Friday, March 13, 2015

Tiga golongan yang paling menyesal di akhirat..


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين


Sebahagian Ulama berkata,

Orang yang paling menyesal di akhirat ada tiga golongan, iaitu:

Pertama, seorang tuan yang mempunyai hamba lalu diajarkannya syariat Islam
kepadanya sehingga hamba itu menjadi orang yang baik dan taat, sementara orang
itu sendiri tetap melakukan maksiat.

Pada Hari Kiamat, hambanya masuk syurga sedangkan dia masuk ke neraka. Dia berkata,
"Alangkah rugi dan bodohnya aku. Bukankah dia adalah hambaku; aku yang berkuasa
akan apa yang ada pada dirinya dan aku berkuasa pada seluruh hartanya. Namun mengapa
dia bahagia sementara aku celaka seperti inu?" Lalu dijawab oleh malaikat,
"Hambamu menjadi orang baik dan berbuat baik, sedangkan kamu tidak."

Kedua, orang yang mencari harta tetapi dia menderhakai Allah SWT dalam mengumpulkan
dan tidak didermakan pada jalan Allah SWT sehingga dia meninggal dunia, lalu hartanya
diserahkan kepada ahli warisnya. Kemudian harta itu digunakan dengan sebaik-baiknya oleh
pewarisnya; mentaati Allah SWT dalam membelanjakan hartanya serta didermakannya pada
jalan Allah SWT.

Oleh yang demikian, di akhirat pewarisnya masuk syurga sementara orang yang mempunyai
harta itu sendiri ke neraka. Dia berkata, "Alangkah rugi dan bodohnya aku. Bukankah itu
hartaku, namun harta itu tidak menjadikan keadaan dan perbuatanku menjadi baik."
Lalu dijawab malaikat, "Pewarismu mentaati Allah SWT dan mendermakannya pada jalan Allah,
sedangkan kamu tidak. Oleh yang demikian, dia sekarang menjadi orang yang berbahagia
sementara kamu celaka."

Ketiga, orang yang mengajar dan mendidik suatu golongan sehingga golongan itu mengamalkan
ajarannya, sementara dia sendiri tidak mengamalkannya. Oleh yang demikian, di akhirat,
golongan itu masuk syurga sementara dia masuk neraka.

Dia berkata, "Alangkah rugi dan bodohnya aku. Bukankah itu segala usahaku menuntut ilmu,
namun ilmu itu tidak menjadikan keadaan dan perbuatanku menjadi baik." Oleh yang demikian,
dijawab oleh malaikat, "Pelajarmu telah mentaati Allah SWT dengan mengamalkan ilmu yang
engkau ajar pada jalan Allah, sedangkan kamu tidak. Oleh yang demikian, mereka sekarang
menjadi orang yang bahagia sementara kamu celaka."

Perhatikan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 44,


Maksudnya, Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan
diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?

Wallahu a'lam..

4 comments:

  1. Assalamu'alaikum Abd Razak

    Semoga sentiasa dalam rahmat dan redha Allah.

    Allahu Rabbi..hendaknya tehindar daripada penyesalan ini. semoga ilmu yang diperoleh dan ilmu yang diajar dapat mendatangkan manfaat.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumusalam Kak Werdah...

      Terima kasih atas doanya, semoga kakak pun demikian juga sentiasa dalam rahmat dan redha Allah SWT...aamiin

      Ya kak, matlamat kita umat Islam adalah kehidupan yang bahagia di akhirat dan peluang yang Allah kurniakan kepada kita di dunia ini seharusnya kita gunakan sebaik mungkin untuk mendapat rahmat dan redha~Nya, jangan sampai kita tergolong dalam golongan yang disebut di atas...

      Delete
  2. Ketiga-tiga golongan di atas adalah seperti lilin yg hanya membakar diri utk menerangi orang lain. Moga kita tidak tergolong dalam salah satunya. Sama-samalah kita menerangi diri sendiri dan org lain dgn mengamalkan ajaranNya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Dik...terima kasih :)

      Seharusnya kita janganlah menjadi lilin yang membinasakan diri untuk menerangi perjalanan seorang manusia. Sebaliknya jadilah seperti bulan, yang mengambil cahaya matahari untuk mengindahkan dirinya dan menerangi kegelapan malam agar ramai manusia boleh berjalan ke destinasi yang ditujui...

      Delete

السلم عليكم ورحمة الله...:)

Lihatlah sudut-sudut hati kecilmu dengan pandangan yang cermat. Jika engkau mendapati sesuatu yang terpuji, maka pujilah Allah dan teruslah berlalu. Akan tetapi, jika engkau melihat sesuatu yang menjengkelkan, maka ikutilah dengan penilaian dan pemeriksaan yang baik terhadapnya.