Friday, October 31, 2014

Bersiwak..


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين


Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani menyebut di dalam kitab Nashaihul Ibad,

Rasulullah s.a.w. telah bersabda, mesti bagimu bersiwak/menggosok gigi
karena di dalamnya terdapat 10 perkara yang terpuji, iaitu :

a. Membersihkan mulut.

b. Menyenangkan Tuhan. (Allah suka)

c. Dibenci syaitan.

d. Dicintai Allah dan malaikat hafadhah.

e. Menguatkan gusi dan gigi.

f. Menghilangkan bulgom dan kahak.

g. Menyegarkan nafas.

h. Mencegah penyakit komplikasi.

i. Menguatkan mata.

j. Menghilang bau busuk

Adalah sunat bersugi pada bila-bila masa tetapi masa yang paling dituntut ialah setelah
bangun dari tidur, ketika hendak mendirikan solat, ketika hendak membaca Al-Quran,
selepas makan dan ketika berubah bau mulut.

Dari Syaidatina Aisyah r.ha.: “Sesungguhnya Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

السِّوَاكَ مَطْهَرَةٌ لِلْفَمِّ مَرْضَاةٌ لِلرَّبِّ

“Bersugi itu membersihkan mulut dan mendapat redha dari Tuhannya.” (Riwayat Ahmad dan Al Baihaqi)


Pentingnya bersiwak sebagaimana sabda Nabi s.a.w. sebagai berikut,

"Sholat dengan bersiwak lebih utama daripada 70 sholat tanpa bersiwak."


Wallahu a'lam


Friday, October 24, 2014

Orang mulia dan orang bijaksana..


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين


Dari Yahya bin Mu'adz r.a. :

"Orang yang mulia tidak akan berbuat durhaka kepada Allah
dan orang yang bijaksana tidak akan mengutamakan
dunia daripada akhirat."


Orang yang mulia adalah orang yang berakhlakul karimah,
yang memuliakan dirinya dengan cara meningkatkan ketakwaan
dan kewaspadaan dalam menghadapi maraknya kemaksiatan.


Adapun yang dimaksud dengan orang yang bijaksana itu
adalah orang yang tidak mengutamakan kemewahan dunia
dan yang menahan nafsunya dari segala bentuk perbuatan
yang bertentangan dengan nuraninya.


Wallahu a'lam


SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU HIJRAH 1436


Friday, October 17, 2014

Menjaga lidah..


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين


Imam Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulumiddin membicarakan perihal-perihal
kemusnahan yang disebabkan oleh lidah. Ini menunjukkan kepentingan lidah itu dijaga
agar tidak menjerumuskan manusia ke lembah neraka.

Imam Ghazali berpesan dalam kitab Bidayatul Hidayah, adalah menjadi kewajipan
untuk kita menjaga lidah daripada 8 perkara :

1. Jangan bercakap bohong : Bohong itu bercakap dusta dan merupakan dosa besar.
Orang berbohong hilang harga dirinya kerana orang tidak lagi percaya kepadanya.

2. Kata Imam Ghazali, "Usahakan supaya jangan mungkir janji, kerana ia adalah sifat orang munafik."
Nabi s.a.w. ada bersabda bahawa 3 perkara jika dilakukan akan menjadikan seseorang itu munafik
walaupun dia solat dan berbuat baik. 3 perkara itu ialah jika bercakap dia bohong, jika berjanji
dia mungkiri, dan jika diamanahkan, dia khianati amanah itu. Oleh itu jangan senang-senang berjanji.
Dan jika berjanji, usahakan sedaya upaya untuk memenuhinya.

3. Ini memang sukar dijauhi dan sudah berleluasa dalam masyarakat sekarang. Apa maksud mengumpat?
Berbicara tentang benda yang betul yang mengaibkan seseorang, di belakang orang itu, dan jika orang
itu tahu, dia akan marah. Jika kita cerita tentang benda yang tak betul tentang seseorang, itu
namanya fitnah. Fitnah itu lebih dasyat bencananya daripada membunuh, dan dosanya lebih besar
daripada mengumpat. Jadi kita perlu berhati-hati. Kita sepatutnya menutup keaiban orang lain,
supaya Allah juga akan meutup keaiban kita. Jika tidak, Allah akan membuka keabaikan kita dan
akan menyediakan lidah-lidah yang lebih tajam untuk mengumpat kita.

Itu hanyalah balasan di dunia, di akhirat nanti akan dibuka keaibannya dan diperlihatkan kepada
seluruh manusia. Ada juga orang berkata yang dia tak mengumpat, sekadar tumpang mendengar. Sebenarnya
sama saja dosanya, sama ada mengumpat atau mendengar umpatan. Jika terdengar secara tak sengaja,
dan kita tak redha, berusahalah untuk menegur, menukar topik perbicangan atau membubarkan kumpulan itu.
Jangan pula kita jadi ‘nasi tambah’ dalam sesuatu perbualan mengumpat.

Hasan Al-Basri diberitahu bahawa ada orang mengumpat beliau, lantas beliau mengambil bakul dan
mengisinya dengan buah-buahan dan meminta orang yang menyampaikan cerita itu memberi bakul tersebut
kepada si pengumpat. Pembawa berita itu pun hairan lalu bertanya sebabnya. Jawab Hasan Al-Basri,
“Sesungguhnya dia telah memberikan pahalanya pada saya, jadi ini tanda penghargaan saya padanya.”

4. Ini boleh menyebabkan orang lain sakit hati dengan kita. Selalunya kita berdebat berkaitan
perkara-perkara peribadi orang yang mungkin tidak benar. Kita berdebat seolah-olah kita sahaja
yang benar. Jika berdebat dengan orang yang jahil, dia mungkin akan berdendam pula selepas itu.
Jika bertengkar dengan orang yang sabar sekalipun, mungkin akan sampai tahap di mana dia tak mampu
sabar lagi hingga boleh menyebabkan bermusuhan pula nanti.

5. Apabila ditanya seorang imam, “Apakah perkara benar yang buruk?” Lalu jawabnya, “Memuji diri sendiri.”
Itulah juga yang kita kenali sebagai ‘masuk bakul angkat sendiri’. Kita sendiri pun rasa tidak senang
jika ada orang datang dan bercerita membangga-banggakan dirinya sendiri. Semua orang mengharapkan orang
sebegini lekas-lekas beredar.

6. Imam Ghazali berpesan supaya jangan melaknat makhluk. Makhluk termasuklah manusia, binatang,
tumbuh-tumbuhan, makanan dan banyak lagi. Nabi SAW sendiri tidak pernah mencela makanan, walaupun
tidak sedap. Baginda sendiri ketika makan cuka, walaupun tidak suka, tetap memuji dan mengatakan
bahawa cuka itu sedap rasanya.

7. Walaupun kita dizalimi, jangan doakan kecelakaan. Ini kerana ditakuti kecelakaan yang kita
minta itu lebih besar daripada kezaliman ynag dilakukan kepada kita. Takut nanti kita pula yang
dikira menzalimi orang tadi dan akan dituntut balasannya di akhirat pula. Sepatutnya kita
menasihati rakan yang zalim dan mendoakan kebaikan untuk mereka.

8. Walaupun dengan niat bergurau, lebih elok elakkan, kerana kadang-kadang orang tetap berkecil
hati walaupun kita cuma berniat bergurau. Orang lain juga boleh hilang hormat pada kita.
Jika kita diejek, cuba usahakan menegur mereka yang berbuat demikian. Jangan kita lawan pula.

Friday, October 10, 2014

Wukuf dan solat Jumaat..


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين


Persoalannya adakah wajib orang yang mengerja haji mendirikan
sholat Jumaat yang kebetulannya hari wukuf jatuh pada hari Jumaat?

Para jemaah haji yang wuquf di ‘Arafah pada hari Jumaat tidak diwajibkan ke atas mereka mendirikan sholat
Jumaat, kerana di antara syarat sah mendirikan sholat Jumaat itu ialah sholat Jumaat hendaklah didirikan
di suatu tempat kediaman seperti kampung, desa, pekan atau bandar dan ia juga hendaklah didirikan
sekurang-kurangnya oleh empat puluh orang yang bermastauthin (menetap di tempat didirikan sholat Jumaat).

Imam an-Nawawi Rahimahullah berkata:

قال الشافعى والأصحاب : لو وافق يوم عرفة يوم الجمعة لم يصلوا الجمعة هناك ، لأن من شرطها دار الإقامة وأن يصليها مستوطنون. وقد سبق أن الشافعى والأصحاب قالوا : لو بني بها قرية واستوطنها أربعون كاملون صليت بها الجمعة ولم يصل النبي صلى الله عليه وسلم الجمعة بعرفات مع أنه ثبت في الصحيحين من رواية عمر بن الخطاب رضي الله عنه أن يوم عرفة الذي وقف فيه النبي صلى الله عليه وسلم كان يوم جمعة.

Ertinya : Imam asy-Syafi’e dan para sahabat berkata: “Jika bertepatan hari ‘Arafah pada hari Jumaat,
tidaklah para jemaah haji bersholat Jumaat di sana, kerana di antara syarat sah Jumaat itu ialah
(didirikan) di tempat ada orang menetap dan mereka yang mengerjakan sholat Jumaat itu ialah orang-orang
yang bermastauthin (orang yang menetap tinggal di tempat itu). Telah berlalu (sebelumnya) bahawa
Imam asy-Syafi’e dan para sahabat berkata: “Jika dibina di sana (Mina dan ‘Arafah) satu kampung dan ia
ditempati oleh cukup empat puluh orang mastauthin, hendaklah (wajib) didirikan di sana sholat jumaat
(oleh empat puluh orang mastauthin dan juga para jemaah haji).

Adapun Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam tidak pernah mengerjakan sholat Jumaat di ‘Arafah sedangkan
telah sabit di dalam hadith shahih Bukhari dan Muslim daripada riwayat ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallahu ‘anhu
bahawa hari ‘Arafah yang Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam wuquf di dalamnya adalah pada hari Jumaat.”
(Al-Majmu’: 8/111, 117-118)

Oleh itu adalah jelas bahawa sholat yang dikerjakan semasa wukuf di padang ‘Arafah, sekalipun ia jatuh pada
hari Jumaat adalah sholat Zuhur. Sholat Zuhur pada hari wukuf di padang ‘Arafah itu pula tidak boleh diqasarkan,
kerana jarak Makkah dengan padang ‘Arafah tidak sampai atau melebihi dua marhalah (89 kilometer).

Walau bagaimanapun adalah harus bagi jemaah haji yang keluar dari Makkah pada hari Tarwiyah (8 Zulhijjah)
mengambil rukhsah mengqasarkan dan menjama’ sholat dengan syarat mereka hendaklah berniat untuk terus
pulang ke tanah air setelah selesai ibadat haji. Ini bererti mereka tidak akan kembali bermukim di Makkah
(tinggal di Makkah melebihi tiga hari). Apabila saja mereka meninggalkan perbatasan atau sempadan Makkah,
maka mereka boleh melakukan sholat secara qasar atau pun jama’ kerana mereka adalah di dalam musafir.
Tetapi rukhsar berkenaan itu akan hilang apabila mereka bermukim di mana-mana tempat persinggahan melebihi
daripada tiga hari.

Dalam hal ini, Imam an-Nawawi Rahimahullah berkata:

قال الشافعي والأصحاب : إذا دخل الحجاج مكة ونووا أن يقيموا بها أربعا، لزمهم إتمام الصلاة ، فإذا خرجوا يوم التروية إلى منى، ونووا الذهاب إلى أوطانهم عند فراغ مناسكهم، كان لهم القصر من حين خرجوا لأنهم أنشئوا سفرا تقصر فيه الصلاة.

Ertinya : Imam asy-Syafi’e dan para sahabat berkata : “Jika para jemaah haji masuk ke Makkah dan mereka
berniat untuk tinggal di sana selama empat hari, (maka) mereka Mesti menyempurnakan (tidak mengqasar) sholat.
(Manakala) jika mereka Keluar pada hari tarwiyah menuju ke Mina dan mereka berniat terus pergi bermusafir ke
tanah air mereka bila habis selesai ibadat haji mereka, (maka) bagi mereka boleh mengqasar sholat dari ketika
mereka keluar lagi, kerana mereka telah memulakan pelayaran yang dibolehkan di dalamnya mengqasar sholat.”
(Al-Majmu’ : 8/117)

(Fatwa Majlis Agama Islam Negara Brunei Darul Salam)

Friday, October 03, 2014

Hari Arafah dan pengajarannya..


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين

Terdapat banyak pengajaran hari Arafah yang boleh dipelajari, di antaranya adalah:

1. Hari Peringatan

Pada hari ini mengingatkan kita kepada suatu urusan yang agung dan besar, yang menambahkan keimanan dan menguatkan hubungan dengan Pemilik Agama. Iaitu mengingatkan tentang hari kiamat dan melengkapkan persediaan dan bekalan untuk hari itu kerana pada hari itu perasaan tidak terkata dan nurani tidak tertulis, tetapi hanya dapat dinikmati bagi siapa yang melaksanakannya, seperti mana ada bijak pandai pernah mengatakan: “Siapa yang merasa dia tentu tahu.”

Ini adalah hari seumpama hari Perhimpunan terbesar seperti dalam Firman~Nya:

إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَةً لِّمَنْ خَافَ عَذَابَ الْآخِرَ‌ةِ ۚ ذَٰلِكَ يَوْمٌ مَّجْمُوعٌ لَّهُ النَّاسُ وَذَٰلِكَ يَوْمٌ مَّشْهُودٌ

“Iaitu hari yang dihimpunkan manusia padanya. Dan hari yang demikian ialah hari yang dihadiri oleh sekalian makhluk.” (Surah Al-Hud: 103).

Oleh itu, hari Arafah adalah gambaran kecil dari keadaan sebenar hari kiamat. Demi Allah, sekiranya para jemaah haji memerhatikan pemandangan ini dan bagi yang bukan jemaah haji boleh melihat melalui skrin, tentulah akan mengubah keadaan sedia ada kepada keadaan yang lebih baik dan menjadi hati yang tunduk patuh kepada Tuhan. Semua orang yang menyaksikan pemandangan ini dan perhimpunan orang ramai yang sangat besar di Arafat dan mendengar suara, pekikan dan jeritan, dia akan serta-merta berkata: Maha suci bagi Allah, Maha Suci bagi yang mengetahui bahasa mereka, Maha Suci bagi mampu membezakan suara mereka dan Maha Suci bagi yang tertunai hajat mereka.

2. Rahmat Tanpa Sempadan

Di Arafat terbuka penutup dan pintu syurga. Oleh itu, para jemaah menuju kepada Tuhan dengan hati yang bersih daripada kegelapan syahwat dan hawa nafsu, dan memancarkan cahaya sehingga menerangi dunia dan semua yang ada termasuklah yang sekecil zarah pun.

Di Arafah terjunjung semangat kemanusiaan tanpa kenal sempadan, antara tuan dan kuli, tua dan muda, kaya dan miskin, raja dan rakyat, mulia atau keji. Di tempat ini satu pelajaran agung iaitu tentang persamaan, di mana tidak ada orang yang boleh membezakan antara kaya dan miskin, tidak juga di antara yang kuat dan lemah, dan tidak juga di antara berkedudukan dan berpangkat dan tidak berkedudukan dan berpangkat.

3. Menyaksikan Penyatuan Umat

Perhimpunan umat Islam di Arafah pada hari yang mulia ini memberi peluang besar untuk menyaksikan manfaat Haji seperti yang dikehendaki dan disebut oleh Allah SWT yang bermaksud,

“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka.” (Surah Al-Hajj: 27-28)

Manfaat yang paling penting dan menjadi kewajipan yang tidak dapat dielakkan kepada umat Islam: Keperluan untuk kerjasama antara negara-negara Arab dan Islam. Perjumpaan di Arafah ini adalah peluang besar untuk menghapuskan jurang dan memikirkan tentang keadaan dunia Islam.

Di antara faktor yang membantu untuk mencapai kerjasama ini tercapai ialah; umat Islam adalah satu umat yang menggunakan bahasa yang satu, sejarah masa lalu yang satu, objektif yang satu, penyakit yang satu. Mereka di Arafat menuju kepada Tuhan yang satu , memakai pakaian yang satu, pada masa yang satu dan dengan laungan yang satu “Labbaikallah humma labbaik….” Semua ini membantu untuk mencapai kerjasama yang membuahkan kemajuan, kemakmuran,kecintaan dan keintiman, dan menggemblingkan tindakan yang memuaskan hati rakyat negara Arab.

4. Pesanan Terakhir Rasulullah SAW

Inilah hari agung yang mengingatkan kita kepada makhluk yang paling agung yang pernah dijadikan Allah, mengingatkan kita dengan perhimpunan perpisahan di dalam haji Wida’. Tiada masa yang paling hebat dan tiada perhimpunan yang paling indah, melainkan di saat pertemuan antara utusan Allah yang membawa rahmat kepada seluruh alam bersama dengan orang ramai yang khusyuk dan merendak diri di hadapan Allah, Semua mereka memiliki hati yang sedar dan telinga yang mendengar untuk melihat perpisahan dan kata-kata perpisahan, iaitu kata-kata dari Rasulullah SAW yang tidak berkata-kata menurut hawa nafsunya.

Seluruh dunia telah mendengar kata-kata Rasulullah SAW yang telah mengumumkan prinsip-prinsip dan nilai-nilai hidup. Antara prinsip-prinsip yang paling penting ialah:

* Menghormati nyawa, harta dan kehormatan.
* Larangan riba.
* Keadilan iaitu satu ciri Islam yang utama
* Melindungi dan menjaga nyawa.
* Larangan mempersendakan agama Allah.
* Hak lelaki ke atas wanita, hak wanita ke atas lelaki.
* Ikatan utama umat Islam adalah ikatan akidah dan Islam. Ikatan ini yang membawa mereka kepada prinsip persamaan dan kerjasama dalam perlaksanaan undang-undang Islam.

Pada hari ini, Rasulullah SAW merumuskan untuk umat bahkan semua manusia tentang prinsip-prinsip kemanusiaan dan belas kasihan, dan meletakkan mereka kepada asas-asas keamanan dan kedamaian. Antara pesanan lain dari Rasulullah SAW untuk umatnya: Berpegang teguh kepada kitab Allah dan Sunnah Rasulullah SAW. Rasulullah telah menentukan secara tegas bahawa langkah dan cara terbaik untuk menyelesaikan masalah-masalah yang melanda umat Islam ialah untuk merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.

5. Pembebasan

Sepatutnya umat Islam, yang berada di Arafat dan lain-lain tempat-tempat suci, terutamanya Rumah Allah, jangan melupakan kiblat pertama umat Islam pertama: Al-Aqsa, yang mesti dikembalikan ke pangkuan umat Islam dan membebaskan dari cengkaman bangsa Yahudi. Ini adalah amanah dan tanggungjawab yang akan ditanya oleh Allah kepada kita pada hari kiamat nanti.

Kita memohon agar Allah menjadikan kita pada hari Arafah tergolong orang-orang yang diterima amalnya, orang-orang yang diberikan kemenangan dan orang-orang yang Allah bebaskan dari api neraka...aamiin

Wallahu a'lam...

SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA SEMUA