Friday, June 28, 2013

Berpesan pada diri


بسم الله الرحمن الرحيم

فَلَا تُزَكُّوا أَنفُسَكُمْ ۖ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنِ اتَّقَىٰ

Firman ALLAH SWT bermaksud : "Maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa." ( QS An Najm : 32 )

ULASAN AYAT :
  • SEORANG HAMBA tidak patut sombong atau berbangga dengan ilmu, harta dan jabatan yang dimilikinya sebelum ia selamat melintasi titian sirat. Apa gunanya pujian jika ia tetap terjatuh ke dalam neraka pada hari kiamat nanti. KEKASIH ALLAH tidak menyukai kemashyuran. Mereka selalu khuatir andai ibadahnya ditolak meskipun telah melakukannya dengan sempurna. Kesibukkannya dengan ALLAH tidak meninggalkan baki masa baginya untuk mendengar pujian atau celaan orang lain. Kita diajar untuk merendah diri malah tidak pula melihat orang lain dengan pandangan yang hina kerana kekurangan yang ada sehingga kita terus menghukum dan melebelkan mereka buruk.
  • Jangan mudah menghukum manusia sesuka hati, bahkan insafilah diri kerana kita juga bukan sesiapapun dan tiada apa yang hebat tentang diri kita kerana apabila kita mati hanya kain putih yang sama juga membaluti dan diusung orang juga untuk dibawa pergi kekuburan.
  • Sifat sombong dengan apa yang ada pada diri akan membuat kita jauh dari ALLAH, ianya hanya akan mendatangkan kehampaan dan rasa putus asa yang berpanjangan. Ketahuilah bahawa anugerah kecerdasan, kekayaan, kekuatan, kecantikan dan ketampanan serta ilmu pengetahuan semuanya akan berubah menjadi derita dan musibah jika kita tidak memperolehi taufik dan berkat dari ALLAH. Justeru ALLAH mengingatkan kita melalui ayat-ayatNya akan akibat buruk dari sifat sombong dan riak dariNYA. Jagalah ALLAH, maka ALLAH akan menjaga kita lebih lagi. HARTA pula jika diletakkan sebagai alat, ia akan menyelamat. Tetapi jika ia menjadi matlamat, ia akan membawa mudarat kerana kadang-kadang kita lupa, pengakhiran hidup kita adalah AKHIRAT.
  • MISKIN DAN KAYA bukan persoalannya tetapi setiap dari kita perlu berusaha untuk mencari KEKAYAAN HATI yang boleh dimiliki oleh si miskin dan si kaya. Orang yang kaya hati akan sentiasa memiliki ketenangan dan kebahagiaan. Orang miskin berjalan atas landasan kesabaran dan orang kaya pula akan berjalan atas landasan kesyukuran. Itulah sebaik-baik jalan. BERPESANLAH PADA DIRI (Setiap usaha dan ketekunan pasti ALLAH ganjarkan pahala sekalipun kita gagal). Pesan pada diri dan ingatkannya bahawa kita semua hamba ALLAH SWT.
  • Oleh itu ALLAH sahaja yang boleh memberikan kita kejayaan atau kegagalan. Kedua-duanya dianugerahkan oleh ALLAH untuk kebaikan diri kita juga. ALLAH tidak akan menzalimi hamba-hamba~Nya. Apabila diuji, maka sunatullah telah menetapkan agar bersabar. Setiap kali menempuh ujian, maka sabarlah sebijak-bijak tindakan seorang hamba.
  • Tidak perlu berbangga dengan apa yang ada kerana tiada seorang pun di dunia ini yang sepanjang hidupnya sentiasa berjaya ataupun selalu mendapat apa yang diinginkan. Apabila disebut tentang hamba, ALLAH boleh melakukan apa sahaja kepada kita. Cuma apabila kita dibekalkan akal dan hati oleh~Nya maka gunalah sebaiknya agar kita tahu mana baik dan mana buruknya. Apa yang baik perlu diteruskan manakala yang buruk harus segera ditinggalkan.
Wallahu a'lam

Dikutip dari Masjid Al-I’tisam

8 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum, sdr..

    Peringatan bagi mereka yang alpa..mcm saya..

    Merendah diri akhlak terpuji..

    ReplyDelete
  3. salam sahabat

    peringatan untuk saya juga...terima kasih, ilmu 19 sya'ban...

    ReplyDelete
  4. Assalamu'alaikum Abd Razak.

    Semoga sentiasa berada dalam rahmat kasih sayang dan redha Allah SWT. Aamiin.

    Teringat kata-kata Ustaz Azhar Idrus "Jangan terlalu sombong kecuali jenazah kita boleh bergolek masuk sendiri ke dalam lubang kubur."

    Terima kasih atas peringatan ini. Selamat menyambut Ramadhan tahun ini.

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum sahabat..

    Berbahagialah hamba yang memiliki *kekayaan hati* kerana ALLAH bersama-sama dengannya.

    Kata-kata Ustaz Abdul Halim Abbas,

    Kekayaan hati adalah sifat mahmudah. Tambahilah sifat mahmudah drp sedikit syukur kpd berbanyak2 bersyukur, drp sedikit redha kpd berbanyak2 redha, dari sedikit bersangka baik kpd berbanyak2 bersangka baik, dari sedikit sabar kpd berbanyak2 sabar, drp sedikit pemaaf kpd lebih banyak memberi maaf dan drp sedikit keyakinan kpd lebih tebal keyakinan.
    Kekayaan hati adalah kekayaan abadi. Tidak musnah oleh kematian dan tidak mudah dirosakkan oleh orang2 yang hasad dengki.

    Syukran atas peringatan..semoga sahabat sentiasa sihat dalam limpahan kasihsayangNya

    ReplyDelete
  6. Tetapi banyak kalanya kita terlupa bahawa kita ini bukan milik kita secara tulin. kita cuma diamanahkan menjaga diri kita dan akan terpaksa dipulangkan bila tiba waktunya.

    ReplyDelete
  7. Pabila dipuji orang, maka kembalikan pujian itu kepada Pencipta orang.

    ReplyDelete
  8. Assalamualaikum...

    Mudah-mudahan kita dalam rahmatnya.

    "Orang miskin berjalan atas landasan kesabaran dan orang kaya pula akan berjalan atas landasan kesyukuran."

    Saat dunia bukan matlamat,
    Hatikan memandang akhirat...

    Berusaha melalui jalan lurus sampai kepadaNya.
    Mohon doa.

    Moga Allah kasih.


    ReplyDelete

السلم عليكم ورحمة الله...:)

Lihatlah sudut-sudut hati kecilmu dengan pandangan yang cermat. Jika engkau mendapati sesuatu yang terpuji, maka pujilah Allah dan teruslah berlalu. Akan tetapi, jika engkau melihat sesuatu yang menjengkelkan, maka ikutilah dengan penilaian dan pemeriksaan yang baik terhadapnya.