
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين
Sahabatku yang dimuliakan,
Al-Quran ialah Kitabullah yang terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W. Al-Quran merupakan
mukjizat daripada Allah SWT, dan tujuan ianya diturunkan untuk mengajar manusia tentang pengesaannya
kepada Allah SWT (tauhid) dan konsep ibadat yang jelas dan menyeluruh.
Terdapat banyak kebaikan-kebaikan al-Quran di dalam hadis-hadis sahih :
Pertama : Al-Quran akan menjadi syafaat di hari akhirat.
Daripada Abu Umamah r.a berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda: “Bacalah al-Quran
sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya." (Hadis Riwayat Muslim)
Kedua : Al-Quran sebagai pembela (mempertahankan) orang yang membacanya di hari akhirat.
Daripada Nawwas Bin Sam’an r.a. telah berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda :
“Di hari akhirat kelak akan didatangkan al-Quran dan orang yang membaca dan mengamalkan isi
kandungannya, didahului dengan Surah Al Baqarah dan Surah Ali-Imraan, kedua-dua surah ini
menghujah (mempertahankan) orang yang membaca dan mengamalkannya." (Hadis Riwayat Muslim)
Ketiga : Sebaik-baik amalan adalah orang yang belajar dan mengajarkan al-Quran.
Daripada Osman Bin ‘Affan r.a. telah berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda : “Sebaik manusia di antara
kamu orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain." (Hadis Riwayat Bukhari)
Keempat : Membaca al-Quran dan susah menyebutnya mendapat dua pahala.
Daripada Aisyah r.a. telah berkata: Bersabda Rasulullah S.A.W. : “Orang yang membaca al-Quran
dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kelima : Mukmin yang membaca al-Quran umpama buah yang harum dan sedap rasanya.
Daripada Abu Musa Al Asy’ari r.a. telah berkata : Rasulullah S.A.W. bersabda : “Umpama orang mukmin
yang membaca al-Quran seperti buah Utrujjah (seperti limau besar) baunya wangi dan rasanya sedap.
Umpama orang mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah tamar tidak ada bau dan rasanya manis,
dan umpama orang munafik yang membaca al-Quran seperti Raihanah (sejenis pokok) baunya wangi dan
rasanya pahit dan umpama orang munafik yang tidak membaca al-Quran seperti buah labu yang tiada bau
dan rasanya pahit." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Keenam : Allah SWT mengangkat martabat golongan yang membaca al-Quran.
Daripada Omar Bin Al Khattab r.a. Bahawa Nabi Muhammad S.A.W. bersabda: “Sesungguhnya Allah mengangkat
martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan sebab al-Quran." (Hadis Riwayat Muslim)
Ketujuh : Kefahaman yang sahih tentang al-Quran akan menjadi contoh ikutan.
Daripada Ibnu Omar r.a. daripada Nabi Muhammad S.A.W. telah bersabda: “Tidak boleh berhasad dengki
kecuali di dalam dua perkara : Lelaki yang dianugerahkan kefahaman yang sahih tentang al-Quran,
ia menunaikan ibadat siang dan malam, lelaki yang dianugerahkan kemewahan harta lalu dinafkahkannya
siang dan malam." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W.bersabda : Daripada Ibnu Umar r.a berkata:
“Rasulullah S.A.W. telah bersabda maksudnya : "Hati manusia akan berkarat seperti besi yang dikaratkan
oleh air." Apakah cara untuk menjadikan hati bersinar semula. Kata baginda lagi, "Dengan banyak
mengingati mati dan membaca al-Quran.”
Wallahu a'lam