Friday, April 03, 2015

Hati seperti batu..


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين


Allah SWT berfirman,

Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya,
kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin
(tidak bertanah lagi). (Surah Al-Baqarah 2:264)


Allah mengumpamakan hati orang yang riak sama seperti batu licin yang terdapat
tanah di atasnya. Apabila ditimpa hujan yang lebat, maka akan lenyaplah semua
yang ada pada batu itu tidak tersisa sedikit pun.

Begitulah halnya dengan hati kita. Ketika hati disirami dengan perasaan riak, segala amalan
penyubur hati yang diamalkan sebelum ini akan hilang begitu sahaja. Apa yang tinggal hanya
seketul hati yang tidak bermakna di sisi Allah SWT. Hatinya menjadi keras laksanakan batu.
Tidak ada sinaran iman, bahkan tiada sifat khusyuk dalam hatinya.

Amalan yang baik sebenarnya dapat membentuk dan menyuburkan hati.
Jikalau ada perasaan riak di hati, segala amalannya menjadi sia-sia.
Tidak ada ganjaran pahala diberikan sedikit pun oleh Allah SWT.
Apa yang mereka peroleh hanya pujian dan sanjungan manusia semata-mata.

Syeikh As-Sya'rawi dalam kitab tafsirnya menjelaskan sebab mengapa Allah SWT
membuat perumpamaan hati seperti batu. Ini kerana, hati adalah kejadian ciptaan
Allah SWT yang paling lembut. Hati tempat letaknya rahmat dan kasih sayang.
Sekiranya hati tidak dijaga dengan baik, sifat lembutnya akan hilang. Hatinya
menjadi keras umpama batu.

Hati adalah raja yang menentukan kebaikan jasad seseorang. Apabila raja bermasalah,
negara turut merasakan kesannya. Nabi Muhammad s.a.w. berkata,

Ketahuilah di dalam jasad itu ada segumpal darah, sekiranya ia baik maka baiklah
seluruh jasad, sekiranya ia buruk, maka buruklah seluruh jasad, ketahuilah bahawa ia
adalah hati." (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)


Hati yang keras mempunyai tanda-tanda yang boleh dikenali, umpamanya ketika disampaikan
ayat-ayat yang berkenaan dengan janji dan ancaman Allah, hatinya tidak terpengaruh sama
sekali, tidak mahu khusyuk atau tunduk, dan juga lalai daripada membaca al-Quran serta
mendengarkannya. Bahkan enggan dan berpaling daripadanya. Sedangkan Allah S.W.T memberi
ingatan yang ertinya, "Maka beri peringatanlah dengan al-Quran orang yang takut
dengan ancaman Ku." (Surah Al-Qaf, ayat 45)


Oleh itu, jaga dan peliharalah hati dengan sebaik-baiknya supaya tidak menjadi kotor,
hitam, keras, sakit, buta dan mati. Gilap dan bersihkannya dengan cara banyak
mengingati Allah (berzikir).

Wallahu a'lam..

*Sebahagiannya dikutip dari Kitab 7 Keajaiban Surah Al-Baqarah


5 comments:

  1. Assalammualaikum wbt
    Alhamdulillah. :)
    SEMOGA DIBERKATI. AMIN.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumusalam wbt...

      Terima kasih atas doanya...

      Delete
  2. Lembutkan hati dengan meletakkan seluruh aktiviti kehidupan hanya untuk Allah bagi mencapai kebahagiaan, kedamaian dan ketenangan agar dapat membawa jasad tuannya ke jalan selamat.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya dik, bertawakal kepada Allah dan hanya kepadaNya berserah diri akan membuahkan keberuntungan dan kete­nang­an di dunia dan di akhirat

      Delete

السلم عليكم ورحمة الله...:)

Lihatlah sudut-sudut hati kecilmu dengan pandangan yang cermat. Jika engkau mendapati sesuatu yang terpuji, maka pujilah Allah dan teruslah berlalu. Akan tetapi, jika engkau melihat sesuatu yang menjengkelkan, maka ikutilah dengan penilaian dan pemeriksaan yang baik terhadapnya.