Friday, September 23, 2011

Pelihara diri dari dosa


بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum…

Alhamdulillah bersyukur kepada Allah SWT kerana memberi peluang kepada kita untuk bersua sekali lagi di ruang ini. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi Muhammad s.a.w. Saudara-saudariku sekalian, bertaqwalah kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa dengan mengerjakan segala perintah~Nya dan menjauhi segala larangan~Nya, mudah-mudahan kita semua beroleh kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Ketahuilah wahai teman-temanku sekalian di perjalanan menuju Allah, sesungguhnya kalian tidak akan sampai kepada penunaian perintah-perintah Allah kecuali dengan menjaga hati dan anggota-anggota badanmu pada setiap saat dan ketika. Allah SWT melihat bisikan hatimu. Ia mengetahui setiap lintasan yang ada pada dirimu, mengetahui setiap fikiran, setiap langkah dan apa pun juga perbuatanmu, baik kamu sedang bergerak mahupun sedang berdiam diri. Meskipun kalian berada di tengah-tengah pergaulan atau bersunyi-sunyi sendirian, adalah kesemua itu tetap berada di dalam kehadiran~Nya. Lantaran itu awasilah dirimu, jauhilah kemungkaran. Seandainya kalian melakukan kemungkaran kepada Allah, sedang kalian yakin bahawa Allah SWT melihat kelakuan kalian itu, maka kalian adalah orang yang mengejek-ngejek Tuhan.

Sebaliknya jika kalian melakukan maksiat sedangkan kalian yakin pula bahawa Tuhan tidak melihat kelakuan kalian itu, maka sebenarnya kalian adalah seorang yang kuffur. Terus-terusan mengerjakan dosa menjadikan hati hitam dan selanjutnya hati itu menjadi kelam dan keras, tidak ada kebersihan dan keheningan serta tidak akan merasa lega dan manis dalam mengerjakan ibadat.

Jika Allah tidak memberi rahmat, maka hati yang sedemikian itu akan menarik pemiliknya kepada kekufuran dan kecelakaan. Tanda hitamnya hati ialah seseorang itu tidak merasa takut dalam mengerjakan dosa, dan tidak merasa manis dengan mengerjakan ketaatan serta tidak berkesan akan nasihat.

Sungguh benar orang yang mengatakan bahawa sekiranya kalian tidak merasa kuat mengerjakan sembahyang di malam hari dan puasa di siangnya, itulah suatu tanda bahawa kalian terbelenggu oleh dosa-dosa. Bukan sahaja orang yang melakukan maksiat tidak merasakan kelazatan ibadat tetapi juga bagi orang yang bercita-cita untuk melakukannya. Oleh yang demikian, peliharalah dirimu dari melakukan sebarang dosa walaupun ianya hanyalah dosa kecil. Jauhilah ia laksana kalian menjauhkan diri dari meminum racun yang berbisa. Hendaklah kalian takut dari melakukan dosa itu lebih dari rasa takut dan gentar jika termakan racun yang akan mematikan dirimu sendiri. Padahal hati seorang mukmin itu lebih berharga dari tubuh badannya.

Teman-temanku yang dikasihi, adalah menjadi kewajipanmu untuk mengenal setiap maksiat, samada yang dilakukan oleh hatimu mahupun yang dilakukan oleh tubuh badanmu yang kasar ini. Kalian harus mengetahui penyakit-penyakit hati yang sering menyerangmu dan ubat-ubat baginya. Dengan hatimu yang mengidapi penyakit riya', ujub, takabbur, dengki, lalai dan lain-lain itu sudah tentu tidak memungkinkan kalian berjaya dalam menjalani jalan menuju Allah. Setiap anggota badanmu juga perlu dijaga. Jagalah lidahmu dari memperkatakan sesuatu yang terlarang baginya. Awasilah pendengaran dan pengelihatan yang merupakan dua pintu yang sentiasa terbuka menuju ke hati. Apa sahaja yang masuk menerusi kedua-dua pancaindera ini akan sampai ke hati. Betapa banyak perkara yang didengar dan dilihat oleh manusia dari hal-hal yang tidak patut sampai kesannya ke hati, lalu sukar pula baginya untuk menghapuskan kesan itu.

Allah SWT telah berfirman: "Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu kefasikan dan ketaqwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu. Dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya." [QS Asy-Syams : 8-10]

Berbagai jenis manusia yang melakukan dosa. Ada yang sudah berkebiasaan melanggar perintah Allah dan mengerjakan larangan~Nya sehingga tidak lagi sensitif dengan perbuatannya itu. Ada pula yang melakukan dosa kerana kelemahannya untuk mengawal dorongan nafsu sedangkan ia sendiri menyedari akan kelemahan itu. Sebagai manusia biasa kita tidak terlepas dari golongan ini. Bagaimanakah reaksi kita terhadap dosa yang dilakukan itu? Adakah kita bergembira dan berbangga? Ataupun adakah kita kita segera menyesali dengan apa yang dilakukan itu?

Wallahu'alam...

P/S : Maaf tidak berkesempatan untuk menziarahi blog teman-teman semua kerana kurang sihat.

Friday, September 16, 2011

Sedekah dan hadiah melapangkan..


بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum…

Melakukan kebaikan, termasuk dalam hal-hal yang dapat mendatangkan kebahagiaan dan menghilangkan keresahan. Melakukan kebaikan di sini boleh berupa sedekah, berbuat baik, dan memberikan sesuatu yang baik kepada sesama. Semua ini merupakan satu dari sekian banyak hal yang mampu menciptakan kedamaian di dalam dada.

"Wahai orang-orang yang beriman, belanjakanlah (di jalan Allah) sebahagian dari rezeki yang telah kami berikan kepadamu." (QS al-Baqarah 2:254)

"Laki-laik dan perempuan yang bersedekah." (QS al-Ahzab 35)

Rasulullah s.a.w. menggambarkan orang yang kikir dan orang yang dermawan itu dengan dua orang yang masing-masing memiliki jubah. Orang yang dermawan terus-menerus memberi dan menginfakkan hartanya, sehingga jubah yang dia pakai terus melebar. Demikian pula dengan baju perangnya yang terbuat dari besi, sehingga bekas-bekas telapak kakinya terhapus. Sementara itu, orang yang kikir terlalu kuat memegang hartanya dan semakin hari semakin berkurang sehingga menyempitnya dan semakin menyempit hingga jiwanya tersendat.

"Dan, perumpamaan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah dan untuk keteguhan jiwa mereka, seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi yang disiram oleh hujan lebat, maka kebun itu menghasilkan buahnya dua kali lipat. Jika hujan lebat tidak menyiramnya, maka hujan gerimis (pun memadai). Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu perbuat." (QS al-Baqarah 2:265)

"Dan, janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu." (QS al-Isra': 29)

Belenggu yang mengikat jiwa adalah bahagian dari belenggu yang mengikat tangan. Orang-orang kikir adalah orang yang paling sesak dadanya dan sempit akhlaknya. Mereka adalah orang-orang yang kikir atas karunia Allah. Seandainya mereka sedar bahawa apa yang mereka berikan kepada orang lain akan mendatangkan kebahagiaan, nescaya mereka akan berebut untuk melakukan kebaikan ini.

"Jika kamu meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, nescaya Allah akan melipatgandakan (pembalasannya) kepada kamu dan mengampuni kamu." (QS at-Taghabun : 17)

Allah juga berfirman, "Dan, siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung." (QS al-Hasyr : 9)

"Dan, mereka menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan." (QS al-Baqarah 2 : 3)

Allah telah memberikan anugerah kepadamu maka keluarkanlah anugerah~Nya.
Harta itu akan sirna dan umur akan berakhir pula.
Harta itu laksana air, jika kau simpan akan bau,
Dan jika kau alirkan akan senantiasa segar.
Demi Dzat yang mengetahui yang ghaib,
Dan Yang menghidupkan tulang-belulang yang berantakan.
Aku telah mengikat perutku,
Padahal aku sangat ingin pada makanan itu,
Khawatir suatu saat aku dipanggil orang kikir


Orang dermawan yang dimaksud adalah memerintahkan kepada isterinya untuk menyuruh seseorang untuk mengundang tamu-tamu dan menunggu sampai si pesuruh itu datang serta makan bersama-sama dengannya, hingga hubungannya dengan mereka menjadi lebih akrab. Semua itu dilakukannya agar dadanya menjadi lapang. Kata dia kepada isterinya, "Jika membuat makanan, carilah orang yang ingin makan. Aku tidak mungkin makan sendiri."

Dia berkata kepadanya menjelaskan falsafah hidupnya yang cukup jelas itu, satu perbandingan yang sangat terbuka, "Perlihatkan kepadaku seorang dermawan yang mati sebelum waktunya agar hatiku tenang, atau seorang kikir yang kekal abadi."

Apakah menimbun harta akan membuat si penimbunnya menjadi kekal? Apakah menginfakkannya akan mendekatkannya kepada ajalnya? Tidak. Semua itu tidak benar.

Friday, September 02, 2011

Puasa di bulan syawal


بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...selamat hari raya mohon maaf atas segala silap dan salah...

Bahang sambutan Aidilfitri masih terasa. Dalam usaha meningkatkan amalan berterusan selepas Ramadhan, umat Islam sangat dianjurkan untuk terus berpuasa pada Syawal tetapi cuma enam hari sahaja, yang dikenali sebagai puasa enam. Bagi mereka yang ingin memulakan puasa enam pada 2 Syawal secara berterusan, hari itu adalah ‘Hari Raya’ kedua bagi mereka, namun bagi yang belum memulakannya, masih belum terlewat melaksanakan amalan sunat itu selagi kita masih lagi berada di dalam bulan Syawal.

Hikmah atau rahsia puasa enam hari pada bulan Syawal adalah untuk mendidik kesabaran insan, sekali gus tidak menjadikan Hari Raya sebagai tempoh untuk membalas dendam iaitu dengan mengambil pelbagai makanan lazat yang terhidang sepuas-puasnya selepas sebulan berpuasa. Ia juga akan memberi kesempatan kepada tubuh badan kita untuk menyesuaikan diri sesudah dilatih sebulan penuh menahan lapar dan dahaga. Justeru diutamakan puasa enam bermula pada 2 Syawal.

Namun begitu, puasa sunat enam itu boleh dilakukan pada mana-mana hari sepanjang bulan Syawal samada secara berterusan atau pun berselang seli. Namun, afdhalnya ialah pada Hari Raya Kedua dan dilakukan pula secara berterusan sehingga hariraya ketujuh.

Kelebihan orang yang melakukan ibadat ini diterangkan dalam sebuah hadith daripada Abu Ayub al-Ansari bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, yang bermaksud: “Barangsiapa berpuasa Ramadhan kemudian mengiringinya dengan puasa enam hari pada Syawal, adalah puasanya itu seperti puasa sepanjang masa.” – (Hadith Riwayat Muslim)

Hadith itu menjelaskan jika kita berpuasa pada Ramadhan dan diikuti pula dengan puasa sunat enam pada Syawal, seolah-olah kita berpuasa sepanjang masa, iaitu selama satu tahun. Justeru, umat Islam perlu merebut peluang ini kerana kelaziman amalan sunat dilakukan bertujuan menampal sebarang amalan yang berkurangan atau cacat dalam amalan fardhu.

Barangkali ada kemungkinan amalan puasa kita pada Ramadhan berkurangan atau pun cacat sedikit, maka puasa enam Syawal adalah sebagai penampal terhadap kekurangan atau kecacatan itu. Bagi wanita yang tidak dapat berpuasa penuh pada Ramadhan, maka puasa enam memberi peluang yang baik kepada mereka untuk menggantikannya di samping mendapat pahala puasa sunat. Ia juga dapat mengelakkan budaya atau sikap suka melewat-lewatkan qada puasa sehingga Ramadhan hampir menjelang pada tahun akan datang.

Pelbagai ganjaran dan kelebihan yang diperoleh umat Islam jika mereka merebut peluang melaksanakan puasa enam pada Syawal ini. Imam Ahmad dan An-Nasa’i, meriwayatkan daripada Tsauban, Rasulullah s.a.w., bersabda yang bermaksud: “Puasa Ramadhan (ganjarannya) sebanding dengan (puasa) 10 bulan sedangkan puasa enam hari (pada Syawal, pahalanya) sebanding dengan (puasa) dua bulan, maka itulah bagaikan berpuasa selama setahun penuh.” – (Hadith riwayat Ibnu Khuzaimah & Ibnu Hibban)

Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah s.a.w. bersabda, yang bermaksud: “Siapa berpuasa Ramadhan, lantas disambung dengan enam hari pada Syawal, maka dia bagaikan berpuasa selama setahun.” – (Hadith riwayat Al-Bazzar)

Pahala puasa Ramadhan yang dilanjutkan menyamai pahala puasa satu tahun penuh. Ini kerana setiap hasanah (kebaikan) diberi ganjaran 10 kali ganda, seperti disentuh dalam hadith.

Membiasakan puasa selepas Ramadhan memiliki banyak manfaat, di antaranya: Puasa enam hari pada bulan Syawal adalah pelengkap dan penyempurnaan pahala daripada puasa setahun penuh; Puasa Syawal dan Sya’aban bagaikan solat sunat rawatib, dan berfungsi sebagai penyempurnaan daripada sebarang kekurangan. Perkara ini kerana pada hari qiamat, perbuatan fardhu akan disempurnakan (dilengkapi) dengan perbuatan sunat.

Seperti keterangan Rasulullah s.a.w. dalam beberapa riwayat, majoriti puasa fardhu yang dilakukan Muslimin memiliki kekurangan dan ketidaksempurnaan dan keadaan ini memerlukan sesuatu bagi menutup dan menyempurnakannya. Membiasakan puasa selepas Ramadhan menandakan diterimanya puasa Ramadhan.

Segala amalan yang dikerjakan oleh seseorang hamba untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT pada Ramadhan tidak akan terputus dengan berlalunya bulan Ramadhan yang mulia ini, selama dia masih hidup.

Wallahu’alam