Monday, December 13, 2010

Dipotong tangan kerana sedekah


بسم الله الرحمن الرحيم

Dikisahkan bahawa semasa berlakunya kekurangan makanan dalam kalangan Bani Israel, maka lalulah seorang fakir menghampiri rumah seorang kaya dengan berkata, "Sedekahlah kamu kepadaku dengan sepotong roti dengan ikhlas kerana Allah S.W.T."

Setelah fakir miskin itu berkata demikian maka keluarlah anak gadis orang kaya, lalu memberikan roti yang masih panas kepadanya. Sebaik sahaja gadis itu memberikan roti tersebut maka keluarlah bapa gadis tersebut yang bakhil itu terus memotong tangan kanan anak gadisnya sehingga putus. Semenjak dari peristiwa itu maka Allah S.W.T pun mengubah kehidupan orang kaya itu dengan menarik kembali harta kekayaannya sehingga dia menjadi seorang yang fakir miskin dan akhirnya dia meninggal dunia dalam keadaan yang paling hina.

Anak gadis itu menjadi pengemis dan meminta-minta dari satu rumah ke rumah. Maka pada suatu hari anak gadis itu menghampiri rumah seorang kaya sambil meminta sedekah, maka keluarlah seorang ibu dari rumah tersebut. Ibu tersebut sangat kagum dengan kecantikannya dan mempelawa anak gadis itu masuk ke rumahnya. Ibu itu sangat tertarik dengan gadis tersebut dan dia berhajat untuk mengahwinkan anaknya dengan gadis tersebut. Maka setelah perkahwinan itu selesai, maka si ibu itu pun memberikan pakaian dan perhiasan bagi menggantikan pakaiannya.

Pada suatu malam apabila sudah dihidang makanan malam, maka si suami hendak makan bersamanya. Oleh kerana anak gadis itu kudung tangannya dan suaminya juga tidak tahu bahawa dia itu kudung, manakala ibunya juga telah merahsiakan tentang tangan gadis tersebut. Maka apabila suaminya menyuruh dia makan, lalu dia makan dengan tangan kiri. Apabila suaminya melihat keadaan isterinya itu dia pun berkata, "Aku mendapat tahu bahawa orang fakir tidak tahu dalam tatacara harian, oleh itu makanlah dengan tangan kanan dan bukan dengan tangan kiri."

Setelah si suami berkata demikian, maka isterinya itu tetap makan dengan tangan kiri, walaupun suaminya berulang kali memberitahunya. Dengan tiba-tiba terdengar suara dari sebelah pintu, "Keluarkanlah tangan kananmu itu wahai hamba Allah, sesungguhnya kamu telah mendermakan sepotong roti dengan ikhlas kerana~Ku, maka tidak ada halangan bagi~Ku memberikan kembali akan tangan kananmu itu."

Setelah gadis itu mendengar suara tersebut, maka dia pun mengeluarkan tangan kanannya, dan dia mendapati tangan kanannya berada dalam keadaan asalnya, dan dia pun makan bersama suaminya dengan menggunakan tangan kanan. Hendaklah kita sentiasa menghormati tetamu kita, walaupun dia fakir miskin apabila dia telah datang ke rumah kita maka sesungguhnya dia adalah tetamu kita. Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud, "Barangsiapa menghormati tetamu, maka sesungguhnya dia telah menghormatiku, dan barangsiapa menghormatiku, maka sesungguhnya dia telah memuliakan Allah S.W.T. Dan barangsiapa telah menjadi kemarahan tetamu, dia telah menjadi kemarahanku. Dan barangsiapa menjadikan kemarahanku, sesungguhnya dia telah menjadikan murka Allah S.W.T."

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, "Sesungguhnya tetamu itu apabila dia datang ke rumah seseorang mukmin itu, maka dia masuk bersama dengan seribu berkah dan seribu rahmat."

Wallahu'alam..

Janganlah kamu memilih-milih dan sombong terhadap Allah SWT, kerana itu dapat melemahkanmu. Janganlah kamu menyombongkan kemudahan, kekuatan, dan kemudaanmu; agar Dia tidak menghancurkanmu dan menyeksamu, sesungguhnya seksa~Nya amat pedih

~Syeikh Abdul Qadir al-Jailani~

Friday, December 03, 2010

Al-Balkhi dan 2 ekor burung..


بسم الله الرحمن الرحيم

Alkisah, hiduplah pada zaman dahulu seorang yang terkenal dengan kesolehannya, bernama Syaqiq al-Balkhi. Dia memiliki sahabat karib bernama Ibrahim bin Adham yang terkenal dengan kezuhudannya. Orang sering memanggil Ibrahim bin Adham dengan panggilan Abu Ishaq.

Suatu hari, Al-Balkhi hendak berangkat ke suatu negeri untuk berdagang. Sebelum berangkat dia tidak ketinggalan untuk menziarahi kawan karibnya itu. Namun belumlah lama Al-Balkhi meninggalkan kotanya, tiba-tiba dia muncul kembali. Sahabatnya itu menjadi hairan, mengapa dia pulang begitu cepat dari rencana sebelumnya. Padahal negeri yang hendak ditujunya sangat jauh. Ibrahim bin Adham yang pada saat itu berada di dalam masjid langsung bertanya kepada Al-Balkhi, “Wahai al-Balkhi sahabatku, mengapa engkau begitu cepat kembali?”

“Dalam perjalanan”, jawab Al-Balkhi, “Aku melihat suatu keanehan, sehingga aku memutuskan untuk membatalkan perjalanan dagangku.”

“Keanehan apa yang kau maksudkan?” tanya Ibrahim.

Kemudian Al-Balkhi mulai menceritakan pengalamannya, “Ketika aku sedang beristirehat di sebuah bangunan yang telak rosak, mataku tertuju pada seekor burung yang pincang dan buta, aku memperhatikan setiap langkahnya. Aku pun kemudian bertanya-tanya dalam hati, bagaimana burung ini dapat bertahan hidup, padahal dia berada di tempat yang sangat jauh dari kawan-kawannya, dan matanya buta serta tidak kuasa berjalan.”

“Tidak lama kemudian, aku melihat ada seekor burung lain yang dengan susah payah menghampirinya dengan membawa makanan lalu diberikannya untuk burung yang buta dan pincang itu. Aku terus memperhatikan gerak-geri burung itu. Ternyata dia tidak pernah kekurangan makanan, kerana dibantu oleh kawannya yang sihat tadi.”

“Lantas apa hubungannya dengan kepulanganmu yang cepat ini?” tanya Ibrahim bin Adham yang masih belum memahami dengan jelas maksud Al-Balkhi.

Al-Balkhi melanjutkan, “Maka dengan semua yang aku perhatikan itu, aku berkesimpulan bahawa Allah Taala Yang Maha Pemberi rezeki telah mencukupkan rezeki untuk seekor burung yang pincang lagi buta dan jauh dari teman-temannya. Dan tentu Dia Yang Maha Pemberi akan mencukupi rezekiku pula, sekalipun aku tidak bersusah payah untuk berdagang. Oleh kerana itulah aku memutuskan untuk kembali saat itu juga.”

Mendengar penuturan sahabatnya itu, Ibrahim bin Adham berkata, “Wahai Al-Balkhi sahabatku, mengapa engkau memiliki pemikiran serendah itu? Mengapa engkau rela menyamakan derajatmu dengan seekor burung yang pincang lagi buta? Mengapa engkau mengikhlaskan dirimu sendiri untuk hidup atas belas kasihan dan bantuan orang lain? Mengapa engkau tidak berfikir untuk mencuba menjadi seperti burung yang satunya lagi? Dia bekerja keras untuk mencukupi keperluannya dan keperluan saudaranya yang tidak mampu bekerja? Tidakkah engkau tahu bahawa tangan yang di atas (yang memberi dan menyantuni) lebih baik daripada tangan yang di bawah?”

Mendengar hikmah yang mulia ini, Al-Balkhi pun sedar, dia telah salah dalam mengambil pelajaran dari kedua burung itu. Saat itu pula dia bangkit dan mohon diri kepada Ibrahim bin Adham seraya berkata, “Wahai Abu Ishaq, engkaulah guru kami yang baik”, lalu berangkatlah dia untuk melanjutkan usaha dagangnya yang tertunda itu.

Dari kisah ini, mengingatkan kita kepada sebuah hadith yang diriwayatkan dari Miqdam bin Ma’dikarib, bahwasanya Rasulullah s.a.w. bersabda (yang ertinya): “Tidaklah ada cara yang lebih baik bagi seseorang yang memakan makanan daripada memakan dari hasil tangannya sendiri. Dan sesungguhnya Nabi Dawud AS, beliau makan dari hasil jerih payah tangan beliau sendiri”. (HR. Al Bukhari)

Wallahu'alam...

"Orang yang bahagia adalah orang yang Allah anugerahi kalbu yang berfikir, mata yang selalu mengambil pelajaran, telinga yang mendengar dari Allah, dan diri yang bersemangat mengabdi kepada Allah. Di antara hak Allah yang paling layak diperhatikan oleh hamba adalah syukur kepada-Nya, secara lahir mahupun batin. Secara lahir dengan mematuhi~Nya dan secara batin dengan menyaksikan nikmat dari~Nya. Belum bersyukur orang yang tidak melaksanakan perintah dan batas-batas~Nya. Tidak disebut menjaga~Nya orang yang menyia-nyiakan perjanjian dengan~Nya. Kerana itu, kamu harus mensyukuri semua nikmat~Nya atas diri kamu."
[Al-Imam Ibnu 'Athaillah As-Sakandari r.a.]

Friday, November 19, 2010

Taubat seorang wanita penzina..


بسم الله الرحمن الرحيم

Imam Muslim dalam Shahihnya, dan juga para penulis kitab sunnah telah meriwayatkan sebuah kisah taubat yang paling mengagumkan yang diketahui oleh manusia. Pada suatu hari Rasulullah duduk di dalam masjid, sementara para sahabat beliau duduk mengelilingi beliau. Beliau mengajar, mendidik dan mensucikan (hati) mereka.

Tiba-tiba datanglah seorang wanita berhijab masuk melalui pintu masjid. Melihat wanita itu Rasulullah pun diam, dan begitu juga para sahabat beliau. Wanita tersebut menghadap dengan perlahan, dia berjalan dengan penuh gentar dan takut, dia lemparkan segenap penilaian dan pertimbangan manusia, dia lupakan aib dan keburukan, tidak takut kepada manusia, atau mata manusia dan apa yang akan dikatakan oleh manusia.

Dia menghadap untuk mencari kematian. Kematian lebih ringan, jika disertai oleh pengampunan dan penghapusan dosa. Menjadi ringan jika setelah kematian tersebut terdapat keredhaan dan penerimaan dari sisi Allah. Dia berjalan sampai kepada Rasulullah, kemudian dia berdiri di hadapan beliau, dan mengkhabarkan kepada beliau bahawa dia telah berzina!

Dia berkata, "Wahai Rasulullah, aku telah melakukan (maksiat yang mewajibkan adanya) hukuman had (atasku), maka sucikanlah aku!"

Apa yang diperbuat oleh Rasulullah s.a.w.? Apakah beliau meminta persaksian dari para sahabat atas wanita tersebut? Tidak, bahkan merahlah wajah beliau hingga hampir-hampir menitiskan darah. Kemudian beliau mengarahkan wajah beliau ke arah kanan, dan diam, seakan-akan beliau tidak mendengar sesuatu. Rasulullah berusaha agar wanita ini mencabut perkataannya, akan tetapi wanita tersebut adalah wanita yang istimewa, wanita yang solehah, wanita yang keimanannya telah tersusuk di dalam hatinya. Maka Nabi bersabda kepadanya, "Pergilah, sehingga engkau melahirkannya."

Berlalulah bulan demi bulan, dia mengandung puteranya selama 9 bulan, kemudian dia melahirkannya. Maka pada hari pertama nifasnya, dia pun datang dengan membawa anaknya yang telah diselimuti kain dan berkata, "Wahai Rasulullah, sucikanlah aku dari dosa zina, inilah dia, aku telah melahirkannya, maka sucikanlah aku wahai Rasulullah!"

Maka Nabi pun melihat kepada anak wanita tersebut, sementara hati beliau tercabik-cabik kerana merasakan sakit dan sedih, dikeranakan beliau menghidupkan kasih sayang terhadap orang yang berbuat maksiat, rahmat kepada burung, dan menyayangi haiwan.

Sebahagian ahli ilmu berkata, "Bahkan beliau, memberikan rahmat hingga kepada orang kafir. Allah berfirman tentang beliau, "Dan tidakklah aku utus kamu Muhammad, kecuali sebagai rahmat bagi alam semesta." Siapa yang akan menyusui bayi tersebut jika ibunya mati? Siapakah yang akan mengurusi keperluannya jika had (hukuman) ditegakkan atas ibunya? Maka Nabi bersabda, "Pulanglah, susuilah dia, maka jika engkau telah menyempurnakannya, kembalilah kepadaku."

Maka wanita itu pun pergi ke rumah keluarganya, dia susui anaknya, dan tidaklah bertambah keimanannya di dalam hatinya kecuali keteguhan, seperti teguhnya gunung. Tahun pun bergilir berganti tahun. Kemudian wanita itu datang dengan membawa anaknya yang sedang memegang roti. Dia berkata: "Wahai Rasulullah, aku telah menyempurnakan memberinya susu, maka sucikanlah aku!"

Dia dan keadaannya sungguh sangat menakjubkan! Iman yang bagaimanakah yang membuatnya berbuat demikian. Tiga tahun lebih atau kurang, yang demikian tidaklah menambahnya kecuali kekuatan iman.

Nabi mengambil anaknya, seakan-akan beliau membelah hati wanita tersebut dari antara kedua lambungnya. Akan tetapi ini adalah perintah Allah, keadilan langit, kebenaran yang dengannya kehidupan akan tegak.

Nabi bersabda, "Siapa yang mengkafil (mengurusi) anak ini, maka dia adalah temanku di syurga seperti ini…" Kemudian beliau memerintahkan agar wanita tersebut direjam (dilempari dengan batu hingga mati).

Maka manusia pun berkumpul, dan merejamnya. Memancutlah darah dari kepala wanita tersebut mengenai Khalid bin Walid, maka dia pun mencacinya pada jarak pendengaran Nabi. Maka beliau bersabda kepadanya, "Tenang wahai Khalid, demi Allah, dia telah bertaubat dengan pertaubatan yang seandainya penarik pajak bertaubat dengannya pastilah akan diterima darinya."

Dalam sebuah riwayat bahawa Nabi memerintahkan agar wanita itu direjam, kemudian beliau mensolatinya. Maka berkatalah Umar, "Anda mensolatinya wahai Nabi Allah, sungguh dia telah berzina." Maka beliau bersabda, "Sungguh dia telah bertaubat dengan satu taubat, seandainya taubatnya itu dibahagikan kepada 70 orang dari penduduk Madinah, maka taubat itu akan mencukupinya. Apakah engkau mendapati sebuah taubat yang lebih utama dari pengorbanan dirinya untuk Allah?" (HR. Ahmad)

Sesungguhnya ini adalah rasa takut kepada Allah. Sesungguhnya itu adalah perasaan takut yang terus menerus berada pada diri wanita mukminah tersebut saat dia terjerumus ke dalam jerat-jerat syaitan, dia menjawab jerat-jerat tersebut pada saat lemah. Ya, dia telah berbuat dosa, akan tetapi dia berdiri dari dosanya dengan hati yang dipenuhi oleh iman, dan jiwa yang digerakkan oleh panasnya maksiat. Ya, dia telah berdosa, akan tetapi telah berdiri pada hatinya tempat pengagungan terhadap Dzat yang dia bermaksiat kepada~Nya. Sesungguhnya ini adalah taubat sejati wahai hamba-hamba Allah. Ya, ini taubat nashuha wahai hamba-hamba Allah.

Wallahu'alam...

Sikap sabar dalam menghadapi semua persoalan hidup adalah satu anugerah dari Allah, tidak semua orang mendapat anugerah tersebut. Jika ada sifat sabar dalam dirimu, maka bersyukurlah kepada yang memberi kesabaran pada dirimu iaitu Allah SWT.