Friday, December 06, 2013

Saat ini...



بسم الله الرحمن الرحيم


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Tika daun-daun berguguran..
Tersentuh hatiku mengenangkannya..
Setiap yang bermula pasti ada penghujungnya..
Setiap yang bernyawa akan sampai mautnya nanti..


Saat ini daun itu kehijauan..
Belum pasti esok warnanya tetap hijau..
Mungkin bertukar menjadi keperangan..
Lalu gugur..


Aku yang masih mampu menghirup udara hari ini..
Mungkin esok aku sudah tidak diizinkan berbuat demikian..
Sudah cukup masa di dunia..
Harus kembali kepada Pencipta..


Pasti, aku tidak mengetahui segala-galanya..
Kerana perjalanan hidup ini Allah yang tentukan..
Kita tidak punya pilihan..
Melainkan akur terhadap kehendak~Nya..


Bilakah penghujungnya waktu yang diizinkan~Nya..
Aku tidak pasti..
Sudahkah cukup bekalan untuk dibawa..
Aku terfikir sendiri…
Sebuah penghujung yang menandakan sebuah permulaan.


Ketahuilah, kamu hanya akan mendapat kedudukan mulia dan tinggi di sisi
Allah Subhanahu wa Ta'ala, jika mengikuti (ittiba') sunnah Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam.
Sebaliknya, kamu akan diremehkan (kedudukanmu) dan dijauhkan dari Allah
jika tidak mengikuti Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam.


[Imam Ibnu 'Athaillah As-Sakandari rahimahuLlah]


Al-Faqir ila Rabbi


Friday, November 29, 2013

Mengira diri...


بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Ketahuilah kiranya, ya saudaraku!

Sebagus-bagusnya seseorang itu menahan hawa nafsunya, tidak diturutkan apa kehendaknya yang
merosakkan diri dan mengurangkan diri daripada menuntut bekal akhirat, maka apabila diturutkan
hawa nafsu nescaya binasa diri pada akhirnya tiada ber'amal 'ibadat dan tiada bersedia apa
persediaan yang dibawa kemudian daripada mati melainkan persediaan yang tidak baik sahaja.

Maka jadilah orang yang menurut hawa nafsu pada dunia itu orang yang bodoh, sebagaimana
yang telah disaksikan yang demikian itu dengan khabar daripada Nabi Shallallahu 'alaihi
wasallam sebagai hadith yang dikeluarkan oleh Abu 'Isa at-Tirmidzi katanya:

Diriwayatkan daripada seorang sahabat bagi Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam namanya
Syaddad bin Aus Radhiyallahu 'anhu daripada Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam sabdanya:

Bermula orang yang lebih ber'amal dan bijaksana itu iaitulah orang yang mengira akan dirinya
jangan jatuh terikutkan hawa nafsu, dan jangan kena bala besar dan kecil di akhirat dengan
sebabnya, maka berhabis kira ia ke atas dirinya memperbuat sesuatu pekerjaan dan hal-ehwalnya,
apakah ia berfaedah bagi akhiratnya, atau tidak berfaedah akhiratnya. Jika berfaedah dikerjakannya
dan jika tidak, diberhentikannya, maka ber'amal ia dengan sungguhnya bagi barang yang kemudian
daripada mautnya yakni sentiasa ia mengadakan bekal akhirat jua. Itulah sifat orang yang
ber'aqal dan bijaksana pada syara'.

Dan bermula orang yang lemah fikirnya, yakni orang yang tiada ber'aqal pada syara' bahkan ia
orang yang bodoh namanya iaitu orang yang menurut dirinya akan hawa nafsunya. Maka apa yang
dicita oleh hawa nafsunya ia turutkan, tiada dilawannya dan tiada diperbuatnya apa yang tiada
disukai nafsunya. Maka kesukaan hawa nafsu itu apa lebih daripada sukakan bersenang-senang diri
dan bersedap-sedap makan minum dan pakaian dan berkata-kata yang tiada memberi faedah dan berdosa
dan melihat apa yang sedap dilihat, dan didengar apa yang sedap didengar daripada segala perkara
haram dan mencita ia atas Allah Ta'ala menyempurnakan kehendaknya yang berbetulan dengan kemahuan
nafsunya itu.

Kata Abu 'Isa at-Tirmidzi, bermula ini hadith hasan.

Dan diriwayatkan daripada Saiyidina 'Umar bin al-Khaththab Radhiyallahu 'anhu katanya,

Ambil kira halus di dunia ini akan diri sekalian kamu sebelum bahawa diambil atas sekalian kamu
kira-kira yang halus, dan bersedia sekalian kamu bagi pertunjukan yang besar di negeri akhirat
kepada Tuhan. Maka hanyasanya ringan hisab pada hari qiamat itu atas siapa menghalusi hisab akan
dirinya di dalam dunia jikalau tiada ambil hisab dengan halus di dunia ini, nescaya berat hisab
di akhirat kelak.

Wallahu a'lam

Al-Faqir ila Rabbi

Friday, November 22, 2013

Sedarilah...


بسم الله الرحمن الرحيم


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Segala puji-pujian bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam.
Selawat dan salam atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. serta keluarganya,
sekalian para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah di atas
jalan suci ini dengan penuh ketenangan dan istiqamah.


Sedarilah sifat-sifatmu,

nescaya Allah akan membantumu dengan sifat-sifat~Nya.

Akuilah kehinaanmu,

nescaya Allah membantumu dengan kemuliaan~Nya.

Akuilah ketidakberdayaanmu,

nescaya Allah membantumu dengan kekuasaan~Nya.

Akuilah kelemahanmu,

nescaya Allah akan membantumu dengan kekuasaan~Nya.


Syeikh Ibn ‘Atha’illah as-Sakandari,
Kitab Al-Hikam


****


Dear everyone,

Teruskanlah berbuat baik, berkata baik, memberi nasihat yang baik,
walaupun tidak ramai orang mengenalimu, cukuplah Allah mengenalimu
lebih daripada yang lain. Jadilah seperti jantung yang tidak terlihat
tetapi terus berdenyut setiap saat hingga membuat kita terus hidup
menjelang akhir hayat.


Al-Faqir ila Rabbi