Friday, April 08, 2011

Pesan terakhir Imam Al-Ghazali


بسم الله الرحمن الرحيم

Sahabat...

Imam Ghazali terjaga awal pada pagi itu dan sebagaimana biasanya melakukan solat dan kemudian beliau bertanya pada adiknya, “Hari apa hari ini?”

Adiknya pun menjawab, “Hari Isnin.”

Beliau kemudian meminta kepadanya untuk mengambil sejadah putihnya, beliau menciumnya, menebarkannya dan kemudian berbaring di atasnya sambil berkata lembut, “Ya Allah, hamba mematuhi perintah~Mu,”

...dan beliau pun menghembuskan nafas terakhirnya.

Di bawah bantalnya mereka menemukan bait-bait berikut, ditulis oleh Al-Ghazali ra., barangkali pada malam sebelumnya.

“Katakan pada para sahabatku, ketika mereka melihatku mati,
menangis untukku dan berduka bagiku.
Janganlah mengira bahawa jasad yang kau lihat ini adalah aku.

Dengan nama Allah, kukatakan padamu, ini bukanlah aku,
Aku adalah jiwa, sedangkan itu hanyalah selonggok daging.

Jasad itu hanyalah rumah dan pakaianku sementara waktu.
Aku adalah harta karun, azimat yang tersembunyi,
Dibentuk oleh debu, yang menjadi singgahsanaku,

Aku adalah mutiara, yang telah meninggalkan rumahnya,
Aku adalah burung, dan badan ini hanyalah sangkarku.

Dan kini aku lanjut terbang dan badan ini kutinggal sebagai kenangan.
Puji Tuhan, yang telah membebaskan aku.

Dan menyiapkan aku tempat di syurga tertinggi,
Hingga hari ini, aku sebelumnya mati, meskipun hidup di antaramu.

Kini aku hidup dalam kebenaran, dan pakaian kuburku telah ditanggalkan.

Kini aku berbicara dengan para malaikat di atas,
Tanpa hijab, aku bertemu muka dengan Tuhanku.
Aku melihat Lauh Mahfuz, dan di dalamnya aku membaca
Apa yang telah, sedang dan akan terjadi.

Biarlah rumahku runtuh, baringkan sangkarku di tanah,
Buanglah sang azimat, itu hanyalah sebuah kenang-kenangan, tidak lebih

Sampingkan jubahku, itu hanyalah baju luarku,
Letakkan semua itu dalam kubur, biarkanlah terlupakan
Aku telah melanjutkan perjalananku dan kalian semua tertinggal.

Rumah kalian bukanlah tempatku lagi.
Janganlah berfikir bahawa mati adalah kematian, tidak,
itu adalah kehidupan,

Kehidupan yang melampaui semua mimpi kita di sini,
Di kehidupan ini, kita diberikan tidur,
Kematian adalah tidur, tidur yang diperpanjangkan

Janganlah takut ketika mati itu mendekat,
Itu hanyalah keberangkatan menuju rumah yang terberkati ini
Ingatlah akan ampunan dan cinta Tuhanmu,

Bersyukurlah pada kurnia~Nya dan datanglah tanpa takut.
Aku yang sekarang ini, kau pun dapat menjadi
Kerana aku tahu kau dan aku adalah sama
Jiwa-jiwa yang datang dari Tuhannya

Badan-badan yang berasal sama
Baik atapun jahat, semua adalah milik kita
Aku sampaikan pada kalian sekarang pesan yang menggembirakan
Semoga kedamaian dan kegembiraan Allah menjadi milikmu selamanya.



Sumber: www.ghazali.org

Tuesday, April 05, 2011

Jangan tinggalkan sunnah..


بسم الله الرحمن الرحيم


Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tunaikanlah kewajipan dari Allah atasmu, nescaya kamu menjadi manusia paling mengabdi! Jauhilah segala larangan Allah, nescaya kamu menjadi manusia paling warak! Senangilah untuk orang lain apa yang kamu senangi untuk dirimu, nescaya kamu menjadi mukmin.'

Itulah gambaran mukmin sempurna yang benar-benar layak disebut beriman kerana telah mengamalkan ketiga-tiga perbuatan di atas. Sungguh, cukuplah itu semua sebagai kesibukan.

Berkata Imam Al-Hakim Al-Tirmidzi r.a., "Engkau takkan mengagungkan sesuatu yang dianggap rendah oleh Allah, takkan memuliakan sesuatu yang dianggap hina oleh~Nya, takkan meremehkan sesuatu yang dianggap bererti oleh~Nya, takkan berhubungan dengan sesuatu yang seharusnya dijauhi, dan takkan menegakkan sesuatu yang seharusnya dihancurkan."

Daripada Mu’adz bin Jabal r.a., beliau berkata: “Aku mendengar Rasulullah Shalallaahu alaihi wasalam bersabda, Allah Subhanallahu wa Ta’ala berfirman: “Wajib mendapatkan kecintaan~Ku orang-orang yang saling mencintai kerana Aku, dan yang saling berkunjung kerana Aku, dan yang saling berkorban kerana Aku.” [Riwayat Ahmad]

Maka hendaknya kita sentiasa menjaga dan menghidupkan sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w. setiap hari terutamanya sunnah-sunnah yang tersebut di bawah ini.

PERTAMA : Dirikan solat sunat tahajjud, kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya. Firman Allah s.w.t bermaksud: “Dan dari malam, hendaklah engkau bertahajud (tinggalkan tidur untuk solat) semoga Tuhanmu mengangkat kamu pada kedudukan yang terpuji.’ [QS Al-Isra': Ayat 79]

KEDUA : Jangan tinggalkan masjid terutama di waktu subuh. Sebelum melangkah ke mana pun langkahkan kaki ke masjid, kerana masjid merupakan pusat keberkahan, bukan kerana panggilan muadzin tetapi panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah.

KETIGA : Bacalah Al-Qur'an sebelum terbit matahari. Alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata melihat dan membaca Al-Qur'an terlebih dahulu dengan penuh pemahaman.

KEEMPAT : Jaga solat dhuha, kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha.

KELIMA : Jaga sedekah setiap hari. Allah menyukai orang yang suka bersedekah, dan malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari.

KEENAM : Sentiasalah dalam keadaan berwudhu terus menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwudhu. Berkata khalifah Ali bin Abu Thalib, "Orang yang selalu berwudhu senantiasa ia akan merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia ya Allah."

KETUJUH : Amalkan istighfar setiap saat. Dengan beristighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita, akan dijauhkan oleh Allah.

"Jagalah batinmu dengan merasakan kehadiran Allah, dan jagalah lahirmu dengan mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w."

"Kebaikan itu adalah dalam menghadap kepada~Nya, dan keburukan itu adalah kerana berpaling dari~Nya. Setiap amal yang kamu harapkan upahnya adalah untukmu, dan setiap amal yang dilakukan kerana Dia bererti untuk~Nya. Jika kamu beramal dan meminta ganti, maka balasannya adalah makhluk. Jika kamu beramal untuk mencari redha Allah swt., balasannya adalah kedekatanmu dengan~Nya dan memandang kepada~Nya, kemudian kamu tidak akan meminta ganti atas semua amalmu. Apalah ertinya dunia, akhirat, dan segala sesuatu selain Dia, jika dibandingkan dengan Dia?" {Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani}

Teman, tingkatkan amal kalian sebelum kembali kepada~Nya.

Friday, April 01, 2011

Tutuplah makanan dan minuman


بسم الله الرحمن الرحيم

RASULULLAH s.a.w. pernah bersabda, “Tutuplah bekas makanan dan minuman kamu pada malam hari. Setiap tahun ada satu malam yang padanya diturunkan wabak. Tidak akan lalu (melintasi) wabak itu ke atas bekas makanan atau minuman yang tidak ditutup kecuali ia (wabak) masuk ke dalamnya.” [HR Muslim]

Dalam satu hadis lain Rasulullah s.a.w. menyebut, “Tutuplah bejana (makan/minuman) kamu pada waktu malam walaupun dengan sebatang lidi.”

Hadis yang dibincangkan berkenaan suruhan Rasulullah s.a.w. agar menutup bekas makanan dan minuman menunjukkan lafaz yang umum. Iaitu wabak (penyakit) diturunkan pada satu malam dalam setahun, dan tidak dinyatakan secara spesifik waktunya. Berbeza dengan malam al-Qadar yang diturunkan dalam tempoh tertentu pada bulan Ramadhan.

Hal ini bermakna menjadi kemestian kepada kita mengelakkan penyakit ini kerana tenaga dari langit berupa wabak merupakan sebahagian daripada tenaga yang jahat. Tenaga jahat ini apabila bertembung dengan unsur bumi akan kalah walaupun sebatang lidi tidak dapat menutup bekas secara keseluruhan. Maka apakah jika wabak itu tidak menjangkiti manusia, dia akan musnah? Tenaga ini akan berpindah ke alam lain dan datang semula pada waktu (suatu malam pada tahun berikutnya). Hal ini samalah dengan hayat buraq yang membawa Rasulullah s.a.w. dalam peritiwa Isra'. Buraq itu asalnya pada zaman Nabi Ibrahim a.s. Selang waktu antara Nabi Ibrahim a.s. dengan Nabi Muhammad s.a.w. ialah 31 tahun. Maka ke manakah buraq itu dalam tempoh yang begitu panjang? Jawabnya ia berpindah ke alam lain.

Dengan mencermati hadith di atas, dapat difahami bahawa menutup makanan dan minuman, dan disertai dengan bacaan Basmalah, dapat menjauhi dua penyebab utama bagi segala penyakit:

1. Perbuatan dan kejahatan syaitan.
2. Wabak penyakit yang turun dan menyebar melalui udara.

Imam An Nawawi berkata: "Para ulama' menyebutkan beberapa faedah dari perintah menutup makanan dan minuman, di antaranya yang ditegaskan pada hadith-hadith ini, iaitu:

1. Menjaganya (makanan dan minuman) dari syaitan, kerana syaitan tidak dapat menyingkap penutup makanan dan minuman sekali pun hanya dengan sebatang lidi.
2. Menjaganya dari wabah yang turun pada satu malam di setiap tahun.
3. Menjaganya makanan dan minuman dari terkena najis dan kotoran.
4. Menjaganya dari berbagai serangga dan binatang melata, kerana bisa saja serangga jatuh ke dalam bejana atau geribah, lalu ia meminumnya, sedangkan ia tidak menyedari kehadiran serangga tersebut, atau ia meminumnya pada malam hari, (sehingga ia tidak melihatnya) akibatnya ia terganggu dengan binatang tersebut."

Imam An Nawawi juga menjelaskan bahawa syari'at menutup makanan dan minuman bukan hanya berlaku pada malam hari, akan tetapi juga berlaku pada siang hari, berdasarkan keumuman teks hadith di atas.

Dalam hadith lainnya, Jabir bin ‘Abdillah radhiallahu anhuma berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إِذَا كَانَ جُنْحُ اللَّيْلِ أَوْ أَمْسَيْتُمْ فَكُفُّوا صِبْيَانَكُمْ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْتَشِرُ حِينَئِذٍ فَإِذَا ذَهَبَ سَاعَةٌ مِنْ اللَّيْلِ فَخَلُّوهُمْ وَأَغْلِقُوا الْأَبْوَابَ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لَا يَفْتَحُ بَابًا مُغْلَقًا وَأَوْكُوا قِرَبَكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ وَخَمِّرُوا آنِيَتَكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ وَلَوْ أَنْ تَعْرُضُوا عَلَيْهَا شَيْئًا وَأَطْفِئُوا مَصَابِيحَكُمْ


“Bila hari telah senja laranglah anak-anak keluar rumah, kerana ketika itu syaitan berkeliaran. Dan bila sudah masuk sebahagian waktu malam maka biarkanlah mereka. Tutuplah pintu dan sebut nama Allah, kerana syaitan tidak dapat membuka pintu yang tertutup (dengan menyebut nama Allah). Tutup semua kendi kalian dengan menyebut nama Allah dan tutuplah bejana kalian dengan menyebut nama Allah, sekalipun dengan membentangkan sesuatu di atasnya, dan padamkan lentera kalian (ketika hendak tidur).” [HR. Al-Bukhari dan Muslim]

Sekian, semoga ada manfaatnya.