Friday, October 10, 2014

Wukuf dan solat Jumaat..


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين


Persoalannya adakah wajib orang yang mengerja haji mendirikan
sholat Jumaat yang kebetulannya hari wukuf jatuh pada hari Jumaat?

Para jemaah haji yang wuquf di ‘Arafah pada hari Jumaat tidak diwajibkan ke atas mereka mendirikan sholat
Jumaat, kerana di antara syarat sah mendirikan sholat Jumaat itu ialah sholat Jumaat hendaklah didirikan
di suatu tempat kediaman seperti kampung, desa, pekan atau bandar dan ia juga hendaklah didirikan
sekurang-kurangnya oleh empat puluh orang yang bermastauthin (menetap di tempat didirikan sholat Jumaat).

Imam an-Nawawi Rahimahullah berkata:

قال الشافعى والأصحاب : لو وافق يوم عرفة يوم الجمعة لم يصلوا الجمعة هناك ، لأن من شرطها دار الإقامة وأن يصليها مستوطنون. وقد سبق أن الشافعى والأصحاب قالوا : لو بني بها قرية واستوطنها أربعون كاملون صليت بها الجمعة ولم يصل النبي صلى الله عليه وسلم الجمعة بعرفات مع أنه ثبت في الصحيحين من رواية عمر بن الخطاب رضي الله عنه أن يوم عرفة الذي وقف فيه النبي صلى الله عليه وسلم كان يوم جمعة.

Ertinya : Imam asy-Syafi’e dan para sahabat berkata: “Jika bertepatan hari ‘Arafah pada hari Jumaat,
tidaklah para jemaah haji bersholat Jumaat di sana, kerana di antara syarat sah Jumaat itu ialah
(didirikan) di tempat ada orang menetap dan mereka yang mengerjakan sholat Jumaat itu ialah orang-orang
yang bermastauthin (orang yang menetap tinggal di tempat itu). Telah berlalu (sebelumnya) bahawa
Imam asy-Syafi’e dan para sahabat berkata: “Jika dibina di sana (Mina dan ‘Arafah) satu kampung dan ia
ditempati oleh cukup empat puluh orang mastauthin, hendaklah (wajib) didirikan di sana sholat jumaat
(oleh empat puluh orang mastauthin dan juga para jemaah haji).

Adapun Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam tidak pernah mengerjakan sholat Jumaat di ‘Arafah sedangkan
telah sabit di dalam hadith shahih Bukhari dan Muslim daripada riwayat ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallahu ‘anhu
bahawa hari ‘Arafah yang Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam wuquf di dalamnya adalah pada hari Jumaat.”
(Al-Majmu’: 8/111, 117-118)

Oleh itu adalah jelas bahawa sholat yang dikerjakan semasa wukuf di padang ‘Arafah, sekalipun ia jatuh pada
hari Jumaat adalah sholat Zuhur. Sholat Zuhur pada hari wukuf di padang ‘Arafah itu pula tidak boleh diqasarkan,
kerana jarak Makkah dengan padang ‘Arafah tidak sampai atau melebihi dua marhalah (89 kilometer).

Walau bagaimanapun adalah harus bagi jemaah haji yang keluar dari Makkah pada hari Tarwiyah (8 Zulhijjah)
mengambil rukhsah mengqasarkan dan menjama’ sholat dengan syarat mereka hendaklah berniat untuk terus
pulang ke tanah air setelah selesai ibadat haji. Ini bererti mereka tidak akan kembali bermukim di Makkah
(tinggal di Makkah melebihi tiga hari). Apabila saja mereka meninggalkan perbatasan atau sempadan Makkah,
maka mereka boleh melakukan sholat secara qasar atau pun jama’ kerana mereka adalah di dalam musafir.
Tetapi rukhsar berkenaan itu akan hilang apabila mereka bermukim di mana-mana tempat persinggahan melebihi
daripada tiga hari.

Dalam hal ini, Imam an-Nawawi Rahimahullah berkata:

قال الشافعي والأصحاب : إذا دخل الحجاج مكة ونووا أن يقيموا بها أربعا، لزمهم إتمام الصلاة ، فإذا خرجوا يوم التروية إلى منى، ونووا الذهاب إلى أوطانهم عند فراغ مناسكهم، كان لهم القصر من حين خرجوا لأنهم أنشئوا سفرا تقصر فيه الصلاة.

Ertinya : Imam asy-Syafi’e dan para sahabat berkata : “Jika para jemaah haji masuk ke Makkah dan mereka
berniat untuk tinggal di sana selama empat hari, (maka) mereka Mesti menyempurnakan (tidak mengqasar) sholat.
(Manakala) jika mereka Keluar pada hari tarwiyah menuju ke Mina dan mereka berniat terus pergi bermusafir ke
tanah air mereka bila habis selesai ibadat haji mereka, (maka) bagi mereka boleh mengqasar sholat dari ketika
mereka keluar lagi, kerana mereka telah memulakan pelayaran yang dibolehkan di dalamnya mengqasar sholat.”
(Al-Majmu’ : 8/117)

(Fatwa Majlis Agama Islam Negara Brunei Darul Salam)

2 comments:

  1. Assalamu'alaikum Abd Razak

    Semoga sentiasa beroleh kesejahteraan dan dalam redha Allah.. Allahumma aamiin

    Syari'at yang perlu diikut ialah daripada al-Quran dan sunnah. Jadi apa yang Nabi buat itulah harus diikuti. Tahun ini wukuf jatuh pada hari Jumaat sangat besar manfaat bagi orang yang ingin mengambil peluang mendapatkan keberkatan yang ada pada kedua-dua hal ini.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumusalam Kak Werdah..

      Terima kasih atas doa kakak dan juga kesudian ke blog saya..didoakan agar kakak di sana sentiasa beroleh keberkatan dan kesejahteraan dari Allah SWT...aamiin

      Benar kak, panduan utama kita adalah al-quran dan sunnah..

      Delete

السلم عليكم ورحمة الله...:)

Lihatlah sudut-sudut hati kecilmu dengan pandangan yang cermat. Jika engkau mendapati sesuatu yang terpuji, maka pujilah Allah dan teruslah berlalu. Akan tetapi, jika engkau melihat sesuatu yang menjengkelkan, maka ikutilah dengan penilaian dan pemeriksaan yang baik terhadapnya.