Friday, May 25, 2012

Madu dan arak


بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum, alhamdulillah segala puji hanyalah tertujunya kepada Allah SWT, Tuhan yang mencipta alam ini. Selawat dan salam kita ucapkan buat Rasul pilihan junjungan Nabi Muhammad SAW, ahli keluarganya, sahabat-sahabatnya serta orang-orang yang mengikutnya sehinggalah alam ini dimusnahkan oleh Allah SWT.

Sahabat yang dihormati, pernah pada suatu hari, Saiyidina Umar Al-Khatab meronda di lorong-lorong dalam kota Madinah. Di hujung simpang jalan beliau terserempak dengan pemuda yang membawa bekas air.

Pemuda itu menyembunyikan bekas itu di dalam kain sarung yang diselimutkan di belakangnya. Timbul syak di hati Umar Al-Khatab apabila terlihat keadaan itu, lantas bertanya,

"Apa yang engkau bawa itu?"

Kerana panik sebab takut dimarahi Umar yang terkenal dengan ketegasan, pemuda itu menjawab dengan terketar-ketar,

"Madu, ya Amirul Mukminin."

Walhal benda itu ialah arak. Sewaktu itu jua timbul dari sanubarinya untuk bertaubat kepada Allah atas segala yang dilakukannya. Keinsafan ini lahir lalu dia berdoa kepada Allah agar Umar tidak mengesyakinya dan memeriksa bekas tadi.

Namun, Saiyidina Umar tetap curiga melihat keadaan pemuda tersebut dan ingin melihat sendiri isi bekas tersebut. Gementar si lelaki itu.

Dihulurkan perlahan-lahan kepada Umar. Hatinya pasrah.

Apabila Umar melihat isi bekas tersebut, Umar berkata,

"Ya, kau berkata benar."

Terkejut bukan kepalang pemuda itu. Rupanya Allah S.W.T. seketika itu juga telah menukarkan isi bekas itu kepada madu.

Saat itu, sang pemuda bertaubat dan tidak lagi menyentuh minuman yang diharamkan.

Begitulah sahabat, amat halusnya sifat ikhlas yang lahir dalam jiwa kita dan ia merupakan gerakan hati ke arah satu pekerjaan untuk mencari keredhaan Allah SWT dan menyatakan tunduk patuh hanya kepada perintah~Nya. Barangsiapa yang masih memiliki niat lain dalam ibadatnya selain daripada Allah maka amalnya itu akan diganjari menurut niatnya dengan seadil-adilnya.

Sesungguhnya jiwa dan raga adalah milik~Nya. Pesona kebesaran Allah amat mempengaruhi gerak hati dan tubuh seseorang sepertimana dinyatakan dalam hadis Qudsi: "Jika Aku mencintainya, Aku menjadi pendengarannya, untuknya ia mendengar dan Aku menjadi pandangannya untuk melihat dan Aku menjadi tangannya untuk memegang dan Aku menjadi kakinya untuk berjalan, maka apa-apa yang dia minta kepada~Ku nescaya Aku kabulkan permintaannya dan jika dia minta perlindungan dari~Ku, maka Aku pasti akan lindungi dia.” [Hadis riwayat al-Bukhari]

Al-Imam Abu Hamid al-Ghazali berkata di dalam Muqaddimah kitab An-Niyyah Wal-Ikhlas Qash-Shidq, yang memakan seperempat bahagian dari kitab Al-Ihya‘Ulumuddin : "Dengan hujjah iman yang nyata dan cahaya al-Quran, mereka yang mempunyai hati mengetahui bahawa kebahagiaan tidak akan tercapai kecuali dengan ilmu dan ibadah. Semua orang pasti akan binasa kecuali mereka yang berilmu. Mereka yang berilmu pasti akan binasa kecuali yang istiqamah beramal. Semua orang yang istiqamah beramal akan binasa kecuali mereka yang ikhlas."

Jalan-jalan pengampunan telah dihamparkan di hadapan kita. Terpulanglah pada kita sejauhmana kita memerlukan pengampunan itu. Sebelum pertanyaan itu diajukan kepada umat Islam sebagai sebuah komu­niti justeru ia terlebih dahulu pasti diajukan kepada diri-diri insan muslim.

Firman Allah: "Dan bersegeralah kamu kepada am­punan dari tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa; Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik; Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)." [QS Ali Imran : 133-135]

Sekian moga ada manfaatnya...

Friday, May 18, 2012

Penulis Buku


بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum, alhamdulillah segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam. Selawat dan salam tertujunya kepada manusia yang telah menyinari kehidupan kita Nabi Muhammad SAW serta juga keluarga, sahabat dan orang-orang yang mengikut jejaknya sehingga hari kiamat.

Ketahuilah wahai temanku sekalian bahawa kita adalah penulis kepada buku amalan kita. Apabila setiap dari kita dibangkitkan kelak di Padang Masyar buku ini akan diserahkan kembali kepada kita setelah disemak oleh Allah SWT dan cara penyerahannya pasti berbeza dari apa yang telah kita alami di dunia. Tiada orang kenamaan sebagai penyampainya kerana mereka pun menjadi penerimanya. Tiada buku aturan majlis apatah lagi pengacara majlisnya. Semuanya sebagai penerima kitab amal.

Pastilah kita tidak ingat apa yang pernah kita catat. Apa pun semua catatan itu berdasarkan segala tindak tanduk dan perbuatan kita. Dari sekecil-kecilnya sehinggalah sebesar-besarnya baik ianya merupakan amalan soleh ataupun di sebaliknya. Semuanya dapat kita baca kelak. Kedua-dua malaikat yang Allah lantikkan sebagai setiausaha kita tidak pernah lalai dan leka, mencatat apa yang kita suruh. Mereka taat kepada perintah Allah dan tetap menjalankan tugas mereka setiap masa dan ketika.

Bagaimana pula kita menerima buku amal tersebut? Buku amal itu ada yang diberi ke tangan kanan tuannya dan ada yang diberi ke tangan kirinya. Orang yang diberikan buku amalnya ke tangan kanannya merasa besar hati dan berbangga dengan yang demikian sehingga ia menyeru orang-orang lain supaya membacanya.

Allah S.W.T berfirman, "Maka sesiapa yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kanannya, maka dia akan berkata (dengan sukacitanya kepada sesiapa yang ada di sisinya): Nah! Bacalah kamu Kitab amalku ini!" [QS Al-Haqqah : 19]

Firman Allah S.W.T lagi, "(Ingatlah) hari Kami menyeru tiap-tiap kumpulan manusia dengan nama imamnya; kemudian sesiapa diberikan Kitabnya di tangan kanannya, maka mereka itu akan membacanya (dengan sukacita) dan mereka tidak dikurangkan (pahala amal-amalnya yang baik) sedikitpun." [QS Al-Israa : 71]

Sebaliknya orang yang diberikan suratan amalnya ke tangan kirinya merasa runsing hati dan merungut-rungut kerana keburukan nasibnya.

Allah S.W.T berfirman, "Adapun orang yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kirinya, maka dia akan berkata (dengan sesalnya): Alangkah baiknya kalau aku tidak diberikan Kitab amalku." [QS Al-Haqqah : 25]

Ingatlah wahai temanku yang dikasihi sekalian, bahawa setiap apa yang kita lakukan dari pandangan mata, sebutan dari mulut, yang didengari telinga, bisikan hati, dan lain-lainnya menghasilkan tugas kepada malaikat yang ada di samping, akan tercatat pada buku amalan kita.

“Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang engkau telah usahakan itu (tercatat semuanya). Kemudian sesiapa yang diberi menerima surat amalnya dengan tangan kanannya; Maka dia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan, Dan dia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita. Dan sesiapa yang diberi menerima surat amalnya (dengan tangan kiri), dari sebelah belakangnya, Maka dia akan meraung menyebut-nyebut kebinasaannya, Dan dia akan menderita bakaran Neraka yang marak menjulang.” [QS Al-Insyiqaaq : 6-12]

Sahabat yang dikasihi, marilah kita sama-sama meningkatkan amal soleh, amal ibadah dan amal kebajikan dalam rangka mencari keredaan Allah S.W.T. di dunia dan akhirat. Malaikat yang diutuskan oleh Allah S.W.T. dimuka bumi ini akan menjadi saksi di hari akhirat dan akan mencatat amal kebaikan dan keburukan kita begitu juga malaikat rahmat akan mendoakan kesejahteraan dan keselamatan kita dan memberikan rezeki dengan izin Allah S.W.T. Oleh itu perlulah kita berwaspada setiap detik dan saat supaya sentiasa melakukan ketaatan dan kepatuhan kepada Allah S.W.T. dan menjauhi larangan~Nya.

Buat teman-teman yang bergelar guru, doaku untuk kalian moga keikhlasanmu selama ini mendatangkan pahala dari Allah S.W.T. yang mengalir deras sehingga hari kiamat serta dicukupkan~Nya rezeki kalian dengan penuh berkah...aamiin

SELAMAT HARI GURU...

Barangsiapa mahu menjadi guru,
biarkan dia memulai mengajar dirinya sendiri
sebelum mengajar orang lain,
dan biarkan dia mengajar dengan teladan
sebelum mengajar dengan kata-kata.

Sebab mereka yang mengajar dirinya sendiri
dengan memperbetulkan perbuatan-perbuatannya sendiri
lebih berhak atas penghormatan dan kemuliaan
daripada mereka yang hanya mengajar orang lain
dan memperbetulkan perbuatan-perbuatan orang lain.

[ Khalil Gibran ]

Friday, May 11, 2012

Manfaatkan Masa sebaik-baiknya


بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum, sesungguhnya segala puji bagi Allah, kami memujiMu, memohon pertolonganMu, dan memohon ampunanMu. Kami berlindung kepada mu ya Allah dari keburukan diri kami dan kejelekan amal kami. Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah maka tidak ada yang menyesatkannya, dan barangsiapa yang disesatkan maka tiada ada yang memberikannya petunjuk untuknya. Selawat dan salam buat Nabi Junjungan Muhammad SAW, keluarga dan sahabat-sahabat Baginga serta orang-orang yang mengikutinya sehingga hari kiamat.

Imam Asy-Syafie berkata, "Yang paling jauh bukannya bintang, matahari atau bulan, tetapi adalah masa yang telah berlalu dan tidak akan kembali. Semalam yang luput menjadi kenangan. Kelmarin yang terluput menjadi sesalan. Yang ada hanya hari ini dan yang akan datang. Gunakan hari ini sebaik mungkin, kerana esok belum pasti milik kita, sedangkan semalam telah pergi buat selama-lamanya.

Inilah yang Allah SWT tekankan dalam surah Al-‘Ashr yang diketengahkan khususkan untuk menyedarkan umat Islam menghayati betapa pentingnya masa. Inilah antara soalan yang terpenting yang diberikan perhatian oleh semua masyarakat yang bertamadun di dunia, tanpa mengira bangsa dan di mana jua mereka berada. Kerana masa merupakan kehidupan, masa merupakan penentu keadaan kita di akhirat kelak. Realiti inilah yang perlu disedari oleh umat bahawa budaya menfaatkan masa semakin jauh dari kehidupan seharian umat Islam.

Allah menjadikan masa selam 24 jam sehari sememangnya cukup untuk setiap hamba~Nya meneruskan kehidupan mereka. Adakalanya kita merasakan tidak cukup masa bukan kerana salah masa atau pun Allah tidak memperuntukkan masa yang cukup untuk kita, namun apa yang perlu kita sedari ialah pengurusan kita untuk mendahulukan yang lebih penting daripada perkara penting. Meninggalkan perkara yang tidak memberi manfaat dan menggantikannya dengan perkara yang berfaedah.

Tapi, bagaimana cara kita ingin menentukan kewajipan yang perlu didahulukan daripada perkara-perkara remeh yang lain? Inilah pentingnya kita memahami ‘Fiqh al-Awlawiyat’ yang memberikan kita kefahaman untuk membahagikan masa yang ada dengan sebaik mungkin serta menguruskan setiap urusan kita dengan mendahulukan perkara yang perlu didahulukan berbanding dengan perkara-perkara yang lain.

Inilah sebenarnya kelebihan umat Islam. Allah SWT telah membekalkan kepada umat Islam teori-teori pengurusan yang baik. Dengan akhlak yang sempurna, sudah barang pasti kita akan menjadi pemimpinan yang berwibawa. Menghayati surah Al-‘Ashr dituruti dengan kefahaman terhadap ‘Fiqh al-Awlawiyat’ menjadikan kita seorang pengurus masa yang cekap dan mampu untuk membereskan kerja bukan sekadar menurut ‘mood’ atau desakan pihak-pihak tertentu, tetapi kesemuanya berpandukan ajaran Allah SWT yang melengkap setiap aspek kehidupan. Umat Islam sebenarnya telah diberikan ilmu Sains Pengurusan sejak 1400 tahun yang lalu.

Justeru, kehidupan muda kita ini menuntut kita untuk menjadi pengurus yang cekap kerana waktu inilah saat dan ketikanya untuk mengejar rahmat Allah SWT. Usia muda yang penuh dengan dugaan tetapi sekiranya dihiasi dengan tuntutan syariat, ia merupakan aset terpenting untuk melepasi titian sirat.

Sekiranya kita meneliti kehidupan para sahabat r.a mereka memanfaatkan masa muda dan kesihatan ketika mana sebelum datangnya waktu tua semaksimun mungkin. Khalid al-Walid menjadi tentera yang berjuang di jalan Allah semenjak usianya belasan tahun lagi. Begitu juga beberapa orang sahabat yang lain, menjadikan usia muda sebagai modal untuk mendapatkan kebahagiaan akhirat demi mengejar syahid. Tidak ketinggalan yang tua, umpamanya Abu Thalhah, yang menghabiskan usia tuanya di jalan jihad sehingga dikebumikan di negeri orang semata-mata usahanya mengatur langkah demi menegakkan kalimah Allah SWT. Inilah jejak langkah yang perlu kita teliti dan perlu kita lalui supaya tidak menjadi orang yang rugi di akhirat; hanya mendapat laba dunia tetapi ketika dibangkitkan kali kedua terpaksa merana.

Penghayatan masa perlu kita perbaiki terutama dalam usaha untuk menegakkan ketuanan Islam. Kita bukan sekadar perlu memenuhi tuntutan masa untuk dimanfaatkan sepenuhnya, bahkan perlu menghormati masa untuk dihormati. Gerakan Islam tidak perlu lagi melewat-lewatkan mesyuarat atau aktiviti hanya semata-mata menunggu pihak lain, akan tetapi ketetapan masa perlu kita kuasai dengan sebaik mungkin. Tidak kira dalam apa-apa aspek sekalipun, kita perlu mendahului masa atau paling kurang menepatinya.

Golongan manusia yang tidak akan rugi ini adalah golongan manusia yang melakukan kerja dan tugasan hidup mereka dengan menepati kehendak syariat. Dengan beberapa kaedah dinyatakan, orang beriman dan beramal soleh akan berusaha melakukan sesuatu pekerjaan dengan rasa insaf dan penuh penghayatan.

Manusia yang untung ini juga akan sentiasa memohon kepada Allah untuk menguatkan semangat mereka dalam perjuangan hidup di samping berusaha membantu rakan taulan serta saudara seagama dengan pesanan berguna.

Orang yang beruntung dalam hidup adalah mereka yang beriman dengan mengikrarkan lidahnya dan membenarkan hatinya bahawa semua ajaran dibawa junjungan Rasulullah SAW adalah benar belaka.

Manfaatkanlah hidup kita sebaik mungkin kerana sedetik yang berlalu tidak akan berulang. Ingatlah, setiap saat di dunia ini akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Wallahu a'lam

Friday, May 04, 2012

Kisah Tamin Ad-Dari



بسم الله الرحمن الرحيم

Sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang diterima dari Fathimah binti Qais dalam al-Fitan menyebut : “Saya telah mendengar muazzin Rasulullah s.a.w memanggil untuk solat. Saya pun pergi ke masjid dan solat bersama Rasulullah s.a.w. Selesai solat, Rasulullah s.a.w naik ke atas mimbar. Nampak semacam bergurau Baginda tertawa dan berkata: “Jangan ada yang bergerak. Hendaklah semua duduk di atas sajadahnya.”

Kemudian berkata: “Tahukah kamu mengapa aku memerintahkan kamu jangan ada yang pulang?”

Kami menjawab: “Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu.”

Rasulullah s.a.w berkata lagi: “Demi Allah aku menyuruh kamu berkumpul di sini bukan ingin menakut-nakuti dan bukan memberi khabar gembira. Aku ingin menceritakan kepada kamu bahawa Tamim Ad-Dari adalah seorang Nasrani, kemudian dia datang menjumpai aku dan masuk Islam. Dia ada bercerita kepadaku tentang satu kisah tentang Dajjal."

"Kisah yang dia ceritakan itu sesuai dengan apa yang telah aku ceritakan kepada kamu sebelumnya. Katanya dia bersama 30 orang kawannya pergi ke laut dengan menaiki kapal. Angin kencang datang bertiup dan ombak besar membawa mereka ke tengah-tengah samudera yang luas. Mereka tidak dapat menghalakan kapalnya ke pantai sehingga terpaksa berada di atas laut selama satu bulan. Akhirnya mereka terdampar di sebuah pulau menjelang terbenamnya matahari. Di pulau yang tidak ditempati orang itu mereka berjumpa dengan binatang yang sangat tebal bulunya sehingga tidak nampak mana jantina dan duburnya."

Mereka bertanya kepada binatang itu: “Makhluk apa engkau ini?”

Binatang itu menjawab: “Saya adalah Al-Jassasah.”

Mereka tanya: “Apa itu Al-Jassasah?”

Binatang itu hanya menjawab: “Wahai kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini untuk menjumpai lelaki macam ini, sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan kamu. Mereka pun pergi ke tempat yang ditunjukkan oleh binatang itu."

Di sana mereka menjumpai seorang lelaki yang sangat besar dan tegap. Ertinya mereka tidak pernah melihat orang sebesar itu. Dari tangannya sampai ke tengkuknya dikuatkan dengan besi, begitu juga dari lututnya sampai ke telapak kakinya.

Mereka bertanya: “Siapakah anda?”

Orang seperti raksaksa itu menjawab: “Kamu telah mendengar cerita tentang aku. Sekarang aku pula ingin bertanya: “Siapa kamu ini?”

Mereka menjawab: “Kami adalah manusia berbangsa Arab. Kami pergi ke laut menaiki kapal, tiba-tiba datang ombak besar membawa kami ke tengah-tengah samudera luas dan kami berada di lautan selama satu bulan. Akhirnya kami terdampar di pulau yang tuan tempati ini."

“Pada mulanya kami berjumpa dengan binatang yang sangat tebal bulunya sehingga kami tidak dapat mengenali jantinanya. Kami tanya siapa dia katanya Al-Jassasah. Kami tanya apa maksudnya dia hanya menjawab: “Wahai kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini untuk menjumpai lelaki macam ini, sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan kamu.”

Itulah sebabnya kami datang ke tempat ini. Sekarang kami sudah berjumpa dengan tuan dan kami ingin tahu siapa tuan sebenarnya.”

Makhluk yang sangat besar itu belum menjawab soalan mereka terus sahaja mengemukakan soalan: “Ceritakan kamu kepadaku keadaan kebun kurma yang di Bisan itu,” (nama tempat di negeri Syam).

Mereka menjawab: “Keadaan apanya yang tuan maksudkan?”

Orang besar itu menjawab: “Maksudku apakah pokok kurma itu berbuah?”

Setelah mereka menjawab bahawa pokok kurma itu berbuah, orang besar tadi berkata: “Aku takut pokok itu tidak berbuah.”

Orang besar itu bertanya lagi: “Ceritakan kepadaku tentang sungai Tabarah.”

Mereka menjawab: “Tentang apanya yang tuan maksudkan?”

Lelaki itu menjawab: “Maksudku airnya apakah masih ada.” Mereka menjawab: “Airnya tidak susut.”

Lelaki itu berkata: “Air sungai itu disangsikan akan kering.”

Akhirnya lelaki seperti raksaksa itu berkata: “Kalau begitu ceritakan kepadaku tentang Nabi Al-Amin itu, apa yang dia buat?”

Mereka menjawab: “Dia telah berhijrah dari Makkah ke Madinah.”

Lelaki itu bertanya lagi: “Apakah dia diperangi oleh orang-orang Arab?” Mereka menjawab: “Ya, dia diperangi oleh orang-orang Arab.”

Lelaki itu bertanya lagi: “Kalau begitu apa pula tindakan dia terhadap mereka?” Mereka ceritakan bahawa Rasulullah s.a.w telah mengembangkan dakwahnya dan sudah ramai pengikutnya.

Orang besar itu berkata lagi: “Memang begitulah, padahal mereka beruntung jika taat kepadanya.”

Kata orang besar itu lagi: “Sekarang aku terangkan kepada kamu bahawa aku adalah Al-Masih Dajjal. Nanti aku akan diberi izin keluar, lalu aku pun akan menjelajah dunia ini. Dalam masa empat puluh malam sudah dapat aku jalani semua, kecuali Makkah dan Madinah yang aku tidak dapat memasukinya. Negeri Makkah dan Madinah dikawal oleh para Malaikat, maka aku tidak dapat menembusinya.”

Kata Tamim Al-Dariy lagi, “Rasulullah s.a.w menekankan tongkatnya di atas mimbar sambil berkata: “Inilah negeri yang tidak dapat dimasukinya itu, iaitu Madinah. Saudara-saudara sekalian apakah sudah aku sampaikan cerita ini kepada kamu?”

Mereka menjawab: “Ya, sudah ya Rasulullah.”

Rasulullah s.a.w berkata lagi: “Sememangnya hadis Tamim itu lebih meyakinkan saya lagi. Ceritanya itu bersesuaian dengan apa yang telah aku sampaikan kepada kamu sebelumnya, iaitu tentang Makkah dan Madinah yang dikatakan tidak dapat dimasuki Dajjal. Cuma dia ada mengatakan di lautan Syam atau di laut Yaman. Tidak, bahkan ia dari arah timur. Ia dari arah timur,” kata Rasulullah s.a.w sambil menunjuk ke arah timur.

**Published thru Samsung Galaxy via DIGI