Friday, March 30, 2012

Takutlah kepada Allah


بسم الله الرحمن الرحيم

Manusia yang tidak sunyi daripada melakukan kesalahan dan kesilapan juga amat perlu mengharap keampunan (maghfirah) daripada Ilahi. Harapan ini akan memberi dorongan yang berterusan untuk maju mendekatkan diri kepada Allah kerana percaya bahawa Allah akan menyambut setiap langkah pendekatan hamba~Nya sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis Qudsi: “Sesiapa yang mengerjakan kebaikan, maka untuknya sepuluh kali ganda pahala, bahkan mungkin lebih. Sesiapa yang berbuat kejahatan, maka dibalas dengan satu dosa, bahkan mungkin diampuni. Dan sesiapa yang menghampiri~Ku (Allah) sejengkal, Aku akan menghampirinya sehasta. Sesiapa yang datang kepada~Ku berjalan, maka Aku akan berlari kepadanya. Sesiapa yang menghadap kepada~Ku dengan dosa sepenuh isi bumi, sedangkan dia tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu apa pun, nescaya Aku akan menemuinya dengan keampunan sebesar itu pula.” [Riwayat Muslim]

Setengah hukama mengatakan, "Keselamatan jasad terletak pada sedikitnya makan. Keselamatan roh pada sedikitnya dosa. Dan keselamatan agama terletak pada membaca selawat kepada 'Khairil Anam' (Muhammad SAW)."

Allah SWT berfirman: "Wahai orang-orang yang beriman, takutlah kepada Allah! Dan hendaklah (tiap-tiap) orang memerhatikan apa yang diusahakan besok (hari kiamat). Takutlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan." [QS Al Hasyr: 18]

Orang Mukmin adalah orang yang takut kepada Allah SWT dan seluruh anggota badannya. Berkata sebahagian dari para Ulama terdahulu seperti Imam Al-Harits Al-Muhasibi, Imam Ghazali, Sheikh al-Akbar Muhyiddin dan lain-lainnya yang dapat disimpulkan mengenainya seperti :

1. Pada Nikmat Lisannya...

Syukurilah nikmat lisan yang telah Allah kurniakan kepadamu dengan memperbanyakkan membaca al-Quran dan berzikir. Jika kamu tidak dapat melakukannya, malulah untuk berbuat dosa dengan ucapanmu. Dari Abdullah bin Amr bin Ash r.a : Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW, "Orang Islam yang bagaimanakah yang paling baik? Jawab Rasulullah SAW, "Ialah orang-orang yang menjaga orang-orang Islam lainnya dari bencana lidah dan perbuatannya." [Riwayat Muslim]

2. Pada Hatinya...

Buangkanlah rasa pemusuhan, kebodohan dan kedengkian terhadap sesama insan. Lantaran kedengkian dapat menghapuskan kebaikan. Sebagaimana Rasulullah SAW telah bersabda: “Hindarilah oleh kamu daripada hasad (dengki) kerana hasad itu memakan segala amal kebajikan bagaikan api memakan kayu.” (Riwayat Abu Daud). Ketahuilah bahawa hasad itu penyakit hati yang amat berbahaya. Tidak ada ubat untuk penyakit hati selain dari ilmu dan amal.

3. Pada Matanya...

Syukuri nikmat mata yang telah Allah berikan kepadamu dengan melihat dan memerhatikan sesuatu yang baik, kemudian mengambilnya sebagai teladan. Jika kamu tidak suka melakukannya, takutlah kepada Allah untuk melihat sesuatu yang diharamkan. Janganlah membuat Allah murka dengan nikmat yang telah dikurniakan~Nya. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud, “Pandangan (mata) itu adalah satu anak panah yang beracun daripada panah-panah iblis. Oleh kerana itu barangsiapa meninggalkannya, lantaran takut kepada Allah, maka Allah akan memberi balasan iman kepadanya, maka ia akan memperoleh kemanisan iman dalam hatinya.” [Hadis riwayat Ahmad]

4. Pada Perutnya...

Keamanan dan ketenteraman hati serta kekenyangan merupakan kemuncak nikmat yang diberikan kepada manusia. Namun perlu diingat, makanan mengenyangkan yang dikurniakan oleh ALLAH ada yang haram dan ada yang halal. Baginda Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Setiap daging yang tumbuh dari bahan makanan yang haram maka api nerakalah yang lebih layak baginya. [Hadis riwayat Al-Tarmizi]

ALLAH memerintahkan manusia untuk mengambil yang halal dan meninggalkan yang haram menerusi firmanNya bermaksud: "Wahai orang-orang beriman, makanlah makanan halal yang kami kurniakan kepada kamu." [Surah Al-Baqarah: 172]

5. Pada Tangannya...

Syukurilah nikmat tangan dengan menggunakannya untuk kebaikan. Jika kamu tidak dapat melakukan hal itu, hindarilah daripada menggunakannya untuk berbuat zalim dan menyakiti orang lain. Dinyatakan, "Perbuatan zalim yang dilakukan seseorang di dunia ini kelak akan menjadi kegelapan dan bayangan yang menghancurkan di akhirat."

Anugerah Ilahi ini perlu dipelihara dan digunakan untuk perkara kebaikan seperti menolong orang, mencari rezeki halal, menentang segala kezaliman, menulis perkara yang baik umpamanya menulis ilmu pengetahuan dan panduan untuk masyarakat, bukan menulis kejahatan orang atau memfitnah sesama Muslim.

6. Pada Langkahnya...

Berhati-hatilah dengan kakimu! Syukurilah nikmat kaki yang Allah anugerahkan kepadamu dengan menggunakannya untuk beribadah kepada~Nya. Jika tidak dapat begitu, jangan digunakan kaki itu untuk berbuat dosa. Allah SWT berfirman, "Pada hari (ketika) lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi terhadap segala yang pernah mereka kerjakan." [Q.S al-Nur :24]

Pada hari itu, apa yang akan kamu lakukan, sementara kakimu dibelenggu dan diikatkan pada lehermu? Nikmat ini datang bersama tanggungjawab. Setiap satunya pasti dipersoalkan bagaimanakah telah kita gunakan semua nikmat dan kurniaan~Nya ini.

7. Pada pendengarannya...

Takutlah kepada Allah! Syukurilah nikmat telinga dengan mendengar al-Quran, zikir dan nasihat yang baik. Jika kamu tidak sempat melakukannya, hindarilah diri daripada mendengarkan keinginan burukmu dan fitnah yang beredar di sekitarmu, seperti yang berlaku pada kebanyakkannya sekarang.

8. Pada Nikmat Imannya...

Syukurilah nikmat iman yang diberikan Allah kepadamu! Gunakanlah seluruh kemampuanmu dan bersungguh-sungguhlah untuk mencari redha~Nya sebagai rasa syukur terhadap nikmat iman yang telah diberikan Allah kepadamu. Dunia ini cuma sedetik maka jadikanlah ia untuk melakukan ketaatan. Dan nafsu pula sentiasa bersifat tamak maka ajarlah ia akan sifat qanaah (merasa cukup dengan apa yang ada).

Sekian, moga ada manfaatnya..

Friday, March 23, 2012

Berusahalah mencari yang halal


بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...alhamdulillah segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam serta selawat dan salam buat junjungan Nabi Muhammad SAW. Moga dengan kita sentiasa berselawat kepada Baginda Rasulullah SAW akan kita perolehi syaafaat darinya kelak di akhirat.

Temanku yang dikasihi, apabila Allah mengurniakan kita dengan sifat qana'ah iaitu merasa cukup dengan kurniaan yang melimpah, perbanyakkanlah syukur kepada~Nya. Dengan kekuatan sifat qana'ah ini, seharusnya kita terus mendekatkan diri kepada Allah. Carilah jalan yang terbaik untuk mencapai qana'ah, nescaya perhitungan amal kita lebih mudah. Raihlah akhirat kita dengan hasil usaha yang baik.

Tidak diragukan lagi, sejak dahulu sesuatu yang halal itu begitu sukar ditemui. Kita telah terjerumus ke dalam perlakuan syubhat (yang tidak jelas halal-haramnya). Memang yang syubhat itu terbungkus rapi, tetapi sebenarnya kita memang sedar bahawa perilaku kita selama ini banyak bercampur dengan yang syubhat. Bilakah kiranya orang seperti kita ini dapat bersikap warak? Bilakah kiranya kita dapat beramal dengan keikhlasan?

Kehidupan kita dipenuhi keinginan hawa nafsu. Pakaian dan perhiasan tidak terlepas dari syubhat. Dalam hal ini, seorang ulama berkata, "Pada hari kiamat nanti, ada beberapa kelompok orang yang dibangkitkan dari kuburnya. Bau mereka lebih menyengat daripada bangkai. Itulah orang-orang yang memiliki harta kekayaan dari hasil yang syubhat." Setelah itu, ulama itu berkata, "Demi Allah, aku mungkin termasuk salah satu dari mereka."

Saudaraku, ulama di atas khuatir terhadap dirinya sendiri. Dia menyedari betapa bahayanya perlakuan syubhat. Bagaimana pula dengan kita? Tidakkah kamu menyedari bahawa perlakuan kita di dunia ini sudah tercemar dengan berbagai perkara syubhat? Bahkan mungkin lebih kotor daripada perkara sybhat itu sendiri?

Banyak beribadah tetapi disertai dengan usaha yang kotor, hasilnya akan kosong. Dalam hal ini, seorang sahabat mengatakan, "Jika penghasilannya dari usaha yang baik dan halal, nescaya perilakunya pun akan bersih. Begitu pula sebaliknya." Seorang ulama menyatakan bahawa syaitan telah berkata, "Aku menginginkan dari manusia satu hal. Ketika itu, aku akan bersamanya meskipun dia sedang beribadah. Aku jadikan penghasilannya dari usaha yang tidak halal. Jika dia menikah, maka nikahnya dari hasil yang haram. Jika dia berbuka puasa, maka makanannya dari hasil yang haram. Jika dia berhaji, maka hajinya dari hasil yang haram."

Oleh kerana itu, berhati-hatilah dalam mencari rezeki. Takutlah kepada Allah daripada bekerja dengan hasil usaha dari yang haram. Jangan hendaknya kita mengira untuk menambah keuntungan rezeki yang sedikit di dunia ini, kita sanggup menyebarkan aib orang, fitnah memfitnah dan segala macam bentuk umpatan dalam blog, Facebook, Tweeter dan lain-lainnya. Allahu Rabbi, adakah sumber pendapatan kita itu bersih hasil dari perbuatan yang buruk itu? Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat." [Hadis riwayat Ibnu Abi Dunya dan Ibnu Hibban]

Telitilah barang-barang yang syubhat dan kemudian ditinggalkan. Rasulullah SAW bersabda, "Yang halal itu sudah jelas dan yang haram itu sudah jelas. Di antara keduanya adalah hal yang syubhat. Kebanyakan orang tidak mengetahui, apakah sybhat itu termasuk halal atau haram? Nabi SAW bersabda lagi, "Siapa yang berani menggunakan yang syubhat, maka dia hampir melakukan yang haram." [H.R. Al-Thabrani]

Dalam mencari sumber kehidupan, janganlah kalian berada dalam satu bentuk pekerjaan sahaja. Carilah terus pekerjaan yang lebih menyelamatkan dirimu daripada yang sebelumnya. Hal ini supaya kalian dapat bertqawa dengan hasil usaha yang halal.

Hindarilah riba kerana ianya memiliki tujuh puluh lebih pintu. Pekerjaan kita harus dipantau ketat agar tidak termasuk kepada salah satu pintu tersebut. Jangan sekali-kali khianat. Barang-barang yang najis harus dijauhi. Dalam perniagaan, elakkan perkara yang melibatkan curang, dusta, sumpah palsu, memuji, mencela dan bersikap dengan sikap yang merugikan. Jauhilah itu semua. Ketahuilah, petunjuk kepada ketaqwaan terletak pada kewarakan. Seseorang dikatakan bertaqwa jika telah bersikap warak dalam hidupnya

Allah berfirman dalam surah al-Nisa ayat 29 mafhumnya: "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu."

Kita harus terus mendekatkan diri kepada Allah. Rela dengan penghasilan yang sedikit disertai dengan kemenangan yang agung itu jauh lebih utama daripada harta yang melimpah.

والله أعلم

Friday, March 16, 2012

Mukjizat Rasulullah


بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, segala puji-pujian hanyalah layak kepada Allah SWT Tuhan yang mencipta dan memerintah alam ini. Selawat dan salam untuk Baginda Rasulullah SAW Nabi akhir zaman, ahli keluarga Baginda, sahabat-sahabatnya dan para mukmin yang mengikutinya sehingga hari kiamat.

Sirah dan kisah ini diceritakan oleh Guru saya Habib Syed Mustafa Syed Ali dalam Kuliah Kitab Fiqh baru-baru ini.

Suatu hari ketika Rasulullah SAW bertandang ke rumah anakanda kesayangannya Saidinatul Fatimah r.anha, Fatimah mengadu kepada ayahandanya Rasulullah SAW, "Ya Rasulullah, saya dan suami saya Saidina Ali r.a. serta anak-anak saya Hassan dan Hussin sudah 3 hari tidak makan apa-apa."

Mendengar keluhan anakandanya, Rasulullah SAW berkata dengan nada rendah, "Jika engkau sekeluarga tidak makan 3 hari, aku pula sudah 4 hari tidak makan apa-apa." Sambil Rasulullah menunjukkan perutnya yang diikat dengan kain dan batu kerikil untuk menahan rasa lapar. Terpandang pula Rasulullah SAW akan cucu-cucunya yang kelaparan. Sayu dihatinya, lalu meminta izin dari anakandanya Fatimah untuk berlalu sebentar dan akan kembali sebentar lagi.

Rasulullah SAW terus ke pasar dan bertemu dengan seorang Badwi yang kebetulan sedang mencari pekerja untuk mengambil air di periginya. Rasulullah menawarkan diri untuk bekerja dengannya. Sememangnya si Badwi itu tidak mengenal rupa wajah Rasulullah maka dia pun bersetuju untuk mengambil Rasulullah bekerja dengan syaratnya setiap timba yang diangkat dari perigi itu diupah dengan 3 biji kurma. Lalu Rasulullah pun memulakan tugasnya dan mengambil timba yang sudah tersedia diikat dengan tali di situ. Rasulullah melempar timba itu ke dalam perigi sambil sebelah tangannya lagi memegang tali dan kemudian menaikkan timba itu ke atas penuh dengan air. Setelah itu Rasulullah memohon kepada si Badwi itu agar upahnya 3 biji kurma dibayarkan dahulu sebelum Baginda meneruskan pekerjaan kerana terlalu lapar.

Setelah Rasulullah makan dan rasa bertenaga semula, maka Baginda pun meneruskan kerjanya lagi sehinggalah dapat menaikkan timba berisi air 8 kali dan bermakna upahnya sudah mencapai 24 biji kurma. Apabila masuk kali ke sembilan ketika Rasulullah cuba menaikkan timba yang penuh dengan air dari perigi itu tiba-tiba talinya putus. Mengetahui hal ini si Badwi itu datang dengan segera menghampiri Rasulullah, lalu memarahinya dan menampar pipi Rasulullah. Baginda tidak marah pun. Akibat terlalu marah si Badwi itu menyuruh Rasulullah berhenti kerja dan segera membayar upahnya. Sebelum Rasulullah beredar Baginda pun pergi ke perigi itu dan mengambil timba yang terjatuh tadi dengan tangannya saja dan memberikannya kepada si Badwi itu.

Si Badwi itu amat terkejut dengan tindakan Rasulullah itu. Mana mungkin perigi yang sedalam itu Rasulullah boleh mengambil timba itu hanya dengan tangannya sahaja. Di hatinya ini bukan sembarangan orang, pasti orang ini adalah Muhammad yang disebut-sebut orang yang membawa Agama Islam. Dia menjadi takut akibat dari tindakannya tadi menampar Rasulullah, lalu segera dia mengambil pedang dan memotong tangannya hingga putus. Akibat dari itu, si Badwi itu pengsan kerana kesakitan yang amat sangat.

Kemudian si Badwi itu tersedar setelah orang ramai yang lalu di situ menolongnya. Dia bertanya kepada orang ramai di situ di manakah rumah Muhammad. Setelah diberitahu tempat tinggal Rasulullah, dia pun bergegas pergi membawa sekali tangannya yang dia potong tadi. Setibanya di masjid Nabawi dia bertemu dengan sahabat-sahabat Nabi dan bertanya di manakah gerangan Muhammad. Alangkah terkejutnya sahabat-sahabat Nabi yang ada di situ melihat keadaan si Badwi itu berlumuran dengan darah sambil memegang tangannya yang terputus. "Ada apa kamu ini mahu berjumpa Muhammad dalam keadaan kamu begini," tanya sahabat. Melihat keadaannya begitu Salman Al-Farisi terus memberi pertolongan dan menunjukkan di mana Rasulullah kini berada iaitu di rumah anakandanya, Fatimah.

Setibanya di rumah Saidinatul Fatimah, si Badwi mengetuk pintu. Ketika itu Rasulullah SAW sedang memangku cucu-cucunya sambil menyuap buah kurma kepada mereka hasil dari upah pekerjaannya tadi. Apabila mendengar ketukan di pintu, Rasulullah menyuruh Fatimah membuka pintu. Alangkah terkejutnya Fatimah melihat si Badwi itu berada di hadapan pintu memegang tangannya yang terputus berlumuran dengan darah, lalu segera memanggil ayahandanya.

Apabila Rasulullah muncul di muka pintu, si Badwi itu terus meminta maaf kepada Rasulullah atas kebiadapannya tadi menempar pipi Rasulullah. Baginda tidak marah dan memaafkannya lalu berkata, "Kenapa kamu jadi begini sehingga tangan kamu terputus sebegitu rupa." Si Badwi itu menjawab, "Saya amat khuatir atas kesalahan saya tadi menampar kamu, bimbang akan turun bala ke atasku. Lalu aku potongkan tangan ini agar ia sahaja yang kena bala."

Maka Baginda Rasulullah SAW berkata, "Jika kamu mahu selamat dunia dan akhirat, ikutilah aku." Lalu si Badwi itu berkata, "Jika engkau benar-benar seorang Rasul tunjukkan kepadaku kerasulanmu." Lalu Baginda mengambil tangan si Badwi yang putus tadi menyambung dan membetulkan semula kedudukannya yang sebenar, dengan izin Allah tangan tadi bersambung semula dan elok sempurna seperti mana sebelum dipotong oleh si Badwi itu. Lantas itulah si Badwi itu mengucap syahadah di hadapan Rasulullah SAW.

Kesimpulannya, ada dua perkara yang sangat tinggi nilainya yang ditunjukkan oleh Rasulullah kepada kita iaitu mengawal perasaan marah dan mudah memberi kemaafan kepada sesiapa sahaja. Peliharalah 2 perkara ini dalam diri kita, insya Allah hidup kita akan sentiasa diberkati Allah SWT.

والله أعلم