Friday, March 23, 2012

Berusahalah mencari yang halal


بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...alhamdulillah segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam serta selawat dan salam buat junjungan Nabi Muhammad SAW. Moga dengan kita sentiasa berselawat kepada Baginda Rasulullah SAW akan kita perolehi syaafaat darinya kelak di akhirat.

Temanku yang dikasihi, apabila Allah mengurniakan kita dengan sifat qana'ah iaitu merasa cukup dengan kurniaan yang melimpah, perbanyakkanlah syukur kepada~Nya. Dengan kekuatan sifat qana'ah ini, seharusnya kita terus mendekatkan diri kepada Allah. Carilah jalan yang terbaik untuk mencapai qana'ah, nescaya perhitungan amal kita lebih mudah. Raihlah akhirat kita dengan hasil usaha yang baik.

Tidak diragukan lagi, sejak dahulu sesuatu yang halal itu begitu sukar ditemui. Kita telah terjerumus ke dalam perlakuan syubhat (yang tidak jelas halal-haramnya). Memang yang syubhat itu terbungkus rapi, tetapi sebenarnya kita memang sedar bahawa perilaku kita selama ini banyak bercampur dengan yang syubhat. Bilakah kiranya orang seperti kita ini dapat bersikap warak? Bilakah kiranya kita dapat beramal dengan keikhlasan?

Kehidupan kita dipenuhi keinginan hawa nafsu. Pakaian dan perhiasan tidak terlepas dari syubhat. Dalam hal ini, seorang ulama berkata, "Pada hari kiamat nanti, ada beberapa kelompok orang yang dibangkitkan dari kuburnya. Bau mereka lebih menyengat daripada bangkai. Itulah orang-orang yang memiliki harta kekayaan dari hasil yang syubhat." Setelah itu, ulama itu berkata, "Demi Allah, aku mungkin termasuk salah satu dari mereka."

Saudaraku, ulama di atas khuatir terhadap dirinya sendiri. Dia menyedari betapa bahayanya perlakuan syubhat. Bagaimana pula dengan kita? Tidakkah kamu menyedari bahawa perlakuan kita di dunia ini sudah tercemar dengan berbagai perkara syubhat? Bahkan mungkin lebih kotor daripada perkara sybhat itu sendiri?

Banyak beribadah tetapi disertai dengan usaha yang kotor, hasilnya akan kosong. Dalam hal ini, seorang sahabat mengatakan, "Jika penghasilannya dari usaha yang baik dan halal, nescaya perilakunya pun akan bersih. Begitu pula sebaliknya." Seorang ulama menyatakan bahawa syaitan telah berkata, "Aku menginginkan dari manusia satu hal. Ketika itu, aku akan bersamanya meskipun dia sedang beribadah. Aku jadikan penghasilannya dari usaha yang tidak halal. Jika dia menikah, maka nikahnya dari hasil yang haram. Jika dia berbuka puasa, maka makanannya dari hasil yang haram. Jika dia berhaji, maka hajinya dari hasil yang haram."

Oleh kerana itu, berhati-hatilah dalam mencari rezeki. Takutlah kepada Allah daripada bekerja dengan hasil usaha dari yang haram. Jangan hendaknya kita mengira untuk menambah keuntungan rezeki yang sedikit di dunia ini, kita sanggup menyebarkan aib orang, fitnah memfitnah dan segala macam bentuk umpatan dalam blog, Facebook, Tweeter dan lain-lainnya. Allahu Rabbi, adakah sumber pendapatan kita itu bersih hasil dari perbuatan yang buruk itu? Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat." [Hadis riwayat Ibnu Abi Dunya dan Ibnu Hibban]

Telitilah barang-barang yang syubhat dan kemudian ditinggalkan. Rasulullah SAW bersabda, "Yang halal itu sudah jelas dan yang haram itu sudah jelas. Di antara keduanya adalah hal yang syubhat. Kebanyakan orang tidak mengetahui, apakah sybhat itu termasuk halal atau haram? Nabi SAW bersabda lagi, "Siapa yang berani menggunakan yang syubhat, maka dia hampir melakukan yang haram." [H.R. Al-Thabrani]

Dalam mencari sumber kehidupan, janganlah kalian berada dalam satu bentuk pekerjaan sahaja. Carilah terus pekerjaan yang lebih menyelamatkan dirimu daripada yang sebelumnya. Hal ini supaya kalian dapat bertqawa dengan hasil usaha yang halal.

Hindarilah riba kerana ianya memiliki tujuh puluh lebih pintu. Pekerjaan kita harus dipantau ketat agar tidak termasuk kepada salah satu pintu tersebut. Jangan sekali-kali khianat. Barang-barang yang najis harus dijauhi. Dalam perniagaan, elakkan perkara yang melibatkan curang, dusta, sumpah palsu, memuji, mencela dan bersikap dengan sikap yang merugikan. Jauhilah itu semua. Ketahuilah, petunjuk kepada ketaqwaan terletak pada kewarakan. Seseorang dikatakan bertaqwa jika telah bersikap warak dalam hidupnya

Allah berfirman dalam surah al-Nisa ayat 29 mafhumnya: "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu."

Kita harus terus mendekatkan diri kepada Allah. Rela dengan penghasilan yang sedikit disertai dengan kemenangan yang agung itu jauh lebih utama daripada harta yang melimpah.

والله أعلم

32 comments:

  1. salam
    rezeki yg halal,walau sedikit,ianya mencukupi dan berkat...hati tenang dan tenteram...jiwa mudah menerima ilmu...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam..

      Ya benar, insya Allah rezeki yang membawa berkat akan sentiasa memberikan kecukupan, kesempurnaan, kedamaian, ketenangan, keselesaan dan kebahagiaan kepada mereka yang memperolehinya.

      Delete
  2. Waalaikumsalam brother...
    Mendapat rezeki yang halal namun masih tidak bersyukur dan mengeluh
    dgn apa yang ada juga tidak berguna.. Setiap rezeki walaupun sedikit
    harus disertakan dgn bersyukur dan berterima kasih kpd-Nya.. Mudah2an
    semakin luas dan diberkati..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Yang penting kita hendaklah sentiasa bersikap redha terhadap apa yang Allah SWT kurniakan. Hendaklah kita sentiasa mensyukuri apa sahaja kurniaan Allah SWT. Itulah sifat mulia setiap hamba yang menyedari asal-usul kejadian~Nya yang menuntut ia sentiasa mentaati takdir dan suratan yang telah ditentukan oleh Allah SWT.

      Delete
  3. Alhamdulillah, santapan rohani yang bagus

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya, moga ianya dapat menghidupkan kembali kesedaran kita yang malap dek kegemerlapan dunia dan padam oleh dosa-dosa.

      Delete
  4. Assalamu'alaikum Abd Razak

    Semoga sentiasa dalam rahmat kasih sayang dan redha Allah SWT ..amiin

    Keazaman yang kuat perlu ada pada setiap diri dalam berusaha menghindarkan perkara-perkara yang boleh merosakkan amalan untuk dihisab lebih-lebih lagi kita berdepan dengan banyak perkara syubhah..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumusalam Kak Werdah..:)

      Terima kasih mendoakan saya, kak! Moga kakak pun sedemikian juga.

      Benar kak, perintah Allah untuk meninggalkan segala bentuk maksiat harus ditinggalkan dan tiada kelonggaran untuk melanggarkannya, malah akan celaka bila mensia-siakannya. Semoga Allah sudi mengampuni kita lantaran sifat kemurahan~Nya.

      Delete
    2. Assalamualaikum,

      Tumpang komen di sini, sbb 'add comment' tidak kelihatan.

      Rezeki yang halal juga boleh membawa kepada haram sekiranya kerja halal yang dilakukan tidak berlandaskan syariah,seperti guru yang mengajar sambil lewa, masuk lewat ke kelas, meluangkan masa dengan kerja yang tidak berfaedah dan seumpamanya.(saya fokuskan guru sbb saya gura), Kerja lain begitu juga. Perlu komited dengan tugas agar ada barakah pada pendapatan.

      Wallahu A'lam.

      Delete
    3. Wa'alaikumusalam Ustazah...:)

      Sik apa tumpang komen sitok mungkin ada masalah sedikit...

      Benar ustazah, banyak perkara perlu kita awasi jangan sampai terjebak dalam perkara syubhah. Barangkali ramai sudah terbiasa masuk ofis sebelum jam 8 setelah punch kad lalu keluar untuk sarapan. Kadangkali ambil sampai 2 jam di luar lupa akan tanggungjawabnya di pejabat. Hilang segala barakah pada pendapatannya. Ini yang harus semua lihat dan peka.

      Moga ada manfaatnya pada semua..

      Delete
  5. Salam 'alaik ya syabab..

    Sedikit perkongsian ttg satu kisah:-

    Pada suatu hari ketika Rabiah Al Adawiyah masih 6 tahun, ia diberi makan oleh ayahnya, namun ia tidak mau memakan apa yang disuruhkan oleh ayahnya itu. Sehingga ayahnya kurang senang dan menegur perbuatannya:

    " Rabiah, mengapa kamu tidak mau makan? Rabiah menjawab: "Ya Ayah, aku tidak mau makan sebelum aku mengetahui asal makanan tersebut, apakah dari sumber yang 'halal' ataukah dari yang haram?" Ayahnya menjawab: " Kalau makanan itu haram dan tidak ada lagi yg dpt dimakan, maka apakah dgn memakannya tidak dpt dibenarkan?" Puterinya yg masih kecil itu menjawab:" WAHAI AYAH, AKU AKAN SABAR MENGHADAPI LAPAR DIDUNIA DARIPADA AKU HARUS BERSABAR MENANGGUNG SIKSA NERAKA PADA HARI KIAMAT KELAK" Allahu Rabbi!

    Satu kisah yg cukup memberi ingatan dan pengajaran bt hamba ALLAh ini!:'(

    terima kasih duhai sahabat atas perkongsian ilmu, Alllahu Yubarik fik..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumusalam ya syabab..:)

      Syukran ya syabab kerana sudi berkongsi kisah Rabiah al-Adawiyah.

      Dalam suatu riwayat, salah seorang sahabat Nabi SAW pernah mengatakan, "Kami meninggalkan tujuh puluh pintu sesuatu yang HALAL kerana takut terjebak pada satu pintu sesuatu yang haram." Bila difikirkan apakah kita mengira berhati-hati kita itu sudah seperti mereka. Demi Allah, ana kira kita tidak sampai pada tingkatan tersebut...Allahu Rabbi.

      Terima kasih kembali ya sahabat...Barakallahu fik

      Delete
  6. Assalamualaikum ustaz..

    InsyaAllah...akan selalu beringat dalam membuat dan mengerjakan sesuatu, betulkan, kadang2 kita tak sedar apa yang kita lakukan, terima kasih ustaz..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumusalam...:)

      Redhalah dengan rezeki yang sedikit dan halal, mudah-mudahan Allah redha dengan kita.

      Moga Allah membimbing kita semua...aamiin

      Delete
  7. Jika ulama itu terfikir begitu, IM apatah lagi.. hurmm..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya saudara, saya pun begitu juga. Soal syubhat ni makin banyak berlakunya di zaman kita sekarang ni. Moga Allah jauhkannya dari kita semua...

      Delete
  8. Aassalamualaikum..:)

    Moga ktk diberkatiNya..Dan dlm keadaan sihat Di sinun...amin...

    Tksh utk peringatan tukkk,
    Semmgnya kita perlu prihatin tentang kepentingan halal dan haram dalam usaha mencari sumber pendapatan kerana ini akan menjamin keberkatan rezeki yang diperolehi dan paling penting mendapat keredhaan Allah s.w.t......,.:):)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumusalam..:)

      Terima kasih mendoakan kamek, alhamdulillah kamek sihat sitok. Moga kitak pun sama juak sentiasa dalam keberkatan~Nya...aamiin

      Auk kitak, kita perlu berhati-hati dalam mencari rezeki, jangan sampai terhasil perkara syubhah hadir dalam sumber pendapatan kita sehingga apa yang kita dan keluarga kita makan dari hasil yang haram. Allahu Rabbi...makan benda yang sumbernya haram akan tumbuh dalam daging kita yang layak dimakan api neraka...nauzubillah.

      P/S : Komen kitak masuk dalam SPAM agik, sik tauk kenak. Kelak kamek cuba cari puncanya.

      Delete
  9. salam ustaz.. kadang2 rezeki yg kite dpt ni adkh juga shubhah? sebab dalam waktu bekerja kdg2 berfb, kdg2 gi minum pg, tghr, ptg.. solat pun kdg2 dibuat dlm waktub ekerja.. adkh termasuk dalam shubhah jugak?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumusalam...

      Ya Ladybird, perkara yang lady bangkitkan ini banyak berlaku dalam zaman yang serba moden ini. Dalam masalah ini kita perlu berhati-hati kerana kita bekerja dengan tujuan untuk mencari rezeki yang halal. Andaikata Ketua Jabatan atau Syarikat mengizinkan kita menggunakan internet, maka tugas utama kita perlu diselesaikan dulu. Jika Ketua tidak mengizinkan maka kita perlu ikuti perintahnya.

      Andaikata tidak ada larangan atau tegahan dari menggunakan internet maka kita ambil jalan berhati-hati iaitu mengutamakan tugas dulu dan jika hendak menggunakan internet mohonlah keizinan terlebih dahulu agar kita tidak terlibat dalam perkara syubhah.

      Mengenai mengambil masa bekerja untuk solat, adalah lebih baik kita gantikan waktu itu dengan kita melebihi waktu kerja. Tentang makan dan minum, kita sudah disediakan waktu rihat oleh majikan, maka tidak wajar kita gunakan masa bekerja untuk makan, minum atau kerja-kerja lain yang bukan bersangkutan dengan tugas kita. Saya rasa inilah yang lebih caranya agar rezeki yang kita perolehi beroleh keberkatan dari Allah SWT. Mungkin ada lagi pandangan yang terlebih dari apa yang saya nyatakan di sini.

      Wallahu'alam..

      Delete
  10. salam..
    moga saudara sihat hendaknya..
    memang susah kita nak lari jika sistem
    dalam negara kita terlalu menjurus
    kepada ekonomi kapitalis..semuanya
    kena dengan riba dan shubhah..tapi
    marilah kita berusaha menghindarinya
    selagi termampu..insyaallah Allah
    bersama kita..yang utama kita ikhlas
    dalam setiap perbuatan dan tawakal
    pada-Nya..wallahualam..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Komen yang ini tidak ke
      kotak spam kan?mungkin komen
      bila saya gunakan platform
      lain selain Blogger untuk
      komen di sini..

      Delete
    2. Salam saudara Zul..

      Moga saudara sihat sejahtera di sana..

      Kita sudah tahu bahawa setiap yang halal dan haram telah jelas dan nyata, tetapi di antara halal dan haram ada perkara-perkara syubhah. Sesiapa yang dapat menjauhi dari perkara syubahah maka ia telah menjaga agama dan kehormatan dirinya.

      Hendaklah kita berhat-hati di dalam kehidupan di dunia ini, sentiasa peka dan sensitif kalau-kalau ada perbuatan, percakapan dan niat dihatinya yang mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah.

      Ya, komen kedua tu tidak masuk ke kotak spam. Saya pun tidak pasti kenapa boleh jadi begitu dan ada juga teman lain yang komen jadi begitu. Pun begitu, terima kasih atas respond..

      Delete
  11. Assalamualikum Sahabat.

    Semoga sahabat sentiasa dalam Redha. dan Rahmat Ilahi... terima kasih atas peringatan yang cukup baik buat kami... semoga sahabat sentiasa diberi kesihatan yg baik..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa''alaikumusalam sahabat..:)

      Terima kasih atas doa, moga sahabat pun demikian juga dikurniakan Allah limpahan kasih sayang dan keredhaan~Nya...aamiin

      Delete
  12. السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

    syukran atas pesanan. mmg ramai manusia zaman ni yg hanya kerana kononnya atas niat yg baik mereka telah menghalalkan cara walaupun cara itu telah disepakati akan haramnya...wallahualam

    ReplyDelete
    Replies
    1. وعليكم السلام ورحة الله

      Ya saudara, keuntungan kita yang sebenarnya adalah sikap redha kita dalam menerima penghasilan yang ada, bukan terletak pada sifat cinta keduniaan semata sehingga halal haram itu diketepikan...

      Delete
  13. as salam..
    alhamdulillah..
    mudah-mudahan pemberian yang diberi-Nya, dimanfaatkan sebaik mungkin.
    dijauhkan mencari yang haram yang pada asalnya adalah halal..
    hm..

    wallahu'alam itu... setahu saya, ia berbunyi 'Allah itu alam' kerana tidak ditekankan pada 'alam' menjadi a' dan 'lam'.. kerana yang saya fahami tika ini, Wallahua'lam.. betulkan saya jika saya silap.

    :)

    ReplyDelete
  14. Replies
    1. وعليكم السلام ورحة الله

      Terima kasih atas kunjungan dan teguran pada perkataan wallahu a'lam tu...apa yang saudara katakan itu ada benarnya. Dengan rahmat Allah, saya berdoa semoga kita selalu dibimbing oleh~Nya menuju jalan kebaikan...aamiin

      Delete
  15. Tingkatan orang bertaqwa itu adalah sentiasa mencari yg terbaik...

    Ingin merasa solehah itu.

    Moga Allah kasih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hidup sederhana merupakan jalan terbaik untuk meraih ketaqwaan..

      Syukran, moga Allah anugerahkan cita-cita iqa...aamiin

      Delete

السلم عليكم ورحمة الله...:)

Lihatlah sudut-sudut hati kecilmu dengan pandangan yang cermat. Jika engkau mendapati sesuatu yang terpuji, maka pujilah Allah dan teruslah berlalu. Akan tetapi, jika engkau melihat sesuatu yang menjengkelkan, maka ikutilah dengan penilaian dan pemeriksaan yang baik terhadapnya.