Friday, March 27, 2015

Benar...


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين


Daripada Abdullah bin Mas'ud r.a. daripada Nabi SAW bersabda,
"Sesungguhnya kebenaran itu membawa kepada kebaikan (taat) dan kebaikan itu pula membawa ke syurga.
Seseorang itu sentiasa bercakap benar sehingga ditulis di sisi Allah sebagai orang yang bersifat benar.
Dan bahawa kedustaan membawa kepada kejahatan, dan kejahatan itu membawa ke neraka. Dan sesungguhnya
seseorang itu sentiasa berdusta sehingga ditulis (dihukum) di sisi Allah sebagai orang yang bersifat dusta.”
[ Hadis riwayat Bukhari dan Muslim ]

Pengajaran Hadith

1. Benar merupakan sifat yang mulia dan menjadi sifat wajib bagi Rasul-rasul. Begitu juga dikurniakan
balasan yang baik bagi siapa yang melazimi kebenaran. Mereka digelar sebagai al-Siddiqin.
Benar ini dibahagikan kepada tiga:

i. Benar hati dan iktikad.
ii. Benar perbuatannya.
iii. Benar perkataannya.

2. Benar yang pertama adalah yang paling sukar diikuti dengan yang kedua. Ini kerana hati yang merupakan
raja kepada badan begitu mudah terpengaruh dan menerima sebarang anasir sama ada daripada pengaruh syaitan
atau nafsu. Justeru, hendaklah kita melazimi sifat benar supaya kehidupan menjadi lebih harmoni.

3. Benar dalam percakapan, janji, perbuatan atau tindakan dalam perkhidmatan atau tugas amat diperlukan.
Ini kerana benar boleh merungkai banyak kemelut kehidupan. Bukan itu sahaja tetapi dapat menenangkan hati
hati-hati manusia.

4. Kita hendaklah sentiasa bercakap benar kerana benar pendorong kebaikan dan menjauhkan diri
daripada berdusta kerana dusta pendorong kejahatan.

5. Fadilat (kelebihan) benar (as-Sidiq) membawa keuntungan di dunia dan di akhirat,
sebaliknya pula dusta membawa kerugian di dunia dan di akhirat.


Wallahu a'lam


Friday, March 20, 2015

Melangkah pergi tanpa pesan..


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين


Dua hari lepas ketika melangkah pulang dari kolam renang, dikejutkan dengan berita kepulangan
suami sepupu saya ke rahmatullah. Dikhabarkan mereka sedang bersarapan di rumah mereka, tiba-tiba
suaminya rebah pengsan dan terus menemui ajalnya. Begitu mudah dan mendadak namun pengakhiran hidup
tanpa dapat berpesan apa-apa kepada isterinya.

Begitulah kehidupan kita umat manusia semua, sudah dirangka akan kematian kita dan tiba waktunya
maka pergilah kita menemui yang Maha Esa, samada kita bersedia ataupun tidak. Allah SWT berfirman
yang bermaksud, “Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu; maka apabila telah datang waktunya mereka
tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) memajukannya.” (QS. Al A’raf: 34)

Apa yang kita boleh ambil pengajaran dari kematian mendadak seperti yang saya ceritakan di atas ialah
janganlah bertangguh dalam perkara suruhan Allah SWT dan segala larangan~Nya. Saat kematian tiba maka
kesempatan beramal telah habis. Manusia akan mendapatkan balasan dari amal-amal perbuatannya di alam kubur,
berupa nikmat atau azab kubur. Dan ketika sudah terjadi kiamat, dia akan dibangkitkan dan
mempertanggungjawabkan segala amal perbuatannya di hadapan Allah.

Sewajarnya kita sentiasa beringat dan segera kembali kepada Allah dan bertaubat kepada~Nya,
sebelum kematian itu menjemput kita.
Imam al-Bukhari pernah berkata,
Peliharalah waktu ruku’mu ketika senggang.
Sebab, boleh jadi kematian akan datang secara tiba-tiba.
Betapa banyaknya orang yang sehat dan segar bugar,
Lantas meninggal dunia dengan tiba-tiba.

Ingatlah kematian yang mendadak itu tidak harus dicela kerana bahawa kematian mendadak yang dialami seorang mukmin
adalah kebaikan baginya. Dia merdeka dari hiruk pikuk dunia yang menjemukan dan terbebas dari fitnah-fitnahnya.
Dari Abdullah bin Mas’ud radliyallah ‘anhu, dia berkata, “Kematian mendadak merupakan keringanan bagi seorang
mukmin dan kemurkaan atas orang-orang kafir.” Ini adalah lafaz Abdul Razaq dan al-Thabrani dalam al-Mu’jam al-Kabir,
sedangkan lafaz Ibnu Abi Syaibah, “Kematian mendadak merupakan istirahat (ketenangan) bagi seorang mukmin dan
kemurkaan atas orang kafir.” (HR. Abdul Razaq dalam al Mushannaf dan al-Thabrani dalam al-Mu’jam al-Kabir)

Mari kita persiapkan bekalan kita untuk menempuh perjalanan panjang yang tidak akan pernah berakhir di
dunia dan akhirat. Penyesalan di akhirat kelak tidak ada gunanya, masa lalu tidak akan pernah kembali,
masa yang akan datang pasti terjadi. Bersiaplah menghadap berbagai perubahan yang akan kita alami sepanjang
perjalanan hidup yang amat panjang dan melelahkan ini. Berbekallah sebaik baik bekal adalah TAQWA.

Wallahu a'lam..

Friday, March 13, 2015

Tiga golongan yang paling menyesal di akhirat..


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين


Sebahagian Ulama berkata,

Orang yang paling menyesal di akhirat ada tiga golongan, iaitu:

Pertama, seorang tuan yang mempunyai hamba lalu diajarkannya syariat Islam
kepadanya sehingga hamba itu menjadi orang yang baik dan taat, sementara orang
itu sendiri tetap melakukan maksiat.

Pada Hari Kiamat, hambanya masuk syurga sedangkan dia masuk ke neraka. Dia berkata,
"Alangkah rugi dan bodohnya aku. Bukankah dia adalah hambaku; aku yang berkuasa
akan apa yang ada pada dirinya dan aku berkuasa pada seluruh hartanya. Namun mengapa
dia bahagia sementara aku celaka seperti inu?" Lalu dijawab oleh malaikat,
"Hambamu menjadi orang baik dan berbuat baik, sedangkan kamu tidak."

Kedua, orang yang mencari harta tetapi dia menderhakai Allah SWT dalam mengumpulkan
dan tidak didermakan pada jalan Allah SWT sehingga dia meninggal dunia, lalu hartanya
diserahkan kepada ahli warisnya. Kemudian harta itu digunakan dengan sebaik-baiknya oleh
pewarisnya; mentaati Allah SWT dalam membelanjakan hartanya serta didermakannya pada
jalan Allah SWT.

Oleh yang demikian, di akhirat pewarisnya masuk syurga sementara orang yang mempunyai
harta itu sendiri ke neraka. Dia berkata, "Alangkah rugi dan bodohnya aku. Bukankah itu
hartaku, namun harta itu tidak menjadikan keadaan dan perbuatanku menjadi baik."
Lalu dijawab malaikat, "Pewarismu mentaati Allah SWT dan mendermakannya pada jalan Allah,
sedangkan kamu tidak. Oleh yang demikian, dia sekarang menjadi orang yang berbahagia
sementara kamu celaka."

Ketiga, orang yang mengajar dan mendidik suatu golongan sehingga golongan itu mengamalkan
ajarannya, sementara dia sendiri tidak mengamalkannya. Oleh yang demikian, di akhirat,
golongan itu masuk syurga sementara dia masuk neraka.

Dia berkata, "Alangkah rugi dan bodohnya aku. Bukankah itu segala usahaku menuntut ilmu,
namun ilmu itu tidak menjadikan keadaan dan perbuatanku menjadi baik." Oleh yang demikian,
dijawab oleh malaikat, "Pelajarmu telah mentaati Allah SWT dengan mengamalkan ilmu yang
engkau ajar pada jalan Allah, sedangkan kamu tidak. Oleh yang demikian, mereka sekarang
menjadi orang yang bahagia sementara kamu celaka."

Perhatikan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 44,


Maksudnya, Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan
diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?

Wallahu a'lam..

Friday, March 06, 2015

Cinta Hakiki...


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين


Orang yang ada Allah dalam hatinya akan tenang hidupnya.
Oleh itu berapa besar pun masalah yang dia ada dalam dunia ini, tak ada masalah lebih besar baginya
jika Allah yang Maha Besar ia libatkan.

Hamba yang ada Allah dalam hatinya bahkan ia tidak tertarik lagi dengan dunia.
Harta bagi mereka seperti lalat, hinggap di hidung, ditepis begitu saja.

Jadi perempuan yang BESAR, iaitulah perempuan yang Allah ada dalam hatinya.
Ia tidak mencari kesenangan, tidak mencari keredhaan melainkan daripada Allah.

Yang merasa 'bahagia' dalam hidup adalah hati. Orang yang hatinya bahagia menjadi tidak ada beza baginya
antara dia makan enak atau tidak, antara dia sakit atau sihat. Ketika berada di gurun pasir pun terasa
seperti di taman bunga. Sedang berada di mana dia, rasanya seperti di syurga. Bahagianya mereka sampai
mengalir kebahagian itu kepada orang di sekelilingnya.

Orang yang ada cinta Allah dalam hatinya, ia sudah pun berada di syurga sebelum syurga ditemuinya.

Cubalah untuk tidak menyalah atau menghujah apa yang ada di luar hidupmu tetapi tanyalah
pada jiwamu "Di mana Allah di hatimu"?

Jika dalam hatimu engkau pernah mengalami kecewa oleh cinta manusia, maka itulah cara Tuhanmu untuk
mengajarmu tentang cinta~Nya yang hakiki. Itulah sapaan-sapaan Allah kepada kita, pesanan-pesanan Allah
kepada kita, sentuhan-sentuhan Allah kepada kita. Seolah-olah diberitahukan kepada kita "HambaKu,
sekiranya engkau mencintai selain Aku, maka orang tersebut akan mengecewakanmu, akan meninggalkanmu,
walau sebesar apa pun cintanya kepadamu."

Harapan kepada Allah tidak pernah sia-sia. Tidak ada istilahnya 'sebelah tangan' dalam mencintai Allah.

Dapat menyebut nama Allah adalah anugerah.

Sudah terlalu banyak kita berbuat sesuatu untuk diri kita sehingga kita kecewa.
Walhal, yang perlu kita buat adalah "Aku ingin hidup untuk Allah!"

Pesanan - Ustazah Halimah Alaydrus