Monday, January 17, 2011

Sujud Tilawah


بسم الله الرحمن الرحيم

Ibadah sujud di luar daripada solat ada DUA iaitu Sujud Tilawah dan Sujud Syukur. Insya Allah pada kesempatan ini marilah kita sama-sama cuba memahami apakah sujud tilawah.

Sujud tilawah adalah sunat dan sangat dituntut menurut pendapat jumhur ulama. Sujud tilawah terdiri daripada beberapa perkara seperti istilah, syarat, rukun, dan perkara sunat. Mari kita ulas satu persatu tentang perkara-perkara tersebut.

ISTILAH : Sujud tilawah adalah sujud yang dilakukan di luar solat apabila kita berjumpa dengan ayat-ayat sajdah, sama ada dibaca oleh diri sendiri atau didengar daripada orang lain.

Namun begitu sebarang bentuk rakaman seperti CD, kaset, TV, video, dan sebagainya, harus hukumnya melakukan sujud tilawah mahupun bertasbih. Harus di sini bermaksud pahala tiada, dosa pun tiada.

Ayat sajdah ialah ayat yang mempunyai perkataan sujud di dalamnya yang membawa maksud tertentu. Bagi kita orang Melayu yang tidak faham bahasa Al-Quran, terdapat cara yang tertentu untuk kita mengenali ayat-ayat sajdah ini.

Jika dalam Mashaf Uthmani (Quran Al-Karim), terdapat tanda seakan-akan kubah masjid di tempat yang perlu dilakukan sujud tersebut. Manakala bagi Quran Al-Majid (Quran lama) pula, ditulis perkataan 'sajdah' di bahagian tepi ayat tersebut dalam tulisan jawi.

SYARAT - Syarat-syarat yang perlu ada sebelum melakukan sujud tilawah:

1. Ayat itu hendaklah dibaca sehingga habis. Untuk memudahkan kita, pihak pencetak Quran telah membuat tanda kubah masjid (bagi mashaf uthmani) atau perkataan ‘sajdah‘ (bagi quran al-majid). Jangan sekali-kali sujud sebelum sampai kepada tanda tersebut.

2. Suci dari hadas, iaitu tutup aurat dan berwudhuk. Sekiranya tiada wudhuk, dan tiada juga niat dari awalnya (contohnya kita terdengar seseorang membacanya), sujud tilawah ini boleh digantikan dengan tasbih 4x (SubhanaLlah walhamduliLlah walailahaillaLlah waLlahuakbar). Pahalanya pula sama dengan sujud tilawah yang sempurna.

3. Tidak lama masa di antaranya, iaitu antara bacaan ayat sajdah tersebut dengan sujud tilawah yang hendak kita lakukan itu.

4. Mengadap kiblat. Tidak mengapa sekiranya ayat itu dibaca dengan tidak mengadap kiblat, cuma alihkan Quran (sekiranya ada) dan pusingkan tubuh supaya mengadap kiblat sebelum melakukan sujud tilawah.

RUKUN - Rukun adalah perkara yang mesti dilakukan untuk menjadikan perbuatan kita ini adalah sujud tilawah. Tertinggal salah satu bermakna tiadalah fadhilat yang akan kita perolehi. Boleh jadi jatuh kepada berdosa pula.

1. Niat beserta takbiratul ihram
2. Berdiri atau duduk
3. Sujud sekali
4. Salam pertama

PERKARA SUNAT

1. Angkat kedua-dua belah tangan ketika takbiratul ihram
2. Bertakbir (Allahu Akbar) ketika turun untuk sujud
3. Membaca ayat sujud sajdah:

سَجَدَ وَجْهِى لِلَّذِى خَلَقَهُ وَصَوَّرَهُ وَشَقَّ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ تَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ
(Aku bersujud dengan wajahku kepada Dzat yang telah merupakan dan menciptakannya, dan menciptakan pendengaran dan penglihatannya dengan kekuatannya. Maha memberkati Allah, sebaik-baiknya pencipta)

4. Bertakbir ketika bangkit dari sujud
5. Salam yang kedua

Terdapat lima belas tempat di dalam Al Quran yang disunatkan pembaca atau pendengar untuk bersujud. Ayat-ayat Sajdah di dalam Al Quran, antaranya ialah Surah Al-A’Raaf Ayat 206, Surah Ar-Ra’d Ayat 15, Surah An-Nahl Ayat 50, Surah Al-Israa Ayat 109, Surah Maryam Ayat 58, Surah Al-Hajj Ayat 18, Surah Al-Hajj Ayat 77, Surah Al-Furqaan Ayat 60, Surah An-Naml Ayat 26, Surah As-Sajdah Ayat 15, Surah As-Saad Ayat 24, Surah Fussilat Ayat 38, Surah An-Najm Ayat 62, Surah Al-Insyiqaq Ayat 21 dan Surah Al-Alaq Ayat 19.

FADHILAT

1. Syaitan menangis semasa kita sujud. Diceritakan dalam hadith dari Abu Hurairah (r.a.): Ertinya “Apabila anak Adam membaca ayat sajdah, dan ia sujud, maka Syaitan akan melarikan dirinya serta menangis lalu berkata: celaka ia, diperintah untuk sujud lalu ia sujud, dan baginya Syurga, dan aku pernah disuruh sujud tapi aku enggan dan bagiku neraka” (Riwayat Muslim, Kitab al-Iman, no 133; dan Ibn Majah)

2. Salah satu cara untuk mendapatkan khusyuk dalam solat.

3. Salah satu cara untuk mendekatkan diri dengan Tuhan. Ini kerana sehina-hina dan serendah-rendah martabat kita adalah sewaktu kita sujud kepada~Nya.

Wallahu a’lam

Bulan tak pernah melanggar hukum. Malam tak pernah cemburukan siang. Bumi tidak merungut tentang kedudukannya rendah dari langit. Namun manusia sering melanggar batasan, cemburu pada kelebihan insan, mengeluh tentang kekurangan. Wujudkan sifat-sifat makhluk Allah ini, biarpun tanpa akal mereka lebih 'berakal' dari kita dalam mentaati Pencipta.