Friday, November 30, 2012

Keringat...


بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Apa khabar semua? Moga Allah kurniakan kesihatan yang baik buat semua,
dan sentiasa dalam rahmat kasih sayang~Nya...aamiin

Biarlah keringat itu tidak menyedapkan ketika mengerjakan solat asalkan...

Biarlah keringat itu tumpah di bumi haram ketika mengerjakan haji dan umrah asalkan...

Biarlah keringat itu kering dari badan ketika mengerjakan ibadah puasa asalkan...

Biarlah keringat itu keluar dengan banyak ketika bekerja di jalan Allah asalkan...

Biarlah keringat itu membasahi baju ketika beramar makruf nahi mungkar asalkan...

Biarlah keringat itu mengalir tak sudah dalam berjihad 'fi sabilillah' asalkan...

Biarlah keringat itu membuahkan ketidakselesaan dalam membantu umat Islam asalkan...

Biarlah keringat itu mencurah keluar dalam mengerjakan semua ibadah kepada Allah SWT asalkan ianya tidak menuntut kita di padang mahsyar kelak seperti kata Imam al-Ghazali, "Ketahuilah setiap titis keringat yang tidak pernah dikeluarkan dalam bekerja di jalan Allah, dalam haji, jihad, puasa, tahajuud, membantu orang Muslim atau beramar makruf nahi mungkar, maka keringat itu akan dikeluarkan oleh rasa malu dan takut pada hari kiamat nanti."

Ketika di padang mahsyar kelak, jutaan manusia dikumpulkan dan ketika itu matahari sungguh dekat dengan manusia dan saat itu tubuh manusia akan basah dengan keringat. Dalam hadith Muslim dari al-Miqdad bin al-Aswad, Nabi s.a.w bersabda, "Pada hari kiamat matahari didekatkan kepada manusia sejarak satu batu. Maka semua manusia tenggelam di dalam keringatnya sesuai mengikut amal perbuatannya (di dunia). Sebahagian mereka tenggelam hingga ke mata kaki, sebahagian mereka yang lain hingga ke pinggangnya dan sebahagian yang lain hingga ke mulutnya."

Imam Ibn Abi Jamrah dalam Syarh Sahih al-Bukhari berkata, "Manusia yang paling terseksa dengan keringatnya ini adalah orang-orang kafir, kemudian (Muslim) pelaku dosa-dosa besar dan seterusnya.

Wahai orang yang lupa, jangan biarkan keringatmu menuntut untuk keluar di padang mahsyar kelak.
Kembalilah kepada Islam, kerjakan segala perintah Allah dan jauhi segala larangan~Nya.
Moga kamu selamat di dunia dan akhirat.

Wallahu a'lam...

Friday, November 23, 2012

Musuh-musuh kita


بسم الله الرحمن الرحيم

Pepatah melayu ada menyebut, cubit paha kanan paha kiri akan terasa sakit.

Begitulah juga keadaan kita umat Islam di sini. Bila mendengar saudara seaqidah dengan kita terus dizalimi di Palestin, Syria, Iraq dan tempat-tempat lain, perasaan sedih, marah, geram dan seumpamanya berkecamuk dalam hati masing-masing. Tiada apa yang boleh kita lakukan melainkan dengan berdoa kepada Ilahi agar mereka dalam pemeliharaan Allah SWT. Lebih afdalnya kita lakukan qunut nazilah dalam solat fardhu.

Dalam keadaan kehidupan hari ini musuh-musuh umat Islam kian bertambah. Musuh datang menyerang dari hadapan dan belakang, kiri dan kanan, serta dari atas. Syaitan musuh utama kita, sememangnya diketahui datang dalam bentuk yang tidak kelihatan. Serangannya tidak pernah berhenti namun Allah dan Rasul sudah mengajar kita cara untuk memerangi mereka meskipun ia tidak tampak.

Kemudian, datang pula serangan dari Yajuj dan Makjuj. Walaupun mereka belum datang dalam bentuk zahirnya tetapi dakyahnya sudah melanda umat Islam dan ramai dari kalangan umat Islam sudah terpedaya.

Pengikut Dajjal pula sudah berkeliaran menyesatkan manusia. Akan datang suatu masa kelak Dajjal akan timbul dalam alam yang nyata. Jika iman umat Islam pada masa itu tidak mantap pasti akan tertewas.

Dan kini, golongan Syiah sudah mula menunjukkan taringnya.

Ajaran Syiah mula berkembang di Malaysia seawal tahun 1979 dan sehingga kini bilangan orang melayu Islam yang telah mengikuti ajaran ini telah mencecah 300,000 orang di seluruh Malaysia. Suatu angka yang amat membimbangkan dan meningkat saban tahun kerana golongan ini gigih menyampaikan dakyah mereka.

Saksikanlah video di bawah ini sebagai peringatan buat kita semua.
Kalau tak silap video ini ada 5 siri kesemuanya.


Fahaman dan kepercayaan golongan ini jelas bercanggah dengan akidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah yang menjadi teras akidah dan pegangan umat Islam di Malaysia. Golongan ini menganggap manusia yang tidak sealiran dengan fahaman mereka adalah "al-Nawasib" sama seperti orang-orang yahudi menganggap manusia selain yahudi sebagai "goyim" iaitu lembu atau manusia yang tiada nilai apa-apa. Mereka berlindung di sebalik "Taqiyyah" iaitu berpura-pura sehingga sukar dikesan fahaman dan anutan mereka. Seperti mana diketahui umum, syiah aliran Nusairiyah dari kelompok Bathiniah kini sedang menyembelih, merogol dan membakar masjid umat Islam di Syria dan Iraq.

Berhati-hatilah dengan golongan ini kerana jumlah mereka kian bertambah di negara kita Malaysia! Tidak hairan jika bilangannya sudah ramai satu masa kelak negara kita pun bisa menjadi negara seperti Syria dan Iraq. Mereka beranggapan bahawa darah orang Islam Sunni halal dan wajib dibunuh. Itulah yang berlaku di Syria, Iraq, Palestin.

Marilah sama-sama kita kembali ke jalan yang benar dengan melakukan segala perintah Allah SWT dan menjauhi segala larangan~Nya, dapat menjaga aqidah kita serta anak-anak keturunan kita dan seluruh umat Islam dari tersungkur kepada musuh-musuh ini.

Thursday, November 15, 2012

Munajat awal tahun


بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji bagi Allah Tuhan pentadbir seluruh alam.
Selawat dan sejahtera semoga dilimpahkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad
yang semulia-mulia pesuruh~Nya, serta ke atas keluarga dan sekalian sahabat-sahabatnya.

Ya Allah, Ya Tuhan kami,

Keluarkanlah kami dari kehinaan. Bersihkan kami dari keraguan.

Sucikan kami dari kesyirikan. Bebaskan kami dari belenggu dosa yang lepas.

Tolong dan bantulah kami. Pada~Mu jua kami berserah diri.

Jangan jadikan untuk beratnya beban. Hanya pada~Mu kami bermohon.

Jangan tinggalkan kami dalam kekecewaan.

Kerana pada kurnia~Mu kami berharapkan.

Janganlah Engkau tolak kami bermohon.

Dan mendatangi-Mu dengan penuh harapan.

Jangan jauhi kami dalam ketertinggalan.

Kami berada di pintu~Mu.

Janganlah usir kami dari sisi~Mu.

Kabulkanlah semua hajat kami

Jadikan tahun ini penuh kebahagiaan

Sehingga kami memasukinya dalam keadaan sihat afiat

Kian bertambah banyak amal kebajikan

Berilah petunjuk kepada kami berjalan atas jalan terang terpuji

Ringankan bagi kami segala perkara yang memberatkan kami

Tambahkan bagi kami ilmu dan kebaikan

Begitu juga dengan pemberian-pemberian~Mu,

Tambahkanlah untuk kami...Ya Rabb

Aamiin Ya Rabbial 'alamin