Friday, September 20, 2013

Titik peluh sendiri



بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Dari Zubair bin Awwam r.a, dari Nabi s.a.w sabdanya;


"Apabila kamu menyiapkan seutas tali, lalu pergi mencari kayu api,
kemudian dibawanya seikat kayu di punggungnya lalu dijualnya dan
Allah memberi kecukupan bagi keinginannya, itulah yang lebih baik
baginya daripada ia meminta-minta kepada orang ramai diberi
ataupun tidak." (Al-Bukhari)


HURAIAN

Orang yang berjaya ialah orang yang mampu menempuh berbagai rintangan dan
cabaran dalam hidup. Walau daripada mana ceruk asal seseorang itu,
sekiranya dia rajin berusaha maka kejayaan akan menjadi miliknya.


Bukankah rezeki Allah S.W.T ada di mana-mana. Cuma yang bakal menentukan
hanyalah ‘mahu’ atau ‘tidak’ kerana kemalasan akan menjunamkan seseorang
itu ke lembah kehinaan.


Begitu juga dengan sikap malu hendaknya biarlah bertempat. Kata orang malu
bertanya sesat jalan, malu makan perut lapar dan malu dalam mencari rezeki
alamat hidup akan melarat.


Sesungguhnya Islam memandang mulia pada manusia yang bekerja membanting
tulang empat kerat untuk mencari sesuap nasi atau rezeki yang halal
berbanding dengan mereka yang hidup meminta-minta daripada orang lain.


Wallahu a'lam...


~~~~~


Pujangga berkata;
Perbanyakkan membaca istighfar, kerana dengan istighfar akan ada rezeki,
akan ada jalan keluar, akan ada keluarga, akan ada ilmu yang berguna,
akan ada kemudahan dan akan ada penghapusan dosa.


2 comments:

  1. Assalamu'alaikum Abd Razak

    Semoga sentiasa beroleh kesejahteraan dalam redha Allah SWT..aamiin

    Kak baru selesai membaca buku Mudahnya Menjemput Rezeki.

    Memang benar Allah telah menjamin rezeki setiap makhlukNya.

    Janji Allah siapa yang bertakwa rezeki akan diperoleh tanpa disangka. Pelbagai cara boleh dilakukan untuk menjemput rezeki daripada Allah, salah sat contoh beristighfar seperti yang dinyatakan, rajin qiyamullail, bersedekah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumusalam Kak Werdah,

      Terima kasih atas doanya, moga kakak juga sentiasa beroleh kesejahteraan dalam redha Allah SWT...aamiin

      Allah SWT yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang telah menjamin rezeki untuk semua makhluknya, dari sekecil-kecilnya makhluk (kuman) hinggalah sebesar-besarnya (ikan paus) dan tidak dikurangkan sedikit pun daripadanya.

      Manusia diminta untuk berusaha, berdoa dan bertawakkal nescaya ia akan mendapat dan memiliki rezeki yang telah disediakan oleh Allah SWT di muka bumi ini.

      Dalam Al-Quran Allah SWT berfirman maksudnya : “Dan tidak ada satu mahluk yang melata pun di muka bumi kecuali Allah menjamin rezekinya.” (Surah Hud ayat 6)

      Delete

السلم عليكم ورحمة الله...:)

Lihatlah sudut-sudut hati kecilmu dengan pandangan yang cermat. Jika engkau mendapati sesuatu yang terpuji, maka pujilah Allah dan teruslah berlalu. Akan tetapi, jika engkau melihat sesuatu yang menjengkelkan, maka ikutilah dengan penilaian dan pemeriksaan yang baik terhadapnya.