal Allah Ta'ala, tidak beribadah
kepada~Nya, dengan tidak menjalankan perintah dan hal apapun yang diredhai~Nya.

Hati yang seperti ini selalu berada dan berjalan bersama hawa/keinginan/kehendaknya, walaupun itu
dibenci dan dimurkai Allah Ta'ala. Ia tidak peduli apakah Allah Ta'ala redha kepadanya ataukah tidak.

Kebodohan dan kelalaian adalah supirnya. Ia diselubungi, dipenjara oleh kecenderungan dan kecintaannya
kepada dunia (iaitu hal-hal selain Allah Ta'ala dan Rasul~Nya). Hatinya telah ditutupi oleh selubung
kabut gelap cinta kehidupan dunia dan hawa nafsunya.

Ia tidak menyambut dan menerima panggilan Allah Ta'ala, seruan Allah Ta'ala, seruan tentang Hari Kiamat,
karena ia mengikuti syetan yang menunggangi hawa (nafsu)nya. Hawanya telah membuatnya tuli dan buta,
sehingga ia tidak tahu lagi manakah yang batil dan manakah yang haq. Maka berteman dan bergaul dengan
orang-orang yang hatinya telah mati seperti ini berarti mencari penyakit.

3. Qalbu (Hati) yang sakit, adalah hati yang Hidup namun mengandung Penyakit-penyakit.

Hati semacam ini mengandung 2 unsur :

Di satu pihak mengandung Iman, Ikhlas, Tawakal, Mahabbah, dan sejenisnya yang membuatnya menjadi hidup
namun di pihak lain mengandung kecintaan/kecenderungan kepada hawa (nafsu), seperti cinta/senang
pada kehidupan dunia, sombong, ego, harga diri tinggi, keluhan, iri (dengki), dan sifat-sifat lain
yang dapat mencelakakan dan membinasakannya.

Hati seperti ini diisi oleh 2 jenis santapan : santapan berupa seruan (panggilan) dan Perintah
Allah Ta'ala dan Rasul~Nya akan Hari Kiamat dan santapan lain berupa panggilan/kecintaan kepada dunia.
Yang akan disambutnya dari kedua seruan (panggilan) inilah yang paling dekat kepadanya.

Maka, Hati yang pertama itulah yang Selamat karena Sehat dari berbagai macam Penyakit Hati,
senantiasa Khusyu', Tunduk, bersifat Lembut. Sedangkan hati jenis kedua itulah hati yang mati,
dan hati jenis ketiga iaitu hati yang sakit karena mengandung Penyakit, yang mungkin bisa kembali
dengan selamat (Sehat) atau ia akan celaka (Mati).

Wallahu a'lam

Friday, November 01, 2013

Nafsu


بسم الله الرحمن الرحيم


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Engkau ciptakan Firaun, Haman dan Qarun
Mereka adalah sebesar-besar penderhaka terhadap~Mu
Namun Engkau kurniakan dunia seluruhnya kepada mereka
Itulah tandanya
Dunia ini tidak melebihi sebelah sayap nyamuk pada sisi~Mu


Tapi nafsu kami masih juga terliur
Melihat keagungan Firaun, kepintaran Haman dan kekayaan Qarun
Nafsu kami masih inginkan
Sayap nyamuk yang sebelah itu.


Nafsu sangat sabar menyembunyikan laparnya
Sesekali ia menghantar isyarat
Jika Engkau menjawab ia akan bangun
Di kala itu Engkau akan tertawan.


Nafsu umpama sebuah kenderaan
Enjinnya ialah tamak
Rodanya ialah dengki dan khianat
Seteringnya ialah tipudaya
Bila kenderaan ini berjalan
Ia meninggalkan asap kotor di belakang
Tetapi si pemandu asyik memandang ke hadapan
Tidak pernah melihat pencemaran yang ditinggalkan.


Nafsu adalah sebahagian daripada dirimu
Ia boleh diam dan tidur tetapi tidak berputus asa
Perlulah engkau sentiasa berwaspada.


Barangsiapa mendengar seseorang melakukan suatu perbuatan mungkar,
namun ia tidak berusaha mencegahnya, kelak ia akan datang di hari
kiamat dalam keadaan tuli dan terpotong kedua telinganya


~Sayyidina Anas bin Malik~


Friday, October 25, 2013

Sembunyikan...



بسم الله الرحمن الرحيم


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Segala puji-pujian buat Allah SWT, Tuhan sekalian alam.
Selawat dan salam atas junjungan besar Muhammad s.a.w. dan seisi keluarganya,
sekalian para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah di atas
jalan suci ini dengan penuh ketenangan.


Ketahuilah wahai saudaraku sekalian,
bahawa ikhlas itu tidak bisa terwujud di dalam hati seorang hamba jika ia hanya
mengharapkan pujian semata. Biarpun ibadahnya kelihatan hebat pada pandangan
manusia namun di sisi Allah ianya hanya sia-sia belaka.


Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Kami hadapkan segala amal yang mereka kerjakan,
lalu Kami jadikan amal itu umpama debu yang berterbangan, tiada bernilai.” (Surah al-Furqan : 23)


Oleh kerana itu sembunyikanlah kebaikan-kebaikanmu sebagaimana engkau
menyembunyikan keburukan-keburukanmu, dan janganlah engkau kagum dengan
amalan-amalanmu, sesungguhnya engkau tidak tahu apakah engkau termasuk
orang yang celaka (masuk neraka) atau orang yang bahagia (masuk syurga).


Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Allah berfirman,
“Aku adalah yang paling tidak memerlukan sekutu. Barang siapa yang beramal
sedangkan Aku disekutukan dengan selain~Ku nescaya Aku tinggalkan dia
dengan sekutunya.” (Hadis riwayat Imam Muslim)


Ikhlas itu ada pada amalan hati kita yang tiada sesiapa pun mengetahuinya,
melainkan ia menjadi rahsia antara seorang hamba dan Tuhannya.


Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barangsiapa yang meninggalkan dunia ini dengan
membawa keikhlasan kerana Allah sahaja, ia tidak menyekutukan Allah,
melaksanakan solat, menunaikan zakat, maka ia telah meninggalkan dunia ini
dengan membawa redha Allah." [HR Bukhari dan Muslim]


Di antara tanda keikhlasan adalah jika engkau suka sembunyikan kebaikanmu
dan tidak suka menyembunyikan kesalahanmu.

~Syed Quthub~


Wallahu a'lam


Friday, October 11, 2013

Puasa Arafah



بسم الله الرحمن الرحيم


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Ketahuilah kiranya, ya saudaraku!

Bermula kelebihan puasa pada hari 'Arafah itu sangatlah besarnya,
sebagaimana hadithnya telah dikeluarkan oleh Abu 'Isa At-Tirmidzi,
dengan katanya:

عَنْ أَبِي قَتَادَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ
صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ إِنِّي أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ
أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ

Diriwayatkan daripada seorang sahabat Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam,
dipanggil orang dengan Abi Qatadah, bahawasanya Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam
bersabda ia : Bermula puasa pada hari 'Arafah itu, bahawasanya aku kirakan atas
Allah Ta'ala bahawa mengkafarat ia akan dosa tahun yang dahulunya dan dosa tahun
yang kemudiannya.


Kata Imam Nawawi di dalam Syarah Al-Muhazzab :
Telah berkata Al-Mawardi di dalam Al-Hawa :
Padanya dua ta'wil :

1. Bahawasanya Allah Ta'ala mengampun baginya dua tahun.

2. Bahawasanya Allah Ta'ala memeliharakan dia di dalam dua tahun,
tiada berbuat maksiat ia di dalamnya.


Dan kata As-Sarkhasi : Adapun tahun yang pertama, maka dikafaratkan
barang yang berlaku di dalamnya. Katanya : Dan bersalah-salahan 'ulama'
pada makna mengkafaratkan tahun yang lagi akan datang :

1. Dan kata setengah mereka itu, maknanya; apabila memperbuat satu kesalahan
di dalamnya, nescaya menjadi Allah Ta'ala akan puasa hari 'Arafah yang lalu
itu kafarat baginya sebagaimana dijadikannya kafarat bagi tahun yang lalu.

2. Dan kata setengah mereka itu, bermula maknanya; bahawasanya Allah Ta'ala
memeliharakan dia pada tahun yang akan datang daripada memperbuat dosa yang
berhajat padanya kepada kafarat.


Dan hanya sanya yang demikian itu tertentu bagi Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam,
mengampun Allah baginya akan barang yang telah terdahulu daripada dosanya
dan barang yang kemudiannya, dengan nash al-Quran yang mulia.


Wallahu a'lam..


Friday, October 04, 2013

Pesan Umar al-Khatab



بسم الله الرحمن الرحيم


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Suatu hari Sayyidina Umar Bin Khattab r.a. bertutur kepada sebahagian sahabatnya;

Aku berwasiat kepadamu enam perkara :


1. Jika engkau menemukan cela pada seseorang dan engkau mahu mencacinya,
maka cacilah dirimu. Kerana, celamu lebih banyak darinya.


2. Bila engkau hendak memusuhi seseorang, maka musuhilah dahulu perutmu.
Kerana, tidak ada musuh yang lebih berbahaya terhadapmu selain perut.


3. Bila engkau hendak memuji seseorang, pujilah ALLAH SWT! Kerana, tiada
seorang manusia pun lebih banyak dalam memberi kepadamu dan lebih santun
lembut kepadamu selain DIA.


4. Jika engkau ingin meninggalkan sesuatu, maka tinggalkanlah kesenangan dunia.
Sebab, andaikata engkau meninggalkannya, bererti engkau terpuji.


5. Bila engkau bersiap-siap untuk sesuatu, maka bersiaplah untuk mati. Kerana,
jika engkau tidak bersiap untuk mati, engkau akan menderita,
rugi atau penuh penyesalan.


6. Bila mana engkau ingin menuntut sesuatu, maka tuntutlah Akhirat.
Kerana, engkau tak akan memperolehnya kecuali dengan mencarinya.


Wallahu a'lam


Jalan dan cara menuju keselamatan dan kebahagiaan abadi adalah dengan cara
mendekatkan diri kepada Allah yang Maha Benar. Allah telah mengajar makna
kedekatan itu kepada kita. Dia mengajari kita melalui utusan~Nya yakni para rasul,
sehingga kita berkata, "Kami beriman". Itulah Kebenaran. Kita menerima dan
membenarkannya. Tugas kita kemudian hanyalah mengikuti ajaran dan teladan
Nabi~Nya lahir dan batin..

[Syeikhul Akbar Muhyiddin Imam Ibnu 'Arabi At-Tho`i Qaddasallahu Sirrahu]


Friday, September 27, 2013

Hikmah Haji...


بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Imam Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebut tentang faedah
bagi seseorang yang menunaikan haji
dalam Kitab al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu.

Antaranya:

  • Menghapuskan dosa kecil. Sebahagian ulama Hanafi berkata, termasuk dosa besar.
  • Membersihkan jiwa daripada maksiat.
  • Jiwa menjadi bersih, ikhlas dalam tajdid kehidupannya.
  • Menambahkan lagi ma’nawiyat ihsan.
  • Meneguh dan menguatkan cita-cita serta keazaman.
  • Mengukuhkan lagi husnu al-zan dengan Allah SWT.
  • Menambah dan meningkatkan iman serta keyakinan.
  • Memperbaharui tajdid perjanjian ketaatan dan kepatuhan kepada Allah SWT.
  • Bertaubat dengan penuh keikhlasan dan harapan kepada keampunan-Nya.
  • Mendidik jiwa serta melembutkan perasaan kemanusiaan.
  • Menambahkan lagi sifat dan tingkatan ihsan dalam ibadat.
  • Mengimbau kembali nostalgia keagungan Islam.
  • Membaca sejarah salaf al-soleh yang penuh gemilang dengan amalan soleh dan jihad.
  • Mengajar erti sebuah kesabaran dan pengorbanan.
  • Memahami keperluan iltizam dan istiqamah yang mesti disebatikan dalam jiwa.
  • Menzahirkan kesyukuran di atas pelbagai kurniaan nikmat-Nya:
    Antaranya, nikmat harta, kesihatan, ilmu, ukhuwah, iman, taqwa, tauhid, akal dan *ain-lain.
  • Menanam dalam lubuk hati ruh ubudiah yang sempurna.


Ya Allah! Ya Tuhan kami..
Berilah kami keselamatan dan kesihatan dan juga pada orang-orang yang melaksanakan
ibadah haji, orang-orang yang berziarah dan para musafir dari kalangan umat Nabi Muhammad
melalui darat, laut dan udara. Jauhilah kami dari kejahatan orang-orang yang zalim
khususnya buat semua jemaah haji.


Kami mohon kepada~Mu Ya Allah!
Semoga menjadikan perjalanan mereka, perjalanan yang penuh dengan segala kebaikan tanpa
ada satu pun keburukan yang terdahulu dan yang akan datang....aamiin



Wallahu a'lam


Friday, September 20, 2013

Titik peluh sendiri



بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Dari Zubair bin Awwam r.a, dari Nabi s.a.w sabdanya;


"Apabila kamu menyiapkan seutas tali, lalu pergi mencari kayu api,
kemudian dibawanya seikat kayu di punggungnya lalu dijualnya dan
Allah memberi kecukupan bagi keinginannya, itulah yang lebih baik
baginya daripada ia meminta-minta kepada orang ramai diberi
ataupun tidak." (Al-Bukhari)


HURAIAN

Orang yang berjaya ialah orang yang mampu menempuh berbagai rintangan dan
cabaran dalam hidup. Walau daripada mana ceruk asal seseorang itu,
sekiranya dia rajin berusaha maka kejayaan akan menjadi miliknya.


Bukankah rezeki Allah S.W.T ada di mana-mana. Cuma yang bakal menentukan
hanyalah ‘mahu’ atau ‘tidak’ kerana kemalasan akan menjunamkan seseorang
itu ke lembah kehinaan.


Begitu juga dengan sikap malu hendaknya biarlah bertempat. Kata orang malu
bertanya sesat jalan, malu makan perut lapar dan malu dalam mencari rezeki
alamat hidup akan melarat.


Sesungguhnya Islam memandang mulia pada manusia yang bekerja membanting
tulang empat kerat untuk mencari sesuap nasi atau rezeki yang halal
berbanding dengan mereka yang hidup meminta-minta daripada orang lain.


Wallahu a'lam...


~~~~~


Pujangga berkata;
Perbanyakkan membaca istighfar, kerana dengan istighfar akan ada rezeki,
akan ada jalan keluar, akan ada keluarga, akan ada ilmu yang berguna,
akan ada kemudahan dan akan ada penghapusan dosa.


Friday, September 13, 2013

Memberi maaf itu mulia..


بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Haji Abdul Malik Bin Haji Abdul Karim Amarullah
(Buya Hamka) berkata:

Mari naikkan setingkat lagi.

Sudahkah kita berani memberi maaf musuh kita?
Sudahkah kita berani menghapuskan dari hati kita perasaan dendam,
kerana kesalahan teman kepada diri kita?

Membalas baik dengan jahat adalah perangai yang serendah-rendahnya.

Membalas jahat dengan jahat, bukanlah perikemanusiaan.

Membalas baik dengan baik adalah hal yang biasa.

Tetapi membalas yang jahat dengan yang baik adalah
cita-cita kemanusiaan yang setinggi-tingginya.
Kita harus sanggup hidup memberi cita-cita itu tumbuh.

Memang sakit rasanya jiwa kita sendiri tatkala membalas kejahatan dengan kebaikan.
Dalam batin kita amat hebat perjuangan nafsu jahat dengan budi yang mulia.
Nafsu membayangkan penderitaan kita kerana kesalahannya, kerugian kita kerana aniayanya.

Kais bin 'Ashim, seorang pujangga Arab berkata:

Cubalah buhulkan kembali tali yang telah putus.
Cubalah beri orang yang tidak sudi memberimu.
Cubalah memberi maaf orang yang menganiaya kamu.

Di sana baru engkau rasai apa ertinya kemanusiaan!

~~~~~

Benar, kehidupan akan hanya bererti jika insan sendiri yang berupaya mencurahkan
makna ke dalam cangkir usianya. Yang rendah, menjengkit; yang tinggi, menunduk.
Tapi, kita tidak bakal tahu juga apa maksudnya makna selagi kita masih terlupa
menyanjungi amanah khalifah di bumi.

Friday, September 06, 2013

Hari Haji Akbar itu bila?


بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Ketahuilah kiranya, ya saudaraku!


Dapat kita ketahui daripada hadith yang dikeluarkan
oleh Abu 'Isa At-Tirmidzi akan haji akbar itu manakah
harinya, adakah ia hari 'Arafah atau hari Nahar, yakni;
adakah ia pada sembilan hari bulan Zulhijjah atau
pada sepuluh hari bulan Zulhijjah yang berhimpun
sekalian orang di Mina karena menyembelih dan
menyempurnakan sekalian kerja haji.


Maka hadithnya itu adalah begini, katanya :

عَنْ عَلِيٍّ قَالَ ؛ سَأَلْتُ رَسُو لَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
عَنْ يَوْمِ الأَكْبَرِ؟ فَقَال؛ يَوْمُ النَّحْرِ


Diriwayatkan daripada Baginda 'Ali Karamallahu wajhah, katanya:
Telah aku tanya akan Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam
daripada hari haji akbar, adakah ia hari Nahar atau hari 'Arafah?
Maka sabdanya : "Ialah hari Nahar."


Yakni; hari menyembelih korban di Mina, iaitu hari sepuluh Zulhijjah.


Wallahu a'lam..

~~~~~

Berkata seorang Pujangga,
Barang siapa memiliki adab yang banyak dan baik, perasaan yang sihat,
dan akhlak yang mulia. Maka dia akan membuat dirinya dan orang lain
berbahagia. Akan mendapat hati yang tenang dan keadaan jiwa yang sejuk.


Friday, August 30, 2013

Minta akan ia tiga kali..


بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Ketahuilah kiranya, ya saudaraku!

Di dalam Kitab Masyhur Bahru Al-Madzi karangan Muhammad Idris al-Marbawi dinyatakan,
Sekalian manusia ia suka ia akan syurga dan benci ia akan neraka, suka seseorang
itu akan syurga, lalu terus ia meminta, dan juga berlaku benci seseorang itu akan neraka,
lalu terus ia berlindung daripada~Nya, maka jikalau seseorang itu meminta akan syurga
pada Tuhan serta suka kepadanya dan dikerjakan sebab-sebab yang boleh jadi masuknya,
maka pintanya itu sebenar-benar pinta dan suka.


Dan jikalau seseorang itu meminta dengan mulutnya serta suka di hati tetapi dikerjakan
segala sebab yang tidak menjadikan boleh masuknya, maka pinta mulutnya dan sukanya
itu tidak sebenarnya.


Demikianlah juga seorang yang benci ia akan neraka, lalu dipintanya serta dijauhkannya
segala sebab yang memasukkan dia ke dalam neraka, maka ialah sebenar-benar benci dan jika tidak,
maka bohong juga namanya.


Demikian tersebut di dalam hadith seperti hadith yang dikeluarkan oleh Abu 'Isa at-Tirmidzi dengan katanya:

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم : مَنْ سَأَلَ اللَّهَ الْجَنَّةَ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ قَالَتِ الْجَنَّةُ
اللَّهُمَّ أَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ. وَمَنِ اسْتَجَارَ مِنَ النَّارِ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ قَالَتِ النَّارُ: اللَّهُمَّ أَجِرْهُ مِنَ النَّارِ

Diriwayatkan daripada seorang sahabat bagi Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam namanya
Anas bin Malik Radhiyallahu 'anhu katanya, telah bersabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam :

Barangsiapa minta ia akan syurga pada Allah Ta'ala tiga kali, nescaya berkata syurga itu : Ya Tuhanku,
masukkan dia ke dalam syurga. Dan siapa minta berlindung dirinya daripada neraka tiga kali,
nescaya berkata neraka : Hai Tuhanku, lindung kiranya akan dia daripada neraka.

[ Hadith ini juga diriwayatkan oleh an-Nasa’i dan al-Hakim ]


Maka jikalau seseorang itu minta syurga dengan sebenarnya yakni menuntutnya
dengan do'a dan fi'il, maka syurga pun sukakan masuknya kepadanya dan minta
ia pada Tuhan masukkan orang yang demikian itu ke dalamnya.


Begitulah juga halnya neraka, jikalau seseorang itu minta berlindung daripadanya dengan
do'anya dan fi'ilnya (perbuatannya), maka ia pun berdoa kepada Tuhan minta lindung akan
orang yang demikian itu daripadanya.


Wallahu a'lam..

~~~~~

Khususnya kepada saudara yang mengalami sakit pinggang dan sakit seumpamanya, amalkan pada waktu
malam dengan membaca Surah Qaff ayat 16 hingga 45 TIGA kali, dan membaca Surah Mukminun ayat 60
hingga 80 pada siang hari juga TIGA kali. Pembacaan ini hendaklah diamalkan setiap hari selama 3
ke 4 minggu. Selepas membaca tiga kali, mohonlah kepada Allah SWT untuk penyembuhan. Selepas membaca
dua surah pertama tadi, hendaklah diulang amalan-amalan tersebut dengan surah-surah yang berikutnya,
Surah Shod ayat 34 hingga 61, Surah Al-Ahqaaf ayat 21 hingga 28, dan Surah Adz-Dzariyaat ayat 31 hingga 60.

Keterangan selanjutnya sila rujuk Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah.


Friday, August 23, 2013

Muliakan orang yang berbuat baik..


بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Wahai saudaraku yang mulia!

Ketahuilah olehmu, bahawa syukur itu, yakni menerima kasih akan apa
budi orang padamu. Maka menerima kasih itu boleh dengan hati,
dan boleh dengan lidah, dan boleh dengan anggota.


Maka jadilah ia 3 macam :

1. Syukur dengan hati iaitu terupa pada hati akan nikmat yang diberikan orang.

2. Syukur dengan lidah, iaitu dikenang budi orang itu dan disebut baik.

3. Syukur dengan anggota, maka iaitu dibalas budi orang itu.


MAKA SYUKUR AKAN ORANG YANG BERBUDI PADAMU ITU DISURUH OLEH SYARA' KITA


Bermula dalil yang menunjukkan atas suruh itu ialah sebagai Hadith yang dikeluarkan
oleh Abu 'Isa At-Tirmidzi, dengan katanya:

Diriwayatkan daripada seorang sahabat bagi Nabi Nabi ShallAllahu 'alaihi wasallam,
namanya Abi Hurairah Radhiyallahu 'anhu, katanya : Telah bersabda Nabi ShallAllahu 'alaihi wasallam,
"Siapa tiada syukurkan orang nescaya tiada syukur ia akan Allah akan sebagai syukur yang sempurna."
[ Hadith Hasan lagi Shahih ]


Yakni, tiada sempurna syukur engkau kepada Allah melainkan apabila engkau
sertakan syukur manusia yang berbuat baik ihsan padamu.


Membalas budi orang itu disuruh syara' kita sebagaimana yang disabdakan
Nabi ShallAllahu 'alaihi wasallam, "Barangsiapa berbudi kepadamu, maka
hendaklah balas budinya itu. Maka jika lemah sekalian kamu daripada membalasnya,
maka do'akan oleh kamu baginya hingga kamu ketahui sungguhnya telah syukur
kamu akan budinya. Sebab pun disuruh syukur itu kerana Allah itu suka ia akan
orang yang syukur yakni, orang yang mengenang budi.

(At-Targhib wa At-Tarhib)


Sungguhnya syukur itu boleh kita buat sekurang-kurangnya, iaitu seperti kita
kata dengan bahasa Melayu : "Banyak-banyak terima kasih" dan yang eloknya
ialah barang yang datang daripada syara' iaitu dikata :

جَزَاكَ اللهُ خَيْرًا

Maknanya, Kiranya dibalas Allah akan dikau sebaik-baik balas.

Atau dikata :

بَارَكَ اللهُ فِيْكَ

Maknanya, Kiranya diberkatkan Allah pada engkau.

Sabda Nabi s.a.w., "Siapa memperbuat demikian, maka sungguhnya telah syukur ia akan dia."

Wallahu a'lam


Friday, August 16, 2013

Syawal yang mulia..


بسم الله الرحمن الرحيم


Ketahuilah kiranya, ya Saudaraku!

Apabila telah selesai daripada puasa Ramadhan, maka sayugianya
pula hubungkan dengan puasa enam hari daripada Syawal,
karena besar sangat pahala mengerjakannya.


Maka kelebihan puasa enam hari Syawal itu telah dikeluarkan
oleh Abu 'Isa At-Tirmidzi akan hadithnya, dengan katanya:


عَنْ أَبِي أَيُّوبَ قَالَ ، قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ فَذَلِكَ صِيَامُ الدَّهْرِ



Maksudnya :

Diriwayatkan daripada seorang sahabat Nabi ShallAllahu 'alaihi wasallam,
namanya Abi Ayyub, katanya: Telah bersabda Nabi ShallAllahu 'alaihi wasallam,
"Barangsiapa puasa Ramadhan, kemudian diikutkannya akan dia dengan enam
hari daripada Syawal, maka itulah pahalanya sebagai pahala puasa sepanjang tahun."


Kata Abu 'Isa At-Tirmidzi, "Pada bab ini ada riwayat daripada Jabir,
Abi Hurairah dan Tsauban."


Dan katanya lagi : Bermula hadith Abi Ayyub itu ialah hadith hasan lagi shahih.
Dan telah dikeluarkan dia oleh Muslim, An-Nasa'i, Ibnu Majah dan Ath-Thabari.


Ya Saudaraku!

Bermula makna kata hadith puasa enam Syawal itulah puasa sepanjang tahun.
Yakni, orang yang mendirikan puasa sebulan Ramadhan dengan sempurna, kemudian
diikutnya akan dia dengan enam Syawal seolah-olahnya ia puasa setahun cukup.


Kata Imam Nawawi di dalam Syarah Muslim: Telah berkata 'Ulama': Dan sebab
dikatakan puasa enam hari itu seperti puasa sepanjang tahun, karena satu
kebaktian itu sepuluh ganda balasannya. Maka puasa sebulan Ramadhan itu
balas dengan sepuluh bulan dan enam hari Syawal itu balas dengan dua bulan.


Wallahu a'lam


"Ceriakanlah wajah Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam dengan
kebaikan amal-amal baik kalian."

[ Al-Habib Ali bin Muhammad Al-Habsyi ]


Wednesday, August 07, 2013

Aidil Fitri Mulia



بسم الله الرحمن الرحيم


Aidil Fitri
Menjadi lambang kemenangan setiap hamba yang beriman
atas didikan Yang Hakiki,
untuk bebas dari belenggu nafsu dan syahwat
Selama sepurnama ditarbiah
Aidilfitri datang bakal memahkotakan ibadah kita.


Esok belum pasti
Yang Kekal bisa memberi peluang lagi
Mendidik
Mungkin ini langkahku terakhir
Doaku moga ibadahku Kau terima
Semoga kembaliku nanti kepada~Mu
dalam keadaan sebenar-benarnya
BERSIH


Bukanlah hariraya itu bagi orang orang yang memakai persalinan baru,
tetapi hariraya itu adalah bagi orang yang keta’atannya bertambah.
Dan bukanlah hariraya itu bagi orang yang berhias dengan persalinan dan tunggangannya,
tetapi hariraya itu adalah bagi orang yang telah diampun baginya dosa-dosanya (oleh Allah Ta’ala).
Dan bukanlah hariraya itu bagi orang yang yang baik-baik dan bersedap-sedap
dengan segala keinginan dan kelazatan, akan tetapi hariraya itu adalah bagi
orang yang diterima taubatnya dan digantikan kejahatan dengan kebaikan.


Selamat Hari Raya Aidil Fitri
buat SEMUA
Maaf atas segala silap dan salah


تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكَ

Semoga Allah menerima daripada kita dan menerimanya daripada awak


Jaga diri dan teruskan amalan dan didikan Ramadhan


Friday, August 02, 2013

Empat perkara


بسم الله الرحمن الرحيم


Rasulullah (صلى الله عليه وآله وسلم) berpesan :


"Perbanyakkanlah kamu di bulan Ramadhan
akan empat (4) perkara; dua (2) perkara darinya,
kamu bisa meraih keredhaan ALLAH سبحانه وتعالى
dan dua (2) perkara lagi darinya,
kamu tidak dapat terlepas salah satu dari keduanya.


Adapun dua (2) perkara yang kamu bisa meraih keredhaan Allah سبحانه وتعالى ialah :

1. Syahadah لا إله إلا الله
2. Kamu beristighfar kepada Allah سبحانه وتعالى


Adapun dua (2) perkara yang kamu tidak boleh terlepas salah satu dari keduanya ialah :

1. Kamu meminta Syurga
2. Kamu berlindung kepada Allah سبحانه وتعالى dari api neraka."


[ Diriwayatkan Ibnu Khuzaimah dan al-Baihaqi رحمة الله تعالى عليهم أجمعين ]


Renungan Bulan Ramadhan

oleh

al-Habib `Ali Zaenal `Abidin bin Abu Bakar al-Hamid حفظه الله تعالى

~~~~~

Teruskan usaha semua dalam pencarian satu malam yang
Allah anugerahkan buat umat Nabi Muhammad (صلى الله عليه وآله وسلم)

Malam kemuliaan itu, lebih baik daripada seribu bulan;
padanya malaikat-malaikat dan Roh turun, dengan izin
Pemelihara mereka, dengan segala perintah. Malam itu
(penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.

[QS AL-QADR (97) : 3-5]


Friday, July 26, 2013

Ikhlas dan benar


بسم الله الرحمن الرحيم


Fudhail bin 'Iyadh berkata, tentang firman Allah Ta'ala:


"Supaya Dia menguji kamu,

siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya."

(Qs Al Mulk, 67:2).


"Yang dimaksud lafaz أَحْسَنُ عَمَلً

adalah yang paling ikhlas dan paling tepat."


Ditanyakan kepadanya,

"Apa yang dimaksud paling ikhlas dan paling tepat, wahai Abu 'Ali?"


Dia menjawab :

"Sesungguhnya, ibadah tidak akan diterima

bila tidak dikerjakan dengan cara yang benar dan tepat,

meskipun disertai dengan sikap ikhlas.

Demikian pula bila tidak dilakukan dengan ikhlas,

sekalipun itu dengan cara yang benar. Agar diterima,

ibadah harus dikerjakan secara ikhlas sekaligus benar dan tepat.

Ikhlas demi Allah, dan benar berdasarkan sunnah Rasulullah s.a.w.

Jadi, penilaiannya bukan pada banyaknya amal

tapi tingkatan amal itu sendiri, iaitu ikhlas

dan sesuai dengan sunnah Rasulullah s.a.w.."


Wallahu a'lam..


Friday, July 19, 2013

Etika berpuasa



بسم الله الرحمن الرحيم


Imam Ghazali dalam kitab Bidayatul Hidayah menjelaskan:


1. Tidaklah sebaiknya (sebagai seorang yang murid) kamu hanya berpuasa pada bulan Ramadhan saja lalu kamu tinggalkan puasa sunnah dan amalan yang ditujukan untuk mendapatkan tingkatan yang tinggi di syurga, sehingga kamu menyesal nantinya ketika memandang posisi orang-orang yang berpuasa di syurga, seperti kamu memandang bintang-bintang yang tinggi, mereka tinggal di tempat yang sangat mulia.


2. Hari-hari mulia yang ditegaskan oleh riwayat-riwayat sebagai hari yang berkeutamaan dan berpahala besar apabila berpuasa di dalamnya, iaitu: hari Arafah untuk orang yang tidak melaksanakan Haji, hari Asyura (10 Muharram), 10 hari pertama bulan Dzul Hijjah, 10 hari pertama bulan Muharram, bulan Rajab, Sya'aban, puasa pada bulan-bulan Haram merupakan keutamaan, iaitu bulan Dzul Qadah, Dzul Hijjah, Muharram dan Rajab, satu menyendiri dan tiga berurutan. Inilah hari-hari dianjurkan puasa dalam setahun. Adapun puasa dalam setiap bulan adalah: awal bulan, tengah bulan dan akhir bulan, hari-hari putih iaitu tanggal 13, 14 dan 15, adapun puasa mingguan adalah hari Isnin, Khamis dan Jumaat. Dosa mingguan dihapus dengan puasa Isnin, Khamis dan Jumaat. Dosa bulanan dihapus dengan puasa awal bulan, pertengahan bulan, akhir bulan dan hari-hari putih dan dosa tahunan dihapus dengan semua puasa di atas.


3. Janganlah kamu kira, ketika kamu puasa, bahwa puasa adalah meninggalkan makan dan minum dan berhubungan suami isteri saja. Rasulullah s.a.w. bersabda, "Ramai orang yang puasa tapi sejatinya puasanya hanya lapar dan dahaga." Kesempurnaan puasa juga dengan menjaga anggota tubuh semuanya dari apa yang dibenci Allah S.W.T. Seperti halnya kamu harus menjaga matamu dari melihat pemandangan yang tercela, menjaga lisanmu dari berbicara yang tidak perlu, menjaga telingamu dari mendengarkan yang diharamkan Allah. Orang yang mendengarkan adalah mitra dari yang berbicara, maka termasuk pelaku Ghibah. Begitu juga kamu harus kendalikan semua anggota tubuhmu seperti kamu mengendalikan perut dan kemaluanmu. Dalam sebuah hadits disebutkan Lima perkara yang membatalkan puasa, iaitu bohong, membicarakan orang lain, adu domba, sumpah palsu dan melihat dengan syahwat. Rasulullah s.a.w. juga bersabda Puasa adalah pengendali, apabila kalian berpuasa maka jangan berbuat dosa, jangan berbuat kefasikan, jangan berbuat bodoh, apabila seseorang datang ingin memerangi atau mengajak perang mulut, hendaklah ia berkata bahwa saya sedang berpuasa.


4. Kamu juga harus berusaha untuk berbuka dengan makanan yang halal, jangan berlebih-lebihan sehingga melebihi apa yang biasanya kamu makan pada malam hari, maka tidak ada bezanya kalau kamu makan kebiasaan dua porsi dalam satu kali makan. Sesungguhnya tujuan dari puasa adalah mengendalikan hawa nafsu dan melemahkan kekuatan nafsumu agar kamu kuat dalam menjalankan ketaqwaan. Kalau kamu makan pada malam hari dengan porsi sebanyak apa yang biasanya kamu lalui pada siang hari, maka tidak ada gunanya puasamu, kamu juga telah memberatkan pencernaanmu. Tidak ada perut yang dibenci Allah kecuali perut yang kepenuhan dengan perkara halal, bayangkan kalau itu kepenuhan dengan perkara haram?


5. Setelah kamu fahami makna puasa, maka perbanyaklah berpuasa semampumu, sesunggunya puasa adalah landasan dari semua ibadah dan pembuka bagi kedekatanmu kepada Allah. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Allah berfirman semua perkara baik akan diberi imbalan dengan 10 kali lihar sampai 700 kali lipat kecuali puasa, sesungguhnya itu hanya untuk~Ku dan Akulah yang akan menentukan balasannya. Rasulullah s.a.w. juga bersabda, "Demi Dzat yang memiliki diriku di Tangannya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah dari aroma misik, Allah SWT berfirman Dia telah meninggalkan syahwatnya, makananya, minumannya demi Aku, puasa adalah untuk~Ku dan Aku yang berhak membalasnya. Rasulullah s.a.w. bersabda, "Di syurga ada pintu yang disebut Rayyan, pintu itu hanya boleh dimasuki orang-orang yang suka berpuasa."


Wallahu a'lam


Friday, July 12, 2013

Rahsia Puasa


بسم الله الرحمن الرحيم


Di dalam kitab Bahru Al-Madzi
(Syarah Mukhtashar Shahih At-Tirmidzi)
Sanya telah disebutkan oleh 'Ulama' akan rahsia puasa itu beberapa perkara;


1- Menyedikitkan makan dan minum, dan mengurangkan diri masuk di dalam kelazatan
kerana dha'if kekuatan cara kebinatangan. Maka dengan karena puasa itu juga subur
ruh ikhlas dan naik tinggi kekuatan cara malaikat yang dihiaskan dia dengan beberapa
sifat yang terpuji.


2- Berperangai orang mu'min pada setengah waktunya dengan beberapa perangai daripada
perangai orang yang percaya akan Allah Ta'ala, dan menyerupainya atas kadar seboleh-bolehnya
dengan malaikat yang muqarrabin daripada Allah Ta'ala pada sifatnya yang suci daripada
sekalian keinginan nafsi pada menegahkannya dan bersunyi daripadanya.


3- Membiasakan diri sabar dan tetap hati atas menderitakan, menahan diri daripada
mengerjakan yang dikeji syara', karena orang yang puasa itu memberati dirinya menjauhkan
daripada segala yang diingini daripada makan, minum dan setidur dengan isteri, dan
memerangi keinginan itu dengan cita hati yang kuat dan sabar yang bagus.


4- Mengingatkan hamba dengan bersifat dengan kehinaan dan kemiskinan, karena ada datang
perasaan pada pertengahan puasanya berhajat kepada sedikit makan dan sedikit minuman dan
berhajat kepada suatu yang hina dengan sebabnya.


5- Memelihara dari daripada kejatuhan di dalam dosa.


6- Memecutkan orang-orang kaya atasnya menolong segala faqir, dan mendirikan dengan barang
yang menolak daripada mereka itu kembali lapar dan susah hati.


Wallahu a'lam


Friday, July 05, 2013

Ramadhan Manis


بسم الله الرحمن الرحيم

Hadith Qudsi

“Setiap amalan anak Adam
adalah digandakan pahalanya
kepada sepuluh hingga tujuh ratus kali ganda,
maka berfirman ALLAH Subhana Wa Ta’ala :

Kecuali puasa,
sesungguhnya ia adalah khas untuk~Ku
dan Akulah yang akan membalas kebaikannya,

mereka meninggalkan makanan,
minuman dan syahwat mereka (di siang hari)

hanya kerana~Ku.”

[ Riwayat Al-Bukhari dan Muslim ]

~~~~~~~

Pengharapan harus disertai dengan amalan.
Kalau tidak, maka itu hanyalah lamunan.

Keinginan dan pengharapan yang tak keruan hanya akan menimbulkan kekecewaan.
Apabila niat, harapan dan tindakan disatukan di jalan kenabian dengan penyerahan mutlak,
maka sang salik berada dekat dengan al-Haqq. Keinginan duniawi tak akan terwujud kecuali
jika diiringi tindakan yang pantas dan tepat waktu, disertai ketabahan dan kesabaran.
Pengharapan yang tinggi kepada Allah harus diiringi dengan tindakan yang tepat.
Kalau tidak, itu hanya menjadi ilusi dan fantasi.

Ibnu 'Athaillah as-Sakandari
Kitab Al-Hikam [No 78, Bagian 9]

~~~~~~~

Selamat menyambut bulan yang paling mulia di sisi Allah SWT.
Bulan yang membawa berkah rahmat dan maghfirah.
Hari-harinya adalah hari-hari yang paling utama.
Malam-malamnya adalah malam-malam yang paling utama.
Jam demi jamnya adalah jam-jam yang paling utama.