Friday, March 30, 2012

Takutlah kepada Allah


بسم الله الرحمن الرحيم

Manusia yang tidak sunyi daripada melakukan kesalahan dan kesilapan juga amat perlu mengharap keampunan (maghfirah) daripada Ilahi. Harapan ini akan memberi dorongan yang berterusan untuk maju mendekatkan diri kepada Allah kerana percaya bahawa Allah akan menyambut setiap langkah pendekatan hamba~Nya sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis Qudsi: “Sesiapa yang mengerjakan kebaikan, maka untuknya sepuluh kali ganda pahala, bahkan mungkin lebih. Sesiapa yang berbuat kejahatan, maka dibalas dengan satu dosa, bahkan mungkin diampuni. Dan sesiapa yang menghampiri~Ku (Allah) sejengkal, Aku akan menghampirinya sehasta. Sesiapa yang datang kepada~Ku berjalan, maka Aku akan berlari kepadanya. Sesiapa yang menghadap kepada~Ku dengan dosa sepenuh isi bumi, sedangkan dia tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu apa pun, nescaya Aku akan menemuinya dengan keampunan sebesar itu pula.” [Riwayat Muslim]

Setengah hukama mengatakan, "Keselamatan jasad terletak pada sedikitnya makan. Keselamatan roh pada sedikitnya dosa. Dan keselamatan agama terletak pada membaca selawat kepada 'Khairil Anam' (Muhammad SAW)."

Allah SWT berfirman: "Wahai orang-orang yang beriman, takutlah kepada Allah! Dan hendaklah (tiap-tiap) orang memerhatikan apa yang diusahakan besok (hari kiamat). Takutlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan." [QS Al Hasyr: 18]

Orang Mukmin adalah orang yang takut kepada Allah SWT dan seluruh anggota badannya. Berkata sebahagian dari para Ulama terdahulu seperti Imam Al-Harits Al-Muhasibi, Imam Ghazali, Sheikh al-Akbar Muhyiddin dan lain-lainnya yang dapat disimpulkan mengenainya seperti :

1. Pada Nikmat Lisannya...

Syukurilah nikmat lisan yang telah Allah kurniakan kepadamu dengan memperbanyakkan membaca al-Quran dan berzikir. Jika kamu tidak dapat melakukannya, malulah untuk berbuat dosa dengan ucapanmu. Dari Abdullah bin Amr bin Ash r.a : Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW, "Orang Islam yang bagaimanakah yang paling baik? Jawab Rasulullah SAW, "Ialah orang-orang yang menjaga orang-orang Islam lainnya dari bencana lidah dan perbuatannya." [Riwayat Muslim]

2. Pada Hatinya...

Buangkanlah rasa pemusuhan, kebodohan dan kedengkian terhadap sesama insan. Lantaran kedengkian dapat menghapuskan kebaikan. Sebagaimana Rasulullah SAW telah bersabda: “Hindarilah oleh kamu daripada hasad (dengki) kerana hasad itu memakan segala amal kebajikan bagaikan api memakan kayu.” (Riwayat Abu Daud). Ketahuilah bahawa hasad itu penyakit hati yang amat berbahaya. Tidak ada ubat untuk penyakit hati selain dari ilmu dan amal.

3. Pada Matanya...

Syukuri nikmat mata yang telah Allah berikan kepadamu dengan melihat dan memerhatikan sesuatu yang baik, kemudian mengambilnya sebagai teladan. Jika kamu tidak suka melakukannya, takutlah kepada Allah untuk melihat sesuatu yang diharamkan. Janganlah membuat Allah murka dengan nikmat yang telah dikurniakan~Nya. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud, “Pandangan (mata) itu adalah satu anak panah yang beracun daripada panah-panah iblis. Oleh kerana itu barangsiapa meninggalkannya, lantaran takut kepada Allah, maka Allah akan memberi balasan iman kepadanya, maka ia akan memperoleh kemanisan iman dalam hatinya.” [Hadis riwayat Ahmad]

4. Pada Perutnya...

Keamanan dan ketenteraman hati serta kekenyangan merupakan kemuncak nikmat yang diberikan kepada manusia. Namun perlu diingat, makanan mengenyangkan yang dikurniakan oleh ALLAH ada yang haram dan ada yang halal. Baginda Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Setiap daging yang tumbuh dari bahan makanan yang haram maka api nerakalah yang lebih layak baginya. [Hadis riwayat Al-Tarmizi]

ALLAH memerintahkan manusia untuk mengambil yang halal dan meninggalkan yang haram menerusi firmanNya bermaksud: "Wahai orang-orang beriman, makanlah makanan halal yang kami kurniakan kepada kamu." [Surah Al-Baqarah: 172]

5. Pada Tangannya...

Syukurilah nikmat tangan dengan menggunakannya untuk kebaikan. Jika kamu tidak dapat melakukan hal itu, hindarilah daripada menggunakannya untuk berbuat zalim dan menyakiti orang lain. Dinyatakan, "Perbuatan zalim yang dilakukan seseorang di dunia ini kelak akan menjadi kegelapan dan bayangan yang menghancurkan di akhirat."

Anugerah Ilahi ini perlu dipelihara dan digunakan untuk perkara kebaikan seperti menolong orang, mencari rezeki halal, menentang segala kezaliman, menulis perkara yang baik umpamanya menulis ilmu pengetahuan dan panduan untuk masyarakat, bukan menulis kejahatan orang atau memfitnah sesama Muslim.

6. Pada Langkahnya...

Berhati-hatilah dengan kakimu! Syukurilah nikmat kaki yang Allah anugerahkan kepadamu dengan menggunakannya untuk beribadah kepada~Nya. Jika tidak dapat begitu, jangan digunakan kaki itu untuk berbuat dosa. Allah SWT berfirman, "Pada hari (ketika) lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi terhadap segala yang pernah mereka kerjakan." [Q.S al-Nur :24]

Pada hari itu, apa yang akan kamu lakukan, sementara kakimu dibelenggu dan diikatkan pada lehermu? Nikmat ini datang bersama tanggungjawab. Setiap satunya pasti dipersoalkan bagaimanakah telah kita gunakan semua nikmat dan kurniaan~Nya ini.

7. Pada pendengarannya...

Takutlah kepada Allah! Syukurilah nikmat telinga dengan mendengar al-Quran, zikir dan nasihat yang baik. Jika kamu tidak sempat melakukannya, hindarilah diri daripada mendengarkan keinginan burukmu dan fitnah yang beredar di sekitarmu, seperti yang berlaku pada kebanyakkannya sekarang.

8. Pada Nikmat Imannya...

Syukurilah nikmat iman yang diberikan Allah kepadamu! Gunakanlah seluruh kemampuanmu dan bersungguh-sungguhlah untuk mencari redha~Nya sebagai rasa syukur terhadap nikmat iman yang telah diberikan Allah kepadamu. Dunia ini cuma sedetik maka jadikanlah ia untuk melakukan ketaatan. Dan nafsu pula sentiasa bersifat tamak maka ajarlah ia akan sifat qanaah (merasa cukup dengan apa yang ada).

Sekian, moga ada manfaatnya..

20 comments:

  1. Assalamu'alaikum Abd Razak

    Semoga sentiasa beroleh kesejahteraan dan dalam rahmat kasih sayangNya.. amiin

    Dosa adalah racun yang berbisa.. kerananya manusia terhumban di neraka.. orang mukmin sentiasa menghisab dosanya kerana takutkan siksaNya..

    Semoga kita sentiasa takut kepadaNya dengan itu kita akan sentiasa berusaha menjaga anugerahnya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumusalam Kak..:)

      Terima kasih mendoakan saya, moga kakak pun demikian juga sentiasa beroleh rahmat kasih sayang~Nya..aamiin

      Dosa itu merupakan seksa ciptaan kita sendiri yang akan menunggu kita di alam barzakh dan akhirat kelak untuk menyeksa kita dan begitulah juga amal soleh kita bakal melindungi kita dari fitnah kubur dan padang mashar.

      Terpulanglah kepada masing-masing mahukan amal soleh atau dosa menunggu di sana kelak.

      Delete
  2. Waalaikumsalam brother.. Moga sihat2 hendaknya
    Tentang HATI itu lebih utama bagi aku. Sifat dengki yang ada pd manusia
    tidak pernah pudar dan sentiasa mencari kesilapan org lain. Memburuk2an
    seseorang itu bagai permainanan dalam hidupnya.. Sedih bila ada manusia
    yg bersifat begini..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sister..alhamdulillah saya sihat, moga sis pun demikian.

      Carilah redha Tuhanmu dan tetaplah kamu di jalan hidayah (kebenaran) dan janganlah kerana sedikitnya orang yang menurut jalan tersebut memudratkan (melemahkan) kamu.

      Delete
  3. Assalamu'alaikum, pengisian rohani di penghulu hari yg sgt mengesankan..

    Nikmat Allah yg banyak tapi hanya sedikit hamba-hambaNya yang bersyukur..pada lisannya, yang paling payah menjaganya, seringkali terbabas..kena banyak istighfar.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumusalam...

      Hendaknya sentiasa merasa takut kepada Allah dalam tingkah dan tindakan kita lebih-lebih lagi tentang persoalan hati dan lisan kita, sentiasa akan bertindak sesuai dengan redha~Nya dan mencari yang benar atas yang salah.

      Terima kasih...

      Delete
  4. Hakikatnya... Kita boleh masuk syurga hanya dengan kerahiman serta kurniaan Allah...
    Kerana jika dibanding amalan kita, pahala yg dikumpul untuk ditukar dgn syurga Allah....
    Dimana kita agaknya?

    Kerana itu kita perlu pada redhaNya.
    Aku cinta dan rindu padaNya.

    Moga Allah kasih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Benar sekali, demi untuk meraih rahmat kurniaan Allah itu, ketaatan dan patuh kepada perintah~Nya perlu dijaga dan jangan cuba sekali-kali cuba untuk memasuki zon larangan~Nya.

      Moga Allah beri pertolongan untuk kita melakukan taat kepada~Nya..

      Syukuran..:)

      Delete
  5. Salam.. Menar ya.. Banyak orang ISlam di dunia tok tapi sidak sik semuanya faham apa itu Islam.. Info yang sangat menarik.. InsyaAllah akan dikongsikan bersama...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam Mir...

      Menar nok dipadah kitak ya...sebab yalah manyak gilak kemungkaran berlaku sebab sik faham agama. Apa yang perlu carik sebanyak mungkin ilmu agama dan mudah-mudahan dengan usaha yaa Islam dapat kembali gemilang..

      Terima kasih mir

      Delete
  6. Assalamuaikum,

    Iman itu ialah kepercayaan dan keyakinan terhadap Allah, bukan sekadar pada lisan tetapi sepenuh ketundukan anggota badan manusia dengan melakukan amal soleh tanda bukti yang dipersembahkan kepada Allah taala yang memberi segala nikmat. Namun semua itu tidak akan mampu dilahirkan melainkan dengan kawalan hati yang berpandukan jalan Ilahi.

    Wallahu A'lam.

    ReplyDelete
    Replies
    1. وعليكم السلام ورحة الله

      Nikmat iman hanya dapat difahami orang yang benar-benar menjalankan kehidupannya menggunakan petunjuk ALLAH SWT dan mencontohi Rasul~Nya. Ia menghasilkan kehidupan yang murni. Dengan peningkatan iman, maka diri seseorang sentiasa terperlihara daripada pelbagai segi termasuk perjalanan kehidupan secara keseluruhan.

      Terima kasih kitak..

      Delete
  7. InsyaAllah..yatie pun tak tahu nak berkata bila baca ini..tapi InsyaAllah akan selalu ingat pesanan ini mekasih ustaz

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih kerana sudi berkunjung ke sini..

      Delete
  8. salam ustaz. terima kasih atas muhasabah yang menenangkan. mendoakan kami semua jua =)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam..

      Terima kasih kembali..

      Imam Ali pernah berkata, "Sesiapa yang menerima nasihat akan terselamat daripada sebarang keburukan."

      Delete
  9. Alhamdulilah...

    Sahabat memberi ruang berfikir semula dalam tajuk ini... saya ada membacanya dalam buku peneneng jiwa oleh Imam Al-Ghazali.... bila lihat balik N3 nie dapat mengingat semuala amalan yg perlu dan tidak dalam kehidupan kita... "Jangan engkau berputus asa terhadap rahmat Allah ." (QS Asy Syura : 28)semoga sahabat dan sekeluarga sentiasa dirahmati dan diredhai selalu..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Allahu Akhbar...

      Ya sahabat, Kitab Mukashafah Al-Qulub atau dalam Bahasa Melayunya Penenang Jiwa karangan Imam Al-Ghazali itu sangat baik untuk dibaca dan panduan untuk kita beramal dan memulihkan jiwa kita yang banyak terhasut oleh nafsu dan syaitan. Hasil pembacaan saya dari Kitab tersebut, saya susunkannya di sini bersama tulisan Ulama-ulama yang masyhur, dapat kiranya memberi penjelasan yang jelas untuk diri dan sahabat-sahabat di sini.

      Moga sahabat dan keluarga juga beroleh rahmat dan redha Allah..aamiin

      Delete
  10. saya baca semuanya disini,, termasuk komen dan balas komen..
    tq Allah

    ReplyDelete

السلم عليكم ورحمة الله...:)

Lihatlah sudut-sudut hati kecilmu dengan pandangan yang cermat. Jika engkau mendapati sesuatu yang terpuji, maka pujilah Allah dan teruslah berlalu. Akan tetapi, jika engkau melihat sesuatu yang menjengkelkan, maka ikutilah dengan penilaian dan pemeriksaan yang baik terhadapnya.