Friday, September 13, 2013

Memberi maaf itu mulia..


بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Haji Abdul Malik Bin Haji Abdul Karim Amarullah
(Buya Hamka) berkata:

Mari naikkan setingkat lagi.

Sudahkah kita berani memberi maaf musuh kita?
Sudahkah kita berani menghapuskan dari hati kita perasaan dendam,
kerana kesalahan teman kepada diri kita?

Membalas baik dengan jahat adalah perangai yang serendah-rendahnya.

Membalas jahat dengan jahat, bukanlah perikemanusiaan.

Membalas baik dengan baik adalah hal yang biasa.

Tetapi membalas yang jahat dengan yang baik adalah
cita-cita kemanusiaan yang setinggi-tingginya.
Kita harus sanggup hidup memberi cita-cita itu tumbuh.

Memang sakit rasanya jiwa kita sendiri tatkala membalas kejahatan dengan kebaikan.
Dalam batin kita amat hebat perjuangan nafsu jahat dengan budi yang mulia.
Nafsu membayangkan penderitaan kita kerana kesalahannya, kerugian kita kerana aniayanya.

Kais bin 'Ashim, seorang pujangga Arab berkata:

Cubalah buhulkan kembali tali yang telah putus.
Cubalah beri orang yang tidak sudi memberimu.
Cubalah memberi maaf orang yang menganiaya kamu.

Di sana baru engkau rasai apa ertinya kemanusiaan!

~~~~~

Benar, kehidupan akan hanya bererti jika insan sendiri yang berupaya mencurahkan
makna ke dalam cangkir usianya. Yang rendah, menjengkit; yang tinggi, menunduk.
Tapi, kita tidak bakal tahu juga apa maksudnya makna selagi kita masih terlupa
menyanjungi amanah khalifah di bumi.

14 comments:

  1. بسم الله الرحمن الرحيم

    السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

    Semoga Abd Razak sentiasa dalam rahmat kasih sayang dan redha-Nya..aamiin

    Beruntung jika kita dapat menghilangkan rasa jengkil dan marah serta dendam kita dan menjadi orang yang sangat-sangat tawadhuk, memaafkan tanpa dipinta.. sungguh banyak janji Allah dan RasulNya kepada kita dalam hal memaafkan orang lain.. apatah lagi Allah berjanji mengampunkan dosa-dosa kita dan menjanjikan syurga..

    "..hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani". (An-Nuur [24] : 22)

    "Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat". (Fussilat [41] : 34 - 35)

    Apa lagi yang kita mahu bukan? Kena banyak berlatih maklumlah kita ini insan yang lemah..Allah al-Musta'aan

    ReplyDelete
    Replies
    1. وَعَلَيْكُمُ السَّلاَمُ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

      Semoga kakak juga sentiasa dalam rahmat kasih sayang dan redha~Nya...aamiin

      Benar kak, tiada cacat celanya jika kita memaafkan orang.

      Rasulullah s.a.w bersabda: "Siapa yang memberi kemaafan (ke atas kesalahan orang), padahal ia mampu bertindak balas (di atas perbuatan tersebut), Allah akan memaafkannya, dihari yang susah." (Riwayat Thabrani)

      Kita perlu bijak mengendalikan perasaan marah. Jangan hendaknya membiarkan emosi mengawal diri. Marah yang tidak terkawal boleh merosakkan diri.

      Delete
  2. Assalamu'alaikum wbt...

    MasyaALLAH, Tabaarakallah..
    Na'am sahabatku, sungguh memberi maaf itu antara satu sifat yang amat terpuji, Allahurabbi! Memaafkan itu tidak sekali-kali menjatuhkan kita dalam kerendahan serta kehinaan, melainkan semakin meninggikan darjat dan kemuliaan si hamba disisi ALLAH Ta'ala...Allahuakhbar!

    Sabda Rasulullah SAW: "ALLAH tidak menambah seorang hamba yang pemaaf melainkan kemuliaan, tiada orang yang bertawadhu' kerana ALLAH, melainkan akan ditinggikan darjatnya oleh ALLAH." [HR. Muslim]

    Semoga ALLAH SWT Yang Maha Pemaaf, mengurniakan kita sifat 'pemaaf', in shaa ALLAH, Aamiin YA RABB ~

    Jazakallahu khairan kathira ya sahabat atas segala perkongsian ilmu, moga ALLAH Ta'ala berkahi, Allahumma Aamiin:)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumusalam wbt...

      Sykuran ya sahabat..:)

      Sungguh, memaafkan kesalahan orang dan meminta maaf adalah perilaku yang hebat dan membahagiakan!

      Kita sebagai hamba yang lemah, hendaklah bersedia mengampunkan kesalahan orang lain. Jika kita memaafkan kesalahan orang lain, ini bermakna kita tidak membenarkan emosi dendam itu menguasai kita. Dan akhirnya, kita akan berjiwa tenang.

      Terima kasih sekali lagi..

      Delete
  3. Assalammualikum wbt.
    Salam Ustaz. Terima kasih perkongsian ilmu bermanfaat ini.
    Semoga diberkati dan dirahmati Allah swt.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumusalam wbt..

      Terima kasih kembali cikgu..

      Jiwa kesatria ialah memaafkan kesalahan-kesalahan saudaranya.

      Delete
  4. Assalamualaikum,

    Rasulullah SWT sebaik-baik contoh teladan dalam hal ini, sentiasa memaafkan dan mendoakan yg terbaik bagi musuh...dakwah bil hal..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumusalam..

      Benar, Nabi mengajar kita menjadi manusia pemaaf agar ukhwah di antara umatnya sentiasa terjaga dan terjalin mesra.

      Delete
  5. Perkongsian yg sgt berharga...muhasabah diri semoga kita mendapat mulia di dunia dan mulia di Akhirat...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Jazakallahu khair..

      “Pada hari ini tidak ada cercaan kepada kamu, mudah-mudahan Allah mengampuni(kamu),dan DIA adalah Maha Penyayang diantara Penyayang.” (Surah Yusuf : 92)

      Delete
  6. Benar, tapi bukan senang nak mengaplikasikan ke dalam diri....

    Kais bin 'Ashim, seorang pujangga Arab berkata:

    Cubalah buhulkan kembali tali yang telah putus.
    Cubalah beri orang yang tidak sudi memberimu.
    Cubalah memberi maaf orang yang menganiaya kamu.

    Di sana baru engkau rasai apa ertinya kemanusiaan!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya memang sukar, namun tidak mustahil untuk dilakukan..

      “Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu? Dan Allah adalah maha pengampun lagi maha penyayang.” (Surah An-Nuur : 22)

      Delete
  7. Assalamualaikum wbt...

    Moga dpt dipraktikkan dlm dri yg dhaif ini...
    Terima kasih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumusalam wbt..

      Mudah-mudahan Allah kurniakan kekuatan...aamiin

      Sama-sama..

      Delete

السلم عليكم ورحمة الله...:)

Lihatlah sudut-sudut hati kecilmu dengan pandangan yang cermat. Jika engkau mendapati sesuatu yang terpuji, maka pujilah Allah dan teruslah berlalu. Akan tetapi, jika engkau melihat sesuatu yang menjengkelkan, maka ikutilah dengan penilaian dan pemeriksaan yang baik terhadapnya.