Friday, February 24, 2012

Nilai persaudaraan


بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum, alhamdulillah segala puji hanya milik Allah SWT, dan selawat dan salam kepada Rasulullah SAW berserta keluarganya dan sahabat-sahabatnya dan orang-orang yang mengikutinya sampai hari pembalasan.

Daripada Abi Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Janganlah saling mendengki, saling menipu, saling membenci, saling membelakangi dan janganlah sebahagian kamu membeli barang yang telah dibeli oleh orang lain. Jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim yang lain. Dia tidak patut menzalimi, membohongi dan merendahkannya. Takwa itu di sini (beliau menunjuk dadanya tiga kali). Cukuplah seseorang dikatakan buruk jika sampai menghina saudaranya sesama setiap Muslim adalah haram bagi Muslim yang lain." [Riwayat Ahmad dan Muslim]

Hadis ini mengandungi nilai penting dan utama dalam skop persaudaraan Islam. Antara ciri-ciri utama yang disampaikan dalam bentuk arahan dan larangan ialah:

JANGAN DENGKI

Jangan saling mendengki dalam memandang kelebihan orang lain kerana akan memutuskan hubungan persaudaraan. Maksudnya jangan berasa gembira agar luputnya nikmat daripada orang lain. Perasaan sedemikian adalah haram. Dalam riwayat yang lain daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: "Jauhilah olehmu sekalian sifat dengki itu, kerana sesungguhnya dengki itu dapat menghabiskan amal kebaikan sebagai mana api itu dapat menghabiskan kayu api." [Riwayat Abu Daud]

JANGAN MENIPU

Jangan saling menipu seperti menipu timbangan dalam berjual beli, menipu untuk kepentingan diri sendiri dan sebagainya.

  • Jangan saling membenci.

  • Jangan mengetepikan kepentingan orang lain.

  • Jangan membeli barang yang telah dibeli orang lain. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak menjual oleh seorang lelaki atas penjualan saudaranya dan tidak meminang atas peminangan saudaranya kecuali jika ia izin kepadanya." [Riwayat Ibn Umar]

  • Menzalimi atau menganiaya orang lain kerana aniaya itu bertentangan dengan fitrah semulajadi manusia.

  • Membohongi atau mendustai orang lain kerana perbuatan ini boleh menyebabkan hilang kepercayaan orang lain kepada kita. Berbohong dan berdusta boleh menjadi pengkhianatan.

  • Merendahkan orang lain.

  • Menghina sesama Muslim kerana sifat angkuh dan sombong. Sifat ini akan melenyapkan perasaan kasih sayang sesama Islam. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman. Dan tidak dikatakan kamu beriman sehingga kamu berkasih-kasihan. Mahukan aku tunjukkan kepada kamu satu perkara yang apabila kamu perbuat akan dia nescaya kamu berkasih-kasih? Iaitulah sebarkan salam di antara kamu." [Riwayat Muslim No.54]


  • Seorang ulama tasawuf, al-Razi (Yahya bin Mua'adh) berkata: "Hendaklah engkau pelihara tiga perkara yang menjadi habuan orang Mukmin, iaitu:
    Pertama: Jika engkau tidak dapat memberi manfaat kepadanya, maka janganlah engkau menyusahkan dia.

    Kedua: Jika engkau tidak mahu menyukakan dia, maka janganlah engkau mendukakan dia.

    Ketiga: Jika engkau tidak mahu memuji dia maka janganlah engkau mencela dia."

    Wallahu'alam...moga kita dapat sama-sama memelihara nilai persaudaraan kita sesama Muslim.

    Sumber : Kitab Hadis 40 Imam Nawawi


    Friday, February 17, 2012

    Taubat...


    بسم الله الرحمن الرحيم

    اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِناَ مُحَمَّدٍ وَآلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلِّمْ


    Taubat seperti dijelaskan oleh Imam Ghazali dalam kitabnya "Ihya ulumuddin" adalah sebuah makna yang terdiri dari tiga unsur: ilmu, hal dan amal. Ilmu adalah unsur yang pertama, kemudian yang kedua hal, dan ketiga amal.

    Ia berkata: yang pertama mewajibkan yang kedua, dan yang kedua mewajibkan yang ketiga. Berlangsung sesuai dengan hukum (ketentuan) Allah SWT yang berlangsung dalam kerajaan dan malakut-Nya.

    Ia berkata: "Sedangkan ilmu adalah, mengetahui besarnya bahaya dosa, dan ia adalah penghalang antara hamba dan seluruh yang ia senangi. Jika ia telah mengetahui itu dengan yakin dan sepenuh hati, pengetahuannya itu akan berpengaruh dalam hatinya dan ia merasakan kepedihan kerana kehilangan yang dia cintai. Kerana hati, ketika ia merasakan hilangnya yang dia cintai, ia akan merasakan kepedihan, dan jika kehilangan itu diakibatkan oleh perbuatannya, nescaya ia akan menyesali perbuatannya itu. Dan perasaan pedih kehilangan yang dia cintai itu dinamakan penyesalan. Jika perasaan pedih itu demikian kuat berpengaruh dalam hatinya dan menguasai hatinya, maka perasaan itu akan mendorong timbulnya perasaan lain, iaitu tekad dan kemahuan untuk mengerjakan apa yang seharusnya pada saat ini, dan akan datang.

    Hal atau tindakan yang ia lakukan saat ini adalah meninggalkan dosa yang menyelimutinya, dan terhadap masa depannya adalah dengan bertekad untuk meninggalkan dosa yang mengakibatkannya kehilangan yang dia cintai hingga sepanjang masa. Sedangkan masa lalunya adalah dengan menebus apa yang ia lakukan sebelumnya, jika dapat ditebus, atau menggantinya.

    Yang pertama adalah ilmu. Dialah pangkal pertama seluruh kebaikan ini. Yang dimaksudkan dengan ilmu ini adalah keimanan dan keyakinan. Kerana iman bermakna pembenaran bahawa dosa adalah racun yang menghancurkan. Sedangkan yakin adalah penegasan pembenaran ini, tidak meragukannya serta memenuhi hatinya. Maka cahaya iman dalam hati ini ketika bersinar akan membuahkan api penyesalan, sehingga hati merasakan kepedihan. Kerana dengan cahaya iman itu ia dapat melihat bahawa saat ini, kerana dosanya itu, ia terhalang dari yang dia cintai. Seperti orang yang diterangi cahaya matahari, ketika ia berada dalam kegelapan, maka cahaya itu menghilangkan penghalang penglihatannya sehingga ia dapat melihat yang dia cintai. Dan ketika ia menyedari ia hampir binasa, maka cahaya cinta dalam hatinya bergejolak, dan api ini membangkitkan kekuatannya untuk menyelamatkan dirinya serta mengejar yang dia cintai itu.

    Ilmu dan penyesalan, serta tekad untuk meninggalkan perbuatan dosa saat ini dan masa akan datang, serta berusaha menutupi perbuatan masa lalu mempunyai tiga makna yang berkaitan dengan pencapaiannya itu. Secara keseluruhan dinamakan taubat. Banyak pula taubat itu disebut dengan makna penyesalan saja. Ilmu akan dosa itu dijadikan sebagai permulaan, sedangkan meninggalkan perbuatan dosa itu sebagai buah dan konsekwensi dari ilmu itu.

    Dari itu dapat difahami sabda Rasulullah s.a.w. : "Penyesalan adalah taubat" (Hafizh al 'Iraqi dalam takhrij hadith-hadith Ihya Ulumuddin berkata: hadith ini ditakhrijkan oleh Ibnu Majah, Ibnu Hibban, dan al Hakim. Serta ia mensahihkan sanadnya dari hadith Ibnu Mas'ud. Dan diriwayatkan pula oleh Ibnu Hibban dan Al Hakim dari hadith Anas r.a. dan ia berkata: hadith ini sahih atas syarat Bukhari dan Muslim), kerana penyesalan itu dapat terjadi dari ilmu yang mewajibkan serta membuahkan penyesalan itu, dan tekad untuk meninggalkan dosa sebagai konsekuensinya. Maka penyesalan itu dipelihara dengan dua cabangnya, iaitu buahnya dan apa yang membuahkannya."

    [Ihya Ulumuddin (4: 3,4), cetakan: Darul Ma'rifah, Beirut]

    Sekian, Wassalam...moga ada manfaatnya

    Friday, February 10, 2012

    Kejernihan Hati Saidina Ali RA


    بسم الله الرحمن الرحيم

    Assalamualaikum...

    Suatu hari ketika 'Ali sedang berada dalam pertempuran, pedang musuhnya patah dan orangnya terjatuh. 'Ali berdiri di atas musuhnya itu, meletakkan pedangnya ke arah dada orang itu, dia berkata, "Jika pedangmu berada di tanganmu, maka aku akan lanjutkan pertempuran ini, tetapi kerana pedangmu patah, maka aku tidak boleh menyerangmu."

    "Kalau aku punya pedang saat ini, aku akan memutuskan tangan-tanganmu dan kaki-kakimu," orang itu berteriak balik.

    "Baiklah kalau begitu," jawab 'Ali, dan dia menyerahkan pedangnya ke tangan orang itu.

    "Apa yang sedang kau lakukan," tanya orang itu kebingungan. "Bukankah aku ini musuhmu?"

    'Ali memandang tepat di matanya dan berkata, "Kau bersumpah kalau memiliki sebuah pedang di tanganmu, maka kau akan membunuhku. Sekarang kau telah memiliki pedangku, kerana itu majulah dan seranglah aku." Tetapi orang itu tidak mampu.

    "Itulah kebodohanmu dan kesombongan berkata-kata," jelas 'Ali.

    "Di dalam agama Allah tidak ada perkelahian atau permusuhan antara kau dan aku. Kita bersaudara. Perang yang sebenarnya adalah antara kebenaran dan kekurangan kebijakanmu, iaitu antara kebenaran dan dusta. Engkau dan aku sedang menyaksikan pertempuran itu. Engkau adalah saudaraku. Jika aku menyakitimu dalam keadaan seperti ini, maka aku harus dipertanggungjawabkan pada hari kiamat. Allah akan mempertanyakan hal ini kepadaku."

    "Inikah cara Islam?" Orang itu bertanya.

    "Ya," jawab 'Ali, "Ini adalah firman Allah, yang Mahakuasa, dan Sang Unik."

    Dengan segera, orang itu bersujud di kaki 'Ali dan memohon, "Ajarkan aku syahadah." Dan 'Ali pun mengajarkannya, "Tiada tuhan melainkan Allah. Tiada yang ada selain Engkau, ya Allah."

    Hal yang sama terjadi pada pertempuran berikutnya. 'Ali menjatuhkan lawannya, meletakkan kakinya di atas dada orang itu dan menempelkan pedangnya ke leher orang itu. Tetapi sekali lagi dia tidak membunuh orang itu.

    "Mengapa kau tidak membunuhku?" Orang itu berteriak dengan marah. "Aku adalah musuhmu. Mengapa kau hanya berdiri saja? Dan dia meludahi wajah 'Ali.

    Mulanya 'Ali menjadi marah, tetapi kemudian dia mengangkat kakinya dari dada orang itu dan menarik pedangnya.

    "Aku bukan musuhmu," 'Ali menjawab. "Musuh yang sebenarnya adalah sifat-sifat buruk yang ada dalam diri kita. Engkau adalah saudaraku, tetapi engkau meludahi wajahku. Ketika engkau meludahiku, aku menjadi marah dan keangkuhan datang kepadaku. Jika aku membunuhmu dalam keadaan seperti itu, maka aku akan menjadi seorang yang berdosa, seorang pembunuh. Aku akan menjadi seperti semua orang yang kulawan. Perbuatan buruk itu akan terakam atas namaku. Itulah sebabnya aku tidak membunuhmu."

    "Kalau begitu tidak ada pertempuran antara kau dan aku?" orang itu bertanya.

    "Tidak. Pertempuran adalah antara kearifan dan kesombongan. Antara kebenaran dan kepalsuan." 'Ali menjelaskan kepadanya. "Meskipun engkau telah meludahiku, dan mendesakku untuk membunuhmu, aku tak boleh."

    "Dari mana datangnya ketentuan semacam itu?"

    "Itulah ketentuan Allah. Itulah Islam." Dengan segera orang itu tersungkur di kaki 'Ali dan dia juga diajari dua kalimat syahadah.

    Sumber : Islam & World Peace: Explanation of A Sufi (Edisi Inggeris)
    Oleh : M.R. Bawa Muhaiyaddeen

    Cintailah Rasulullah SAW dengan kita sentiasa berselawat
    kepadanya dan menghidupkan sunnahnya.

    اللهـم صـل وسـلم وبارك علـيه وعلـى آلـه

    Saturday, February 04, 2012

    Pujian kepada Nabi s.a.w


    بسم الله الرحمن الرحيم

    Kutinggalkan sunnah Nabi yang sepanjang malam.
    Beribadah hingga kedua kakinya bengkak dan keram.

    Nabi yang kerana lapar mengikat pusarnya dengan batu.
    Dan dengan batu mengganjal Perutnya yang halus itu.

    Kendati gunung emas menjulang menawarkan dirinya.
    la tolak permintaan itu dengan perasaan bangga.

    Perlu harta namun menolak, maka tambah kezuhudannya.
    Kendati perlu pada harta tidaklah merosak kesuciannya.

    Bagaimana mungkin Nabi perlu pada dunia.
    Padahal tanpa dirinya dunia takkan pernah ada.

    Muhammadlah pemimpin dunia akhirat.
    Pemimpin jin dan manusia, bangsa Arab dan non Arab.

    Nabilah pengatur kebaikan pencegah mungkar.
    Tak satu pun setegas ia dalam berkata ya atau tidak.

    Dialah kekasih Allah yang syafa’atnya diharap.
    Dari tiap ketakutan dan bahaya yang datang menyergap.

    Dia mengajak kepada agama Allah yang lurus.
    Mengikutinya bererti berpegang pada tali yang tak terputus.

    Dia mengungguli para Nabi dalam budi dan rupa.
    Tak sanggup mereka menyamai ilmu dan kemuliaannya.

    Para Nabi semua meminta dari dirinya.
    Seciduk lautan kemuliaannya dan setitik hujan ilmunya.

    Para Rasul sama berdiri di puncak mereka.
    Mengharap setitik ilmu atau seonggok hikmahnya.

    Dialah Rasul yang sempurna batin dan lahirnya.
    Terpilih sebagai kekasih Allah pencipta manusia.

    Dalam kebaikanya, tak seorang pun menyaingi.
    Inti keindahannya takkan bisa terbagi-bagi.

    Jauhkan baginya yang dikatakan Nasrani pada Nabinya.
    Tetapkan bagi Muhammad pujian apapun kau suka.

    Nisbatkan kepadanya segala kemuliaan sekehendakmu.
    Dan pada martabatnya segala keagungan yang kau mahu.

    Kerana keutamaannya sungguh tak terbatas.
    Hingga tak satupun mampu mengungkapkan dengan kata.

    Jika mukjizatnya menyamai keagungan dirinya.
    Niscaya hiduplah tulang belulang dengan disebut namanya.

    Tak pernah ia uji kita dengan yang tak diterima akal.
    Dari sangat cintanya, hingga tiada kita ragu dan bimbang.

    Seluruh mahluk sulit memahami hakikat Nabi.
    Dari dekat atau jauh, tak satu pun yang mengerti.

    Bagaikan matahari yang tampak kecil dari kejauhan.
    Padahal mata tak mampu melihatnya bila berdekatan.

    Bagaimana seseorang dapat ketahui hakikat Sang Nabi
    Padahal ia sudah puas bertemu dengannya dalam mimpi

    Puncak Pengetahuan tentangnya ialah bahwa ia manusia
    Dan ia adalah sebaik baik seluruh ciptaan Allah

    Segala mukjizat para Rasul mulia sebelumnya
    Hanyalah pancaran dari cahayanya kepada mereka

    Dia matahari keutamaan dan para Nabi bintangnya
    Bintang hanya pantulkan sinar mentari menerangi gulita

    Alangkah mulia paras Nabi yang dihiasi pekerti
    Yang memiliki keindahan dan bercirikan wajah berseri

    Kemegahannya bak bunga, kemuliaannya bak purnama
    Kedermawanannya bak lautan, kegairahannya bak sang waktu

    la bagaikan dan memang tiada taranya dalam keagungan
    Ketika berada di sekitar pembantunya dan di tengah pasukan

    Bagai mutiara yang tersimpan dalam kerangnya
    Dari kedua sumber, iaitu ucapan dan senyumannya

    Tiada keharuman melebihi tanah yang mengubur jasadnya
    Beruntung orang yang menghirup dan mencium tanahnya

    *** Burdah Al-Bushiri ***

    Salam Maulidurrasul buat semua.
    اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِناَ مُحَمَّدٍ وَآلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلِّمْ