Friday, December 31, 2010

Tenang dan bahagia..


بسم الله الرحمن الرحيم

MANUSIA ingin hidup bahagia. Hidup tenang, tenteram, damai dan sejahtera. Sebahagian orang mengejar kebahagiaan dengan bekerja keras untuk menghimpun harta. Mereka menyangka bahawa pada harta yang melimpah itu terdapat kebahagiaan. Ada yang mengejar kebahagiaan pada tahta, pada kekuasaan. Beragam cara dia lakukan untuk merebut kekuasaan. Orang sakit menyangka, bahagia terletak pada kesihatan. Orang miskin pula menyangka, bahagia terletak pada harta kekayaan. Rakyat jelata menyangka kebahagiaan terletak pada kekuasaan.

Bahagia itu tidak dapat diukur dengan mata kasar, kerana pandangan mata selalunya menipu. Masakan melihat seorang hartawan dengan kereta mewah yang bersusun di hadapan rumahnya kita sudah boleh mengatakan dia bahagia.

Namun, bahagia dapat dirasa di hati, boleh dikesan pada wajah. Sebaliknya jika tiada, hati boleh merasa dan tak mungkin ditipunya. Kadangkali, pada zahirnya kehidupan sesebuah keluarga itu sudah nampak aman damai. Namun, hakikatnya hati para penghuninya masih tak bahagia. Mengapa? Rasa-rasa masih ada lagi yang kurang.

Ketenangan adalah anugerah Allah kepada hamba-hamba~NYA yang beriman dan bertaqwa. Mereka yang mendapat ketenangan seperti mendapat syurga yang disegerakan (Al-Jannatul Ajilah) sebelum mendapat syurga yang kekal abadi di akhirat. Mereka yang telah menikmatinya tidak akan terpengaruh dengan suasana untuk mendapat tenang dan bahagia.

Justeru setiap apa yang dilakukan di atas muka bumi ini, bukan untuk mengejar bahagia. Tapi atas rasa dirinya sebagai hamba yang perlu mentaati perintah dan menjauhi larangan Tuhan, demi mendapatkan keredhaanNYA. Dalam berseorangan pun mereka rasa bahagia, apatah lagi ketika ramai. Sewaktu susah dan kesempitan pun mereka rasa bahagia, apalagi di kala senang dan lapang. Keredhaan Allah cukup besar maknanya bagi mereka.

Menurut Imam al-Ghazali, puncak kebahagiaan pada manusia adalah jika dia berhasil mencapai 'ma'rifatullah', telah mengenal Allah SWT. Selanjutnya, Imam al-Ghazali menyatakan: "Ketahuilah bahagia tiap-tiap sesuatu bila kita rasakan nikmat, kesenangan dan kelazatannya merasa itu ialah menurut perasaan masing-masing. Maka kelazatan (mata) ialah melihat rupa yang indah, kenikmatan telinga mendengar suara yang merdu, demikian pula segala anggota yang lain dan tubuh manusia.

Sebagai orang Muslim, kita tentu mendambakan hidup bahagia seperti itu; hidup dalam keyakinan: mulai dengan mengenal Allah dan redha, menerima keputusan-keputusan~Nya, serta ikhlas menjalankan aturan-aturan~Nya. Kita mendambakan diri kita merasa bahagia dalam menjalankan solat, kita bahagia menunaikan zakat, kita bahagia bersedekah, kita bahagia menolong orang lain, dan kita pun bahagia menjalankan tugas amar ma'ruf nahi munkar.

Mereka yang bahagia dengan Islam adalah mereka yang mengatur seluruh aspek kehidupan secara Islam kerana merasakan dirinya adalah hamba yang perlu patuh pada PENCIPTA~NYA dan Islam itu tidak sekali-kali dijadikan sebagai alat untuk mendapatkan keindahan dan kebahagiaan sementara. Indahnya Islam bagi mereka kerana ia merupakan syariat Allah yang sangat syumul dan praktikal.

Sungguh sakit itu menyusahkan. Boleh jadi tidak tenang dengan sakit apatah lagi makan minum serta tidur selalu terganggu. Malah kerja harian juga terganggu dan di waktu tertentu hendak bersolat pun terganggu juga. Namun, seorang yang berzikrullah, dapat merasakan Tuhan yang memberi sakit dan Dialah yang menyembuhkan. Rasa itulah yang memberi penawar kepada kesusahan sakitnya selama ini. Dia jadi tenang atas kerana yakin Tuhan yang memberi sakit dan Tuhan jugalah yang akan menyembuhkan. Sudah pasti keyakinan itu menjadikan dia faham maksud Tuhan memberi sakit kepadanya.

Dalam keadaan apa pun. Maka senangkanlah hatimu! Jangan pernah bersedih. Kalau engkau kaya, senangkanlah hatimu! Kerana di hadapanmu terbentang kesempatan untuk mengerjakan perkara yang sulit melalui hartamu. Dan jika engkau fakir miskin, senangkan pulalah hatimu! Kerana engkau telah terlepas dari suatu penyakit jiwa, penyakit kesombongan yang sering menimpa orang-orang kaya. Senangkanlah hatimu kerana tak ada orang yang akan hasad dan dengki kepadamu lagi, lantaran kemiskinanmu. Kalau engkau dilupakan orang, kurang masyhur, senangkan pulalah hatimu! Kerana lidah tidak banyak yang mencelamu, mulut tak banyak mencacimu.

Mudah-mudahan Allah mengurniakan kita ilmu yang boleh menghantarkan kita pada sebuah keyakinan dan kebahagiaan abadi, dunia dan akhirat. Amin..

Aku tidak pernah melihat kezuhudan yang lebih sulit daripada kezuhudan terhadap kekuasaan. Kita banyak menemui orang-orang yang zuhud dalam masalah makanan, minuman, harta dan pakaian. Namun ketika diberikan kekuasaan kepadanya maka ia pun akan mempertahankan dan berani bermusuhan demi membelanya.
~Imam Sufyan Ats Tsauri~

Monday, December 13, 2010

Dipotong tangan kerana sedekah


بسم الله الرحمن الرحيم

Dikisahkan bahawa semasa berlakunya kekurangan makanan dalam kalangan Bani Israel, maka lalulah seorang fakir menghampiri rumah seorang kaya dengan berkata, "Sedekahlah kamu kepadaku dengan sepotong roti dengan ikhlas kerana Allah S.W.T."

Setelah fakir miskin itu berkata demikian maka keluarlah anak gadis orang kaya, lalu memberikan roti yang masih panas kepadanya. Sebaik sahaja gadis itu memberikan roti tersebut maka keluarlah bapa gadis tersebut yang bakhil itu terus memotong tangan kanan anak gadisnya sehingga putus. Semenjak dari peristiwa itu maka Allah S.W.T pun mengubah kehidupan orang kaya itu dengan menarik kembali harta kekayaannya sehingga dia menjadi seorang yang fakir miskin dan akhirnya dia meninggal dunia dalam keadaan yang paling hina.

Anak gadis itu menjadi pengemis dan meminta-minta dari satu rumah ke rumah. Maka pada suatu hari anak gadis itu menghampiri rumah seorang kaya sambil meminta sedekah, maka keluarlah seorang ibu dari rumah tersebut. Ibu tersebut sangat kagum dengan kecantikannya dan mempelawa anak gadis itu masuk ke rumahnya. Ibu itu sangat tertarik dengan gadis tersebut dan dia berhajat untuk mengahwinkan anaknya dengan gadis tersebut. Maka setelah perkahwinan itu selesai, maka si ibu itu pun memberikan pakaian dan perhiasan bagi menggantikan pakaiannya.

Pada suatu malam apabila sudah dihidang makanan malam, maka si suami hendak makan bersamanya. Oleh kerana anak gadis itu kudung tangannya dan suaminya juga tidak tahu bahawa dia itu kudung, manakala ibunya juga telah merahsiakan tentang tangan gadis tersebut. Maka apabila suaminya menyuruh dia makan, lalu dia makan dengan tangan kiri. Apabila suaminya melihat keadaan isterinya itu dia pun berkata, "Aku mendapat tahu bahawa orang fakir tidak tahu dalam tatacara harian, oleh itu makanlah dengan tangan kanan dan bukan dengan tangan kiri."

Setelah si suami berkata demikian, maka isterinya itu tetap makan dengan tangan kiri, walaupun suaminya berulang kali memberitahunya. Dengan tiba-tiba terdengar suara dari sebelah pintu, "Keluarkanlah tangan kananmu itu wahai hamba Allah, sesungguhnya kamu telah mendermakan sepotong roti dengan ikhlas kerana~Ku, maka tidak ada halangan bagi~Ku memberikan kembali akan tangan kananmu itu."

Setelah gadis itu mendengar suara tersebut, maka dia pun mengeluarkan tangan kanannya, dan dia mendapati tangan kanannya berada dalam keadaan asalnya, dan dia pun makan bersama suaminya dengan menggunakan tangan kanan. Hendaklah kita sentiasa menghormati tetamu kita, walaupun dia fakir miskin apabila dia telah datang ke rumah kita maka sesungguhnya dia adalah tetamu kita. Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud, "Barangsiapa menghormati tetamu, maka sesungguhnya dia telah menghormatiku, dan barangsiapa menghormatiku, maka sesungguhnya dia telah memuliakan Allah S.W.T. Dan barangsiapa telah menjadi kemarahan tetamu, dia telah menjadi kemarahanku. Dan barangsiapa menjadikan kemarahanku, sesungguhnya dia telah menjadikan murka Allah S.W.T."

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, "Sesungguhnya tetamu itu apabila dia datang ke rumah seseorang mukmin itu, maka dia masuk bersama dengan seribu berkah dan seribu rahmat."

Wallahu'alam..

Janganlah kamu memilih-milih dan sombong terhadap Allah SWT, kerana itu dapat melemahkanmu. Janganlah kamu menyombongkan kemudahan, kekuatan, dan kemudaanmu; agar Dia tidak menghancurkanmu dan menyeksamu, sesungguhnya seksa~Nya amat pedih

~Syeikh Abdul Qadir al-Jailani~

Friday, December 03, 2010

Al-Balkhi dan 2 ekor burung..


بسم الله الرحمن الرحيم

Alkisah, hiduplah pada zaman dahulu seorang yang terkenal dengan kesolehannya, bernama Syaqiq al-Balkhi. Dia memiliki sahabat karib bernama Ibrahim bin Adham yang terkenal dengan kezuhudannya. Orang sering memanggil Ibrahim bin Adham dengan panggilan Abu Ishaq.

Suatu hari, Al-Balkhi hendak berangkat ke suatu negeri untuk berdagang. Sebelum berangkat dia tidak ketinggalan untuk menziarahi kawan karibnya itu. Namun belumlah lama Al-Balkhi meninggalkan kotanya, tiba-tiba dia muncul kembali. Sahabatnya itu menjadi hairan, mengapa dia pulang begitu cepat dari rencana sebelumnya. Padahal negeri yang hendak ditujunya sangat jauh. Ibrahim bin Adham yang pada saat itu berada di dalam masjid langsung bertanya kepada Al-Balkhi, “Wahai al-Balkhi sahabatku, mengapa engkau begitu cepat kembali?”

“Dalam perjalanan”, jawab Al-Balkhi, “Aku melihat suatu keanehan, sehingga aku memutuskan untuk membatalkan perjalanan dagangku.”

“Keanehan apa yang kau maksudkan?” tanya Ibrahim.

Kemudian Al-Balkhi mulai menceritakan pengalamannya, “Ketika aku sedang beristirehat di sebuah bangunan yang telak rosak, mataku tertuju pada seekor burung yang pincang dan buta, aku memperhatikan setiap langkahnya. Aku pun kemudian bertanya-tanya dalam hati, bagaimana burung ini dapat bertahan hidup, padahal dia berada di tempat yang sangat jauh dari kawan-kawannya, dan matanya buta serta tidak kuasa berjalan.”

“Tidak lama kemudian, aku melihat ada seekor burung lain yang dengan susah payah menghampirinya dengan membawa makanan lalu diberikannya untuk burung yang buta dan pincang itu. Aku terus memperhatikan gerak-geri burung itu. Ternyata dia tidak pernah kekurangan makanan, kerana dibantu oleh kawannya yang sihat tadi.”

“Lantas apa hubungannya dengan kepulanganmu yang cepat ini?” tanya Ibrahim bin Adham yang masih belum memahami dengan jelas maksud Al-Balkhi.

Al-Balkhi melanjutkan, “Maka dengan semua yang aku perhatikan itu, aku berkesimpulan bahawa Allah Taala Yang Maha Pemberi rezeki telah mencukupkan rezeki untuk seekor burung yang pincang lagi buta dan jauh dari teman-temannya. Dan tentu Dia Yang Maha Pemberi akan mencukupi rezekiku pula, sekalipun aku tidak bersusah payah untuk berdagang. Oleh kerana itulah aku memutuskan untuk kembali saat itu juga.”

Mendengar penuturan sahabatnya itu, Ibrahim bin Adham berkata, “Wahai Al-Balkhi sahabatku, mengapa engkau memiliki pemikiran serendah itu? Mengapa engkau rela menyamakan derajatmu dengan seekor burung yang pincang lagi buta? Mengapa engkau mengikhlaskan dirimu sendiri untuk hidup atas belas kasihan dan bantuan orang lain? Mengapa engkau tidak berfikir untuk mencuba menjadi seperti burung yang satunya lagi? Dia bekerja keras untuk mencukupi keperluannya dan keperluan saudaranya yang tidak mampu bekerja? Tidakkah engkau tahu bahawa tangan yang di atas (yang memberi dan menyantuni) lebih baik daripada tangan yang di bawah?”

Mendengar hikmah yang mulia ini, Al-Balkhi pun sedar, dia telah salah dalam mengambil pelajaran dari kedua burung itu. Saat itu pula dia bangkit dan mohon diri kepada Ibrahim bin Adham seraya berkata, “Wahai Abu Ishaq, engkaulah guru kami yang baik”, lalu berangkatlah dia untuk melanjutkan usaha dagangnya yang tertunda itu.

Dari kisah ini, mengingatkan kita kepada sebuah hadith yang diriwayatkan dari Miqdam bin Ma’dikarib, bahwasanya Rasulullah s.a.w. bersabda (yang ertinya): “Tidaklah ada cara yang lebih baik bagi seseorang yang memakan makanan daripada memakan dari hasil tangannya sendiri. Dan sesungguhnya Nabi Dawud AS, beliau makan dari hasil jerih payah tangan beliau sendiri”. (HR. Al Bukhari)

Wallahu'alam...

"Orang yang bahagia adalah orang yang Allah anugerahi kalbu yang berfikir, mata yang selalu mengambil pelajaran, telinga yang mendengar dari Allah, dan diri yang bersemangat mengabdi kepada Allah. Di antara hak Allah yang paling layak diperhatikan oleh hamba adalah syukur kepada-Nya, secara lahir mahupun batin. Secara lahir dengan mematuhi~Nya dan secara batin dengan menyaksikan nikmat dari~Nya. Belum bersyukur orang yang tidak melaksanakan perintah dan batas-batas~Nya. Tidak disebut menjaga~Nya orang yang menyia-nyiakan perjanjian dengan~Nya. Kerana itu, kamu harus mensyukuri semua nikmat~Nya atas diri kamu."
[Al-Imam Ibnu 'Athaillah As-Sakandari r.a.]

Friday, November 19, 2010

Taubat seorang wanita penzina..


بسم الله الرحمن الرحيم

Imam Muslim dalam Shahihnya, dan juga para penulis kitab sunnah telah meriwayatkan sebuah kisah taubat yang paling mengagumkan yang diketahui oleh manusia. Pada suatu hari Rasulullah duduk di dalam masjid, sementara para sahabat beliau duduk mengelilingi beliau. Beliau mengajar, mendidik dan mensucikan (hati) mereka.

Tiba-tiba datanglah seorang wanita berhijab masuk melalui pintu masjid. Melihat wanita itu Rasulullah pun diam, dan begitu juga para sahabat beliau. Wanita tersebut menghadap dengan perlahan, dia berjalan dengan penuh gentar dan takut, dia lemparkan segenap penilaian dan pertimbangan manusia, dia lupakan aib dan keburukan, tidak takut kepada manusia, atau mata manusia dan apa yang akan dikatakan oleh manusia.

Dia menghadap untuk mencari kematian. Kematian lebih ringan, jika disertai oleh pengampunan dan penghapusan dosa. Menjadi ringan jika setelah kematian tersebut terdapat keredhaan dan penerimaan dari sisi Allah. Dia berjalan sampai kepada Rasulullah, kemudian dia berdiri di hadapan beliau, dan mengkhabarkan kepada beliau bahawa dia telah berzina!

Dia berkata, "Wahai Rasulullah, aku telah melakukan (maksiat yang mewajibkan adanya) hukuman had (atasku), maka sucikanlah aku!"

Apa yang diperbuat oleh Rasulullah s.a.w.? Apakah beliau meminta persaksian dari para sahabat atas wanita tersebut? Tidak, bahkan merahlah wajah beliau hingga hampir-hampir menitiskan darah. Kemudian beliau mengarahkan wajah beliau ke arah kanan, dan diam, seakan-akan beliau tidak mendengar sesuatu. Rasulullah berusaha agar wanita ini mencabut perkataannya, akan tetapi wanita tersebut adalah wanita yang istimewa, wanita yang solehah, wanita yang keimanannya telah tersusuk di dalam hatinya. Maka Nabi bersabda kepadanya, "Pergilah, sehingga engkau melahirkannya."

Berlalulah bulan demi bulan, dia mengandung puteranya selama 9 bulan, kemudian dia melahirkannya. Maka pada hari pertama nifasnya, dia pun datang dengan membawa anaknya yang telah diselimuti kain dan berkata, "Wahai Rasulullah, sucikanlah aku dari dosa zina, inilah dia, aku telah melahirkannya, maka sucikanlah aku wahai Rasulullah!"

Maka Nabi pun melihat kepada anak wanita tersebut, sementara hati beliau tercabik-cabik kerana merasakan sakit dan sedih, dikeranakan beliau menghidupkan kasih sayang terhadap orang yang berbuat maksiat, rahmat kepada burung, dan menyayangi haiwan.

Sebahagian ahli ilmu berkata, "Bahkan beliau, memberikan rahmat hingga kepada orang kafir. Allah berfirman tentang beliau, "Dan tidakklah aku utus kamu Muhammad, kecuali sebagai rahmat bagi alam semesta." Siapa yang akan menyusui bayi tersebut jika ibunya mati? Siapakah yang akan mengurusi keperluannya jika had (hukuman) ditegakkan atas ibunya? Maka Nabi bersabda, "Pulanglah, susuilah dia, maka jika engkau telah menyempurnakannya, kembalilah kepadaku."

Maka wanita itu pun pergi ke rumah keluarganya, dia susui anaknya, dan tidaklah bertambah keimanannya di dalam hatinya kecuali keteguhan, seperti teguhnya gunung. Tahun pun bergilir berganti tahun. Kemudian wanita itu datang dengan membawa anaknya yang sedang memegang roti. Dia berkata: "Wahai Rasulullah, aku telah menyempurnakan memberinya susu, maka sucikanlah aku!"

Dia dan keadaannya sungguh sangat menakjubkan! Iman yang bagaimanakah yang membuatnya berbuat demikian. Tiga tahun lebih atau kurang, yang demikian tidaklah menambahnya kecuali kekuatan iman.

Nabi mengambil anaknya, seakan-akan beliau membelah hati wanita tersebut dari antara kedua lambungnya. Akan tetapi ini adalah perintah Allah, keadilan langit, kebenaran yang dengannya kehidupan akan tegak.

Nabi bersabda, "Siapa yang mengkafil (mengurusi) anak ini, maka dia adalah temanku di syurga seperti ini…" Kemudian beliau memerintahkan agar wanita tersebut direjam (dilempari dengan batu hingga mati).

Maka manusia pun berkumpul, dan merejamnya. Memancutlah darah dari kepala wanita tersebut mengenai Khalid bin Walid, maka dia pun mencacinya pada jarak pendengaran Nabi. Maka beliau bersabda kepadanya, "Tenang wahai Khalid, demi Allah, dia telah bertaubat dengan pertaubatan yang seandainya penarik pajak bertaubat dengannya pastilah akan diterima darinya."

Dalam sebuah riwayat bahawa Nabi memerintahkan agar wanita itu direjam, kemudian beliau mensolatinya. Maka berkatalah Umar, "Anda mensolatinya wahai Nabi Allah, sungguh dia telah berzina." Maka beliau bersabda, "Sungguh dia telah bertaubat dengan satu taubat, seandainya taubatnya itu dibahagikan kepada 70 orang dari penduduk Madinah, maka taubat itu akan mencukupinya. Apakah engkau mendapati sebuah taubat yang lebih utama dari pengorbanan dirinya untuk Allah?" (HR. Ahmad)

Sesungguhnya ini adalah rasa takut kepada Allah. Sesungguhnya itu adalah perasaan takut yang terus menerus berada pada diri wanita mukminah tersebut saat dia terjerumus ke dalam jerat-jerat syaitan, dia menjawab jerat-jerat tersebut pada saat lemah. Ya, dia telah berbuat dosa, akan tetapi dia berdiri dari dosanya dengan hati yang dipenuhi oleh iman, dan jiwa yang digerakkan oleh panasnya maksiat. Ya, dia telah berdosa, akan tetapi telah berdiri pada hatinya tempat pengagungan terhadap Dzat yang dia bermaksiat kepada~Nya. Sesungguhnya ini adalah taubat sejati wahai hamba-hamba Allah. Ya, ini taubat nashuha wahai hamba-hamba Allah.

Wallahu'alam...

Sikap sabar dalam menghadapi semua persoalan hidup adalah satu anugerah dari Allah, tidak semua orang mendapat anugerah tersebut. Jika ada sifat sabar dalam dirimu, maka bersyukurlah kepada yang memberi kesabaran pada dirimu iaitu Allah SWT.

Friday, October 22, 2010

Jujur dalam kemiskinan...


بسم الله الرحمن الرحيم

Pada zaman pemerintahan Umar bin Khatab hiduplah seorang janda miskin bersama seorang anak gadisnya di sebuah pondok tua di pinggiran kota Mekah. Keduanya sangat rajin beribadah dan bekerja untuk memenuhi keperluan hidup mereka sehari-hari. Setiap pagi, selesai solat subuh, keduanya memerah susu kambing di kandang. Penduduk kota Mekah banyak yang menyukai susu kambing wanita itu kerana mutunya yang baik.

Pada suatu malam, Khalifah Umar ditemani pengawalnya melawat seluruh negeri untuk melihat dari dekat keadaan hidup dan kesejahteraan rakyatnya. Setelah beberapa saat berjalan, sampailah khalifah di pinggiran kota Mekah. Beliau tertarik melihat sebuah pondok kecil dengan cahaya yang masih kelihatan dari dalamnya yang menandakan bahawa penghuninya belum tidur. Khalifah turun dari kudanya, lalu mendekati pondok itu. Samar-samar telinganya mendengar percakapan seorang wanita dengan anaknya.

"Anakku, malam ini kambing kita hanya mengeluarkan susu sedikit sekali. Ini tidak cukup untuk memenuhi permintaan pelanggan kita besok pagi," keluh wanita itu kepada anaknya.

Dengan tersenyum, anak gadisnya yang beranjak dewasa itu menghibur, "Ibu, tidak usah disesali. Inilah rezeki yang diberikan Allah kepada kita hari ini. Semoga besok kambing kita mengeluarkan susu yang lebih banyak lagi."

"Tapi, aku khawatir para pelanggan kita tidak mahu membeli susu dengan kita lagi. Bagaimana kalau susu itu kita campur dengan air supaya kelihatan banyak?"

"Jangan, Bu!" Gadis itu melarang. "Bagaimanapun kita tidak boleh berbuat curang. Lebih baik kita katakan dengan jujur pada pelanggan bahawa hasil susu hari ini hanya sedikit. Mereka tentu akan memahaminya. Lagi pula kalau diketahui halnya, kita akan dihukum oleh Khalifah Umar. Percayalah, ketidakjujuran itu akan menyiksa hati."

Dari luar pondok itu, Khalifah Umar semakin teruja ingin tahu terusnya perbualan selanjutnya antara janda dan anak gadisnya itu.

"Bagaimana mungkin khalifah Umar tahu!" Kata janda itu kepada anaknya. "Saat ini beliau sedang nyenyak tidur di istananya yang megah tanpa pernah mengalami kesulitan seperti kita ini?"

Melihat ibunya masih tetap bersifat keras dengan alasannya, gadis remaja itu tersenyum dengan lembut dan berkata, "Ibu, memang Khalifah tidak melihat apa yang kita lakukan sekarang. Tapi Allah Maha Melihat setiap gerak-geri makhluknya. Meskipun kita miskin, jangan sampai kita melakukan sesuatu yang dimurkai Allah."

Di luar pondok, khalifah tersenyum mendengar kata-kata gadis itu. Beliau benar-benar kagum dengan kejujurannya. Ternyata kemiskinan dan himpitan keadaan kehidupan mereka tidak membuatnya terpengaruh untuk berlaku curang. Setelah itu khalifah mengajak pengawalnya pulang.

Keesokan harinya, Umar memerintahkan beberapa orang untuk menjemput wanita pemerah susu dan anak gadisnya untuk menghadap kepadanya. Beliau ternyata bermaksud untuk menikahkan puteranya dengan gadis jujur itu.

Sungguh sebuah teladan bagi kita semua, bahawa kejujuran kerana takut kepada Allah adalah suatu harta yang tak ternilai harganya. Mungkin ini yang sulit kita dapatkan sekarang.

Kejujuran sentiasa mendatangkan berkah, sebagaimana disebut dalam hadith yang diriwayatkan dari Hakim bin Hizam dari Rasulullah s.a.w., beliau bersabda, “Penjual dan pembeli diberi kesempatan berfikir selagi mereka belum berpisah. Seandainya mereka jujur serta membuat penjelasan mengenai barang yang dijualbelikan, mereka akan mendapat berkah dalam jual beli mereka. Sebaliknya, jika mereka menipu dan merahsiakan mengenai apa-apa yang harus diterangkan tentang barang yang dijualbelikan, maka akan terhapus keberkahannya.”

Wallahu'alam, moga ada manfaatnya.

Barangsiapa masuk ke kubur tanpa membawa bekal, maka seolah-olah ia mengarungi lautan tanpa perahu.
~Sayyidina Abu bakar Ash-Shiddiq~

Monday, August 23, 2010

Pesan buat muslimah..


بسم الله الرحمن الرحيم

SAUDARIKU Muslimah, semoga kesejahteraan dilimpahkan ke atasmu, demikian pula dengan rahmat dan keberkatan daripada Allah.

Bertepatan dengan bulan suci ini saya ingin mengucapkan selamat kepada wanita muslimah seraya berdoa semoga Allah memberikan untuk saya dan kalian semua keampunan dan taubat~Nya. Pada kesempatan ini ambillah 10 nasihat ini dengan baik dan dengan hati yang terbuka.

Pertama : Muslimah hendaknya tetap beriman kepada Allah dan mengakui bahawa Dialah tuhan yang Maha Esa, Muhammad adalah utusan~Nya, dan Islam adalah agama kita. Jika ini semua dilakukan, akan nampak keimanan dalam setiap perbuatan, amal dan keyakinan.

Kedua : Seorang muslimah hendaknya menjaga solat lima waktu, dan sentiasa khusyuk ketika melaksanakan solat. Kalian tidak boleh disibukkan dengan hal lain sehingga melupakan solat. Kalian juga tidak boleh terlena dengan perkara-perkara lain hingga lalai untuk beribadah. Sesungguhnya solat dapat mencegah seseorang dari perbuatan keji dan mungkar. Solat adalah benteng terkuat yang dapat menjaga seseorang dari perbuatan maksiat.

Ketiga : Muslimah sekalian hendaknya memelihara diri dengan menutup aurat. Kalian tidak boleh keluar rumah kecuali dengan menutup bahagian-bahagian tubuh yang diperintahkan. Dengan menutup aurat kalian, Allah hendak menjaga dan menyucikan kaum wanita. Allah SWT berfirman, "Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: 'Hendaklah mereka menutupkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka." (QS al-Ahzab: 59)

Keempat : Muslimah harus selalu mentaati suami kalian, bersikap lemah-lembut, mengasihi, mengajaknya pada kebaikan, menasihati, dan selalu membuat suaminya tenang, serta tidak meninggikan suara dan berkata kasar kepadanya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Jika seorang wanita melaksanakan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, dan taat terhadap suaminya, maka ia akan masuk ke dalam syurga Allah." (HR Ahmad)

Kelima : Kalian hendaklah mendidik anak-anak kalian untuk selalu taat kepada Allah. Mereka harus dididik dengan aqidah yang benar dan menanamkan rasa cinta kepada Allah dan Rasul~Nya. Mereka harus dibiasakan untuk selalu menjauhi maksiat dan perbuatan hina. Allah SWT berfirman: "Hai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kalian dan keluarga kalian dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan~Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan." (QS At-Tahrim: 6)

Keenam : Jangan hendaknya kalian sampai berdua-duaan dengan seorang lelaki yang bukan mahram. Rasulullah bersabda, "Tidaklah seorang wanita berduaan dengan seorang lelaki melainkan yang ketiganya adalah syaitan."

Kalian tidak boleh melakukan perjalanan kecuali ditemani seorang mahram, tidak berjalan-jalan di pasar-pasar, di tempat keramaian umum kecuali memang ada keperluan. Auratnya wajib ditutup dan dijaga.

Ketujuh : Wanita Muslimah tidak boleh meniru penampilan lelaki. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, "Allah melaknat kaum lelaki yang meniru kaum wanita dan kaum wanita yang meniru kaum lelaki." (HR Bukhari)

Tidak dibenarkan bagi wanita muslimah mengikut gaya berpakaian dan penampilan wanita kafir. Rasulullah s.a.w. bersabda, "Orang yang meniru satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka."

Kelapan : Wanita muslimah harus selalu menyeru kepada jalan Allah di antara kaum wanita yang lain. Dalam menyerukan dakwah Islam ini harus menggunakan ucapan yang baik, dengan mengunjungi tetangga dan selalu menghubungi saudara-saudara muslimah. Kalian harus menjaga diri dan saudara-saudara muslimah yang lain agar diselamatkan dari azab Allah.

"Jika Allah memberikan petunjuk kepada seseorang melalui perantara dirimu, itu lebih baik bagimu daripada limpahan kenikmatan." (HR Bukhari dan Muslim)

Kesembilan : Wanita muslimah harus memelihara hatinya dari perkara-perkara yang syubhat dan nafsu syahwat. Kalian harus menjaga mata dari hal yang haram, telinga dari nyanyian yang melalaikan, menjaga diri dari perbuatan keji, menjaga rahsia tempat tidur kalian bersama suami dan menjaga seluruh anggota tubuh kalian daripada perbuatan yang bertentangan syariat Allah. Inilah yang disebut dengan ketaqwaan.

Kesepuluh : Wanita muslimah harus sentiasa menjaga waktu kalian dari perbuatan sia-sia dan hari-hari kalian daripada perbuatan yang merosakkan. Kalian tidak boleh menjadi orang yang lalai, terlena, selalu bergurau senda, dan berada dalam perbuatan sia-sia. Simpanlah aib kalian seteguh-teguhnya usah disiarkan gambar kalian yang tidak menutup aurat kerana itu adalah perbuatan dosa membuka aib sendiri. Lihat - Promosi maksiat dan buka aib sendiri - Ustaz Zaharuddin

Allah SWT berfirman, "Dan tinggalkan orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai main-main dan senda gurauan dan mereka telah ditipu oleh kehidupan dunia." (QS Al-An'am: 70)

Allah sudah sediakan banyak peluang dan tawaran yang lumayan kepada umat Islam terutamanya di bulan Ramadhan. Andaikata ada di antara kalangan umat Islam tidak mahu menerima tawaran Allah itu, sesungguhnya kalian memang tidak berminat dengan Allah, tak minat dengan nasihat dan kasih sayang Rasulullah dan tidak minat dengan janji syurga~Nya. Kalian lebih meminati neraka~Nya dan sangat berminat untuk diazab~Nya. Kembalilah wahai kalian yang tidak berminat itu.

Ya Allah, berikanlah petunjuk kepada wanita muslimah agar mereka sentiasa melaksanakan yang Engkau cintai dan redhai. Makmurkanlah hati mereka dengan keimanan. Saya mohon maaf jika ada silap dan salah daripada apa yang saya muatkan di sini.

Wassalam..

Friday, June 25, 2010

Jumaat yang indah...


بسم الله الرحمن الرحيم

Pada setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, seorang Imam dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di kota itu dan menyebarkan risalah bertajuk “Jalan-jalan Syurga” dan beberapa karya Islamik yang lain.

Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar seperti biasa untuk menghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu hujan mula turun dan menjadi amat dingin. Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan seraya berkata “Ayah! Saya dah bersedia.”

Ayahnya terkejut dan berkata, “Bersedia untuk apa?”

“Ayah bukankah ini masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah.”

“Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat.”

“Ayah, bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika hujan turun.”

Ayahnya menambah, “Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca sebegini.”

Dengan merintih anaknya merayu, “Benarkan saya pergi ayah?”

Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada anaknya. “Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!”

“Terima kasih Ayah.” Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan itu.

Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan memberikan risalah itu kepada penghuninya. Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah “Jalan-jalan Syurga” ada pada tangannya. Dia berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika masih ada risalah di tangannya. Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari mencari siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu, namun gagal.

Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan mula mengatur langkah menghampirinya. Apabila sampai sahaja di rumah itu, lantas ditekannya loceng rumah itu sekali. Ditunggunya sebentar dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan. Diketuk pula pintu itu namun sekali lagi tiada jawapan. Ada sesuatu yang memegangnya daripada pergi, mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini diserahkan. Dia mengambil keputusan menekan loceng sekali lagi. Akhirnya pintu rumah itu dibuka.

Berdiri di depan pintu adalah seorang perempuan dalam lingkungan lima puluhan. Mukanya suram dan sedih. “Nak, apa yang makcik boleh bantu?”

Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit. “Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik. Saya datang ini hanya hendak menyerahkan risalah akhir ini dan makcik adalah orang yang paling bertuah.” Dia senyum dan tunduk hormat sebelum melangkah pergi.

“Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu,” dalam nada yang lembut.

Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam memberikan ceramahnya. Sebelum mengakhiri dia bertanya, "Ada sesiapa nak menyatakan sesuatu.”

Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah perempuan separuh umur itu. “Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ini walaupun sekali. Untuk pengetahuan anda, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim. Suami saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan dalam dunia ini.” Air mata mulai bergenang di kelopak matanya.

“Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Jadi saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu lagi diketatkan di leher. Apabila tiba saat saya untuk terjun, tiba-tiba loceng rumah saya berbunyi. Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi lagi. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi.”

“Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada orang yang tekan loceng ini setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi ke pintu.” “Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak yang comel itu. Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat.” “Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik.” Itulah kata-kata yang paling indah yang saya dengar”.

“Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. Saya kemudian menutup pintu dan terus baca risalah itu setiap muka surat. Akhirnya kerusi dan tali yang hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat asal mereka. Aku tak perlukan itu lagi.”

“Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang bahagia, yang menjadi hamba kepada Tuhan yang satu ALLAH. Di belakang risalah terdapat alamat ini dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan hidayah yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan berada selama-lamanya di dalam neraka.”

Tiada satu pun anak mata di masjid itu yang masih kering. Ramai pula yang berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR!

Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya. Jumaat ini dikira Jumaat yang paling indah dalam hidupnya. Tiada anugerah yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang seumpama malaikat.

Biarkanlah air mata itu menitis. Air mata itu anugerah ALLAH kepada makhlukNya yang penyayang.

Wallahu'alam...Terima kasih sahabat untuk article ini.

Anugerah dari Cikgu Amy Sensei..terima kasih kitak!


Sunday, May 16, 2010

Hanya Terima Kasih..


بسم الله الرحمن الرحيم

Terima kasih...


Hanya terima kasih...

Untuk jasa yang kau taburkan.

Biar jasadmu reput, kau tetap disebut

Semestinya keranamu...



Kami masih ada di sini...

Teruji kesabaran, terusik perasaan

Namun, kami masih teguh di sini

Biar ribut merempuh...

Genggaman janji yang termetrai...

Tak akan kami lepaskan

Sepertimana dirimu teguh, begitu jua kami utuh,

Terima kasih lagi...



Dengan langkah yang penuh yakin...

Dengan limpahan ilmu yang mencurah...

Kini, anak-anak tidak lagi kelaparan

Tidak lagi menagih di tepi-tepi jalan

Tidak lagi meraung minta didodoikan

Tidak lagi angkuh bersama bahtera pemberontakan

Tidak lagi prejudis dengan kehidupan...

Kerana, tertegaknya undang-undang

Lahirnya golongan cendiakiawan

Drastiknya pertumbuhan kehidupan,

Ada pemerintah, ada yang diperintah

Hanya olehmu...



Terima kasih...

Kerana kami masih di sini, belajar berkorban

Pastinya, namamu keramat GURU

Tak akan tenggelam ditelan zaman

Tak akan ranap dibanjiri lautan

Tegasnya, kau tetapi suci

Kau tetap kukuh, disanubari

Moga nanti akan ada penyambung warisan

Dengan itu, kamilah yang pertama menyambut cabaran


~SELAMAT HARI GURU BUAT~
~TEMAN-TEMAN DI SINI~

Cikgu Kartini, Cikgu Normah, Cikgu Cik Amy,
Ustazah Ros Illiyyun, Cikgu Izzah, Cikgu Fadzilah,
Cikgu Asyiq, Cikgu Etuza, Ustaz Hassan Basri,
Cikgu Aidil Fadzil, Cikgu Mazidah, Cikgu Jinggo,
Cikgu Nursyura, Cikgu Zulhelmi, Ustaz Saifun,
Cikgu Werdah, Cikgu Rash dan lain-lain yang
tidak dapat saya sebut di sini.

Sabda Rasulullah S.A.W.
"Sesungguhnya Allah dan seluruh MalaikatNya
serta penghuni langit dan bumi,
sehingga semut yang ada di dalam liangnya dan ikan yu,
semuanya memohon kerahmatan ke atas orang
yang mengajarkan kebaikan kepada manusia."
(Hadis Riwayat Al Imam At Tirmizi)


Ya Allah, kurniakan kesabaran, ketenangan serta ketulusan kepada
guru-guru yang tidak pernah mengenal penat lelah dalam menjalankan
amanah dan tanggungjawab mereka untuk mendidik anak-anak bangsa.
Berikan kebaikan yang banyak kepada mereka, tetapkan iman mereka,
lapangkan hati mereka dan cukupkan rezeki mereka dan ampuni dosa-dosa
mereka, baik yang masih hidup ataupun sudah meninggal dunia
...ameen...


Thursday, April 01, 2010

Hanya dua...

بسم الله الرحمن الرحيم

Pernah, salah seorang penguasa Yahudi, menyatakan bahawa mereka tidak takut dengan orang Islam kecuali pada satu perkara. Iaitu apabila jumlah jemaah solat Subuh sama dengan jumlah jemaah solat Jumaat."

Apakah yang dapat kita petik dari pernyataan di atas? Ternyata, orang Yahudi lebih peka dengan keadaan kita dari diri kita sendiri.

Betapa, selama ini banyak kaum Muslimin terlena dalam malam yang panjang sehingga yang tersisa hanyalah segelintir yang membentuk sederet dua saf pada solat Subuh. Mereka tidak menyedari, ada nilai keagamaan dan falsafah yang kuat dalam pelaksanaan solat Subuh. Namun, itu semua disedari oleh golongan Yahudi.

Memang, kalau kita huraikan, permasalahannya akan lebih rumit. Pemahaman dan kesedaran kebanyakan kaum Muslimin masih lemah. Dengan berbagai alasan, akhirnya mereka lebih memilih solat di rumah. Suatu fenomena yang jika terjadi pada zaman Rasulullah s.a.w, mereka akan diancam dengan dibakar rumah mereka. Bahkan, bagi sebahagian Muslimin, kewajipan solat dikesampingkan oleh berbagai kepentingan dunia dan tentunya, bisikan syaitan...Na'udzubillah!

Memang mudah lidah mengatakan kalimat 'Islam,' namun begitu susah untuk menanamkan 'iman' di dalam hati manusia.

قَالَتِ الْأَعْرَابُ آمَنَّا قُل لَّمْ تُؤْمِنُوا وَلَكِن قُولُوا أَسْلَمْنَا وَلَمَّا يَدْخُلِ الْإِيمَانُ فِي قُلُوبِكُمْ وَإِن تُطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَا يَلِتْكُم مِّنْ أَعْمَالِكُمْ شَيْئاً إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

"Orang-orang 'A'raab berkata : 'Kami telah beriman.' Katakanlah (kepada mereka) : 'Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian) tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja : 'Kami telah Islam.' Dan (ingatlah) jika kamu taat kepada Allah dan RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Al-Hujurat : 14)

Kebanyakan ungkapan lidah tidak selari dengan keyakinan hati. Begitu juga, beribu ungkapan lisan tidak sesuai dengan amalan. Mukmin yang benar dan jujur adalah mereka yang sama antara perkataan dengan perbuatannya. Perkataanya seiring dengan apa yang ada di dalam hati. Sedangkan orang munafik, secara zahir kelihatan baik dan bersih, namun hatinya keras bagaikan batu (atau lebih keras lagi).

Allah mengetahui setiap sesuatu yang ada di dalam hati. Mengetahui mata tidak jujur dan segala yang tersembunyi di dalam dada. Mengetahui orang yang munafik dari yang mukmin, serta mengetahui pendusta dari yang jujur. Namun, terserah pada kehendakNya untuk memberikan ujian-ujian tertentu, demi mengetahui, serta menunjukkan siapa yang hanya pandai berbicara tetapi tidak pernah melakukan atau meyakini sesuatu, namun tidak merealisasikannya.

Tujuan ditampakkan rahsia hati itu kerana Allah SWT ingin menegakkan hujah (alasan) atas manusia, agar di hari akhirat kelak tidak ada seorang pun merasa dizalimi dan teraniaya. Mereka diberi ujian akan tetapi sebahagian besar darinya gagal dalam ujian tersebut.

Ujian memiliki ciri-ciri khusus. Pertama, ujian mestilah susah. Sebab, jika ia senang dan mudah, maka semua akan lulus, baik mukmin mahupun munafik. Akhirnya, ia tidak dapat membezakan antara mukmin dan munafik.

Kedua, ujian itu bukanlah sesuatu yang mustahil. Sebab, kalau ia sesuatu yang mustahil, maka kedua-duanya akan gagal, baik mukmin mahupun munafik.

Ketiga, ujian ini mestilah seimbang. Ertinya, orang munafik sukar melepasinya. Namun, bukan bererti ia mustahil dilakukan sehingga terbuka kesempatan bagi mukmin untuk lulus dalam ujian tersebut.

Ujian Allah SWT untuk hambaNya bukan sedikit, bahkan ia berterusan sejak manusia mula mukallaf sehingga datangnya kematian. Jihad di jalan Allah merupakan ujian. Bahkan jihad merupakan ujian yang berat, namun bukan mustahil dilakukan. Sebab, orang-orang mukmin boleh lulus dalam ujian ini, sedangkan orang munafik tidak akan dapat melepasinya.

Ujian itu ada pelbagai peringkat kesusahan. Ujian yang sukar, namun bukan sesuatu yang mustahil. Nilai tertinggi dalam ujian ini (bagi seorang lelaki) adalah solat Subuh secara rutin berjemaah di masjid. Bagi perempuan pula, solat subuh tepat pada waktunya di rumah. Manusia dianggap gagal dalam ujian penting ini apabila mereka solat tidak tepat pada waktu yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah RA, dia berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : "Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik adalah solat Isya dan solat Subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung di dalamnya, nescaya mereka akan mendatangi keduanya sekalipun merangkak.

Sesungguhnya, aku ingin menyuruh melaksanakan solat lalu ia didirikan, kemudian aku perintahkan orang lain untuk solat bersama dengan orang ramai. Kemudian beberapa lelaki berangkat bersamaku dengan membawa kayu, pergi ke suatu kaum yang tidak menghadiri solat berjemaah sehingga aku berazam mahu membakar rumah mereka." (HR Al- Bukhari dan Muslim)

Cuba kita bayangkan. Betapa besar masalah ini dan betapa besar bala yang akan menimpa sehingga Rasulullah s.a.w (pemimpin yang dikenali dengan sikap kasih sayang dan kelembutan) berazam mahu membakar rumah mereka.

Namun, saya melihat pancaran kasih sayang dan kelembutan dalam kalimat tersebut. Dengan ungkapan lain, baginda sebenarnya ingin menyelamatkan umat dari api akhirat dan menakutkan mereka dengan api dunia. Meskipun antara api akhirat dan api dunia amat jauh perbezaannya.

Alangkah baiknya kalau ada seorang lelaki yang tidak mampu berjalan dan tiada orang yang membantunya bergerak, namun dia tetap berkeras mahu pergi ke masjid. Dia merangkak dan merayap di atas tanah untuk mendapatkan kebaikan solat Subuh berjemaah. Sekiranya kita mengetahui betapa besar nilai solat ini, kemudian kita saksikan ada orang yang meninggalkan solat Subuh berjemaah di masjid, maka kita akan mengetahui betapa besar musibah yang telah menimpa mereka.

Kalau seseorang meninggalkan solat ini dengan sengaja, maka kesengajaan tersebut adalah bukti nyata dari sifat kemunafikan. Barang siapa yang ada pada dirinya sifat ini, hendaklah dia segera bermuhasabah. Ini untuk mengelakkan hayat kita diakhiri dengan su'ul khatimah

Oleh itu, marilah kita memohon kepada Allah agar mengurniakan kepada kita kekuatan untuk melaksanakan perintahNya serta kesihatan, keselamatan dan husnul khatimah

P/S: Article ini pernah saya terbitkan dulu, namun kita manusia sering lupa dan lalai. Oleh itu, saya utarakan semula agar ianya dapat memberi peringatan buat kita semua. Semoga ianya mendatangkan pengajaran dan manfaat yang banyak.

Nasihat itu bagaikan zakat sedangkan nisabnya adalah mengambil pelajaran darinya.
~Sebahagian Kaum Shalihin~

Friday, March 05, 2010

Menahan marah...


بسم الله الرحمن الرحيم

Ini adalah kisah seorang yang meminta nasihat dari Imam Al Harits Al Muhasibi, kerana tidak boleh sabar menahan amarah kerana perkara yang remeh.

"Aku tidak kuat menahan amarah ketika dicela dan disakiti," kata si sakit.

"Engkau sukar untuk menahan marah dan mudah membalas, sebab engkau menganggap bahawa menahan marah itu adalah perbuatan hina dan keserampangan sebagai kehormatan.” kata Al Muhasibi.

"Lalu dengan apa aku dapat menahan amarah yang besar?” kata si sakit.

"Dengan kesabaran jiwa dan menahan anggota badan.” jawab Al Muhasibi.

"Dengan apa aku boleh mendapatkan kesabaran jiwa dan mengekang anggota badan?" tanya si sakit.

"Dengan mengetahui dan menyedari bahawa menahan marah itu adalah kemuliaan dan keindahan sedangkan keserampangan adalah kehinaan dan corengan.” jawab Al Muhasibi.

"Bagaimana aku dapat menyedari itu sementara dalam hatiku telah bertapak lawannya? Dan bagaimana pula aku dapat menyedarinya sementara dalam diriku telah timbul suatu perasaan bahawa jika aku tidak membalas, aku merasa terhina di hadapan orang yang memarahiku? Selain itu, dalam hatiku timbul perasaan bahawa orang yang memarahiku adalah telah menginjak-injak harga diriku, dan jika aku tidak membalasnya, aku merasa dianggap sangat lemah dan tidak berdaya?” tanya si sakit.

"Hatimu terus menerus memiliki perasaaan seperti itu, kerana engkau tidak mengetahui bentuk lahir keburukan sikap seseorang yang suka marah. Selain itu engkau tidak mengetahui rahsia menahan marah dan keagungan pahala dari Allah Subhanahu wa Taala untukmu di akhirat kelak." jawab Al Muhasibi.

 "Bagaimana caranya supaya aku mengetahui kedua hal tersebut (rahsia menahan marah dan pahala agung)?" tanya si sakit.

"Adapun keburukan dari suka marah dan tidak boleh menahan marah dapat engkau lihat dari keadaan orang yang memarahi dan mencela dirimu ketika marah dan emosi. Perhatikan raut mukanya, kelopak kedua matanya, warna merah mukanya, sinaran kedua matanya, ketidakelokan penampilannya, kerendahan dirinya dan hilangnya ketenangan dan ketenteraman dari dirinya."

"Engkau melihat dengan jelas keadaan itu dari orang permarah dan tampak nyata oleh setiap orang yang berakal. Jika engkau mendapat ujian dari Allah Subhanahu wa Taala, dengan sikap suka marah, ingatlah pahala yang dijanjikan oleh Allah Subhanahu wa Taala kepada orang-orang yang menahan marah, iaitu mendapatkan cinta dan pahalanya yang agung. Sesungguhnya sikap suka membalas menimbulkan kegelisahan dan akibat buruk yang akan terus abadi sampai di akhiratmu. Sedangkan menahan marah menimbulkan ketenangan dan dapat menabung pahala Allah Subhanahu wa Taala di akhirat kelak."

"Tidaklah pantas seseorang yang berakal rela atas kehinaan dari akibat dirinya suka dengan kepuasan sekejap, seperti ia marah-marah hanya kerana satu perkataan saja, bertindak melampaui batas, sedang anggota badannya tak terkendali, padahal perkataan tersebut tidak mengharuskan si pengucapnya untuk dimarahi. Dan orang yang mendengarnyapun tidak akan rugi, baik secara keagamaan ataupun keduniaan, bahkan sebenarnya si pengucap itu mesti disayangi, kerana ia telah menjatuhkan harga diri dan martabatnya serta masuk ke dalam kehinaan. Sementara bagi yang dimarahi dan dihina, haruslah bersyukur sebab ia sesungguhnya tidak dijatuhkan martabatnya, tidak seperti yang menghinanya." jawab Al Muhasibi.

Demikian semoga menjadi bahan renungan.

Empat perkara yang barangsiapa ada pada diri seseorang, Allah jaga dirinya dari syaitan dan
diharamkan dari siksa api neraka : barangsiapa mampu menahan dirinya saat dalam
keadaan menginginkan dan membenci sesuatu, nafsu dan rasa marah.
~Sayyidina Hassan Al-Bashri~