Friday, September 23, 2011

Pelihara diri dari dosa


بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum…

Alhamdulillah bersyukur kepada Allah SWT kerana memberi peluang kepada kita untuk bersua sekali lagi di ruang ini. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi Muhammad s.a.w. Saudara-saudariku sekalian, bertaqwalah kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa dengan mengerjakan segala perintah~Nya dan menjauhi segala larangan~Nya, mudah-mudahan kita semua beroleh kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Ketahuilah wahai teman-temanku sekalian di perjalanan menuju Allah, sesungguhnya kalian tidak akan sampai kepada penunaian perintah-perintah Allah kecuali dengan menjaga hati dan anggota-anggota badanmu pada setiap saat dan ketika. Allah SWT melihat bisikan hatimu. Ia mengetahui setiap lintasan yang ada pada dirimu, mengetahui setiap fikiran, setiap langkah dan apa pun juga perbuatanmu, baik kamu sedang bergerak mahupun sedang berdiam diri. Meskipun kalian berada di tengah-tengah pergaulan atau bersunyi-sunyi sendirian, adalah kesemua itu tetap berada di dalam kehadiran~Nya. Lantaran itu awasilah dirimu, jauhilah kemungkaran. Seandainya kalian melakukan kemungkaran kepada Allah, sedang kalian yakin bahawa Allah SWT melihat kelakuan kalian itu, maka kalian adalah orang yang mengejek-ngejek Tuhan.

Sebaliknya jika kalian melakukan maksiat sedangkan kalian yakin pula bahawa Tuhan tidak melihat kelakuan kalian itu, maka sebenarnya kalian adalah seorang yang kuffur. Terus-terusan mengerjakan dosa menjadikan hati hitam dan selanjutnya hati itu menjadi kelam dan keras, tidak ada kebersihan dan keheningan serta tidak akan merasa lega dan manis dalam mengerjakan ibadat.

Jika Allah tidak memberi rahmat, maka hati yang sedemikian itu akan menarik pemiliknya kepada kekufuran dan kecelakaan. Tanda hitamnya hati ialah seseorang itu tidak merasa takut dalam mengerjakan dosa, dan tidak merasa manis dengan mengerjakan ketaatan serta tidak berkesan akan nasihat.

Sungguh benar orang yang mengatakan bahawa sekiranya kalian tidak merasa kuat mengerjakan sembahyang di malam hari dan puasa di siangnya, itulah suatu tanda bahawa kalian terbelenggu oleh dosa-dosa. Bukan sahaja orang yang melakukan maksiat tidak merasakan kelazatan ibadat tetapi juga bagi orang yang bercita-cita untuk melakukannya. Oleh yang demikian, peliharalah dirimu dari melakukan sebarang dosa walaupun ianya hanyalah dosa kecil. Jauhilah ia laksana kalian menjauhkan diri dari meminum racun yang berbisa. Hendaklah kalian takut dari melakukan dosa itu lebih dari rasa takut dan gentar jika termakan racun yang akan mematikan dirimu sendiri. Padahal hati seorang mukmin itu lebih berharga dari tubuh badannya.

Teman-temanku yang dikasihi, adalah menjadi kewajipanmu untuk mengenal setiap maksiat, samada yang dilakukan oleh hatimu mahupun yang dilakukan oleh tubuh badanmu yang kasar ini. Kalian harus mengetahui penyakit-penyakit hati yang sering menyerangmu dan ubat-ubat baginya. Dengan hatimu yang mengidapi penyakit riya', ujub, takabbur, dengki, lalai dan lain-lain itu sudah tentu tidak memungkinkan kalian berjaya dalam menjalani jalan menuju Allah. Setiap anggota badanmu juga perlu dijaga. Jagalah lidahmu dari memperkatakan sesuatu yang terlarang baginya. Awasilah pendengaran dan pengelihatan yang merupakan dua pintu yang sentiasa terbuka menuju ke hati. Apa sahaja yang masuk menerusi kedua-dua pancaindera ini akan sampai ke hati. Betapa banyak perkara yang didengar dan dilihat oleh manusia dari hal-hal yang tidak patut sampai kesannya ke hati, lalu sukar pula baginya untuk menghapuskan kesan itu.

Allah SWT telah berfirman: "Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu kefasikan dan ketaqwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu. Dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya." [QS Asy-Syams : 8-10]

Berbagai jenis manusia yang melakukan dosa. Ada yang sudah berkebiasaan melanggar perintah Allah dan mengerjakan larangan~Nya sehingga tidak lagi sensitif dengan perbuatannya itu. Ada pula yang melakukan dosa kerana kelemahannya untuk mengawal dorongan nafsu sedangkan ia sendiri menyedari akan kelemahan itu. Sebagai manusia biasa kita tidak terlepas dari golongan ini. Bagaimanakah reaksi kita terhadap dosa yang dilakukan itu? Adakah kita bergembira dan berbangga? Ataupun adakah kita kita segera menyesali dengan apa yang dilakukan itu?

Wallahu'alam...

P/S : Maaf tidak berkesempatan untuk menziarahi blog teman-teman semua kerana kurang sihat.

32 comments:

  1. Assalamualaikum saudara abdul razak... semoga Allah melimpahkan rahmat dan kasih sayangNya buat saudara sekeluarga.

    PS: Semoga cepat sembuh ya sahabat!

    Ya Allah.... moga Allah pelihara kita, pelihara hati kita...dari melakukan dosa. Terutama hati... yang dalamnya kita mungkin tak sedar yang kita telah melakukan dosa. Nauzubillah...

    Allah masih bagi nafas, bagi peluang untuk kita bertaubat. Benar saudara, sudah namanya manusia, manakan pernah lari dari melakukan kesilapan dan dosa. Sama-sama kita memohon keampunan atas dosa2 yang kita lakukan sebelum pintu taubat Allah tutup. Allahualam..

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum ust. Doa kakak moga beransur sembuh. Sedikit diuji...

    Tazkirah jumaat yg menjentik naluri kita sebagai umat Islam. Kadang ada maksiat depan mata tapi kerana tiada kuasa kita (hukum dunia) maka ia berlarutan sedangkan ianya menjadi satu fardhu kifayah buat kita sebagai masyarakat. Serba-salah bila menghadapi ini semua.

    Apa yg terdaya diri dan keluarga sendiri di bimbing utk melakukan yg terbaik...

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum:)

    Moga ktk diberkatiNya dan diberikanNya kesembuhan sepenuhnya..Amin:)

    Tksh utk peringatan dari ktk tuk..
    Betapalah kita perlu berhati-hati dalam segala perbuatan kita agar tidak tersasar jauh dariNya sekaligus membawa kelalaian..

    Semoga kita tergolong di kalangan orang-orang yang bertakwa kepada Allah...

    InsyaAllah...

    ReplyDelete
  4. Waalakumsalam brother...

    Manusia hanya memikirkan nikmat dunia shj
    tanpa rasa takut pd-Nya. Bagi mereka dosa
    boleh diampunkan Allah jika kita taubat pada-Nya...

    Lumrah manusia yg mudah lupa siapa DIA disisi kita...

    Get well soon brother..

    ReplyDelete
  5. assalamualaikum,
    terima kasih kerana sudi sentiasa mengingatkan dan menasihati.
    semoga kita semua sentiasa dalam redha dan rahmatNya.

    p/s- semoga cepat sembuh, insya-Allah...

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum ya ustad,

    moga cepat sembuh.....

    moga kita tidak lupa bahawa Allah melihat kita setiap masa...

    ReplyDelete
  7. salam..
    semoga saudara sihat hendaknya..
    terima kasih peringatan itu..

    semoga menjadi pedoman pada kita
    setiap isan kerdil di bumi Allah ini

    ReplyDelete
  8. assalammualaikum saudara..moga cepat sembuh dengan izinNYA..terkesan sungguh dgn takzirah ini..terimakasih atas perkongsian..

    ” Ya Allah,teguhkanlah hatiku dalam agama Mu”.

    ” Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari kejahatan pendengaranku, dari kejahatan penglihatanku, dari kejahatan pembicaraanku (lisanku) dan dari kejahatan hatiku”.

    ” Tiada Tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau aku memohon ampun kepadaMu atas dosa-dosaku dan aku memohon rahmatMu, Ya Allah, tambahlah ilmu bagiku, janganlah Engkau condongkan hatiku kepada kesesatan setelah Engkau memberi petunjuk kepadaku dan kurniakanlah kepadaku rahmat dari sisiMu, sesungguhnya Engkau Maha pemberi kurnia”.

    ReplyDelete
  9. susah sgt nk bgn solat malam..
    kalau zaman belajar dulu rajin.. mudah..
    tp sekrang semakin lama semakin malas..
    adakah ini petanda hati mula kotor dengan debu2 dosa.. :(

    ReplyDelete
  10. assalamualaikum

    ati sering merintih mengenang setiap perlakuan dosa, malangnya ati juga sokmo tak terdaya mengalahkan bisikan nafsu dan pujukan syaitan...

    ReplyDelete
  11. --> Afida Anuar

    Wa'alaikumusalam saudari Afida...

    Semoga Allah melimpahkan nikmat kesihatan dan rahmat kasih sayangNya buat diri saudari di sana..

    Terima kasih mendoakan kesembuhan buat saya.

    Sesungguhnya Allah yang menciptakan segala maksiat dan dalam keadaan sedar kita harus menjauhinya dari kehidupan kita agar setiap langkah dan kehidupan aman bahagia baik di dunia lebih-lebih lagi di akhirat kelak.

    ***********************************

    --> Kakzakie

    Wa'alaikumusalam kak zakie dan alhamdulillah hasil dari doa kak dan juga teman-teman lain di sini, Allah telah kembalikan kesihatan saya semula.

    Tanpa kesedaran bahawa Allah sentiasa menatap kita sehingga kita akan berasa malu untuk berbuat dosa, maka selagi itulah kita sentiasa terpalit dengan dosa, apatah lagi untuk menegakkan amal makruf nahi mungkar. Moga kita diberikan kekuatan dan kesedaran.

    ***********************************

    --> Pn Kartini

    Wa'alaikumusalam kitak..:)

    Terima kasih doa untuk kamek dan semoga kitak juak dikurniakan Allah kesihatan yang berpanjangan dan keberkatan dalam apa jua urusan yang kitak buat..amin :)

    Takut kepada Allah merupakan sebuah perlindungan, dan ketahuilah mengenal Penciptamu dan mematuhi~Nya adalah satu-satunya jalan yang akan membawamu menuju kedamaian dan kebahagiaan abadi...insya Allah

    Terima kasih kitak juak..:)

    ReplyDelete
  12. Assalamualaikum...
    Moga mendapat Shifa'nya....


    AMin.

    ReplyDelete
  13. assalamualaikum...kaifa hal?

    moga hidup dan mati kita didalam iman dan islam...

    ReplyDelete
  14. --> Nur Misnan

    Dunia ini tidaklah buruk, sebaliknya ia merupakan ladang akhirat. Namun, bila kita hanya memikirkan dunia sahaja maka yang buruknya adalah atas kelalaian kita jua.

    Alhamdulillah saya dah kembali sihat

    ***********************************

    --> aku HIV positif

    Wa'alaikumusalam..

    Terima kasih kembali ya saudara

    Moga Allah kurniakan kekuatan buat kita semua dalam kita melakukan ibadah kepada~Nya..ami

    ***********************************

    --> Norsha

    Wa'alaikumusalam cikgu..

    Alhamdulillah atas kurniaan Alllah kesihatan dan moga kita tetap dalam keimanan kepada Allah SWT sehinggalah kita bertemu dengan~Nya nanti..

    ReplyDelete
  15. --> zulkbo

    Salam...

    Semoga saudara sihat juga hendaknya dan terima kasih kembali..

    Moga kesempatan yang masih ada ini kita penuhi dengan ibadah~Nya dan menjauhi segala apa yang Allah tegahkan..

    ***********************************

    --> anitaare

    Wa'alaikumusalam..

    Terima kasih mendoakan saya..

    Tiada lain jalan yang paling selamat adalah dengan mendekatkan diri kepada Allah Yang Maha Benar.

    ***********************************

    --> LadyBird

    Pujuklah hatimu dan jangan pernah merasa puas dengan keadaan kerohanianmu..
    Tingkatkanlah dan majulah tanpa henti..
    Jika ruang itu terhenti maka mudah syaitan memasukinya..
    Jangan biarkan syaitan menyelit di ruang-ruang kosong itu..

    ReplyDelete
  16. Assalamualaikum...

    Terima kasih atas peringatan...

    Semoga Ustaz cepat sembuh yer..

    ReplyDelete
  17. Salam En.Razak, tq kongsi info :)

    ReplyDelete
  18. Sesungguhnya persekitaran yang menyajikan segala macam bentuk hiburan serta pergaulan dengan orang yang salah sedikit sebanyak akan menjerat kita melakukan dosa-dosa sekiranya tanpa iman yg tebal dan kesedaran yang tinggi.

    Alhamdulillah, punyai sahabat yang sering ingat-mengingatkan antara anugerah dariNYA yg dapat membantu kita semua menjauhkan diri dari membuat dosa. mudah-mudahan kita semua terpelihara dari membuat perkara yg sedemikian itu.

    Terima kasih saudara Abd Razak!

    ReplyDelete
  19. --> cemomoi

    Wa'alaikumusalam..

    Bukanlah sesuatu yang istimewa jika seseorang merasa kurang amal, sedangkan dia benar-benar berada dalam kekurangan. Tetapi sesuatu yang istimewa adalah jika dia merasa kurang amal padahal ia telah berusaha sekuat tenaga.

    [Habib Abdullah Alawi Al-Haddad]

    ***********************************

    --> ckLah

    Wa'alaikumusalam cikgu..

    Alhamdulillah atas kurniaan~Nya, saya dah kembali sihat semula..

    Syukur ya cikgu..:)

    ***********************************

    --> CikGu Ma

    Wa'alaikumusalam...bikhair alhamdulillah..:)

    Moga Allah perkenankan permintaan kitak...amin

    ReplyDelete
  20. --> Cik SHiNJU

    Wa'alaikumusalam..

    Terima kasih juga atas doanya

    Alhamdulillah saya dah sihat...

    ***********************************

    --> sis intan

    Salam sis..

    Moga ianya mendatangkan manfaat yang banyak buat kita semua.

    ***********************************

    --> noorlara

    Kita tak punya pilihan melainkan menjauhkan diri dari persekitaran yang boleh mengugat keimanan kita dan memperbanyakkan doa agar kita sentiasa terpelihara dari kemungkaran serta dosa maksiat.

    Terima kembali saudari noorlara..

    ReplyDelete
  21. Assalamualaikum.
    Pelihara diri dari dosa dan maksiat. Sentiasa bertaubat walau merasakan diri tidak melakukan dosa. Teladani Rasul saw yang memohon keampunan Allah (taubat) lebih 100 kali dalam sehari semalam walaupun baginda seorang yang maksum.

    Moga ustaz cepat sembuh dan meneruskan dakwah siber yang suci ini.

    TQ

    ReplyDelete
  22. Assalamualaikum Saudara Abd Razak,

    Semoga saudara diberi kesihatan yang baik oleh Allah.

    Dalam usaha menjad hamba yang terbaik, kita jangan selalu mengambil 'tidak apa' atau mengambil mudah kepada dosa2 kecil yang kita lakukan kerana dari dosa2 kecil itu bila dah terhimpun akan menjadi dosa besar sudahnya.

    ReplyDelete
  23. manusia tidak dapat mengelak diri dari melakukan kesilapan maka hendaklah kita sentiasa bertaubat dan memohon ampun dari Allah.


    Semoga Razak cepat sembuh!

    ReplyDelete
  24. Dosa yg lepas, membawa penyesalan dan perubahan masa ini..
    smoga sahabat cepat sembuh yup

    ReplyDelete
  25. --> Miecyber

    Bersabarlah dengan dugaannya..


    ***********************************

    --> Admin P@P

    Wa'alaikumusalam..

    Bila kita terpelihara dari dosa dan maksiat, hati kita sentiasa tunduk dan patuh dengan perintah Allah dan sentiasa beringat akan larangan Allah.

    Alhamdulillah dah sihat kamek tok.

    TQ

    ***********************************

    --> Kunang-Kunang

    Wa'alaikumusalam Kak Ani..

    Semoga kakak juga diberi kesihatan yang baik oleh Allah.

    Benar kak, dosa kecil itu jika kerap dilakukan ianya akan memudaratkan, titik hitam di dalam hati akan bertambah lantaran dosa itu berterusan dilakukan. Moga kita terpelihara dari dosa dan noda.

    ReplyDelete
  26. --> Tirana

    Sebaik-baik manusia adalah sentiasa muhasabah diri dan sentiasa bertaubat atas dosa dan dan kesilapannya..

    Terima kasih mendoakan saya, Kak!


    ***********************************

    --> Zul Fattah

    Sebenar-benar manusia adalah yang menundukkan hawa nafsunya bukan yang tunduk kepada kemahuan hawa nafsunya.

    Syukran ya sahabat

    ***********************************

    --> IMANSHAH

    Salam...

    Terima kasih bertanya, alhamdulillah saya dah sembuh..

    ReplyDelete
  27. SALAM,
    TKASIH ATAS PERKONGSIAN. MOGA DPT BERTEMU USTAZ PADA PERTEMUAN BLOGGER 23 OKT NANTI.

    ReplyDelete
  28. Assalamualaikum,

    Rahmat Allah tetap ke atas anda, walau kurang sihat....moga bertambah sihatlah hendaknya.

    ....sentiasa berharap agar meringankan urusan saya untuk mengerjakan sembahyang pada malamnya serta puasa pada siangnya....seperti yang saudara anjurkan dalam artikel ini.

    ReplyDelete
  29. Assalamualaikum...

    Semoga Allah tidak akan jemu memberikan petunjuk kepada kita dalam menjaga diri dari melakukan dosa, sekalipun kerapkali juga kaki yang melangkah itu jatuh tersungkur.

    ReplyDelete

السلم عليكم ورحمة الله...:)

Lihatlah sudut-sudut hati kecilmu dengan pandangan yang cermat. Jika engkau mendapati sesuatu yang terpuji, maka pujilah Allah dan teruslah berlalu. Akan tetapi, jika engkau melihat sesuatu yang menjengkelkan, maka ikutilah dengan penilaian dan pemeriksaan yang baik terhadapnya.