Friday, November 21, 2014

Adab bertandang...


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين


Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:
"Janganlah kamu datang ke rumah orang berhadapan pintunya, tetapi datanglah dari bahagian tepinya dan
mintalah izin, jika diizinkan untuk kamu, masuklah, kalau tidak, baliklah."
[Riwayat At-Tabrani]

Huraian Hadith:

1. Semulia-mulia manusia adalah mereka yang beradab dan tahu
tata tertib setiap perkara yang dilakukannya.

2. Islam mengambilkira segala hal yang bersangkutan dengan kehidupan manusia
termasuklah aspek hubungan sosial mereka dan mengajarkan adab-adab yang
tertentu demi mewujudkan suasana masyarakat yang aman dan harmoni.

3. Adab dalam berziarah contohnya disebutkan secara terperinci iaitu:

a) Memberi salam terlebih dahulu.

b) Mengetuk pintu perlahan-lahan dan tidak melebihi tiga kali.

c) Berdiri bersebelahan pintu kerana dibimbangi jika
yang membuka pintu itu adalah orang yang bukan muhrim.

d) Tidak masuk melainkan setelah mendapat keizinan.

e) Tidak mengintai atau mengendap ke dalam rumah.

f) Duduk di tempat yang disediakan kerana tuan rumah lebih
maklum tentang keadaan rumah mereka.

4. Berkunjung sebagai tetamu hendaklah memilih masa yang sesuai agar ia tidak
menimbulkan keberatan kepada tuan rumah lebih-lebih lagi jika kedatangan tersebut
didapati mengganggu urusan penting yang hendak dilaksanakannya.

Wallahu a'lam..

Friday, November 14, 2014

Pesanan buat umat akhir zaman..


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين


Daripada Abi Nijih 'Irbadh bin Sariyah r.a. berkata,
"Telah menasihati kami oleh Rasulullah s.a.w. akan satu nasihat yang menggetarkan hati kami
dan menitiskan air mata kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata, Ya Rasulullah,
Seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali maka berilah pesanan kepada kami."
Lalu baginda pun bersabda, "Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah
dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang
hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti ia akan melihat
perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah
para khulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin (Khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan
mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunah-sunah itu dengan gigi geraham
dan jauhilah perkara-perkara yang baru (bid'ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya
tiap-tiap bid'ah itu adalah sesat." (H.R. Abu Daud dan Tirmizi)


KETERANGAN

Hadis di atas mengandungi pesanan-pesanan yang sangat berharga daripada Rasulullah s.a.w.
bagi umatnya, terutama bila mereka berhadapan dengan zaman yang penuh dengan kacau bilau
dan perselisihan iaitu seperti zaman yang sedang kita hadapi sekarang ini. Oleh itu sesiapa
yang mahu selamat maka hendaklah ia mengikuti tunjuk ajar yang telah disabdakan oleh
Rasulullah s.a.w. dalam hadis, iaitu:

Pertama: Hendaklah ia menlazimi takwa kepada Allah dalam keadaan apa jua dengan mengerjakan
segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan~Nya.

Kedua: Mentaati perintah pihak yang menguruskan hal ehwal kaum muslimin walaupun seandainya
mereka terdiri daripada golongan hamba, selama mereka berpegang dengan Al-Quran dan sunnah
Nabi s.a.w. dan sunnah-sunnah kulafa Ar Rasyidin, kerana patuh kepada penguasa yang mempunyai
sifat-sifat ini bererti patuh kepada Al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w.

Ketiga: Berpegang teguh kepada sunnah Nabi s.a.w. dan sunnah para kulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin
(Abu Bakar, 0mar, Osman dan Ali r.a.) yang mana mereka telah mendapat petunjuk daripada Allah Taala,
iaitulah berpegang kepada fahaman dan amalan ahli sunnah waljamaah yang mana hanya penganut fahaman
ini sahaja yang mendapat jaminan selamat daripada api neraka dan yang bertuah mendapatkan syurga
pada hari kiamat nanti.

Keempat: Menjauhi perkara-perkara bid'ah dholalah, iaitu apa jua fahaman dan amalan yang ditambah
kepada agama Islam yang sempurna ini, pada hal tidak ada dalil atau asal dan contoh dari agama.
Sekiranya ada asal atau dalil, maka tidaklah perkara-perkara yang baru itu dikatakan bid'ah menurut
pengertian syarak (bukan bid'ah dholalah) tetapi hanya dinamakan bid'ah menurut pengertian loghat
atau bahasa sahaja (iaitulah bid'ah hasanah).

Wallahu a'lam..

Diambil dari Kitab Hadis Akhir Zaman

Friday, November 07, 2014

Zikir pada hari Jumaat...


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين


Seluruh zikir yang dibaca pada hari lain juga dibaca hari Jumaat.
Anjuran supaya banyak berzikir dan berselawat kepada Rasulullah s.a.w.
menjadi lebih kuat pada hari Jumaat berbanding dengan hari yang lain.


Dalam Kitab Ibnu Sunni, Anas r.a. berkata, Nabi s.a.w. bersabda,

مَنْ قَالَ صَبِيحَةَ يَوْمِ الْجُمُعَةِ قَبْلَ صَلَاةِ الْغَدَاةِ
أَسْتَغْفِرُ اللهَ الَّذِي لَا اِلَهَ إِلَا الله هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ
ثَلَاثَ مَرَّاتٍ غَفَرَ اللهُ ذُنُوبَهُ وَلَوْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ



Siapa yang pada pagi Jumaat sebelum solat subuh mengucapkan,
"Aku memohon keampunan Allah yang tiada tuhan yang patut disembah
selain Dia yang Maha Hidup lagi Maha Menghidupkan dan aku bertaubat
kepada~Nya" sebanyak tiga kali, pasti Allah mengampuni dosa-dosanya
walaupun sebanyak buih di lautan.


Dianjurkan membanyakkan doa pada hari Jumaat bermula dari terbit fajar
sehingga tenggelam matahari dengan harapan dapat menepati waktu dimakbulkan
doa. Ada banyak perbezaan pendapat mengenai waktu doa dimakbulkan pada
hari Jumaat. Satu pendapat mengatakan, selepas terbit fajar dan sebelum
terbit matahari. Pendapat lain mengatakan, selepas terbit matahari. Pendapat
lain mengatakan, selepas gelincir matahari. Pendapat lain lagi mengatakan,
selepas waktu asar. Ada pendapat lagi mengatakan, selain waktu-waktu itu.


Yang benar malah paling benar daripada yang lain adalah apa yang disampaikan
dalam Sahih Muslim daripada Abu Musa al-Asy'ari, daripada Rasulullah s.a.w.
bahawa waktu itu ialah waktu di antara duduknya imam di atas mimbar sehingga
salam dalam solat.


Wallahu a'lam


Rujukan Kitab Keagungan Zikir dan Doa Harian Rasulullah karangan Imam Nawawi.