Friday, July 22, 2011

Allah SWT mentadbir segalanya


بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, Segala Puja–puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.

Umat Islam adalah umat yang paling bertuah kerana Allah s.w.t telah menyempurnakan nikmat~Nya ke atas mereka dengan mengurniakan Islam. Allah s.w.t menjamin juga bahawa Dia redha menerima Islam sebagai agama mereka. Jaminan Allah s.w.t itu sudah cukup bagi mereka yang menuntut keredhaan Allah s.w.t untuk tidak menoleh ke kiri atau ke kanan, sebaliknya terus berjalan mengikut landasan yang telah dibina oleh Islam.

Allah s.w.t telah menghamparkan jalan yang lurus kepada hamba-hamba~Nya yang beriman. Dia berfirman: "Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. [QS al-Maa’idah : 3]

Islam adalah perlembagaan yang lengkap mencakupi semua aspek kehidupan baik yang zahir mahupun yang batin. Islam telah menjelaskan apa yang mesti dibuat, apa yang mesti tidak dibuat, bagaimana mahu bertindak menghadapi sesuatu dan bagaimana jika tidak mahu melakukan apa-apa. Segala peraturan dan kod etika sudah dijelaskan dari perkara yang paling kecil hingga kepada yang paling besar. Sudah dijelaskan cara beribadat, cara berhubungan sesama manusia, cara membahagikan harta pusaka, cara mencari dan membelanjakan harta, cara makan, cara minum, cara berjalan, cara mandi, cara memasuki jamban, cara hukum qisas cara melakukan hubungan kelamin, cara menyempurnakan mayat dan semua aspek kehidupan diterangkan dengan jelas.

Umat Islam tidak perlu bertengkar tentang penyelesaian terhadap sesuatu masalah. Segala penyelesaian telah dibentangkan, hanya tegakkan iman dan rujuk kepada Islam itu sendiri nescaya segala pertanyaan akan terjawab. Begitulah besarnya nikmat yang dikurniakan kepada umat Islam. Kita perlulah menjiwai Islam untuk merasai nikmat yang dikurniakan itu. Kewajipan kita ialah melakukan apa yang telah Allah s.w.t aturkan sementara hak mengatur atau mentadbir adalah hak Allah s.w.t yang mutlak. Jika terdapat peraturan Allah s.w.t yang tidak dipersetujui oleh nafsu kita, jangan pula melentur peraturan tersebut atau membuat peraturan baharu, sebaliknya nafsu hendaklah ditekan supaya tunduk kepada peraturan Allah s.w.t. Jika pendapat akal sesuai dengan Islam maka yakinilah akan kebenaran pendapat tersebut, dan jika penemuan akal bercanggah dengan Islam maka akuilah bahawa akal telah tersilap di dalam perkiraannya. Jangan memaksa Islam supaya tunduk kepada akal semasa yang akan berubah pada masa yang lain, tetapi tundukkan akal kepada apa yang Tuhan kata yang kebenarannya tidak akan berubah sampai bila-bila.

Orang yang mengamalkan tuntutan Islam disertai dengan beriman kepada Qada' dan Qadar, jiwanya akan sentiasa tenang dan damai. Putaran roda kehidupan tidak membolak-balikkan hatinya kerana dia melihat apa yang berlaku adalah menurut apa yang mesti berlaku. Dia pula mengamalkan kod yang terbaik dan dijamin oleh Allah s.w.t. Hatinya tunduk kepada hakikat bahawa Allah s.w.t yang mentadbir sementara sekalian hamba berkewajipan taat kepada-Nya, tidak perlu masuk campur dalam urusan-Nya.

Mungkin timbul pertanyaan apakah orang Islam tidak boleh menggunakan akal fikiran, tidak boleh mentadbir kehidupannya dan tidak boleh berusaha membaiki kehidupannya? Apakah orang Islam mesti menyerah bulat-bulat kepada takdir tanpa tadbir?

Rasulullah s.a.w sendiri menganjurkan agar pengikut-pengikut baginda s.a.w mentadbir kehidupan mereka. Tadbir yang disarankan oleh Rasulullah s.a.w ialah tadbir yang tidak memutuskan hubungan dengan Allah s.w.t, tidak berganjak dari tawakal dan penyerahan kepada Tuhan yang mengatur pentadbiran dan perlaksanaan. Janganlah seseorang menyangka apabila dia menggunakan otaknya untuk berfikir maka otak itu berfungsi dengan sendiri tanpa tadbir Ilahi. Dari mana datangnya ilham yang diperolehi oleh otak itu jika tidak dari Tuhan? Allah s.w.t yang membuat otak, membuatnya berfungsi dan Dia juga yang mendatangkan buah fikiran kepada otak itu.

Tadbir yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w ialah tadbir yang sesuai dengan al-Quran dan as-Sunah. Islam hendaklah dijadikan penapis untuk mengasingkan pendapat dan tindakan yang benar dari yang salah. Islam menegaskan bahawa sekiranya tidak kerana daya dan upaya dari Allah s.w.t, pasti tidak ada apa yang dapat dilakukan oleh sesiapa pun.

Oleh yang demikian seseorang mestilah menggunakan daya dan upaya yang dikurniakan Allah s.w.t kepadanya menurut keredhaan Allah s.w.t. Seseorang hamba Allah s.w.t tidak sepatutnya melepaskan diri dari penyerahan kepada Allah Yang Maha Mengatur. Apabila apa yang diaturkannya berjaya menjadi kenyataan maka dia akui bahawa kejayaan itu adalah kerana persesuaian aturannya dengan aturan Allah s.w.t. Jika apa yang diaturkannya tidak menjadi, diakuinya bahawa aturannya wajib tunduk kepada aturan Allah s.w.t dan tidak menjadi itu juga termasuk di dalam tadbir Allah s.w.t. Hanya Allah s.w.t yang berhak untuk menentukan. Allah s.w.t Berdiri Dengan Sendiri, tidak ada sesiapa yang mampu campur tangan dalam urusan~Nya.

Moga ada manfaatnya...

Friday, July 15, 2011

Nabi Tidak Redha Umatnya di Neraka


بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum sahabatku yang dikasihi sekalian,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan Pencipta seluruh alam dan moga tercurah selawat dan salam buat junjungan Nabi Muhammad s.a.w., seluruh keluarga Baginda, sahabat-sahabat Baginda, para tabiin dan yang mengikutinya hingga hari kiamat.

Ketika syurga dan neraka telah terkunci, dan semua umat manusia telah dimasukkan ke dalam syurga dan neraka, sesuai dengan amalannya dan mereka telah menikmati ganjaran atau merasakan hukuman atas apa yang mereka kerjakan dalam waktu yang begitu lama, Allah SWT menanyakan kepada Malaikat Jibril, subhanallah sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, “Apakah ada umat Muhammad  s.a.w. yang masih tertinggal di dalam neraka?”

Maka Malaikat Jibril pun pergi ke neraka Jahanam. Neraka Jahanam yang begitu gelap tiba-tiba berubah menjadi terang benderang kerana kedatangan Jibril.

Para penghuni Jahanam pun bertanya-tanya, siapakah yang datang, mengapa Jahanam tiba-tiba terang benderang.

Malaikat Jibril pun menjawab bahawa dia adalah Malaikat Jibril, yang diutus oleh Allah SWT untuk mencari apakah ada umat Muhammad yang masih terselit di neraka Jahanam. Tiba-tiba sekelompok orang berteriak, “Sampaikan salam kami kepada Rasulullah s.a.w., beri tahukan keadaan kami di tempat ini kepada beliau.”

Jibril pun keluar dari neraka Jahanam dan pergi ke syurga untuk memberitahukan hal itu kepada Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w. begitu bersedih mendengar bahawa masih ada umatnya yang tertinggal di dalam neraka dalam waktu yang sudah begitu lama. Beliau tidak redha ada umatnya yang masih tertinggal di neraka walaupun dosanya sepenuh bumi.

Rasulullah s.a.w. pun bergegas hendak pergi ke neraka. Tapi di dalam perjalanan beliau terhadang oleh garis batas Malaikat Israfil. Tidak ada seorang pun boleh melintasi garis itu kalau tidak seizin Allah SWT.

Rasulullah s.a.w. pun mengadu kepada Allah SWT, dan akhirnya beliau diizinkan. Tapi sesudah itu Allah SWT mengingatkan Rasulullah bahawa umat itu telah meremehkan beliau. “Ya Allah, izinkan aku memberi syafa’at kepada mereka itu walaupun mereka hanya punya iman sebesar zarrah.”

Sesampainya Rasulullah s.a.w. di neraka Jahanam, padamlah api neraka yang begitu dahsyat itu. Penduduk Jahanam pun berucap, “Apa yang terjadi, mengapa api Jahanam ini tiba-tiba padam? Siapakah yang datang lagi?”

Rasulullah s.a.w. menjawab, “Aku Muhammad s.a.w. yang datang, siapa di antara kalian yang jadi umatku dan punya iman sebesar zarrah, aku datang untuk mengeluarkannya.”

Demikianlah kecintaan Rasulullah kepada umatnya, beliau akan memperjuangkannya sampai di hadapan Allah SWT. Lalu bagaimana kecintaan kita sebagai umat Rasulullah s.a.w. kepada peribadi yang begitu agung itu?

Sumber: Kisah dan Hikmah
Majlis Ta'lim Wad Dakwah
Ustaz Al Habib Sholeh bin Ahmad bin Salim Al Aydrus
Rujukan : Kitab Muhammad Insan Kamil karya Sayyid Muhammad Al-Maliki dan Kitab Asy Syifa karya Al Qadhi 'Iyadh

Jawapan kepada Soalan Permasalahan Solat Jumaat pada post yang lepas

Seseorang itu dikira mendapat solat Jumaat sekiranya dia sempat solat satu rakaat bersama-sama dengan imam, dan untuk mendapat satu rakaat tersebut dia mestilah sempat rukuk bersama-sama dengan imam. Maka apabila seseorang itu sempat bersama-sama dengan imam SEBELUM imam bangun daripada rukuk pada rakaat kedua, dia telah dikira mendapat solat Jumaat tersebut. Justeru, apa yang perlu dilakukan ialah menyempurnakan solat Jumaat tersebut selepas daripada imam memberi salam dengan ditambah satu rakaat lagi.

Namun sekiranya seseorang itu hanya sempat bersama-sama dengan imam SELEPAS imam bangun daripada rukuk pada rakaat kedua, dia dikira tidak mendapat solat Jumaat tersebut. Maka dia perlu menyempurnakan solatnya dengan menunaikan solat Zohor sebanyak empat rakaat, selepas daripada imam memberi salam. Ini adalah pendapat jumhur para ulamak, Imam Malik, Imam as-Syafie, dan Imam Ahmad bin Hanbal.

(Rujuk Kitab al-Majmu’ karangan Imam al-Nawawi, 4/558).

Pendapat para ulama' ini bersandarkan kepada beberapa hadis, antaranya ialah:

من أدرك ركعة من الصلاة فقد أدرك الصلاة

Maksudnya: “Sesiapa yang mendapat satu rakaat daripada solat, maka ia dikira telah mendapat solat tersebut.” (Hadis riwayat al-Bukhari (580), Muslim (608).

Wallahu'alam..


Friday, July 08, 2011

Suasana keimanan di rumah


بسم الله الرحمن الرحيم

Rumah, selalu memiliki daya tarik dan pesona bagi pemiliknya. Antara senang dan susah, antara bahagia dan sengsara bercampur layaknya gula dan kopi yang larut dalam segelas air panas, gula yang manis memberikan keseimbangan rasa pada kopi yang pahit. Begitulah sunnatullah itu terjadi, ketika kita menemukan keinginan-keinginan kita bertembung dengan realiti yang terjadi, akan ada hati yang gundah, akan ada hati yang gelisah. Namun kegundahan dan kegelisahan itu di suatu waktu akan mendewasakan kehidupan kita, akan membesarkan hati kita untuk tetap mengais hikmah dari peristiwa kehidupan yang kita alami.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Perumpamaan rumah yang dijadikan tempat mengingat Allah dan rumah yang tidak dijadikan tempat mengingat Allah adalah bagaikan perbezaan antara orang yang hidup dan orang yang meninggal." [ HR Muslim ]

Oleh kerana itu maka haruslah rumah itu dijadikan tempat untuk mengingat Allah dengan segala bentuknya baik itu dengan berzikir dalam hati atau dengan lisan, mendirikan solat, membaca al-Quran, atau dengan mengkaji ilmu agama dan membaca beraneka ragam ilmunya.

Berapa banyak rumah-rumah orang Islam sekarang keadaannya mati akibat tidak dilakukan zikrullah di dalamnya, seperti disebutkan di dalam hadis di atas. Bahkan, memang demikian keadaan rumah tersebut jika di dalamnya ada nyanyi-nyanyian syaitan dari jenis seruling dan lagu-lagu, ghaibah, kebohongan dan membicarakan kejelekan orang lain.

Bagaimana lagi keadaannya kalau rumah tersebut penuh dengan kemaksiatan dan kemungkaran, seperti jika terjadi percampuran antara lelaki dan wanita yang diharamkan dan pendedahan aurat di hadapan karib kerabat dan tetangga yang bukan mahram yang sama-sama berada di dalam rumah itu? Sesungguhnya dosa dan maksiat itu akan menghalang ilmu, rezeki, ketaatan, memendekkan umur, menghilangkan berkat, mewarisi kehinaan, merosakkan akal, menghilangkan malu, memadamkan cahaya hati dan menghalangi dakwah.

Alangkah ruginya penghuni yang berada di dalam kemungkaran-kemungkaran yang menyebabkan perkara di atas berlaku. Selain dari itu, dosa dan maksiat akan membutakan hati serta menjauhkan hamba dari pencipta~Nya.

Bagaimana malaikat akan masuk ke dalam rumah yang keadaannya seperti ini? Oleh kerana itu, hidupkanlah suasana rumah kalian dengan berbagai bentuk zikrullah agar Allah memberikan rahmat~Nya kepada kalian. Rumah yang digunakan untuk zikrullah adalah rumah yang "hidup", di mana aspek keimanan dapat tumbuh subur di dalamnya. Sementara rumah yang "mati" adalah rumah yang tiada terdapat kegiatan apapun juga dalam rangka mengingat Allah.

Menumbuhkan suasana ibadah dalam rumah dengan menjadikan rumah sebagai tempat untuk menegakkan solat khususnya solat sunnah. Dengan ditegakkannya solat, khususnya solat sunnah, rumah akan terasa "hidup" dengan suasana keagamaan dan tercermin kebahagiaan bagi penghuninya. Firman Allah SWT bermaksud, "Perintahkanlah keluargamu untuk mengerjakan solat dan bersabarlah atasnya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu bahkan Kamilah yang memberimu rezeki dan balasan yang baik itu bagi orang-orang yang bertakwa.” [QS Thaha: 132]

Tumbuhnya suasana ibadah dalam sebuah rumah menyebabkan penghuninya merasa bahagia dan tenteram. Perkara ini telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadith tentang dihidupkannya solat sunnah dalam rumah: "Jabir ra., mengabarkan, Rasulullah saw bersabda: 'Apabila kamu telah menunaikan solat (wajib) di masjid, maka kerjakan pula solat (sunnah) di rumah, kerana dengan itu Allah akan menjadikan rumah tersebut bahagia." [HR. Muslim]

Begitulah seharusnya hidup berumahtangga. Sepasang insan yang beriman kepada Allah dan hari akhir selalu dipenuhi dengan ibadah dan amal ketaatan kepada Allah, ajakan dan anjuran kepada anggota keluarga untuk mengerjakan kebaikan dan melarang dari kemungkaran. Sehingga kita dapat melahirkan keluarga muslim iaitu keluarga yang senantiasa berlumba-lumba kepada kebaikan, mengutamakan dalam menjalankan perintah Allah.

Hakikatnya rumah tangga adalah syurga ‘Ajilah, iaitu syurga yang didahulukan di dunia ini. Rumah tangga yang bagaimanakah yang dipanggil syurga ‘Ajilah? Semestinya rumah tangga yang dibina daripada tiang-tiang kasih sayang, mawaddah, sakinah, qanaah dan redha. Berkata ahli sufi: “Carilah syurga ‘Ajilah yang berupa ketenangan hati kerana barangsiapa yang tidak mendapat syurga di dunia lagi, maka sukarlah ia mendapat syurga di akhirat nanti!”

Wallahu'alam...

Soalan Quiz Agama. Seorang lelaki mendatangi Masjid pada hari Jumaat, mendapati solat sudah bermula dan dia pun berniat solat Jumaat mengikut Imam. Namun, apabila Imam memberi Salam, Dia meneruskan solat hingga 4 rakaat iaitu solat Zohor. Kenapa ya?

Friday, July 01, 2011

Anugerah agung..


بسم الله الرحمن الرحيم

Temanku yang dikasihi sekalian..

Sungguh menerima suatu anugerah merupakan sebuah kenikmatan. Lebih mengembirakan lagi apabila yang memberikan anugerah itu adalah orang yang sangat dikasihi. Namun, ada lagi yang lebih membahagiakan dan sudah tentunya perasaan gembira dan bersyukur menerimanya menjadi semakin terasa dan sentiasa menghiasi relung hati seorang manusia, iaitu apabila Rasulullah s.a.w. dijemput oleh Allah SWT ke SIDRATUL MUNTAHA untuk menerima satu anugerah dan perintah yang paling agung iaitu solat lima waktu sehari semalam.

Itulah buktinya kasih sayang Allah kepada kita, umat Nabi Muhammad s.a.w. kerana dengan melaksanakan perintah itu dengan tekun dan khusyuk menjauhkan kita dari kemungkaran, meninggikan derajat kita, membezakan kita orang Islam dengan orang kuffur dan menegakkan tiang agama.

Sejarah itu tetap dalam sanubari kita dan sentiasa diperingatkan saban tahun. Biarpun puluhan tahun sudah mendengarnya. Namun, ianya tidak menjemukan. Ia tetap menjadi agenda setiap masjid di seluruh tanah air kita mengadakan majlis memperingati Isra' dan Mikraj. Apakah kita mahu menyimpankan anugerah agung ini dalam tempat yang khusus seperti mana anugerah yang kita perolehi dari manusia tanpa memberi apa-apa manfaat buat kita.

Apakah kita benar-benar berpegang teguh dengan al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w.? Hari ini ramai remaja dan segelintir golongan dewasa memperkecilkan solat. Tidak hairanlah timbulnya pelbagai masalah sosial. Gejala dadah, arak, persundalan, penderhakaan kepada ibu bapa, ponteng sekolah, kes bunuh yang menjadi-jadi, ragut, pecah rumah dan kereta, seks bebas dan seribu satu macam masalah sosial. Semua itu berpunca daripada tidak solat.

Firman Allah dalam surah Maryam, ayat 59, maksudnya: "Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan solat serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat) maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka)."

Amirul Mukminin, Umar bin Al Khaththab radhiyallahu ‘anhu mengatakan, "Sesungguhnya di antara perkara terpenting bagi kalian adalah solat. Barangsiapa menjaga solat, bermakna dia telah menjaga agama. Barangsiapa yang menyia-nyiakannya, maka untuk amalan lainnya akan lebih disia-siakan lagi. Tidak ada bahagian dalam Islam, bagi orang yang meninggalkan sholat."

Imam Ahmad rahimahullah juga mengatakan perkataan yang serupa, "Setiap orang yang meremehkan perkara solat, bererti telah meremehkan agama. Seseorang memiliki bahagian dalam Islam sebanding dengan penjagaannya terhadap solat lima waktu. Seseorang yang dikatakan semangat dalam Islam adalah orang yang betul-betul memperhatikan solat lima waktu. Kenalilah dirimu, wahai hamba Allah. Waspadalah! Janganlah engkau menemui Allah, sedangkan engkau tidak memiliki bahagian dalam Islam. Kadar Islam dalam hatimu, sesuai dengan kadar solat dalam hatimu."

Riwayat dari Hasan r.a., bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda: “Umpama solat lima waktu itu seumpama sungai yang deras pada pintu seorang kamu, lagi banyak airnya, memandi ia padanya tiap-tiap hari lima kali. Maka apa yang tinggal atasnya daripada karatnya?”

Yakni, bahawasanya lima waktu itu menyucikan daripada segala dosanya. Tiada tinggal satu dosa melainkan diampunkan akan Dia, melainkan dosa yang besar-besar. Maka berkehendak ia kepada taubat.

Dan riwayat daripada Ubbadah ibn Al-Somit r.a., sabda Nabi s.a.w.: “Lima solat ini difardhu Allah akan segala hamba. Maka barang siapa mendatangkan dengan dia sempurna dan tiada dikurangkan haqnya (rukun dan syarat solat) yang mengurangkan dia, adalah baginya pada Allah janji~Nya, bahawa memasukkan dia ke dalam syurga. Dan barang sesiapa meninggalkan dia dan meringankan dia dengan haqnya, tiada baginya pada Allah SWT itu janji~Nya. Jika dikehendaki dikasihankan dia. Maka jika dikehendaki diseksanya.”

Kalau seseorang meninggalkan solat ini dengan sengaja, maka kesengajaan tersebut adalah bukti nyata dari sifat kemunafikan. Barang siapa yang ada pada dirinya sifat ini, hendaklah dia segera bermuhasabah. Ini untuk mengelakkan hayat kita diakhiri dengan su'ul khatimah.

Oleh itu, marilah kita memohon kepada Allah agar mengurniakan kepada kita kekuatan untuk melaksanakan perintah~Nya serta kesihatan, keselamatan dan husnul khatimah.


~Rumusan Isra' Mikraj Syeikh Ismail Sodiq al-Adawi~