Friday, October 28, 2011

Berilah hatimu sedikit cahaya


بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum…

“Subhanallah, banyaknya awak masak hari ni, rendang daging ada, ayam masak merah ada, sotong masak pedas ada... ni yang bertambah sayang pada isteri abang sorang ni"… Sudah tentu pujian sebegini akan menaikkan lagi semangat sang isteri untuk memasak pelbagai jenis makanan di lain hari, dan bagi suami pula, dunia dirasakan terlalu indah kerana setiap hari dihidangkan dengan makanan yang enak.

Cuba kita renung sejenak, benarkah kasih sayang seorang isteri itu hanya akan terzahir apabila ia menghidangkan makanan yang pelbagai dan lazat pada suaminya dan benarkah kasih sayang suami akan bertambah bila si isteri semakin hari semakin pandai memasak pelbagai jenis lauk? Secara sedar atau tidak sebenarnya kita sedang mengajar isteri atau suami kehidupan yang mewah, senang lenang, serta kehidupan yang jauh bezanya dari kehidupan Rasulullah.

Jika isteri hanya menghidangkan ikan goreng berkuah sayur air adakah bermakna isteri itu pemalas dan kurang kasih sayang terhadap suaminya? Sebenarnya jika difikirkan secara dalam, isteri yang beginilah yang amat menyayangi suaminya... KENAPA?... Kerana si isteri tidak melalaikan suaminya dengan kenikmatan dunia yang sementara, dan jika suaminya itu seorang yang baik, sudah tentu dia merasa bangga kerana mempunyai isteri yang sedaya upaya membina keluarga berasaskan kehidupan Rasulullah SAW… BAGAIMANA YANG DIKATAKAN KEHIDUPAN RASULULLAH SAW ITU? Sama-sama kita renungkan sirah kekasih Allah ini dengan hati yang penuh keazaman untuk kita sama-sama jadikan Baginda sebagai contoh kehidupan seharian kita, dan kisah di atas itu hanya sekadar contoh kenikmatan dunia yang kadang-kadang kita tidak merasakan itu suatu kemewahan kerana ia sudah menjadi perkara biasa dalam hidup kita, jangan kita terperangkap dengan tipu daya syaitan durjana…

Sebagaimana kita tahu, kehidupan Rasulullah SAW amat sederhana, Baginda Rasulullah SAW memandang jijik orang-orang yang angkuh dengan kekayaan, dengan kata-kata Baginda melalui Aisyah : ”Aku ditawarkan oleh Allah untuk menukarkan batu-batu kerikil sekeliling Makkah menjadi emas tulin; dan aku menjawab : ”Ya Allah! Apa yang ku pohon adalah kelaparan sehari, dan kelegaan di sehari kemudiannya. Di hari kelaparanku, aku mengingati~Mu, dan di hari kelegaanku, aku bersyukur pada~Mu.”

“Apalah ertinya kekayaan dunia kepadaku? Aku adalah seumpama pengembara yang berehat di bawah lindungan keredupan bayangan pepohon; tatkala matahari membenamkan diri, keredupan bayangan pun menghilang; dan tidak datang lagi. Ya Allah! Biarkanlah aku mati dalam kemiskinan; bangkitkanlah aku dikalangan orang-orang yang miskin!”

Beberapa bulan lamanya dapur rumah Rasulullah SAW tidak berasap, menyebabkan Baginda dan ahli-ahli keluarganya tidak mempunyai makanan selain kurma kering, dan air minuman biasa penghilang dahaga. Ketika kelaparan begitu memedihkan, Baginda menerimanya sebagai ujian, yang dihadapi dengan penuh kesabaran. Ketika wafatnya, Baginda Rasulullah SAW tiada memiliki simpanan makanan walaupun sepiring gandum.

Kesihatan tubuh badannya dijaga pelihara, kelegaan hidup dinikmati dalam keadaan yang sentiasa bersih dan berwudhuk. Alas tidurnya adalah helaian tikar yang sering meninggalkan kesan di badannya ketika berbaring. Bantalnya terbuat daripada himpunan dedaun kurma sementara katilnya terbuat dari kain gebah yang terlipat dua. Suatu malam, Aisyah melipat kain gebah itu menjadi empat lipatan, dan Rasulullah SAW tidak menyenanginya lalu meminta supaya dilipat sebagaimana biasanya.

Sebelum wafat, Baginda Rasulullah SAW membebaskan semua hamba abdinya, dan menyedekahkan milik kepunyaannya yang masih berbaki. Pertemuan dengan Allah kelak tidak mahu di cacati dengan kilauan emas perak dalam simpanan. Di rumah kediamannya, terdapat hanya tiga puluh cupak gandum, yang di perolehi sesudah meletakkan baju perisai sebagai sandaran.

Apapun jua, kekuasaan, kekayaan, dan kemewahan yang di anugerahi Allah hendaklah dijuruskan ke jalan yang diredhai~Nya, sebagai pencipta dan pemilik makhluk dan alam semesta, dan jangan sesekali kita lalai sehingga kita hanyut dengan nafsu godaan syaitan.

Wallahu'alam.

(Dipetik dari Sirah Muhammad SAW)

Friday, October 21, 2011

Takbir Hari Raya


بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum…

Alhamdulillah, segala puji-pujian hanya untuk Allah Yang Maha Esa kerana atas limpah kurnia dan kasih sayang~Nya serta selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dan ahli keluarganya serta para sahabat dan orang-orang yang mengikutinya hingga ke hari kiamat.

Tidak lama lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Eidul Adha atau Hari Raya Korban, maka eloklah kita peringatkan kembali ilmu yang pernah kita pelajari iaitu Takbir Hari Raya. Takbir Hari raya terbahagi kepada dua jenis iaitu Takbir Mursal dan Takbir Muqayyad. Takbir adalah sunat pada kedua-dua hari raya dan jika tidak dilakukan amatlah rugi kerana ianya merupakan syiar Islam dan melahirkan rasa syukur kita Allah SWT. Firman Allah: "Dan sempurnakanlah ibadah puasa kamu mengikut bilangan hari dalam bulan Ramadhan (29 atau 30 hari), dan bertakbirlah (membesarkan Allah) atas petunjuk~Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur." [QS Al-Baqarah : 185]

Rasulullah s.a.w. menyarankan umat Islam menyambut hari raya dengan banyak memuji kebesaran Allah. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: “Hiasilah hari raya (Aildilfitri dan Aldiladha) kamu dengan takbir, tahlil, tahmid dan taqdis (mengingati dan mengagungkan Allah).” [Hadis riwayat al-Thabrani]

Takbir Mursal atau Muthlaq (المرسل أو المطلق) iaitu takbir yang tidak terikat dengan sesuatu keadaan di mana ia dilaungkan dengan suara yang kuat di jalan-jalan raya, di masjid-masjid, di pasar-pasar, di rumah dan sebagainya di waktu siang atau malam. Kita disunatkan bertakbir bermula dari terbenamnya matahari pada hari akhir Ramadan sehingga Imam memberi salam pada solat sunat Hari Raya Fitri. Begitulah juga halnya pada hari raya korban, bertakbir disunatkan selepas selesai melaksanakan solat maghrib sehingga khatib selesai membaca khutbah pada pagi hari raya korban.

Disunatkan menghidupkan malam dua hari raya (yakni hari raya fitrah dan hari raya korban) dengan ibadah sama ada mengerjakan solat-solat sunat, membaca al-Quran, bertakbir, berzikir dan sebagainya. Ini kerana terdapat hadis di mana Nabi s.a.w. bersabda; “Sesiapa menghidupkan malam hari raya fitrah dan malam hari raya korban, nescaya tidak akan mati hatinya pada hari mati hati-hati”. [Riwayat Imam at-Thabrani dari ‘Ubadah r.a.]

Takbir Muqayyad (المقيد) iaitu yang dilaungkan selepas menunaikan solat-solat fardu atau sunnah, baik adaan mahupun qadhaan, solat jenazah dan solat yang dinazarkan. Bagi kita yang tidak mengerjakan haji takbir boleh dilaungkan bermula selepas azan subuh Hari Arafah 9 Zulhijjah dan berakhir pada 13 Zulhijjah (hari Tasyrik) selepas solat asar, sementara orang sedang mengerjakan haji bertakbir sejak Zohor Hari Raya Haji hingga Subuh akhir hari-hari Tasyrik. Imam Ramli dan Imam Hajar berselisih pendapat tentang permulaan takbir bagi orang yang tidak mengerjakan haji. Imam Ramli mengatakan takbir boleh dimulakan selesai kita solat sunat subuh, sementara Imam Hajar mengatakan takbir dimulakan selepas daripada kita menunaikan fardhu solat subuh. Apapun kedua-dua pendapat mereka boleh digunakan.

Diriwayatkan dari ‘Ali dan ‘Ammar r.a. yang menceritakan; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. bertakbir bermula dari hari ‘Arafah (selepas) solat subuh dan memutuskannya (yakni berhenti bertakbir) selepas solat asar hari terakhir Tasyriq”. (Riwayat Imam al-Hakim. Menurut Imam al-Hakim; hadis ini sanadnya soheh)

Kepentingan Takbir

1. Satu syiar bagi menzahirkan rasa gembira dan tanda bersyukur kepada Allah.
2. Tanda kemenangan melawan hawa nafsu mazmumah sepanjang Ramadan.
3. Lambang penyatuan dan kekuatan ummah melalui roh takbir, kerana umat Islam, membesarkan Allah dan melaungkan takbir yang sama di seluruh dunia.
4. Laungan takbir menyejukkan jiwa, menenangkan fikiran dan melapangkan hati untuk bermaafan.
5. Takbir dan tahmid dianggap penyubur ukhuwah dalam mengukuhkan ikatan jalinan persaudaraan umat Islam.

Disunnahkan juga bertakbir ketika melihat haiwan ternak seperti unta, lembu dan biri-biri dalam hari-hari tertentu, iaitu sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah berdasarkan firman Allah SWT : "Serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaan~Nya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban)...[QS al-Hajj 22:28]

Sekian, moga Allah anugerahkan kita semua kesempatan, dapat menyambut Hari Raya Korban nanti dengan penuh rasa syukur dan tawaduk, serta memperbanyakkan amalan soleh dalam bulan Zulhijjah nanti. Moga Allah tambahkan iman dan taqwa kita dan matikan kita dalam beriman kepada~Nya.

Friday, October 14, 2011

Takut dan bimbang


بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin~Nya dapat kita bersua lagi di ruang ini. Selawat dan salam kita ucapkan buat junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. dan didoakan semoga teman semua di dalam keadaan sihat sejahtera.

Setiap yang bernafas pasti mati. Hidup di dunia ini sementara dan sekejap sahaja. Kalau senang pun sementara dan sekejap. Kalau susah pun sementara dan sekejap. Akhirat pula jauh lebih besar dan kekal buat selama-lamanya.

Kalau senang ertinya mendapat syurga yang merupakan kebahagiaan hakiki yang tidak dapat dibayangkan. Kalau susah pula ertinya neraka yang merupakan seksaan hakiki. Azabnya amat dahsyat yang tidak dapat dibandingkan dengan apa pun. Api neraka bukan macam api lilin. Api lilin yang paling kecil pun tidak upaya siapa pun yang menahan kepanasannya. Sedangkan seringan-ringan api neraka, berpijak atas baranya sahaja sudah mendidih otak di kepala. Kalau memahami hakikat ini janganlah memburu kesenangan yang sedikit di dunia ini, hingga sanggup menderhakai Tuhan. Dan janganlah kerana takutkan kesusahan yang sedikit di dunia ini, hingga sanggup derhaka kepada Tuhan.

Di sinilah perlunya kita rasa takut dan bimbang terhadap Tuhan yang diri kita dalam genggaman~Nya. Kita tidak tahu apa sukatan Tuhan yang bersifat maknawiyah ke atas kita. Semoga dengan kekal rasa takut dan bimbang, maka Tuhan rahmati kita hingga di hari pertemuan dengan~Nya.
  • Ada manusia yang Tuhan beri petunjuk dan pimpinan~Nya. Dia berada dalam kebenaran dan kebaikan dari awal hingga akhir hidupnya.
  • Ada manusia yang di awal hidupnya dalam kesesatan. Manakala di akhir hidupnya Tuhan beri petunjuk dan pimpinan~Nya dan berada dalam kebenaran.
  • Terdapat manusia yang di awal hidupnya dalam kebenaran tetapi di akhir hidupnya dalam kesesatan.
  • Terdapat pula manusia yang dari awal hingga akhir hidupnya dalam kesesatan.
Kita tidak tahu kategori mana yang menimpa nasib kita. Nasib kita belum diketahui. Sanggupkah kita berhadapan dengan Allah SWT di akhirat kelak dalam kesesatan. Sedangkan dunia ini ibarat mimpi saja berbanding akhirat. Sebab itu Allah SWT ulang banyak kali dalam Al Quran dengan maksud, "Dan akhirat itu lebih baik dan kekal." Lebih baik yang Allah SWT istilahkan itu tidak boleh di fahamkan maksudnya menurut bahasa. Lebih baik yang Allah SWT maksudkan itu menurut pengertian~Nya. Kalau lebih baik itu disudut sedapnya rasa makanan, kelazatan di akhirat nanti tidak dapat dibayangkan, malah rasa lazat itu kekal hingga beribu tahun. Hingga kelazatan makanan itu berlapis dan bertindih. Ini belum lagi digabungkan dengan kelazatan dari sumber yang tidak terbatas banyaknya.

Allah, Pencipta segalanya dalam diri kamu dan di sekitar kamu, memiliki kekuasaan yang tak terbatas. Allah menciptakan kita dan memerintahkan kita untuk menghormati~Nya dan berlaku baik seperti yang dituntun dalam Al Qur'an. Yang dituntut oleh Allah dari kita adalah ibadah. Puasa, solat, bersyukur kepada Allah, sabar, dan melakukan amal saleh adalah beberapa bentuk ibadah.

Tetapi sebahagian besar orang, meskipun sedar dengan tanggung jawab mereka, tidak mahu menerimanya. Kerana kesombongan mereka yang parah, mereka merasa sulit untuk tunduk kepada Allah. Mereka tidak mahu mendengarkan perkataan Allah kerana mereka menganggap diri mereka sangat penting. Kerana tidak mahu menerima bahawa Allah telah menciptakan mereka, mereka berani membangkang kepada Allah. Meskipun Allah-lah yang telah memberi mereka hati, telinga, kesihatan, dan pendeknya, segala hal di dunia ini, mereka tidak merasa bersyukur kepada~Nya untuk seluruh kurnia ini.

Tetapi orang-orang ini akan merasa sangat menyesal. Tidak bersyukur dan sombong akan membuat mereka menjalani hidup yang sukar di dunia dan penyesalan yang dalam di akhirat. Tidak bersyukur (kufur) yang mereka tunjukkan di dunia ini akan membawa mereka pada api neraka.

Setiap orang yang tidak mahu merasakan sesal di kemudian hari sehingga masuk neraka, pastilah bersyukur kepada Allah. Allah menginginkan agar kita bersyukur kepada~Nya dan berdoa serta beribadah kepada~Nya, sebagai bentuk syukur atas nikmat yang telah diberikan~Nya untuk kita. Oleh kerana itu, jika kita melihat nikmat yang sempurna dan indah di sekitar kita (yang tidak akan pernah ada dengan sendirinya), kamu harus mengingat Allah dan merasa bersyukur kepada~Nya. Janganlah menjadi orang yang tidak mampu memperhatikan dan menghargai segala nikmat yang diberikan untuk kita.

Dalam Al Qur'an, Allah memerintahkan kita untuk melakukan berbagai ibadah, selain bersyukur kepada Allah. Melakukan solat lima kali sehari, berpuasa pada bulan Ramadhan, membayar zakat, dan menunaikan haji (sekali seumur hidup) jika mampu adalah bentuk ibadah yang diwajibkan oleh Allah atas kita.

Solat lima waktu sehari-semalam dan menjaga solat tersebut sepanjang hidup kita, dalam keluarga mahupun dalam masyarakat membantu kita untuk terus mengingat kelemahan kita sebagai hamba di depan Allah. Ini adalah bentuk ibadah yang ditunaikan pada waktu-waktu tertentu. Allah memberi tahu kita dalam Al Qur'an bahawa bentuk ibadah ini membantu kita untuk menjauhi perbuatan buruk yang tidak disukai oleh Allah.

Berpuasa juga merupakan bentuk ibadah yang diperintahkan dalam Al Qur'an. Selama bulan Ramadhan, Allah mewajibkan agar kita tidak makan dan minum di siang hari. Dengan menunaikan ibadah ini, kita akan menunjukkan kesabaran untuk tidak makan dan minum dalam jangka waktu tertentu.

Membayar zakat, merupakan pemberian sebahagian harta kita kepada orang miskin dan yang memerlukan serta orang lain yang boleh menerimanya. Seperti bentuk ibadah yang lain, menunaikan zakat sangatlah penting kerana menghindari perbuatan jahat dan menunjukkan sikap rela berkorban adalah sifat yang diredhai oleh Allah. Di samping itu, membayar zakat memperbaiki hubungan sesama manusia dan menguatkan jiwa.

Wallahu'alam...

Friday, October 07, 2011

Jalan selamat menuju~Nya


بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum…

Alhamdulillah bersyukur kita kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin~Nya dapat kita bersua lagi di dalam ruang tanpa sempadan ini. Selawat dan salam diucapkan buat junjungan Nabi s.a.w. serta keluarganya, sahabat-sahabat Baginda, para tabiin dan mereka yang mengikuti Baginda hingga hari kiamat.

Apa saja yang dilakukan dalam kehidupan ini, hakikatnya adalah menjejaki jalan kembali kepada Allah. Sepanjang berjalan, ujian tidak kunjung padam, muncul dari berbagai penjuru, bentuk dan kesannya. Segalanya tertuju kepada hati insan. Ada kalanya kita rebah, ada kala mampu bertahan malah menumpaskannya, berulang-ulang silih berganti. Di kala itu, barulah kita sedar bahawa jatuh bangun kita dalam mencari jalan pulang kepada Allah adalah suatu perjuangan yang serius, sulit dan menyukarkan namun begitu signifikan. Bersabarlah dalam menempuh badai ujian. Harapan yang tinggal hanya kepada Allah. Jangan sama sekali meremehkan bantuan Allah, kelak malapetaka pasti menimpa.

Jalan dan cara menuju keselamatan dan kebahagiaan abadi adalah dengan cara mendekatkan diri kepada Allah Yang Maha Benar, Allah telah mengajar makna kedekatan itu kepada kita. Dia mengajar kita melalui utusan~Nya yakni para Rasul sehingga kita berkata "Kami Beriman." Itulah kebenaran. Kita menerima dan membenarkannya. Tugas kita kemudian hanyalah mengikuti ajaran dan teladan Nabi~Nya lahir dan batin.

Laksanakan segala perbuatan-perbuatan yang telah Allah wajibkan bagimu. Kemudian, laksanakan apa yang telah Allah hukumkan sunat bagimu seperti yang telah dicontohkan oleh Nabi. Lalu, mulai apa yang telah Dia serahkan kepadamu sebagai perbuatan sukarela, perbuatan-perbuatan baik yang dapat diterima. Bantulah orang-orang yang memerlukan. Lakukanlah apa saja yang membawa mendekatkanmu kepada Allah dalam ibadah dan solatmu.

Jangan habiskan usiamu dalam usaha-usaha yang hampa. Jangan buang waktumu dalam perbincangan yang tidak berguna. Sebaliknya, renungkan dan ingatlah Allah. Bacalah Al-Quran. Bimbinglah orang yang tersesat ke jalan yang terang benderang. Bantulah orang lain meninggalkan kejahatan dan alihkan mereka kepada perbuatan baik. Perbaiki persahabatan yang rosak. Bantulah orang lain untuk membantu satu sama lain.

Bersihkan dan hiasilah siang dan malammu dengan ibadah. Tuhan Yang Maha Pemurah memanggilmu ke hadrat~Nya sebanyak lima kali sehari. Dirikan solatmu pada waktu-waktu Dia memanggilmu. Setiap kali selesai solat, buatlah perhitungan di atas tindakan-tindakanmu sejak solat yang terakhir didirikan. Dengan demikian diharapkan ruang senggang di antara waktu-waktu solat itu hanya terisi dengan perbuatan-perbuatan yang baik dan tindakan-tindakan yang sesuai bagi seorang Islam.

Berhati-hatilah, kerana jika ada cinta dunia berakar kuat dalam hatimu, ia akan menyesakkan hatimu dan ia akan menjadi sangat sukar untuk dicabut dan dibuang keluar. Dunia ini adalah dasar ujian, jangan cari kesenangan dan kekayaan di dalamnya. Biarlah sedikit makan. Itu akan meninggalkan lebih banyak ruang dalam hatimu dan akan meningkatkan hasratmu untuk berdoa dan taat. Ia akan membuatmu lebih aktif, bingkas dan tidak malas.

Jauhi tidur sebelum kamu benar-benar mengantuk. Jangan makan sebelum kamu merasa lapar. Berpakaianlah hanya untuk menutup aurat tubuhmu dan untuk melindunginya daripada dingin dan panas. Biasakanlah membaca al-Quran setiap hari. Peganglah al-Quran dengan hormat ketika membacanya. Peganglah ia dengan tangan kirimu setinggi dadamu dan gerakkan tangan kananmu menyusuri bait-bait yang baca. Bacalah sekadar kamu dapat mendengar suaramu sendiri.

Dunia ini adalah tempat persiapan. Di dalamnya kita diberi banyak pelajaran dan menempuh banyak ujian. Pilihlah yang sedikit di atas yang banyak. Puaslah dengan apa yang kamu miliki, walaupun itu lebih sedikit berbanding dengan apa yang dimiliki orang lain. Sesungguhnya, lebih baik memiliki yang sedikit.

Dunia ini tidaklah buruk, sebaliknya ia merupa ladang akhirat. Apa yang kamu tanam di sini akan kamu tuai di sana. Dunia ini adalah jalan menuju berkah yang abadi dan kerana itu ia baik, layak didamba dan dipuji. Yang buruk adalah dengan memperlakukan dunia sehingga kamu menjadi buta kepada kebenaran dan dikuasai sepenuhnya oleh hasrat, keinginan dan cita-citamu kepadanya. Nabi s.a.w. sumber kearifan, pernah ditanya, "Apakah keduniaan itu?" Baginda menjawab, "Apa saja yang membuatmu lalai dan lupa kepada Tuhanmu."

Belajarlah untuk memberi, baik ketika banyak atau pun sedikit, baik saat suka mahupun duka. Ini menjadi bukti imanmu kepada Allah. Cubalah memenuhi keperluan orang yang memerlukannya. Ini merupakan penegasan bahawa Allah telah menentukan kadar keperluan jasmani seseorang dan tidak ada yang akan mengubahnya. Ini merupakan bukti tawakalmu kepada Allah.

Yang paling utama, yang kamu perlukan adalah adab yang tinggi, akhlak yang baik dan sikap yang wajar. Kamu wajar mengenali sifat-sifatmu yang buruk dan membersihkan dirimu daripadanya. Hubunganmu dengan siapa pun haruslah dilandasi dengan tingkahlaku terbaik, namun hal ini mungkin berbeza mengikut kesesuaian keadaan dan persekitaran.

Demikian, moga kita boleh mengambil manfaat yang banyak dari sebahagian pesan-pesan Al-Imam Sheikh Abu Bakr Muhammad ibn al-Arabi al-Hatim al-Tai.

Wallahu'alam..