Friday, July 11, 2014

Sekatlah nafsu..


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين



Menurut Imam al-Ghazali: Nafsu boleh dikekang dengan kekangan takwa.
Dengan itu ia akan menjadi lemah dan tunduk mengalah. Kewarakan seseorang juga boleh membelenggunya
sehingga nafsu tidak berpeluang menjalankan peranannya. Dengan kesedaran bahawa nafsu itu musuh yang
akan mendatangkan kecelakaan, ia perlu dilemahkan dengan penghinaan. Jangan sekali-kali diberi muka
dan dilayani keinginannya.

Dalam kitab Minhajul Abidin, Imam Ghazali telah menganjurkan cara untuk menjinakkan nafsu :

1) Setiap keinginan nafsu itu hendaklah dicegah dan ditahan.

Ini bererti ia dikurung atau dibelenggu. Umpama binatang liar, apabila dikurung atau ditambat,
ia menjadi jinak juga akhirnya. Lemahkan tenaganya agar ia tidak liar. Amalan berpuasa akan
membuatkan badan menjadi lemah dan sekaligus melemahkan keinginan nafsu. Selain menahan perut
daripada banyak makan, ada lagi beberapa sumber kekuatan nafsu yang perlu disekat. Antaranya,
menahan mata daripada memandang yang haram, telinga daripada mendengar yang haram, mulut
daripada berkata-kata yang dilarang, hati daripada sifat-sifat mazmumah dan lain-lain.

2) Diberikan tekanan atau deraan yang berat ke atasnya.

Umpama kaldai yang liar, apabila dilebihkan muatan beban di atas belakangnya, nescaya ia
menjadi lemah dan akan menurut perintah. Cara mendera nafsu ialah dengan banyak melakukan ibadah.
Terus menerus melakukan ibadah dengan harapan kemanisan beribadah dapat menjinakkan keinginan nafsu.

3) Mohon bantuan Allah.

Hendaklah berdoa, perlindungan daripada Allah Taala agar terselamat daripada angkara nafsu jahat
(nafsu ammaratun bil-su`). Sesungguhnya dengan pertolongan Allah jua, kita akan berjaya.

Nafsu adalah ibarat kuda liar, sukar dikawal, merbahaya dan boleh memudaratkan. Walau bagaimanapun
dengan latihan yang betul, ia boleh dijinakkan, dikawal dan memberi banyak manfaat.

Seorang cendekiawan Islam berkata,"Beruntunglah orang yang menjadikan akalnya sebagai pemimpin dan nafsu
sebagai tawanan dan rugilah orang yang menjadikan nafsunya sebagai pemimpin dan akalnya sebagai tawanan".

Imam Al-Ghazali mengatakan, "kalau nafsu menguasai akal maka hina manusia itu lebih daripada haiwan
dan kalau akal menguasai nafsu maka mulia manusia itu lebih daripada Malaikat."

Imam Al-Ghazali mengatakan, "antara tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah dia mengutamakan perkara
yang disukai Allah daripada kehendak nafsu serta peribadi, sama ada dalam aspek zahir atau batin."

Di dalam kitab "Al-Asas fit Tafsir", Said Hawa pernah berkata, "Secara dasarnya melawan hawa nafsu
bermaksud menundukkan hawa nafsu supaya ia mengikut kehendak Allah dalam setiap perkara."


Wallahu a'lam...

**SELAMAT MENCARI LAILATULQADR**

2 comments:

  1. Assalamu'alaikum Abd Razak

    Semoga sihat dan terus mendapat keberkatan dalam bulan yang mulia ini.

    Tiada jalan mudah untuk mengekang nafsu jahat. Nafsu ini perlu ditekan dan dipaksa untuk tidak dituruti. Siapa lagi yang diharapkan dapat membantu?

    Jawapannya adalah diri sendiri, utuhkan keazaman dalam diri, seperti ketika diri inginkan sesuatu lalu diri itu akan bijak mencari jalan dan ikhtiar untuk mendapatkannya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumusalam Kak Werdah..

      Semoga kakak juga sihat dan terus mendapat keberkatan dalam bulan yang mulia ini...aamiin Ya Rabb

      Benar kak, jika kita tidak dapat mengawal nafsu kita, pasti akan diperintahnya untuk menurut segala kehendak yang tidak baik, lalu kita terjerumus dalam maksiat yang tidak berkesudahan.

      Kita sendiri yang perlu bertindak untuk melawan dan mengawal nafsu kita yang menjadi musuh kita sentiasa.

      Delete

السلم عليكم ورحمة الله...:)

Lihatlah sudut-sudut hati kecilmu dengan pandangan yang cermat. Jika engkau mendapati sesuatu yang terpuji, maka pujilah Allah dan teruslah berlalu. Akan tetapi, jika engkau melihat sesuatu yang menjengkelkan, maka ikutilah dengan penilaian dan pemeriksaan yang baik terhadapnya.