Friday, June 24, 2011

Manfaatkan kehidupan ini sebaik-baiknya..


بسم الله الرحمن الرحيم

Sahabatku yang dikasihi..

Dunia ini semakin tua usianya dan semakin dekat menuju kepada saat kehancuran. Dan keadaan kebanyakkan hati manusia di dalamnya semakin jauh dari Allah SWT dan syariat agama. Kemungkaran dan dosa maksiat semakin berleluasa di mana-mana sahaja sehingga membuat segelintir daripada kita gelisah dan resah. Kehidupan perlu diteruskan sekalipun sukar dan susah. Ia diibaratkan berjalan di atas jalan yang penuh dengan duri, harus berhati-hati jangan sampai terkena duri dan mencederakan kaki.

Ingatlah wahai sahabat, jalankanlah kehidupan ini dengan penuh ketaatan kepada perintah Allah SWT dan jauhi segala apa yang dilarang~Nya. Pasti apa yang kalian kerjakan di dunia ini akan dipersoalkan kelak baik ia merupakan kebaikan atau disebaliknya. Allah SWT berfirman, "Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya) [ QS Az-Zalzalah : 7 & 8 ]

Jadi tujuan kita diciptakan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan hidup di dunia ini adalah dalam rangka mengabdi kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Allah Ta’ala sudah menjelaskan di dalam Al Qur’an apa yang menjadi tujuan kita hidup di muka bumi ini. Allah Ta’ala berfirman, “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepada-Ku.” [ QS. Adz Dzariyat: 56 ]

Wahai sahabat, didiklah diri kalian dengan menjalani kehidupan ini penuh dengan kebaikan yang berlandas kepada syariat yang dibawa oleh Baginda Rasulullah s.a.w. Apabila kalian melakukan dosa, jangan berpatah harapan dari kembali pada~Nya, hanya kerana kepahitan ujian dan dosa. Kasih sayang~Nya mengatasi Kemurkaan~Nya, demikian diungkap dalam suatu Hadis Qudsi. Apabila kalian berbuat dosa, maka itu jangan menjadi alasan keputusasaanmu dalam menggapai istiqamah dengan Allah SWT, kerana bisa jadi itu adalah dosa terakhir yang ditakdirkan bagimu.

Berpegang teguhlah kepada Allah SWT dan Rasul~Nya dan jangan sesekali kalian berputus asa dan lari dari~Nya. Sandarkan pada Allah yang Maha Mengatur dan Menentukan. Keyakinan hanya hadir apabila kita akui kelemahan dan kehambaan kita di hadapan-Nya. Tiada suatu nafas berhembus darimu melainkan di situ takdir Tuhan berlaku padamu.

Pangkal segala maksiat, kelalaian, dan syahwat adalah pengumbaran nafsu. Dan pangkal segala ketaatan, kewaspadaan, dan kebajikan adalah pengekangan nafsu. Bersahabat dengan orang bodoh yang tidak memperturutkan hawa nafsunya lebih baik bagimu daripada bersahabat dengan orang pintar yang memperturutkan hawa nafsunya. Kepintaran apa lagi yang disandangkan pada orang pintar yang selalu memperturutkan hawa nafsunya? Dan kebodohan apalagi yang dapat disandangkan pada orang bodoh yang tidak memperturutkan hawa nafsunya?

Ingatlah wahai sahabat yang dikasihi, amal yang berasal dari hati penuh keikhlasan tidak dapat dianggap sedikit, dan amal yang berasal dari hati penuh ketamakan tidak dapat dianggap banyak. Jika engkau tahu bahawa syaitan tidak pernah lupa kepadamu, maka janganlah lupa kepada Allah yang menguasaimu. Moga Allah meredhai sahabat semua dalam perjalanan jalan menuju~Nya.

Ya Allah, jadikan usaha kami sebagai usaha yang sentiasa disyukuri, dosa-dosa kami sebagai dosa yang diampuni, kebaikan kami sebagai kebaikan yang diterima dan keaiban kami sebagai keaiban yang ditutupi, wahai Tuhan Maha Mendengar daripada semua pendengar.

Ya Allah, kami bermohon kepada~Mu perkara yang mendatangkan keredaan~Mu. Kami berlindung dengan~Mu daripada perkara yang mendatangkan kemarahan~Mu dan kami bermohon kepada~Mu kemampuan untuk mentaati~Mu serta menghindari kemaksiatan terhadap~Mu, wahai pemberi kepada yang meminta...amin.

Penuhilah hatimu dengan rasa cinta kepada saudara-saudaramu,
nescaya kekurangan (dirimu) akan tertutupi dan derajatmu
akan meningkat di sisi Allah SWT
~ Habib Umar Hafidz ~

Friday, June 17, 2011

Nasihat Keenam...


بسم الله الرحمن الرحيم

Wahai anakku yang tercinta,

Hiduplah engkau sesuka hatimu kerana engkau pasti akan mati, dan cintailah apa sahaja yang engkau kehendaki kerana engkau pasti akan berpisah dengannya, dan buatlah apa sahaja yang engkau kehendaki kerana engkau akan dibalas mengikut amal perbuatanmu.

Sari ilmu ialah bahawa engkau mengetahui sedalam-dalamnya apa ertinya 'taat' dan 'ibadat'. Ketahuilah taat dan ibadat itu ialah tunduk kepada Allah dalam segala perintah~Nya dan larangan~Nya dengan perkataan dan perbuatan. Ertinya, segala apapun yang engkau katakan dan engkau perbuat atau engkau tinggalkan, hendaklah menurut hukum syarak. Maka jika engkau puasa pada hari raya dan hari-hari tasyriq, engkau bernama derhaka, atau ketika engkau berpuasa, solat memakai kain rampasan biarpun rupanya engkau beribadat tapi engkau berdosa namanya.

Wahai anak! Layak sekali bahawa perkataanmu dan perbuatanmu menurut ukuran syarak, kerana ilmu dan amal yang tidak bergariskan syarak itu adalah sesat.

Ketahuilah, bahawa lidah yang lepas dan hati yang tertutup dan penuh dengan kelalaian dan keinginan yang rendah-rendah itu alamat kemalangan besar. Jika nafsu itu tidak engkau kalahkan dengan jihad yang bersungguh-sungguh, maka sekali-kali hatimu tidak akan hidup dengan nur makrifat (pengetahuan).

Kemudian itu ketahuilah pula, bahawa sebahagian dan perkara yang engkau tanyakan kepadaku itu ada yang tak mungkin dijawab dengan tulisan dan perkataan. Jika tingkat hidupmu telah sampai ke sana, engkau akan tahu sendiri apakah dia; jika tidak, maka mengetahuinya, termasuk perkara mustahil, kerana ia barang yang bertalian dengan perasaan, tak dapat ditunjukkan dengan perkataan. Seperti manisnya madu dan pahitnya hempedu tak dapat dikenal rasanya, melainkan dengan dicuba.

Dihikayatkan, bahawa seorang yang telah terkenal suka mengeluh, menulis surat kepada sahabatnya, minta diterangkan, betapa benar lazatnya bersetubuh. Lalu sahabatnya itu membalas suratnya.

"Hai sahabat! Selama ini saya anggap engkau hanya seorang pengeluh sahaja. Sekarang barulah saya tahu bahawa engkau seorang pengeluh dan bodoh pula. Kerana perkara itu, perkara rasa; jika engkau rasai tahulah engkau. Jika tidak, maka kenyataannya tidak dapat digambarkan dengan kata dan tulisan."

Wahai anak! Sebahagian dari pertanyaanmu termasuk bahagian ini. Adapun yang lainnya, yang dapat dijawab, telahku sebutkan di dalam "Ihya' Ulumuddin" dan lainnya. Dan di sini hanya akan kusebutkan sebahagiannya:

Empat perkara yang harus ada dalam mencapai keutamaan itu. Pertama, Iktiqad yang sah yang tidak dicampuri bidaah. Kedua, taubat yang sesungguh-sungguhnya, menutup mati jalan kembali kepada maksiat. Ketiga, meminta kerelaan atas perselisihan, hingga padamu ilmu syariat sekadar yang dengan dia engkau saksama, dan sebahagian dari ilmu akhirat yang dengannya engkau boleh mengharap lepas dari segala bencana.

Wahai anak! Jadikanlah 'kemahuan yang bersungguh-sungguh" itu menjadi mahkota roh, kekalahan menjadi belenggu nafsu, dan mati menjadi pakaian badan, kerana yang akan menjadi tempat diammu adalah kubur, dan ahli kubur itu setiap saat menunggu-nunggu, engkau akan berjumpa dengan mereka. Hati-hatilah jangan sampai engkau menjumpai mereka dengan tidak membawa bekal.

NASIHAT KEENAM
Ayyuhal Walad
Wahai Anakku Yang Tercinta
Imam al-Ghazali

Friday, June 10, 2011

Nasihat Kelima..


بسم الله الرحمن الرحيم

Wahai anakku yang tercinta,

Berapa banyakkah daripada malam-malam yang telah engkau penuhkan dengan berjaga untuk mengulang kaji dan mentelaah kitab, dan berapa lama engkau telah menahan tidur ke atas dirimu. Saya tidak pasti apakah niat yang mendorong engkau berbuat demikian, apakah hanya semata-mata mencari keuntungan dunia, menghimpunkan segala mata bendanya dan mencapai kedudukan yang tinggi serta berbangga dengan kebolehanmu di hadapan kawan-kawan. Jikalau ini niatmu maka engkau akan rugi serugi-ruginya.

Tetapi jika niatmu di dalam usahamu itu untuk menghidupkan syariat Nabi Muhammad s.a.w. dan memperbaiki akhlakmu, serta memecahkan keinginan nafsumu yang selalu menyuruh untuk berbuat jahat, maka untunglah engkau seribu untung. Sungguh benar seorang ahli syair yang berkata:

Berjaga malam kalau bukan kerana zat~Mu adalah sia-sia dan menangis kalau bukan kerana kehilangan~Mu adalah tidak berguna.

Wahai anak! "Dan sebahagian dari malam hendaklah engkau bangun mengerjakan solat." Itu bererti perintah dan menjelang subuh mereka memohon ampun, itu mengandung makna syukur, dan orang-orang yang memohonkan ampun di waktu akan subuh, itu bererti zikir.

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Ada tiga suara yang disukai Allah, suara ayam jantan berkokok di waktu hampir subuh, suara orang membaca al-Quran dan suara orang memohon ampun di waktu akan subuh." Berkata Sufyan Tsauri: "Bahawasanya Allah Tabarakawa Ta'ala menjadikan angin berhembus di waktu akan subuh membawa zikir dan istighfar kepada Allah Al-Malikil Jabbar."

Katanya lagi: "Apabila telah tiba permulaan malam, maka berserulah penyeru dari bawah 'Arasy: "Bangun, bangunlah hai ahli ibadat!" Maka mereka pun bangunlah dan solat sekadar yang dikehendaki Allah. Kemudian berseru pula penyeru dipertengahan malam: "Bangun, bangunlah hai kaum yang taat!" Mereka pun bangunlah dan solat sampai saat hampir subuh. Di waktu perhujung malam, berserulah pula penyeru: "Bangun, bangunlah, hai orang-orang yang mengharapkan keampunan!" Maka bangunlah mereka dan memohon ampun kepada Allah. Dan ketika fajar terbit, berseru pulalah penyeru: "Bangun, bangunlah, hai golongan yang hidup lalai!" Maka mereka pun bangunlah dari ketiduran mereka bagaikan mayat dibangkit dari kubur."

Allah Taala berfirman, "Dan pada sebahagian malam hari bersolat tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu; mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji". [QS. Al-Isra': 79]

Abu Hurairah r.a. mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tuhan kita Yang Maha Suci dan Maha Tinggi turun ke langit dunia setiap malam ketika tinggal sepertiga malam yang akhir dengan berfirman, 'Siapakah yang mahu berdoa kepada~Ku lalu Aku kabulkan. Siapakah yang mahu meminta kepada~Ku lalu Aku kabulkan. Siapa yang mau meminta ampun kepada~Ku lalu Aku ampuni." [HR Bukhari]

Allah SWT berfirman, "...Sesungguhnya bangun di waktu malam adalah lebih tepat (untuk khusyu') dan bacaan di waktu itu lebih berkesan. Sesungguhnya kamu pada waktu siang hari mempunyai urusan yang panjang (banyak)." [Al-Muzzammil: 1-7]

Sesungguhnya Tuhanmu mengetahui bahwasanya kamu berdiri (solat) kurang dari dua pertiga malam, atau seperdua malam atau sepertiganya dan (demikian pula) segolongan dari orang-orang yang bersama kamu.

Dan Allah menetapkan ukuran malam dan siang. Allah mengetahui bahawa kamu sekali-kali tidak dapat menentukan batas-batas waktu-waktu itu, maka Dia memberi KERINGANAN kepadamu, kerana itu bacalah apa yang mudah (bagimu) dari Al Quran.

Dia mengetahui bahawa akan ada di antara kamu orang-orang yang sakit dan orang-orang yang berjalan di muka bumi mencari sebahagian kurnia Allah; dan orang-orang yang lain lagi berperang di jalan Allah, maka bacalah apa yang mudah (bagimu) dari Al Quran dan dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat dan berikanlah pinjaman kepada Allah pinjaman yang baik.

Dan kebaikan apa saja yang kamu perbuat untuk dirimu nescaya kamu memperoleh (balasan)nya di sisi Allah sebagai balasan yang paling baik dan yang paling besar pahalanya. Dan mohonlah ampunan kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. [QS 73: 20]

NASIHAT KELIMA
Ayyuhal Walad
Wahai Anakku Yang Tercinta
Imam al-Ghazali