Thursday, April 01, 2010

Hanya dua...

بسم الله الرحمن الرحيم

Pernah, salah seorang penguasa Yahudi, menyatakan bahawa mereka tidak takut dengan orang Islam kecuali pada satu perkara. Iaitu apabila jumlah jemaah solat Subuh sama dengan jumlah jemaah solat Jumaat."

Apakah yang dapat kita petik dari pernyataan di atas? Ternyata, orang Yahudi lebih peka dengan keadaan kita dari diri kita sendiri.

Betapa, selama ini banyak kaum Muslimin terlena dalam malam yang panjang sehingga yang tersisa hanyalah segelintir yang membentuk sederet dua saf pada solat Subuh. Mereka tidak menyedari, ada nilai keagamaan dan falsafah yang kuat dalam pelaksanaan solat Subuh. Namun, itu semua disedari oleh golongan Yahudi.

Memang, kalau kita huraikan, permasalahannya akan lebih rumit. Pemahaman dan kesedaran kebanyakan kaum Muslimin masih lemah. Dengan berbagai alasan, akhirnya mereka lebih memilih solat di rumah. Suatu fenomena yang jika terjadi pada zaman Rasulullah s.a.w, mereka akan diancam dengan dibakar rumah mereka. Bahkan, bagi sebahagian Muslimin, kewajipan solat dikesampingkan oleh berbagai kepentingan dunia dan tentunya, bisikan syaitan...Na'udzubillah!

Memang mudah lidah mengatakan kalimat 'Islam,' namun begitu susah untuk menanamkan 'iman' di dalam hati manusia.

قَالَتِ الْأَعْرَابُ آمَنَّا قُل لَّمْ تُؤْمِنُوا وَلَكِن قُولُوا أَسْلَمْنَا وَلَمَّا يَدْخُلِ الْإِيمَانُ فِي قُلُوبِكُمْ وَإِن تُطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَا يَلِتْكُم مِّنْ أَعْمَالِكُمْ شَيْئاً إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

"Orang-orang 'A'raab berkata : 'Kami telah beriman.' Katakanlah (kepada mereka) : 'Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian) tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja : 'Kami telah Islam.' Dan (ingatlah) jika kamu taat kepada Allah dan RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Al-Hujurat : 14)

Kebanyakan ungkapan lidah tidak selari dengan keyakinan hati. Begitu juga, beribu ungkapan lisan tidak sesuai dengan amalan. Mukmin yang benar dan jujur adalah mereka yang sama antara perkataan dengan perbuatannya. Perkataanya seiring dengan apa yang ada di dalam hati. Sedangkan orang munafik, secara zahir kelihatan baik dan bersih, namun hatinya keras bagaikan batu (atau lebih keras lagi).

Allah mengetahui setiap sesuatu yang ada di dalam hati. Mengetahui mata tidak jujur dan segala yang tersembunyi di dalam dada. Mengetahui orang yang munafik dari yang mukmin, serta mengetahui pendusta dari yang jujur. Namun, terserah pada kehendakNya untuk memberikan ujian-ujian tertentu, demi mengetahui, serta menunjukkan siapa yang hanya pandai berbicara tetapi tidak pernah melakukan atau meyakini sesuatu, namun tidak merealisasikannya.

Tujuan ditampakkan rahsia hati itu kerana Allah SWT ingin menegakkan hujah (alasan) atas manusia, agar di hari akhirat kelak tidak ada seorang pun merasa dizalimi dan teraniaya. Mereka diberi ujian akan tetapi sebahagian besar darinya gagal dalam ujian tersebut.

Ujian memiliki ciri-ciri khusus. Pertama, ujian mestilah susah. Sebab, jika ia senang dan mudah, maka semua akan lulus, baik mukmin mahupun munafik. Akhirnya, ia tidak dapat membezakan antara mukmin dan munafik.

Kedua, ujian itu bukanlah sesuatu yang mustahil. Sebab, kalau ia sesuatu yang mustahil, maka kedua-duanya akan gagal, baik mukmin mahupun munafik.

Ketiga, ujian ini mestilah seimbang. Ertinya, orang munafik sukar melepasinya. Namun, bukan bererti ia mustahil dilakukan sehingga terbuka kesempatan bagi mukmin untuk lulus dalam ujian tersebut.

Ujian Allah SWT untuk hambaNya bukan sedikit, bahkan ia berterusan sejak manusia mula mukallaf sehingga datangnya kematian. Jihad di jalan Allah merupakan ujian. Bahkan jihad merupakan ujian yang berat, namun bukan mustahil dilakukan. Sebab, orang-orang mukmin boleh lulus dalam ujian ini, sedangkan orang munafik tidak akan dapat melepasinya.

Ujian itu ada pelbagai peringkat kesusahan. Ujian yang sukar, namun bukan sesuatu yang mustahil. Nilai tertinggi dalam ujian ini (bagi seorang lelaki) adalah solat Subuh secara rutin berjemaah di masjid. Bagi perempuan pula, solat subuh tepat pada waktunya di rumah. Manusia dianggap gagal dalam ujian penting ini apabila mereka solat tidak tepat pada waktu yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah RA, dia berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : "Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik adalah solat Isya dan solat Subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung di dalamnya, nescaya mereka akan mendatangi keduanya sekalipun merangkak.

Sesungguhnya, aku ingin menyuruh melaksanakan solat lalu ia didirikan, kemudian aku perintahkan orang lain untuk solat bersama dengan orang ramai. Kemudian beberapa lelaki berangkat bersamaku dengan membawa kayu, pergi ke suatu kaum yang tidak menghadiri solat berjemaah sehingga aku berazam mahu membakar rumah mereka." (HR Al- Bukhari dan Muslim)

Cuba kita bayangkan. Betapa besar masalah ini dan betapa besar bala yang akan menimpa sehingga Rasulullah s.a.w (pemimpin yang dikenali dengan sikap kasih sayang dan kelembutan) berazam mahu membakar rumah mereka.

Namun, saya melihat pancaran kasih sayang dan kelembutan dalam kalimat tersebut. Dengan ungkapan lain, baginda sebenarnya ingin menyelamatkan umat dari api akhirat dan menakutkan mereka dengan api dunia. Meskipun antara api akhirat dan api dunia amat jauh perbezaannya.

Alangkah baiknya kalau ada seorang lelaki yang tidak mampu berjalan dan tiada orang yang membantunya bergerak, namun dia tetap berkeras mahu pergi ke masjid. Dia merangkak dan merayap di atas tanah untuk mendapatkan kebaikan solat Subuh berjemaah. Sekiranya kita mengetahui betapa besar nilai solat ini, kemudian kita saksikan ada orang yang meninggalkan solat Subuh berjemaah di masjid, maka kita akan mengetahui betapa besar musibah yang telah menimpa mereka.

Kalau seseorang meninggalkan solat ini dengan sengaja, maka kesengajaan tersebut adalah bukti nyata dari sifat kemunafikan. Barang siapa yang ada pada dirinya sifat ini, hendaklah dia segera bermuhasabah. Ini untuk mengelakkan hayat kita diakhiri dengan su'ul khatimah

Oleh itu, marilah kita memohon kepada Allah agar mengurniakan kepada kita kekuatan untuk melaksanakan perintahNya serta kesihatan, keselamatan dan husnul khatimah

P/S: Article ini pernah saya terbitkan dulu, namun kita manusia sering lupa dan lalai. Oleh itu, saya utarakan semula agar ianya dapat memberi peringatan buat kita semua. Semoga ianya mendatangkan pengajaran dan manfaat yang banyak.

Nasihat itu bagaikan zakat sedangkan nisabnya adalah mengambil pelajaran darinya.
~Sebahagian Kaum Shalihin~

Friday, March 05, 2010

Menahan marah...


بسم الله الرحمن الرحيم

Ini adalah kisah seorang yang meminta nasihat dari Imam Al Harits Al Muhasibi, kerana tidak boleh sabar menahan amarah kerana perkara yang remeh.

"Aku tidak kuat menahan amarah ketika dicela dan disakiti," kata si sakit.

"Engkau sukar untuk menahan marah dan mudah membalas, sebab engkau menganggap bahawa menahan marah itu adalah perbuatan hina dan keserampangan sebagai kehormatan.” kata Al Muhasibi.

"Lalu dengan apa aku dapat menahan amarah yang besar?” kata si sakit.

"Dengan kesabaran jiwa dan menahan anggota badan.” jawab Al Muhasibi.

"Dengan apa aku boleh mendapatkan kesabaran jiwa dan mengekang anggota badan?" tanya si sakit.

"Dengan mengetahui dan menyedari bahawa menahan marah itu adalah kemuliaan dan keindahan sedangkan keserampangan adalah kehinaan dan corengan.” jawab Al Muhasibi.

"Bagaimana aku dapat menyedari itu sementara dalam hatiku telah bertapak lawannya? Dan bagaimana pula aku dapat menyedarinya sementara dalam diriku telah timbul suatu perasaan bahawa jika aku tidak membalas, aku merasa terhina di hadapan orang yang memarahiku? Selain itu, dalam hatiku timbul perasaan bahawa orang yang memarahiku adalah telah menginjak-injak harga diriku, dan jika aku tidak membalasnya, aku merasa dianggap sangat lemah dan tidak berdaya?” tanya si sakit.

"Hatimu terus menerus memiliki perasaaan seperti itu, kerana engkau tidak mengetahui bentuk lahir keburukan sikap seseorang yang suka marah. Selain itu engkau tidak mengetahui rahsia menahan marah dan keagungan pahala dari Allah Subhanahu wa Taala untukmu di akhirat kelak." jawab Al Muhasibi.

 "Bagaimana caranya supaya aku mengetahui kedua hal tersebut (rahsia menahan marah dan pahala agung)?" tanya si sakit.

"Adapun keburukan dari suka marah dan tidak boleh menahan marah dapat engkau lihat dari keadaan orang yang memarahi dan mencela dirimu ketika marah dan emosi. Perhatikan raut mukanya, kelopak kedua matanya, warna merah mukanya, sinaran kedua matanya, ketidakelokan penampilannya, kerendahan dirinya dan hilangnya ketenangan dan ketenteraman dari dirinya."

"Engkau melihat dengan jelas keadaan itu dari orang permarah dan tampak nyata oleh setiap orang yang berakal. Jika engkau mendapat ujian dari Allah Subhanahu wa Taala, dengan sikap suka marah, ingatlah pahala yang dijanjikan oleh Allah Subhanahu wa Taala kepada orang-orang yang menahan marah, iaitu mendapatkan cinta dan pahalanya yang agung. Sesungguhnya sikap suka membalas menimbulkan kegelisahan dan akibat buruk yang akan terus abadi sampai di akhiratmu. Sedangkan menahan marah menimbulkan ketenangan dan dapat menabung pahala Allah Subhanahu wa Taala di akhirat kelak."

"Tidaklah pantas seseorang yang berakal rela atas kehinaan dari akibat dirinya suka dengan kepuasan sekejap, seperti ia marah-marah hanya kerana satu perkataan saja, bertindak melampaui batas, sedang anggota badannya tak terkendali, padahal perkataan tersebut tidak mengharuskan si pengucapnya untuk dimarahi. Dan orang yang mendengarnyapun tidak akan rugi, baik secara keagamaan ataupun keduniaan, bahkan sebenarnya si pengucap itu mesti disayangi, kerana ia telah menjatuhkan harga diri dan martabatnya serta masuk ke dalam kehinaan. Sementara bagi yang dimarahi dan dihina, haruslah bersyukur sebab ia sesungguhnya tidak dijatuhkan martabatnya, tidak seperti yang menghinanya." jawab Al Muhasibi.

Demikian semoga menjadi bahan renungan.

Empat perkara yang barangsiapa ada pada diri seseorang, Allah jaga dirinya dari syaitan dan
diharamkan dari siksa api neraka : barangsiapa mampu menahan dirinya saat dalam
keadaan menginginkan dan membenci sesuatu, nafsu dan rasa marah.
~Sayyidina Hassan Al-Bashri~

Saturday, September 05, 2009

Redha dalam ketentuan Allah

~Gambar diambil dari sepi seorang kembara~

Biarkanlah hari-hari berbuat semahunya
Berlapang dadalah jika takdir menimpa

Jangan berkeluh-kesah atas musibah di malam hari
Tiada musibah yang kekal di muka bumi
Jadilah laki-laki tegar dalam menghadapi tragedi
Berlakulah pemaaf selalu menepati janji

Jika banyak aibmu di mata manusia
Sedang engkau berharap menutupinya
Bersembunyilah engkau di balik derma
Dengan derma aibmu tertutup semua

Jangan pernah terlihat lemah di depan musuhmu
Sungguh malapetaka jika musuh menertawaimu

Jangan berharap dari orang kikir kemurahan
Di neraka tiada air bagi orang yang kehausan
Rezekimu tidak berkurang kerana kerja wajar perlahan
Berlelah-lelah tidak menambah rezeki seseorang

Tiada kesedihan yang kekal tidak pula kebahagiaan
Tiada kesulitan yang abadi tidak pula kemudahan

Jika engkau berhati puas dan mudah menerima
Sungguh, antara engkau dan raja dunia tiada beza

Barangsiapa kematian datang menjemputnya
Langit dan bumi takkan mampu melindunginya

Bumi Allah begitu lapang luas membentang
Namun seakan sempit kala ajal menjelang

Biarkanlah hari-hari ingkar janji setiap saat
Kematian tak mungkin dicegah dengan ubat

~Imam As-syafiiee~