Friday, June 01, 2012

Alam itu lalai


بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum sahabatku yang dihormati...:)

Imam Ibn ‘Atho’illah As-Sakandari berkata dalam Hikamnya:

“Bilamana Allah s.w.t. membuat makhluk liar terhadapmu (menyusahkan atau menyakitimu), maka ketahuilah Dia ingin membuka buatmu pintu berjinak-jinak hanya dengan~Nya”.

Siapa yang mendakwa hidup ini sentiasa menggembirakannya setiap detik bererti telah dusta dalam dakwaannya. Tiada siapa yang tidak pernah merasa susah, sedih, kecewa dan derita khususnya dalam menghadapi makhluk di sekelilingnya.

Boleh jadi orang yang paling diharapkan di sisi kita itulah orang yang telah mengkhianati kita selama ini. Boleh jadi orang yang paling dikasihi itulah sebenarnya paling membenci. Boleh jadi orang yang paling dekat jasadnya dengan kita itulah orang yang paling jauh hatinya dari kita. Teman yang selama ini paling dipercaya, mungkin esok menjadi musuh yang paling merbahaya.

Rumah yang baru dibeli dengan jaminan keselamatan dan kekukuhan untuk tempoh yang lama boleh jadi retak atau roboh sejurus kita mendudukinya. Kereta yang baru dibeli dengan harga yang tinggi itu mungkin juga kereta yang dinaiki menuju musibah. Kawasan yang dijamin selamat dari gempa bumi namun mungkin dibinasakan oleh banjir yang besar. Beginilah makhluk.

Makhluk tidak menentu. Apa yang dari mereka tiada yang pasti. Apa yang dicari dari mereka akan pergi. Apa yang diingini dari mereka tidak pernah kekal abadi.

Ketika menyedari kenyataan “tidak menentu”nya makhluk. Kita hayati hakikat ini setiap kali berinteraksi dengan sekeliling, samada dari kalangan manusia atau alam. Sama sahaja. Semuanya digerakkan oleh Tuhan yang menentukan segalanya dengan kebijaksanaan. Namun, kita yang lalai. Kita rela dibelenggu “rutin” harian daripada melihat interaksi Allah s.w.t. di sebalik setiap pergerakan makhluk.

Oleh sebab itulah, Imam Ibn ‘Atho’illah As-Sakandari menyebutkan bahawa, bilamana Allah s.w.t. membuatkan alam dan makhluk ini serba merungsingkanmu, ianya sebenarnya adalah suatu panggilan agar kamu mencari ketenangan hanya pada kebersamaan dengan~Nya. Bilamana Allah s.w.t. memberi musibah, Dia ingin kamu kembali kepada~Nya dengan penuh pasrah dan berserah. Bilamana Allah s.w.t. memberimu ujian, Dia ingin kamu mencari~Nya untuk meminta bantuan. Bilamana Dia memberimu kesempitan, Dia ingin kamu kembali kepada~Nya untuk mencari kelapangan.

Hanya kepada Dia, kamu perlu kembali. Hanya kerana Dia, kamu perlu kembali. Hanya kerana Dia, kamu perlu kembali kepada~Nya. Bukan kerana selain~Nya. Ini kerana, seluruh selain~Nya adalah khayalan yang sentiasa menghimpit. Makin kamu renggangkan antara keduanya untuk mencari kelapangan dalam makhluk, makin kuat kamu akan dihimpit.

Kalau Allah s.w.t. menyayangi seseorang, Dia akan memahamkan hakikat “seruan kepulangan” ini dalam dirinya di sebalik setiap musibah melanda. Alam adalah interaksi Allah s.w.t. dengan para hamba~Nya. Namun, kebanyakan mereka lalai dari memahaminya kerana tidak pernah menghadirkan Allah s.w.t. dalam hati mereka.

Kamu perlu sedar hakikat ini. Allah s.w.t. tidak pernah menyusahkanmu, kerana bukan itu tujuan kamu diciptakan. Allah s.w.t. sengaja menyempitkan makhluk agar kita mencari kelapangan pada kebersamaan dengan~Nya. Hanya dengan~Nya. Fahamilah isyarat ini duhai teman, lalu anda akan dapat melihat kebersamaan Tuhan.

Ramai Kembali Kepada~Nya Dengan Dusta

Memang benar. Setelah kesempitan kian menghimpit, setelah kesusahan makin menyusahkan dan setelah hidup semakin redup, ramai yang mengangkat tangan dan berdoa. Ramai yang memohon kepada Allah s.w.t..

Tetapi, kerana apa mereka kembali kepada Allah s.w.t.? Ramai yang kembali dalam keadaan dusta. Mereka kembali mencari Allah s.w.t. agar Allah memberi semua keinginan mereka terhadap makhluk-makhluk.

Tatkala mereka miskin, maka Allah s.w.t. kayakan mereka. Tatkala kaya, mereka lupakan Allah s.w.t.. Tatkala mereka ditimpa kemiskinan, maka mereka mengangkat tangan dan berdoa kepada Allah s.w.t., untuk mendapat kekayaan semula. Setelah mendapat kekayaan semula, Allah s.w.t. ditinggalkan semula. Biadapnya manusia. Allah s.w.t. memanggilnya untuk kembali kepada~Nya semata-mata kerana~Nya, namun dia kembali kepada Allah s.w.t. kerana inginkan makhluk lalu setelah dapat makhluk yang diingini, Allah s.w.t. terus dilupai. Beginikan sifat hamba, wahai penderhaka?

Allah s.w.t. terus memberi kasih sayang~Nya kepada mereka yang terus lupa. Demi cinta~Nya pada para hamba~Nya, Allah s.w.t. terus memberi peluang kepada hamba-hamba~Nya. Namun, sampai bila wahai manusia? Allah s.w.t. sentiasa memanggilmu agar kembali mencintai~Nya berbanding selain~Nya, dan kembali menuju~Nya berbanding tamakkan dunia yang sementara. Namun, hidup ini seolah-olah tidak mengajar sebarang erti, melainkan segumpal khayalan yang menipu diri.

Wahai hamba, jujurlah dengan~Nya. Segala yang ditentukan kepada kita adalah kerana kita, namun segala yang kita lakukan dalam dunia adalah kerana kita. Di manakah cinta? Atau sedang memperhambakan Tuhan? Sebaik-baik kebaikan dalam jalan cinta adalah menghargai cinta yang telah diberikan. Jujurlah dengan Tuhan, kelak akan temui jawapan bagi segala persoalan.

Janganlah terus lalai mencari makhluk yang sengaja dibuat sering menyusahkan agar kita mencari Allah s.w.t. yang Maha Menyenangkan. Kilauan cinta dunia dan makhluk adalah dari tipu daya nafsu dan hasutan syaitan. Andai anda melihat dengan kaca mata iman, melalui hati yang jernih, anda akan dapati hanya Allah s.w.t. sebaik-baik Pencinta yang mendamaikan.

Renungkanlah…

Dengan kelalaian inikah kita ingin pulang bertemu Ilahi setelah mati? Dengan kebiadaban inikah kita ingin berdiri di hadapanNya sewaktu hari Perhitungan? Alangkah tertipunya andai masih terus tertawa, sedang amalan masih belum terkumpul untuk dibawa. Alangkah malangnya andai masih terus terlena, sedang usia semakin sirna.

Kembalilah kepada~Nya dengan ketaatan, sebelum kembali kepada~Nya tanpa amalan. Kembalilah kepada~Nya dengan kejujuran, sebelum kembali kepada~Nya dengan penuh sesalan.

Wallahu a'lam

Sumber : Al-Faqir Al-Haqir ila Lutf Rabbihi Al-Jalil Ustaz Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Azhari

26 comments:

  1. Assalamualaikum...

    Semoga sihat wal afiat hendaknya.Ameen.

    ...begitulah takdir Allah.Selagi nyawa dikandung badan,berusahalah untuk mendapatkan 'makhluk' yang diidamkan mengikut landasan yang betul dan boleh dimanfaatkan.Namun, jika ditetapkan semua itu bukan seperti yang dikehendaki,berserahlah kepada-Nya.

    Berserah bukan bermakna kalah,tapi berserah tanda penyembahan dan kepatuhan kita terhadap kebesaran Ilahi.

    DIA yang menciptakan,DIA jua yang memberi segala nikmat. DIA jua yang layak mengambil kembali apa yang diberi.Bukan bermakna DIA mahu mengecewakan kita,tapi DIA mahu kita lebih dekat kepada-Nya.

    Wallahu A'lam.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumusalam...

      Terima kasih atas doanya, semoga kitak juak sihat wal afiat hendaknya...aamiin

      Makna hidup kita adalah kita hamba Allah SWT. Tujuan hidup kita adalah menunaikan kehambaan kita kepada~Nya. Maka apa yang kita usahakan semuanya bergantung kepada kehendak Allah SWT. Dia memberi atau disebaliknya semuanya sesuai dengan kehendaknya bukan pada harapan dan kehendak kita.

      Terima kasih kitak..:)

      Delete
  2. Salam uztaz.. Semoga menjadi pedoman untuk kita semua.. InsyaAllah..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam Mir...

      Pedoman untuk kita terus dalam kebaikan dan kebersamaan dengan~Nya..

      Delete
  3. salam sahabat...

    "masih menipu diri sendiri" ...jazakallah utk ilmu yg "canteeq"

    **moge sahabat sihat ^_^**

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam sahabat...

      Alhamdulillah sihat seadanya..moga sahabat sihat juga di sana..

      Jangan kelalaian semalam menjadi sebab untuk kita lalai esoknya.

      Afwan..:)

      Delete
  4. Menerebus jauh catitan di atas mengingat akan diri:
    "..dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." (Al-Baqarah:216)

    Salam perkenalan, Ustaz. Salam ukhuwah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya saudara salam ukhuwah dan perkenalan...

      Kita bisa merancang dan berusaha, namun perlakuan itu berjaya atau tidak semuanya atas kehendak~Nya..

      Delete
  5. Assalamualaikum saudarabAbd Razak,

    Semoga Abd Razak sihat2 saja.

    Allah tahu apa yg baik utk kita. Jauhkan buruk sangka pd Allah bila Allah uji dgn musibah, itu tanda dia ingin kita lebih mendekatiNYA. Mungkin jalan kita dah tersasar tanpa sedar.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumusalam Kak Ani...

      Moga kakak juga sihat hendaknya..

      Benar kak, segala apa yang kita rancang dan mahu tidak semestinya terhasil kerana ianya mengikut kehendak dan perancangan Allah untuk kita.

      Terima kasih kak...:)

      Delete
  6. Assalam.. ini URL bru sy.. kat blog list cite maiyah dah removed

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumusalam...

      Terima kasih atas kunjungan dan insya Allah nanti saya ziarah blog baru Maiyah...:)

      Delete
  7. السلم عليكم ورحمة الله

    alam itu lalai, alam itu dunia, dunia itu singkat. pulun sgt dunia sedangkan dunia utk ditinggalkan...pulun utk akhirat...tempat yg dituju yg kekal abadi. duduk diam-diam...pikir dalam-dalam...pasti dpt buat keputusan...insyaAllah (hanya pesanan utk diri sendiri).

    ReplyDelete
    Replies
    1. وعليكم السلام ورحة الله

      Ambillah dunia sekadar yang mencukupi untuk kepentingan akhirat dan tinggalkan yang melalaikan...

      Syukuran ya akhi..:)

      Delete
  8. Assalamu'alaikum Abd Razak.

    Semoga sentiasa beroleh kesejahteraan dan dalam rahmat kasih sayangNya.. Amiin

    Menurut Imam Ghazali, setiap amal yang dapat kemanfaatan bagi alam akhirat dinamakan amalan akhirat, sebaliknya amalan yang manfaatnya hanya diperolehi di dunia semata-mata maka namanya amalan dunia. Seharusnya amalan Rasulullah SAW, para nabi, para sahabat dan orang-orang soleh terdahulu dijadikan panduan kerana mereka tidak menjadikan dunia sebagai sesuatu yang melalaikan bahkan dunia digunakan sebagai wasilah untuk menuju akhirat.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumusalam Kak..:)

      Terima kasih atas doa kakak, semoga kakak juga sentiasa beroleh kesejahteraan dari Allah s.w.t. dan rahmat kasih sayang~Nya...aamiin

      Seorang ahli hikmah berkata: "Condong kepada dunia setelah mengetahui pahala bererti satu kebodohan dan tidak bersungguh-sungguh beramal setelah mengetahui besarnya pahala bererti lemah dan malas. Di syurga ada masa istirehat tidak dapat dirasakan kecuali oleh orang yang tidak pernah istirehat di dunia dan ada kepuasan yang tidak dapat dirasakan kecuali oleh orang yang meninggalkan berlebihan di dunia, dan cukup dengan kesederhanaan yang ada di dunia."

      Terima kasih kak..:)

      Delete
  9. Assalamu'alaikum Akhi Abd Razak.terima kasih atas komen dan kunjungannya ke blog ana . sekedar berkongsi, saya ingin memuat sebuah hadits yang bersumber dari Jabir r.a. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda :" Allah yang Maha Mulia lagi Maha Agung memberikan wahyu kepada Jibril untuk membalik (menghancurkan) sebuah negeri begini dan begini". Jibril berkata :" Ya Tuhanku sesungguhnya ditengah-tengah mereka(penduduk negeri)itu masih terdapat hamba-Mu si Pulan yang tidak pernah berbuat maksiat kepada-Mu barang sejenakpun". Allah berfirman :"Hancurkanlah negeri itu,atas laki-laki itu juga atas mereka semua, karena sesungguhnya wajah laki-laki tersebut tidak memperlihatkan rona kemerahan sama sekali untuk kepentingan-Ku". ( Hadits Riwayat Ath-Thabrani)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumusalam...

      Terima kasih kembali...

      Walau pun kita bukan sempurna, sikap sentiasa berikhtiar meningkatkan diri akan menjadikan diri kita lebih dekat dengan Yang Maha Pencipta iaitu menjadi hamba Allah yang terbaik.

      Delete
  10. assalamualaikum ustaz..makaseh atas perkongsian tok..moga dijadikan pedoman bt kita...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumusalam...

      Sama-sama, moga pesan-pesan tok mendatangkan manfaat yang banyak buat kita semua...

      Delete
  11. kalau ditanya persoalan begitu, mana mungkin kita mahu kembali pada-NYA, dengan hati yg masih kosong dan kotor kan uataz, InsyaAllah..selagi diberi nyawa akan sentiasa mencari ilmu mendekatkan diri dengan-NYA..mekasih ustaz

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya, bila insan mula sedar tujuannya dicipta dan lantas mengabdikan diri kepada Ilahi, pasti sebelum kepulangannya kepada Penciptanya akan dipenuhi hidupnya dengan bekalan, memastikan dirinya tidak dimurkai kelak.

      Delete
  12. Assalamualaikum ktk..:)

    Moga dirahmatiNya selalu..dan diberikanNya kesihatan yang baik berpanjangan..Amin...

    Sesungguhnya cintakan dunia itu sementara..
    Namun cintakan akhirat itulah yang abadi..

    terima kasih kerna sentiasa tidak jemu2 memberi peringatan utk kita semua..
    :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumusalam kitak...:)

      Syukran atas doa kitak, moga kitak juak sentiasa dirahmati dan diberkati Allah s.w.t. serta diberi~Nya kesihatan yang baik...aamiin

      Cintailah Tuhanmu (Allah s.w.t.) serta takutlah kepada azab~Nya yang pedih, berharaplah akan rahmat~Nya serta bertawakallah kepada~Nya, nescaya kamu beroleh bahagia di dunia dan akhirat.

      Terima kasih kitak juak kerana tak jemu-jemu berkunjung ke sini serta menurunkan komen sitok..:)

      Delete
  13. Assalamualaikum..
    nk dpt hti yg jernih pun x senang.. dan sbnrnya x ssh juga kalau dah kenal cinta padaNya

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumusalam...

      Istiqamah dalam beribadah membiasakan kita dengan amalan itu dan kita semakin dekat dengan~Nya, maka lahirlah cinta yang sebenarnya..

      Delete

السلم عليكم ورحمة الله...:)

Lihatlah sudut-sudut hati kecilmu dengan pandangan yang cermat. Jika engkau mendapati sesuatu yang terpuji, maka pujilah Allah dan teruslah berlalu. Akan tetapi, jika engkau melihat sesuatu yang menjengkelkan, maka ikutilah dengan penilaian dan pemeriksaan yang baik terhadapnya.