Friday, September 02, 2011

Puasa di bulan syawal


بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...selamat hari raya mohon maaf atas segala silap dan salah...

Bahang sambutan Aidilfitri masih terasa. Dalam usaha meningkatkan amalan berterusan selepas Ramadhan, umat Islam sangat dianjurkan untuk terus berpuasa pada Syawal tetapi cuma enam hari sahaja, yang dikenali sebagai puasa enam. Bagi mereka yang ingin memulakan puasa enam pada 2 Syawal secara berterusan, hari itu adalah ‘Hari Raya’ kedua bagi mereka, namun bagi yang belum memulakannya, masih belum terlewat melaksanakan amalan sunat itu selagi kita masih lagi berada di dalam bulan Syawal.

Hikmah atau rahsia puasa enam hari pada bulan Syawal adalah untuk mendidik kesabaran insan, sekali gus tidak menjadikan Hari Raya sebagai tempoh untuk membalas dendam iaitu dengan mengambil pelbagai makanan lazat yang terhidang sepuas-puasnya selepas sebulan berpuasa. Ia juga akan memberi kesempatan kepada tubuh badan kita untuk menyesuaikan diri sesudah dilatih sebulan penuh menahan lapar dan dahaga. Justeru diutamakan puasa enam bermula pada 2 Syawal.

Namun begitu, puasa sunat enam itu boleh dilakukan pada mana-mana hari sepanjang bulan Syawal samada secara berterusan atau pun berselang seli. Namun, afdhalnya ialah pada Hari Raya Kedua dan dilakukan pula secara berterusan sehingga hariraya ketujuh.

Kelebihan orang yang melakukan ibadat ini diterangkan dalam sebuah hadith daripada Abu Ayub al-Ansari bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, yang bermaksud: “Barangsiapa berpuasa Ramadhan kemudian mengiringinya dengan puasa enam hari pada Syawal, adalah puasanya itu seperti puasa sepanjang masa.” – (Hadith Riwayat Muslim)

Hadith itu menjelaskan jika kita berpuasa pada Ramadhan dan diikuti pula dengan puasa sunat enam pada Syawal, seolah-olah kita berpuasa sepanjang masa, iaitu selama satu tahun. Justeru, umat Islam perlu merebut peluang ini kerana kelaziman amalan sunat dilakukan bertujuan menampal sebarang amalan yang berkurangan atau cacat dalam amalan fardhu.

Barangkali ada kemungkinan amalan puasa kita pada Ramadhan berkurangan atau pun cacat sedikit, maka puasa enam Syawal adalah sebagai penampal terhadap kekurangan atau kecacatan itu. Bagi wanita yang tidak dapat berpuasa penuh pada Ramadhan, maka puasa enam memberi peluang yang baik kepada mereka untuk menggantikannya di samping mendapat pahala puasa sunat. Ia juga dapat mengelakkan budaya atau sikap suka melewat-lewatkan qada puasa sehingga Ramadhan hampir menjelang pada tahun akan datang.

Pelbagai ganjaran dan kelebihan yang diperoleh umat Islam jika mereka merebut peluang melaksanakan puasa enam pada Syawal ini. Imam Ahmad dan An-Nasa’i, meriwayatkan daripada Tsauban, Rasulullah s.a.w., bersabda yang bermaksud: “Puasa Ramadhan (ganjarannya) sebanding dengan (puasa) 10 bulan sedangkan puasa enam hari (pada Syawal, pahalanya) sebanding dengan (puasa) dua bulan, maka itulah bagaikan berpuasa selama setahun penuh.” – (Hadith riwayat Ibnu Khuzaimah & Ibnu Hibban)

Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah s.a.w. bersabda, yang bermaksud: “Siapa berpuasa Ramadhan, lantas disambung dengan enam hari pada Syawal, maka dia bagaikan berpuasa selama setahun.” – (Hadith riwayat Al-Bazzar)

Pahala puasa Ramadhan yang dilanjutkan menyamai pahala puasa satu tahun penuh. Ini kerana setiap hasanah (kebaikan) diberi ganjaran 10 kali ganda, seperti disentuh dalam hadith.

Membiasakan puasa selepas Ramadhan memiliki banyak manfaat, di antaranya: Puasa enam hari pada bulan Syawal adalah pelengkap dan penyempurnaan pahala daripada puasa setahun penuh; Puasa Syawal dan Sya’aban bagaikan solat sunat rawatib, dan berfungsi sebagai penyempurnaan daripada sebarang kekurangan. Perkara ini kerana pada hari qiamat, perbuatan fardhu akan disempurnakan (dilengkapi) dengan perbuatan sunat.

Seperti keterangan Rasulullah s.a.w. dalam beberapa riwayat, majoriti puasa fardhu yang dilakukan Muslimin memiliki kekurangan dan ketidaksempurnaan dan keadaan ini memerlukan sesuatu bagi menutup dan menyempurnakannya. Membiasakan puasa selepas Ramadhan menandakan diterimanya puasa Ramadhan.

Segala amalan yang dikerjakan oleh seseorang hamba untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT pada Ramadhan tidak akan terputus dengan berlalunya bulan Ramadhan yang mulia ini, selama dia masih hidup.

Wallahu’alam

Thursday, August 25, 2011

Salam Lembaran

[ Terimalah kad ini buat Teman dan pembaca sekalian ]


بسم الله الرحمن الرحيم


Ditayang-tayang buaian waktu, lemah lembut tiada terasa
Datang lagi engkau oh Syawal bulan yang mulia
Kesekian kalinya dengan menggenggam hikmat dan selia
Harapan cinta mengingati kemenangan yang kamu gonggong dari masa ke masa
Oh engkau syawal gilang gemilang kupandang sejahtera kurasa
Fajar di timur membayang, melangiri betara indera
Mengalamatkan bahawa tak lama lagi matahari akan tersenyum manakala bertentangan


Permainya...demikian layaknya kehadiranmu penuh kasih mesra
Sungguh engkau, oh syawal sebagai lambang kemenangan
Kami umat Islam menanti cahaya suluh kebenaran sejati
Moga-moga dapat pula kami berkhidmat dan berbakti
Setiap tahun dan abad bercara sendiri nampak kehadiranmu
Telah lalu masa mereka di istana menyambutmu
Keagungan dan kemegahan bagi usaha dan tenaga mereka
Mereka menyanyikan dendang kemenangan dengan suka
Mendengung-dengun ke segenap angkasa yang luas ini
Mereka yang menghiasi parasmu dengan kembang kemuliaan yang murni


Maka sekarang engkau menjelma lagi
Tetapi malangmu menentang udara yang keruh
Taman telah kusut masai bunga kering mati kuntum luruh
Mahligai kemenangan kami telah hancur diinjak-injak masa
Hanya engkau yang kami harapi, kami ratapi dengan hati gelisah
Maka dari jauh saya hulurkan tangan berjabat salam
Kepada sekalian kaum Islam semesta alam
Mudah-mudahan dapat lagi Allah lanjutkan Syawal akan datang
Semasa itu dalam aman dijauhkan bala istimewa hutang


"Ya Allah, Tuhan kami Raja segala raja, kurnialah kami hari kemuliaan..
Kurniakan kami keikhlasan jiwa seperti yang engkau beri..
Mahkotakanlah taqwa buat kami setelah taat berpuasa..
Wahai Allah Yang Maha Pemberi."


Majlis 1937




Selamat Hari Raya Teman-temanku Tercinta,
Maaf Atas Segala Silap dan Salah..
Kudoakan semoga perjalanan kalian
kembali ke kampong masing-masing
dalam perlindungan ALLAH SWT

AMIN..
:-)


Friday, August 19, 2011

Taqwa dan kemenangan


بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Bahawasanya orang-orang yang mempunyai hati yang bersih suci dan pemikiran yang lurus sihat meyakini bahawa mereka sekalian akan diberi balasan terhadap amal yang mereka kerjakan dan mereka akan menuai hasil tanaman yang mereka bercucuk-tanam. Jika perbuatan baik yang mereka lakukan, maka balasan baiklah yang akan mereka terima. Jika amal bakti yang mereka kemukakan, maka pahalalah yang akan mereka perolehi. Demikian pula sebaliknya, jika perbuatan jahat yang mereka kemukakan, maka balasan siksalah yang akan mereka tempuhi kelak.

Bagi orang-orang yang melangkah dan menjalani jalan menuju Allah, alangkah bahagianya hidup mereka. Di dunia lagi mereka telah pun merasai hembusan bayu syurga. Firman Allah swt: "Dialah yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka (yang telah sedia ada)." [QS Al Fath : 4]

"Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: 'Tuhan kami ialah Allah', kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan mengatakan): 'Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih, dan bergembiralah dengan syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu.'" [QS Fushshilat : 30]

Dalam sebuah hadith, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila Allah kasih kepada seorang hamba, maka Ia memanggil Jibrael dan memberitahu kepadanya: 'Allah telah kasih kepada fulan, maka kasihlah engkau kepadanya.' Kemudian diumumkan kepada sekalian ahli langit: 'Sesungguhnya Allah kasih kepada fulan maka kasihlah kamu sekalian kepadanya', dan setelah dikasihi penghuni langit, diberinya kejayaan pada orang bumi." (HR Bukhari, Muslim)

Alangkah indahnya saat tatkala Allah swt berfirman kepada kita: "Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai~Nya. Maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hamba~Ku. Dan masuklah ke dalam syurgaKu." [QS Al Fajr : 27-30]

Itulah pembalasan nikmat yang dikurniakan Allah kepada orang-orang yang teguh pendirian di dalam perjalanan menuju~Nya. Bagi orang-orang yang enggan memilih jalan itu sebaliknya mengambil jalan menuju kehancuran, kelak mereka akan menyesal. Allah menggambarkan keadaan mereka di saat itu dengan firman~Nya: "Dan (alangkah ngerinya) jika sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata): 'Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal saleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin.'" [QS As Sajdah : 12]

Betapa ruginya mereka disebabkan hanya menyesal ketika tidak ada gunanya penyesalan. Merugilah hidup mereka di hari yang tidak berguna taubat mereka. Azab yang paling ringan yang ditimpakan kepada mereka, sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. ialah: "Seringan-ringan siksa ahli neraka pada hari kiamat ialah orang yang diletakkan di bawah tumitnya bara api yang akan mendidihkan otaknya. Sedang ia merasa tiada seorang pun yang lebih siksa daripadanya, padahal itu adalah siksa yang paling ringan." [HR Bukhari, Muslim]

Lantaran itu marilah kita sama-sama membukakan hati dan pendengaran kita untuk mendengar seruan kepada Allah. Hidupkanlah malam-malam Ramadhan terakhir dengan beramal soleh sebelum ia pergi meninggalkan kita semua. Moga-moga kita sedar dari kelalaian dan terjaga dari tidur, lalu segera untuk beramal bakti agar terselamat dari bencana-bencana di hari kemudian. Firman Allah swt: "Tiap-tiap diri akan merasai mati. Sesungguhnya akan disempurnakan pahala kamu pada hari kiamat. Barangsiapa yang terjauh daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya menanglah ia." [QS Ali Imran : 185]

Wallahu'alam..